Friday, October 1, 2010

Ku Li dilantik Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional di GalasKUALA

LUMPUR 29 Sept. – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Menurut Timbalan Presiden UMNO itu, perkara tersebut telah diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan UMNO yang bersidang hari ini bagi membincangkan persiapan parti menghadapi pilihan raya tersebut.

‘‘Dengan persetujuan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, saya telah menghubungi Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu untuk memberitahu beliau mengenai keputusan parti tersebut.

‘‘Beliau bersetuju dengan keputusan berkenaan,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan UMNO turut memutuskan bahawa Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapha Mohamed dilantik sebagai Timbalan Pengarah pilihan raya berkenaan dengan dibantu jentera parti di peringkat negeri dan pusat.

‘‘Saya yakin dengan kepimpinan Ku Li yang amat berpengalaman, berpengaruh lagi dihormati oleh pengundi-pengundi di Galas.

‘‘BN yakin peluang kita untuk meraih kemenangan adalah lebih cerah,’’ jelas beliau.

Sementara itu, Tengku Razaleigh berjanji akan membalas kepercayaan pucuk pimpinan parti dengan membantu calon BN merampas semula kerusi DUN Galas.

Menurut beliau, UMNO bahagian itu tidak mempunyai sebarang masalah dan bersedia mengatur persiapan menghadapi pilihan raya di kerusi yang pernah menjadi kubu BN.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, pihaknya yakin untuk merampas semula kerusi tersebut kerana ia sememangnya milik BN yang hanya tewas sekali kepada Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

“Pelantikan ini merupakan satu penghormatan kepada saya dan kita akan menyusun strategi terbaik untuk mengambil semula kerusi ini.

‘‘Pas hanya sekali menang di DUN Galas iaitu pada pilihan raya umum lepas disebabkan gelombang yang melanda seluruh negara,” katanya yang kini berada di London ketika dihubungi Utusan Malaysia .

Ini merupakan kali pertama Ketua UMNO Bahagian diberikan tugas sebagai pengarah jentera bagi sepanjang siri pilihan raya kecil yang berlangsung selepas Pilihan Raya Umum Ke-12.

Galas terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang yang mempunyai tiga kawasan DUN. Dua lagi kawasan ialah Paloh dan Nenggiri yang dikuasai oleh BN.

utusanonline.com.my
30.9.2010

No comments:

Post a Comment