ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Saturday, March 2, 2024

Ulasan Puisi Selebriti Sastetawan 15 (2)

 Selebriti Sasterawan Di Medsos- 15 (2).


Sebelum ini saya telah pun membuat sedikit sorotan terhadap A.Aziz Ali tentang kepenyairannya dan sekelumit riwayat dirinya. Saya tidak dapat meneruskannya untuk sementara kerana menghadapi berbagai masalah. Kali ini saya rasa ingin menyiapkannya. Maaf Aziz kerana keterlambatan itu.


Kita sudah pun  melihat Aziz dari suatu dimensi. Hari ini saya mengajak pembaca melihat sebuah karyanya 'Airmata Palestin.'


AIR MATA PALESTIN


Air mata Palestin tumpah di mana- mana

seluruh negara, menyelami jiwa raga pejuang

darah merah membungkus derita,

menyelimut duka

siapa yang kisah?


Air mata Palestin

tumpah di cawan kopi

dihirup, pahitnya terasa

tiada yang merasa sakitnya


Air mata Palestin

membasuh luka

runtuhan demi runtuhan

siapa yang hiba?


Air mata Palestin

bedilan demi bedilan

mayat syahid bergelimpangan

raungan demi raungan

siapa yang peduli?


Air mata Palestin

murni, tangisan demi tangisan

mengisi hari- hari mendatang

berkurun, siapa yang menyapu pipimu?


Air mata Palestin

hanya doa dari kami

semoga Allah makbulkan demi anak-anakmu tanpa ayah tanpa ibu

mengemis kasih sayang

pada siapa ?


Abdul aziz ali

Ipoh Perak

1.11.2023


Sajak berkenaan menyorot kejadian yang menimpa umat Palestin dan amnya melihat keseluruhan umat lslam itu sendiri.


Pada rangkap pertama beliau melihat tumpahnya air airmata umat Palestin di mana-mana. Dan beliau mengakhirinya dengan pertanyaan ' Ada siapa yang kisah'? 


Pada para selanjutnya Penyair menyebutkan air Mata Palestin itu tumpah ke secawan kopi,dan merasakan pahitnya, tetapi tiada yang merasakan sakitnya. Ini adalah majaz ang diketengahkan oleh Aziz,  pahitnya terasa, tetapi tidak seorang merasa sakitnya. Seolah-olah Aziz melihat bahawa keprihatinan umat lslam kepada saudaranya kian meluntur, Dan sikap tidak peduli itu terlihat di kebanyakan negara umat lslam. Barangkali umat ini Akan terus menderita hingga ke akhir zaman.


Pada rangkap berikutnya Aziz melontarkan pertanyaan ' Ada siapa hiba'?


Palestin terus dibedil,  ribuan menjadi Syuhada, kedengaran raungan demi raungan, namun siapa Yang peduli?


Abdul Aziz, seorang pesara PDRM telah pun menerbitkan dua kumpulan Puisi persendirian berjudul ILHAM Dl MUARA & SUARA HATI, melanjutkan pembicaraannya tentang ketidakpedulian masyarakat lslam tentang isu Palestin, sehinggalah kemunculan lmam Mahdi dan Isa alaihissalam. Saya sendiri pun turut terkejut bila membaca Wang Aman Palestin lesap 29 juta. Di manakah keprihatinan umat lslam kini? Setakat manakah iman umat ini, sedangkan Sheikh Yusof alQardhawi pernah menulis tentang 'Palestin;Masalah Bersama.'


Demikianlah sedikit sebanyak tentang karya Abdul Aziz ini. Beliau aktif menulis. Tema sajak di atas adalah universal,iaitu isu Palestin. Abdul Aziz menerapkann unsur-unsur personafikasi  dalam sajak serta persamaan bunyi seperti asonansi dan aliterasi. Namun begitu sajaknya agak longgar, dengan kata lain tidak cukup untuk memenuhi kriteria ekonomi kata-kata. Keseluruhannya sajak ini berhasil menyampaikan tema yang bersifat universal. Tahniah diucapkan kepada beliau.


zainallazim, 

28.2.2024.

#ibnulazim

#pemuisiberkarya

#pemusinasional

Sunday, February 25, 2024

Ulasan Puisi Wangikah Anggerik

 Ulasan puisi، ulasan ini tidak termasuk dalam siri Selebriti Sasterawan..


Sekuntum kemboja secawan kopi


dihulur secawan kopi

di hiasi sekuntum kemboja

sebuah puisi

atas meja 


siapa pengirimnya


kemboja itu bunga kuburan

putih bersih

wangi


aduh bagaimana ini

mau dihirup kopinya dulu

atau

dicium kembojanya

atau 

dibaca puisinya

atau

serentak itu ketiganya


aku ke pejabat dulu

kopi , puisi dan bunga kemboja 

snap saja photonya

lalu kusimpan di dada

jadi kenangan sepanjang usia


Wangikah Anggerik 

15.06.23


Ulasan Puisi;

Sekuntum Kemboja Secawan Kopi


Saya pun kurang ingat bagaimana boleh terbaca sajak ini di tengah-tengah kesibukan media sosial yang selalu saja

melahirkan pemuisi-pemuisi baru. Namun bila dibaca saya melihat ada bakat yang boleh diketengahkan dari sajak ini.


Tema sajak ini ringan sahaja, iaitu sekuntum bunga kemboja dan secawan kopi. Saya cuba mencari maksud lain dari ke dua-dua imej ini. Saya tidak menemui sebarang maksud lain kecuali ia mungkin lakaran emosi penulisnya, Wangikah Anggerik, atau nama sebenarnya Rahilah Adam. Ada lagi sekumpulan sajak yang ditulisnya, namun saya tidak sempat menelaahnya kerana kesuntukan masa.


Pada bait pertama beliau menulis:


'dihulur secawan kopi

dihiasi sekuntum kemboja

sebuah puisi 

atas meja'.


Apa yang dapat difaham ialah ada seseorang memberinya secawan kopi bersama sekuntum bunga kemboja. Kopi adalah air penghilang dahaga, sementara kemboja adalah sekuntum bunga, di mana bunga sering dikaitkan dengan wanita, atau pemberian bunga boleh juga dilihat sebagai lambang cinta yang disogokkan oleh seseorang kepadanya. Namun kopi dan bunga itu menjadi puisi di atas meja, atau menjadi satu harapan dalam hubungan sesama insan. Dengan kata lain, kopi dan bunga melambangkan harapan yang diberikan seseorang kepadanya.


Pada rangkap ke dua dan ketiga, penulis tidak berkesempatan meminum kopi, atau mencium bau kemboja, mungkin kerana hambatan waktu, dia hanya mempotret imej-imej tersebut, tanpa menyatakan apakah ia menerima atau menolaknya. Ia hanya menyatakan menyimpan imej-imej tersebut di dadanya dan menjadi kenangan dalam hidupnya. Majaz-majaz yang digunakan, adalah majaz yang lazim digunapakai dalam masyarakat kita. Cuma men'snap' imej berkaitan dan menyimpannya sebagai kenangan adalah agak baharu dalam dunia perpuisian kita. Harapan kita, penyair ini terus menulis dan meneroka tema-tema yang lebih bermakna untuk sastera kita dan generasi mendatang.


Ibnulazim,

1.7.2023.

Selebriti Sasterawan Di Medsos- 15

 Selebriti Sasterawan Di Medsos- Siri 15.

Bhgn.1


Saya telah pun meperkatakan sumbangan penulis-penulis muda, atau yang sudah pun matang dalam siri tulisan ini yang kini sudah pun mencapai Siri ke 15. Saya tidak ingin membiarkan mereka, terutama yang menulis di media sosial berlalu begitu sahaja tanpa sebarang ulasan yang bersifat kritikan yang membina atau pun membimbing. Kehadiran mereka akan tenggelam begitu sahaja . Namun tiada pengulas atau pengkritik yang sanggup menjalankan tugas ini, sementara saya pula dihambat oleh pelbagai tugasan dalam keadaan hidup yang kian mencabar ini.


Kali ini kita ingin melihat Abdul Aziz Ali, seorang pesara PDRM yang dilahirkan di Kelantan yang kemudian menetap di Ipoh. Penglibatan beliau sudah lama di bidang ini dan telah menghasilkan sekian banyak puisi di medsos, di akhbar-akhbar termasuk majalah Dewan Sastera. Sehingga kini beliau telah melahirkan lebih 100 buah antologi bersama dengan pelbagai penerbitan.


Kita cuba lihat sebuah puisinya untuk melihat dirinya lebih dekat.


AIR MATA PALESTIN


Air mata Palestin tumpah di mana- mana

seluruh negara, menyelami jiwa raga pejuang

darah merah membungkus derita,

menyelimut duka

siapa yang kisah?


Air mata Palestin

tumpah di cawan kopi

dihirup, pahitnya terasa

tiada yang merasa sakitnya


Air mata Palestin

membasuh luka

runtuhan demi runtuhan

siapa yang hiba?


Air mata Palestin

bedilan demi bedilan

mayat syahid bergelimpangan

raungan demi raungan

siapa yang peduli?


Air mata Palestin

murni, tangisan demi tangisan

mengisi hari- hari mendatang

berkurun, siapa yang menyapu pipimu?


Air mata Palestin

hanya doa dari kami

semoga Allah makbulkan demi anak-anakmu tanpa ayah tanpa ibu

mengemis kasih sayang

pada siapa ?


Abdul aziz ali

Ipoh Perak

1.11.2023


Ibnulazim,

21.12.2023.


Bersambung..