ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Sunday, October 20, 2024

Ulasan Puisi Medsos 14

 Selebriti Sasterawan Di Medsos- Siri 14.


Sasterawan adalah perakam zamannya. Bagitulah pendapat yang sering dikemukakan oleh para penelaah sastera. Saya pun bersetuju dengan pendapat ini. Sejarah hanya merakam peristiwa, kesan, pengalaman dan pengajaran dari suatu zaman. Namun sasterawan, khasnya penulis novel dan puisi, merakam bukan sahaja peristiwa, tetapi juga denyut nadi, resah gelisah, dan pergolakan jiwa masyarakat pada zamannya. Demikianlah antara peranan kesusasteraan dan sasterawan pada sesuatu zaman. Dengan begitu secanggih mana pun teknologi, ke dua-dua perkara ini tetap diperlukan.


Atas sebab demikian, saya masih terus meperkatakan perkara ini. Kali ini saya memilih Emillia Munira, atau nama penuhnya Emillia Munira bte Akil, penulis kelahiran Kelulut, Marang, Terengganu. Beliau juga merupakan adik kepada Zahari Akil, juga seorang pemuisi yang aktif di media sosial ini.


Kita cuba lihat sebuah sajaknya untuk melihat kepenyairannya:


Bismillah.


RINDU YANG TERBAKAR


Kenangan semakin jauh seperti senja kelmarin 

gerimis melewati ingatan di rantau hati 

rindu tengkujuh dibadai luluh dan sendu 


Dan di sini aku mengeja sebuah nama 

saban waktu lembar masa kubelek

susunan abjad kehidupan dan kematian 

tak pernah lusuh walau kau pergi tak kembali

menjadi reja-reja kenangan 


Mengenangmu sahabat

adalah setulus persahabatan 

doaku pun tak pernah putus  

antara musim beredar

aku masih berdiri di sini 

genggam kenangan hingga 

perasaanku rentung


EMILLIA MUNIRA 

Marang, Terengganu

5 Oktober 2023.


Dalam Rindu  Yang Terbakar sebenarnya, Emillia mengenang seorang sahabat karibnya yang telah pergi terlebih dahulu ke alam abadi. Kenangan itu seperti rindunya pada musim tengkujuh, diikuti perasaan rindu dan sendu yang membadai di jiwanya. Tentulah sahabat itu amat akrab dengan kehidupannya. 


Kerinduan itu seolah ia mengeja sebuah nama sambil membelek lembar waktu dan susunan huruf-huruf abjad. Ia merupakan satu perbandingan perasaan yang hanya dapat dilukiskan sedemikian. 


Ia mengenang sebuah persahabatan yang tulus di samping doanya yang tidak pernah putus. Emillia masih mengenang sahabat itu seolah kenangan itu digenggam hingga rentung.


Tentunya sahabatnya itu seseorang yang istimewa dalam hidupnya.


Bahasanya tidak polos dalam puisi ini, cuma temanya agak ringan tanpa sebarang buah fikiran. Ianya lebih merupakan satu curahan perasaan akibat sebuah kehilangan.


Emillia mendapat dorongan kakaknya Puan Zahari Akil yang juga seorang penulis sajak yang sedang menempa nama.  Selain sajak, Emillia juga menulis cerpen. Sajak- sajak dan cerpennya pernah tersiar dalam akhbar Harian Ekpress, Utusan Borneo dan Berita Harian. Bila ditanya tentang rancangannya pada masa depan, beliau yang turut meminati muzik, berhasrat untuk menerbitkan antologi bersama dengan Puan Zahari Akil, di samping merancang untuk menerbitkan novel remaja. Emillia juga pernah memenangi beberapa peraduan penulisan puisi yang dianjurkan persatuan Pemuisi , Kembara Sastera dan lain-lain. Sajak-sajaknya juga telah pun diterbitkan dalam beberapa buah antologi bersama yang disertainya. Kita berharap kehadirannya dalam dunia puisi akan berterusan, mencapai apa yang diharapkan, dan turut mewarnai dunia perpuisian negara.


Ibnulazim, 

21.10.2023.