ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Wednesday, December 22, 2010

Ucapan Karpal legakan Pas, PKR


ALOR SETAR - Kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh mengenai kesediaan berbincang dengan Pas dan PKR berhubung isu negara Islam pada Konvensyen Pakatan Rakyat (PR) ke-2 kelmarin menzahirkan permuafakatan semakin kukuh antara ketiga-tiga parti komponen PR.

Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, kenyataan Karpal itu juga diyakini merapatkan lagi jurang perbezaan antara DAP dan Pas yang sebelum ini tidak begitu serasi akibat perbezaan pendapat terutama berkaitan isu agama.

Menurutnya, ucapan Karpal pada konvensyen itu juga menunjukkan perubahan sikap positif pemimpin utama DAP dalam membicarakan soal pembentukan negara Islam yang diperjuangkan Pas.

“Perubahan sikap positif DAP memberi sinar baru terhadap masa depan rakyat memandangkan selama ini isu pembentukan negara dan pelaksanaan hukum Islam menjadi perbezaan ketara antara Pas dan parti itu.

“Saya yakin kepimpinan Pas Pusat bersedia berbincang dengan Karpal dan DAP mengenai isu pembentukan negara Islam pada bila-bila masa di samping mengharapkan pendirian itu kekal sehingga kita berjaya menawan Putrajaya,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata sedemikian ketika diminta mengulas kenyataan Karpal bahawa isu negara Islam perlu segera dibincang PR bagi mengelakkan BN mengeksploitasi isu berkenaan dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya, DAP menerima Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan akan mempertahankan Perlembagaan dan segala peruntukan yang terkandung dalamnya.

“Isunya adalah negara Islam dan ia harus diselesaikan secepat mungkin.

"DAP menerima Islam sebagai agama rasmi negara. Soal negara Islam adalah sesuatu yang kami boleh rundingkan dan saya yakin kita boleh mencapai konsensus,” kata Karpal.

Sementara itu, Pengerusi PKR Kedah, Ahmad Kassim menyifatkan kenyataan Karpal sebagai satu keajaiban dan menunjukkan model keutuhan dalam PR.

Menurutnya, beliau hampir menitiskan air mata setelah mendengar kenyataan terbuka Karpal yang bersedia mengadakan rundingan untuk membolehkan PR membentuk negara Islam sekiranya menang pilihan raya umum akan datang.

“Syukur kerana ini kali pertama saya lihat Karpal dan DAP lebih terbuka untuk membincangkan soal pembentukan negara Islam yang saya kira perlu dilaksanakan demi kepentingan semua pihak.

“Saya juga berharap perbincangan penubuhan negara Islam nanti akan menghasilkan satu keputusan positif untuk semua pihak,” katanya.

sinarharian.com.my
Aziz Bari kata Lebih teruk dari 'mahkamah kangaroo'


Salmiyah Harun

Insiden yang berlaku di Dewan Rakyat pada 16 Disember lalu, memperlihatkan satu sejarah hitam dalam sistem Demokrasi Berparlimen. Pakar perlembagaan Professor Dr Aziz Bari mempunyai pendapatnya tersendiri terhadap insiden itu.

Harakah: Bagaimana pandangan Professor terhadap penggantungan Ketua Pembangkang Dewan Rakyat Dato' Seri Anwar Ibrahim dan tiga orang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat, Karpal Singh, Azmin Ali dan Sivarasa selama enam bulan yang diputuskan speaker Dewan Rakyat 16 Disember lalu?

Professor Aziz Bari: Kita tidak persoal undang-undang asalkan ia konsisten. Dalam soal kuasa menggantung ini yang jadi masalah ialah ia tidak konsisten. Ini kerana bila ia melibatkan speaker BN ia mutlak dan mahkamah tidak boleh campur. Tapi bila melibatkan Speaker Pakatan Rakyat lain pula; seperti yang berlaku di DUN Perak di mana kuasa Speaker boleh diganggu oleh mahkamah.

Apa pun Speaker, baik BN atau Pakatan Rakyat mesti adil dan tidak menjadi agen partinya; Speaker mesti ada kredibiliti. Kuasa speaker mesti digunakan dengan adil. Mereka yang waras tidak nampak bahawa tindakan Speaker itu wajar dan adil.

Apa yang berlaku di parlimen berkisar kepada isu firma perunding Yahudi APCO Worldwide yang dibayar oleh BN. Sepatutnya Anwar Ibrahim diberi peluang untuk mengemukakan bukti mengenai apa yang didakwanya mengenai APCO itu. Malangnya beliau tidak dibenarkan berbuat begitu dan kemudian dihadapkan kepada Jawatankuasa keistimewaan dan terus digantung.

Harakah: Kesemua yang digantung tidak diberi peluang membela diri, bagaimana Professor melihat perkara ini?

Professor Aziz Bari: Sepatutnya begitulah; mereka perlu diberi peluang membela diri dan tidak dihukum tanpa membela diri. Ia lebih teruk dari mahkamah kangaroo kerana sekurang-kurangnya ia mahkamah. Dalam soal ini ia bukan mahkamah kerana pihak yang dituduh tidak langsung dibenarkan bersuara. Apa yang dikatakan sebagai hak membela diri itu sebenarnya sekadar memberi peluang kepada mereka untuk bercakap dan menjelaskan kedudukan mereka. Itu sahaja. Pelik betul, hendak mendengar itu pun BN takut. Itu sebab timbul tuduhan BN angkuh dan salah guna kuasa. Mereka boleh gantung, tapi berilah peluang kepada mereka bercakap.

Harakah: Difahamkan penggantungan itu tidak mengikut prosedur sebaliknya didakwa bermotifkan politik dan bertujuan untuk mengurangkan suara Pakatan Rakyat di dalam dewan. Sejauhmana sudut pandang Professor tentang hal ini?

Professor Aziz Bari: Prosedurnya mudah yakni Anwar Ibrahim dan tiga ahli parlimen lain diberi peluang membela diri dan ini memadai. Dan sebenarnya selaras dengan kedudukannya Anwar Ibrahim sepatutnya diberi ruang untuk mengemukakan bukti atas apa yang didakwanya.

Aneh sangat; apa yang speaker takutkan? Apa bahayanya mendengar apa yang Anwar Ibrahim hendak katakan? Mereka, dan ini diikuti oleh Speaker, semacam begitu takut untuk memberi ruang kepada Anwar Ibrahim sedangkan BN mempunyai majoriti dalam dewan. Dakwaan motif politik timbul kerana mereka begitu kasar dan ganas apabila menangani kes ini sedangkan apabila tuduhan mengelirukan atau berbohong kepada dewan dibuat ke atas menteri Speaker tidak buat apa-apa.

kedahlanie.blospot.com
7 Tabiat Yang Berkesan

oleh: Mohamad Yunus

Moderator dan Inspirator - Inspirasi Indonesia

Presiden Bill Clinton menilai bahawa daya saing bangsa Amerika mulai tergeser oleh bangsa Jepun dan negara-negara industri baru di Asia . Salah satu cara untuk mengembalikan keunggulan bangsa Amerika menurut Presiden Clinton adalah dengan menerapkan “The Seven Habits of Highly Effective People”[ Tujuh Kebiasaan Manusia Yang Sangat Efektif ] yang ditulis oleh Dr. Steven R.Covey.

Kalau bangsa Amerika saja yang sudah maju mau belajar dari Steven R.Covey, pasti ada hikmahnya bila kita juga mau mempelajari 7 kebiasaan Covey. Bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda: “ Hikmah itu milik orang Islam, di mana pun kamu mendapatkannya ambillah.” Apakah kebiasaan itu?. Kebiasaan adalah pertemuan antara ‘knowledge’ [ pengetahuan ], ‘skill’ [ keterampilan] dan ‘desire’ [ keinginan ]. Menghentikan kebiasaan merokok misalnya, tidak cukup dengan memilikki pengetahuan tentang terdapatnya hubungan negatif antara merokok dengan kesihatan dan mengetahui cara berhenti merokok. Kalau hanya ‘knowlegde’ dan ‘skill diperlukan, tentu tidak ada lagi doktor yang merokok. Mengubah kebiasaan mensyaratkan ketiganya. Berikut adalah 7 kebiasaan manusia yang sangat efektif.

Kebiasaan Pertama, Proaktif. Proaktif bukan sekadar berinisiatif. Proaktif beerti suatu keyakinan bahawa apa pun yang kita perolehi dalam hidup merupakan akibat pilihan respons kita sendiri. Kebiasaan pertama merupakan kesedaran bahaw antara stimulus dan respons terdapat ‘freedom to choose’. Allah berfirman dalam Surah Ar-Rad 13:11, “ Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri ”. Ramai orang berfikir bahawa ketidakbahagiaan mereka disebabkan kerana apa yang terjadi pada diri mereka. Padahal yang sebenarnya adalah kerana cara mereka memberi makna atas apa yang terjadi. Selalu ada pilihan untuk bereaksi secara positif terhadap situasi yang negative. Kemampuan untuk memilih respons seperti yang dikemukakan di atas,merupakan fungsi dari kemampuan kita memanfaatkan kurnia Allah berupa Furqon [berupa Al-Quran yang membezakan antara respons yang haq dan yang batil ], ‘independent will’ [ kehendak bebas ], ‘self awareness’ [ kesedaran diri ], ‘conscience’ [ kata hati ] dan ‘imagination’ [ imaginasi ]. Dengan kata lain, kitalah yang memprogramkan kehidupan kita sendiri.

Kebiasaan Kedua, Bermula Dan Berakhir Dalam Fikiran. Kebiasaan kedua adalah kebiasaan memilikki visi, misi dan tujuan. Kebiasaa ini menunjukkan arah dan cara menjalani hidup serta menentukan hal-hal yang penting dalam hidup. Islam mengajar pentingnya goal setting ketika Rasulullah Saw menyatakan setiap perbuatan yang tergantung niatnya. Kebiasaan bermula dan berakhir dalam fikiran mengajar agar kita menulis matlamat kita.

Kebiasaan Ketiga, Buat Perkara Pertama Dahulu. Mendahulukan yang utama merupakan kebiasaan yang menuntut integritas, disiplin dan komitmen. Allah berfirman dalam Surah Al-Mukminun 23:1-3, “ Sungguh berhasil orang-orang mukmin, iaitu orang –orang yang khusyu’ dalam solat mereka dan orang-orang yang berpaling dari perbuatan dan percakapan yang sia-sia ”, dan dalam Surah Al-Ashr 103:1-3, “ Demi masa sesungguhnya manusia dalam kerugian kecuali orang-orang beriman dan beramal soleh, saling berpesan dengan kebenaran dan saling berpesan dengan kesabaran ”. Juga dalam Surah Al-Insyirah 94:7-8, “ Maka apabila engkau telah selesai [ dari suatu urusan ], maka kerjakanlah [ urusan lain ] dengan bersungguh-sungguh dan kepada Tuhanmulah kamu berharap ”. Kebiasaan ketiga menekankan pentingnya memanfaatkan waktu.

Kebiasaan Keempat, Berusaha Untuk Memahami Terlebih Dahulu-Baru [minta ] difahami. Kebiasaan kelima menunjukkan bahawa “ the secret of living is giving ” [ rahsia kehiduan adalah memberi ]. Rasulullah Saw bersabda bahwa tangan di atas lebih mulia daripada tangan yang di bawah. Allah berfirman dalam Surah Al-Zalzalah 99:7-8, “ Barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan menerima balasannya dan barang siapa mengerjakan keburukan seberat zarah, nescaya dia akan menerima balasannya ” dan dalam Surah Ar-Rahman 55:60-61 “ Tiadalah balasan kebaikan, melainkan kebaikan pula, maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan ”. Juga dalam Surah Al-Baqarah 2:261, “ perumpamaan orang yang memberi di jalan Allah, adalah seumpama sebuah biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai berisi seratus biji, dan Allah melipatgandakan bagi siapa yang dikehendaki- Nya, dan Allah Maha Luas [ kurnia-Nya ] lagi Maha Mengetahui.

Kebiasaan Kelima, Berfikir Menang–Menang. Berfikir menang-menang berasal dari karakter yang dicirikan dengan kejujuran [ menyesuaikan kata dengan perbuatan ], integritas [ menyesuaikan perbuatan dengan kata ], matangan [keseimbangan antara ketegasan dan toleransi ], dan mentalitas kelimpahan [ keyakinan bahawa kurnia Allah tersedia tanpa batas bagi sesiapapun yang mengikuti sunnatullahatau ‘causality law’ ].

Kebiasaan Keenam, Wujudkan Sinergi. Bersinergi beerti keseluruhan lebih bernilai daripada jumlah bahagian-bahagianny a. Mengenai pentingnya bersinergi, Khalifah Umar bin Khattab pernah berujar bahawa kejahatan yang terorganisir dapat mengalahkan kebaikan yang tidak terorganisir. Yang harus diingat adalah agar dapat bersinergi setiap anggota memiliki lima kebiasaan di atas iaitu proaktif, bermula dan berakhir dalam fikiran, dahulukan yang utama,berfikir menang-menang dan berusaha memahami dahulu baru difahami. Allah Swt mengingatkan agar kita hanya bersinergi dalam melakukan kebaikan bukan dalam berbuat dosa dan permusuhan [ Al-Maidah 5:2 ]

Kebiasaan Ketujuh, Mengasah Gergaji. Rasulullah mengajar agar kita terus mengasah gergaji fizik, mental, sosial / emosional, dan spiritual ketika beliau bersabda:
“ Orang Islam adalah orang yng begitu sibuk memperbaiki diri, sehingga tidak memilikki waktu lapang untuk mencari-cari aib orang lain. Orang Islam adalah orang yang hari ini lebih baik daripada kemarin dan hari esok lebih baik darihari ini. Amal perbuatan yang paling disukai Allah adalah amal yang dilakukan terus-menerus walaupun sedikit ”.

http://adefauji.blogspot.com

Monday, December 20, 2010

Walaupun di Gantung 6 Bulan Anwar tetap ketua pembangkang

Anwar kekal Ketua Pembangkang

Harakahdaily

KEPALA BATAS, 19 Dis: Pakatan Rakyat membuat keputusan melantik terus Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang walaupun beliau digantung selama enam bulan sebagai anggota Parlimen.

Keputusan itu dicapai oleh mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat yang diadakan di bilik VIP Dewan Millenium, serentak dengan perjalanan konvensyen itu.

Keputusan itu diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika berucap membuat ucapan penggulungan di konvensyen Pakatan Rakyat hari ini.

Menurut Abdul Hadi, mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dalam mesyuarat mereka sekejap tadi telah membuat keputusan mengekalkan Anwar sebagai Ketua Pembangkang.

"Kita tetap mahukan berketuakan beliau," kata Abdul Hadi yang diiringi tepukan gemuruh para perwakilan dan pemimpin Pakatan yang menyertai konvensyen itu.

Anwar bersama dengan Azmin Ali (Gombak), Karpal Singh (Bukit Gelugor) dan R Sivarasa (Subang) telah digantung dari Dewan Rakyat selama enam bulan dalam satu sidang yang sangat kontroversi.

Ia berpunca dari pendedahan Anwar bahawa dasar 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib Razak, adalah dibuat oleh APCO Worlwide yang juga memcipta 1 Israel.

Ia tidak disenangi oleh Umno kerana APCO dikaitkan dengan agen-agen Yahudi yang berada di dalam syarikat itu.

Peguam Karpal Singh yang turut digantung dalam ucapan penggulungannya memberitahu, beliau akan memfailkan satu tindakan mencabar tindakan ini ke mahkamah tinggi.

Menurutnya, isu di sini adalah mangsa yang digantung tidak didengari pembelaan mereka sebelum diambil tindakan.

"Ini adalah isu mangsa tidak didengari sebelum dijatuhkan hukuman ke atas mereka," kata Karpal dalam ucapannya.

Ini adalah amalan undang-undang Islam dari Pakistan yang diambil oleh orang puteh (Barat), kata Karpal.

Dalam ucapannya juga Karpal berkata beliau akan mempertahankan Islam sebagai agama rasmi di negara ini dan para penganut agama lain bebas untuk mengamalkan agama maisng-masing.

"Saya akan mempertahankan hal ini dan harap PAS juga jaga kami punya muka," kata Karpal Singh.

Beliau juga berkata, akan berbincang dengan pimpinan PAS terutama Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Abdul Hadi mengenai hal ini untuk tidak memberikan peluang kepada BN untuk mengeksploit isu ini.
Senarai kebiadaban Umno terhadap Raja-raja

Oleh Idris Ahmad - HarakahDaily

Sah, pemimpin Umno layak untuk menerima anugerah terbaik dalam festival filem drama politik Malaysia. Contohnya Umno yang sesak nafas dan tidak cukup oksigen untuk bernafas, maka cuba memanjangkan talian sampai ke pagar istana.

Mereka cuba memainkan sentimen bahawa sekarang ada pihak yang hendak menggugat Raja-Raja Melayu. Tindakan Umno sama seperti pepatah Arab yang mengatakan “dia pukul aku, dia menangis, dia maki aku maka dia mengadu orang yang maki dia”.

Sebenarnya pemimpin Umno silap, bahawa sejarah tidak boleh menipu, walaupun pemimpin Umno kaki penipu dan putar alam dalam isu Raja-Raja Melayu. Di bawah ini sebagai bukti yang menghina Raja-Raja Melayu ialah pemimpin Umno.

1. Pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar dibuang daripada Istana Johor pada tahun 1920 dan membawa diri ke Singapura kerana kritik Sultan atas isu harta.

2. Tahun 1974, Tan Sri Ghazali Jawi (bapa Datuk Seri Tajol Rosli) yang tidak mahu meletak jawatan Menteri Besar Perak, walaupun perjanjian asal dia hanya hendak pegang dua tahun sahaja. Apabila sampai masanya dia tidak mahu lepas jawatan. Sultan Idris murka dan bernazar tidak mahu cukur jambang, selagi Ghazali Jawi tidak mahu letak jawatan. Bukankah ini derhaka namanya? Tiba-tiba Datuk Seri Tajol Rosli kata Umno tidak pernah derhaka tidak pernah ucap macam Nizar.(UM 12/2/09). Tindakan bapanya kepada Sultan Perak apa pula maknanya.

3. Begitu juga pada tahun 1979 kes Datuk Rahim Bakar bekas Menteri Besar Pahang yang berselisih dengan Sultan Pahang. Media pro Umno mengkritik sultan secara terbuka.

4. 1983 Umno hendak meminda supaya kuasa Yang di-Pertuan Agong mengenai pengistiharan darurat dikurangkan maka Umno membelasah Raja-Raja Melayu kerana menolak cadangan tersebut.

5.P ada tahun 1991 dalam Persidangan Agung Umno, Sultan Kelantan dihentam secara terbuka kerana menyebabkan Umno kalah di Kelantan.

6. Dalam Persidangan Agung Umno juga, perwakilan Umno meminta harta raja disiasat. Berita ini dilaporkan oleh Utusan Malaysia muka surat depan. Apakah ini bukan derhaka?

7. Satu demonstrasi dan hantar memorandum kepada Sultan Kelantan telah dibuat oleh pemimpin Umno Kelantan. Kenapa FRU tidak tembak gas? Apakah ini bukan derhaka namanya?

8. Pada 18 Januari 1993, Pindaan Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan raja dibawa ke mahkamah. Apabila Raja-Raja Melayu minta tangguh pindaan ini, maka media mengkritik secara terbuka salah laku raja. (BH 19/1/1993)

9. Beberapa siri rapat umum haram Umno di Alor Setar, Bagan Datoh, Seremban, Batu Pahat dan Melaka untuk menunjuk sokongan pada Tun Mahathir dan mengecam Raja-Raja Melayu.

10. Sebab itu Ku Li dengan sinis menyatakan “Mana satukah yang lebih merbahaya Pindaaan 1993 atau tindakan rakyat tidak menunjukkan hormat pada Sultan Perak pada 6/2/09. Ku Li tidak bersetuju dengan tindakan Karpal saman Sultan Perak, tetapi beliau menyatakan Karpal membuat suatu perkara yang dibenarkan oleh perlembagaan yang pemimpin Umno yang beri laluan pada tahun 1993. (Star On Line 17/2/09). Tiba-tiba sekarang Umno pula menjerit marah kepada Karpal. Sepatutnya orang Umno kena buat demo depan pejabat Umno. Saya yakin hak yang pergi demo itu memang zero IQ, yang tidak sedar bahawa pemimpin merekalah yang menjatuhkan martabat raja sehingga boleh dibawa ke mahkamah.

11. Peristiwa pertabalan Tengku Ibrahim Petra untuk mengganti Sutan Ismail Petra pada 29 April 1993 di Ketereh Kelantan oleh Datuk Annuar Musa. Ini lagi memalukan, apakah ini bukan derhaka atau kurang ajar namanya? Budaya mana pemimpin umno ambil?

12. Kenyataan biadab Shahidan Kasim, bekas MB Perlis mengatakan “Sultan Kelantan sekarang tidak layak menduduki takhta dia ada bukti” (BH 11 Jun 1993.)

13. Datuk Mohd Taib kata Nizar derhaka. Dia lupakah yang dia bawa lari Ku Yah (puteri Sultan Selangor kahwin lari sampai Sultan murka). Apakah ini bukan derhaka?

14. 23 daripada 24 Adun BN Terengganu ugut boikot angkat sumpah Datuk Ahmad Said selepas pilihan raya umum 2008. Mereka buat kenyataan terbuka menyanggah pihak istana dan mahu Idris Jusoh juga jadi MB Terengganu. Manakala penyokong Umno pula mengatakan sultan binatang. Kenapa polis tidak tangkap mereka yang demo dan hina sultan? Apakah pihak polis buta sampai tidak tahu siapa yang pegang kain rentang yang menghina sultan sebagai binatang? Kenapa polis boleh tangkap mereka yang demo di depan Istana Kuala Kangsar pada 6 Feb 2009.

15. Datuk Seri Shahidan Kassim boikot perlantikan Dr Mohd Isa Sabu sebagai MB Perlis. Bukankah ini derhaka namanya?

16. Tan Sri Rahim Tamby Chik sewaktu menjadi Ketua Menteri Melaka meminta supaya amalan panggilan ‘patik’ yang digunakan sewaktu berkomunikasi dengan sultan dihentikan, memadai dengan hanya menyatakan ‘saya tuanku’. BH 3/2/1993. Ini ungkapan yang biadab dan derhaka kepada Raja Melayu.

17. Datuk Zahid Hamidi ketika menjadi ketua pemuda Umno mencabar supaya Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra turun takhta kerana beliau bukan waris yang sah (BH 11/2/1993). Ini sikap biadab yang ditunjukkan oleh Zahid Hamidi terhadap sultan yang cuba campur tangan soal pelantikan Raja-Raja Melayu.

Banyak kenyataan yang berupa penghinaan kepada Raja-Raja Melayu ketika pemimpin Umno bergaduh dengan Raja-Raja Melayu. Dr Mahathir mengatakan Raja tidak henti meminta daripada kerajaan BH 30/1/1993.

Berita Harian pada 23/1/1993 mengaibkan mendedahkan pesta arak di majllis sultan dan membawa perempuan cantik kadang-kadang lapan orang.

Sekarang jelas siapa derhaka dan tidak hormat Raja. Siapakah penderhaka sebenarnya di negara ini? Jawabnya tentulah pemimpin Umno. Pemimpin Umno hanya menggunakan istana untuk talian hayat mereka sahaja. Mereka bukan jujur, merekalah yang menjatuhkan martabat Raja-Raja Melayu.
Pakatan Pembangkang: Muafakat atau berbalah?



KUALA LUMPUR - Konvensyen kebangsaan pakatan pembangkang di Pulau Pinang Ahad ini akan diamati dengan penuh minat untuk mencari petunjuk mengenai cara gabungan PKR-Pas-DAP itu membuat persiapan menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Kira-kira 2,000 perwakilan daripada PKR, Pas dan DAP akan berhimpun di Dewan Millennium di Kepala Batas untuk menunjukkan bahawa pakatan itu masih bermuafakat.

Mereka juga akan mendengar pemimpin mereka menetapkan rentak
bagi menghadapi pilihan raya di tengah-tengah laporan mengenai kemerosotan sokongan terhadap pakatan itu.

Pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan berikutan kematian Anggota Dewan Undangan Negeri Johor kawasan Tenang daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Sulaiman Taha semalam semestinya akan turut dibincangkan.

Pada zahirnya, pakatan itu dilihat sukar mengekalkan tahap sokongan yang diraih pada PRU tahun 2008, terutamanya masalah yang melanda “pemimpin paling utamanya”, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berdepan pertuduhan liwat dan sedang bergelut untuk membendung kerosakan akibat Wikileaks, dan kini digantung daripada menghadiri persidangan Parlimen selama enam bulan.

Hakikatnya, pakatan pembangkang kini berada dalam kedudukan berundur, apabila kalah kepada BN dalam tiga daripada empat PRK yang diadakan tahun ini.

Anggota jawatankuasa eksekutif pusat DAP dan Anggota Parlimen Jelutong Jeff Ooi mengakui bahawa kekalahan dalam PRK itu adalah “halangan kepada momentum dalam menawan keyakinan rakyat.”

“Ini diburukkan lagi oleh situasi negatif yang mendepani Anwar,” katanya.

Beliau berkata, pakatan pembangkang perlu memandang serius terhadap beberapa tinjauan pendapat yang menunjukkan bahawa persepsi terhadap BN semakin bertambah baik, manakala pembangkang pula mula kehilangan sokongan.

Tinjauan pendapat terbaru oleh Universiti Malaya mendapati 43 peratus daripada penduduk di beberapa kawasan yang dikatakan sebagai kubu kuat PKR di Lembah Klang tidak akan mengundi parti itu dalam PRU akan datang.

Keputusan tinjauan itu turut menunjukkan bahawa krisis PKR telah menjejaskan keyakinan penduduk kepada parti itu dan Anwar.

Malah pemimpin pakatan pembangkang sendiri percaya bahawa mereka perlu bekerja lebih keras untuk mengekalkan empat negeri yang dikuasai oleh pembangkang, iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, dalam PRU akan datang.

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang memberi amaran pada konvensyen DAP Selangor bulan lalu bahawa pakatan akan kehilangan negeri itu sekiranya mereka tidak bersatu padu.

Berdasarkan satu ramalan, pakatan PKR-Pas-DAP akan hanya memenangi 18 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri di Selangor sekiranya pilihan raya negeri diadakan tahun depan.

DAP diramal mengekalkan 14 kerusi yang dimenanginya pada 2008, PKR kehilangan 14 dan menang empat dan Pas ditewaskan dalam semua enam kawasan pilihan raya.

Ooi berkata konvensyen sehari itu berkemungkinan membincangkan kesan penggantungan Anwar daripada Parlimen berhubung isu Apco, dan R.Sivarasa (Subang), Azmin Ali (Gombak) serta Karpal Singh (Bukit Gelugor) kerana menghina dewan.

Beliau berkata sesetengah pihak berpendapat penggantungan itu akan meningkatkan sokongan kepada pembangkang.

Anggota jawatankuasa pusat Pas Khalid Samad berkata pakatan rakyat mesti meyakinkan rakyat bahawa gabungan itu boleh berfungsi, dan “sungguhpun kami mempunyai perbezaan, namun ia tidak membingungkan kami”.

Beliau mengakui tidak bimbang berhubung sebarang pendedahan oleh Wilkileaks yang mempunyai kaitan dengan Anwar.

“Saya rasa rakyat faham mengenai apa itu :Wikileaks:, hanya kebocoran beberapa maklumat komunikasi yang tidak boleh dipercayai, yang nampaknya lebih sekadar gosip berbanding fakta,” katanya.

Sebahagian besar pemimpin bersetuju bahawa pertelagahan dalam kalangan rakan-rakan gabungan itu telah menjejaskan populariti pembangkang, namun mereka percaya penggantungan Anwar itu akan membantu dalam kedudukan mereka di mata rakyat.

Penggantungan itu juga, kata mereka, tidak akan menjejaskan perjalanan PKR atau pakatan pembangkang.

“Sejak setahun lalu, kami telah meletakkan beberapa mekanisme untuk memperkukuhkan pakatan memandangkan pakatan bukanlah mengenai individu.

Penggantungan Anwar tidak akan menjejaskan proses kami membuat keputusan,” kata pengarah strategi PKR Tian Chua.

Sungguhpun beberapa negeri nampaknya agak perlahan dalam melaksanakan dasar bersama yang diterima pakai pada konvensyen pertama pakatan pembangkang di Shah Alam pada Disember 2009, namun sebahagian besar daripadanya telah pun dilaksanakan, kata Tian Chua.

Setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution berkata, butiran mengenai kerangka dasar bersama itu akan diumumkan pada konvensyen berkenaan, terutamanya mengenai perancangan pakatan pembangkang dalam tempoh 100 hari sekiranya mereka memenangi PRU akan datang.

“Anthony Loke (DAP), Nasaruddin Mat Isa (Pas) dan saya sendiri akan membentangkan butirannya sungguhpun kerangka dasar bersama itu sangatlah luas,” katanya.

Pakatan pembangkang juga berdepan cabaran daripada bekas anggotanya seperti Datuk Zaid Ibrahim, yang meninggalkan PKR dan kini menjadi Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita).

Terdapat juga Pergerakan Kebebasan Sivil Malaysia yang ditubuhkan pada Oktober lalu oleh sekumpulan warga Malaysia yang bermastautin di London.

Kumpulan itu dikatakan merancang untuk meletakkan “lebih banyak calon yang profesional dan beretika” dalam PRU akan datang dan berkemungkinan memberi tumpuan kepada Lembah Klang. - Bernama

sinarharian.com.my