ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Thursday, January 8, 2009

IJN: Keputusan Sime Ringankan Beban Kerajaan

IJN; Keputusan Sime Ringankan Beban Kerajaan

Oleh: A Kadir Jasin

SETIDAK-TIDAKNYA sebatang duri telah dikeluarkan daripada daging Kerajaan Pusat apabila konglomerat perladangan Sime Darby Berhad membatalkan rancangannya menswastakan Institut Jantung Negara (IJN).Pada 6 Januari ia mengumumkan pembatalan cadangan memohon kelulusan kerajaan untuk menswastakan IJN setalah mengambil kira sentimen umum dan maklum balas mengenainya.Ketua Eksekutif dan Presiden Kumpulan Sime Darby, Ahmad Zubir Murshid berkata syarikatnya terpaksa menghormati kehendak rakyat yang mahukan IJN kekal dalam bentuknya sekarang.

Baguslah kalau begitu. Tetapi alangkah baiknya jikalau Sime Darby dan pihak-pihak yang bersekongkol dengannya dalam cadangan itu menyelidik pendapat umum dan berfikir terlebih dahulu sebelum membuat cadangan itu.Walaupun Sime Darby sudah membatalkan hasratnya, imej dan nama baik kerajaan telah pun tercemar. Banyak pihak amat marah dengan kerajaan kerana memberi persetujuan dasar kepada cadangan itu.Malah kerajaan tidak pun membatalkan cadangan itu walaupun ditentang hebat oleh pelbagai pihak. Kabinet sekadar menangguhkan keputusan mengenai cadangan Sime Darby itu.Nasib baiklah bagi kabinet kerana kini Sime Darby sendiri mengambil keputusan tidak meneruskan cadangan itu. Sekarang kabinet tidaklah perlu pening kepala lagi.

Keputusan Sime Darby itu tentulah melegakan Umno dan Barisan Nasional yang sedang bertungkus-lumus mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu dalam pilihan raya kecil yang sedang berjalan sekarang.Sama ada Sime Darby benar-benar membuat keputusan itu atas kehendak dan kesedarannya sendiri atau atas desakan politik, ia akan mengurangkan tekanan ke atas Kerajaan BN.Lagipun, Sime Darby mempunyai kepentingan yang lebih besar untuk dilindungi agar tidak meletup menjadi satu lagi kontroversi iaitu kebenaran yang diberikan kepadanya untuk memajukan Terminal Tambang Murah baru di Labu, Negeri Sembilan, yang akan disewakan kepada AirAsia.

Ia kini bercadangan memajukan sebuah projek bernilai RM6 bilion bernama "KLIA East@Labu".Sime Darby terpaksa melancarkan projek-projek baru bukan perladangan bagi mengatasi masalah pergantungan yang keterlaluan terhadap sektor perladangan hasil penggabungan dengan Kumpulan Guthrie dan Golden Hope pada tahun 2007.Tanpa pendapatan yang lebih besar daripada sektor bukan perladangan, Sime Darby mungkin mengalami masalah keuntungan akibat harga minyak kelapa sawit yang semakin murah sekarang.


(Maaf Dato' kerana tak minta izin siarkan rencana ini dalam blog ini)

8.1.2009

Thursday, January 1, 2009

SAMBUTAN TAHUN BARU 2009

SAMBUTAN TAHUN BARU 2009


Sebentar tadi penulis berpeluang melihat sambutan Tahun Baru Masehi 2009 di kaca TV. Antara yang hadir termasuklah Perdana Menteri dan isterinya, serta beberapa orang penggiat seni dan kebudayaan sepeerti M.Nasir. Nampak begitu meriah sekali mereka menungggu detik 12 malam untuk meyambut kedatangan tahun 2009 di Dataran Merdeka itu. Mengapa sambutan itu begitu meriah sekali? Apakah tahun 2009 itu perlu kita sambut sedemikian rupa? Irama muzik pop rock dan sebagainya serta pergaulan bebas lelaki wanita yang menimbulkan bermacam kecurigaan? Inilah cara saban tahun BN-UMNO menyambut Tahun Baru masehi itu.

Penulis teringat Allahyarham Ustaz Othman Abdul Razak yang sering mengajar di masjid Hospital Besar,KL dan di Suraunya Kg.Kinabalu Hujung,Dato’ Keramat. Beliau kemudian berpindah ke Hulu Langat dan mendirikan perkampungan Islam di sana. Ada satu perkara yang penulis masih ingat tentang ceramahnya atau kuliah-kuliah Tauhidnya. Tauhid atau Kalimah Thoyyibah itu diibaratkan beliau seperti sepohon rambutan, kalau pokoknya pokok rambutan, dahannya dahan rambutan, daunnya daun rambutan, buahnya buah rambutan, hatta akarnya akar rambutan. Begitulah akidah Islam atau kalimah Tauhid itu. Ia tidak bercampur dan tidak mungkin bercampur ibarat minyak dan air. Begitulah, akidah Islam itu tidak mungkin bercampur sepertimana yang dijelaskan dalam Surah Ibrahim yang bernaksud “Apakah tidak kamu melihat,bagaimana Tuhan mendatangkan satu misal bahawa Kalimah Tauhid itu seumpama sepohon pokok yang baik, akar tunjangnya menjunam ke bumi dan dahan serta cabangnya menjulang ke langit..” Inilah akidah Islam. Ia ibarat satu pokok yang tak mungkin berlainan,tak mungkin rambutan berbuah pulasan, berdahankan durian dan berbatangkan pokok kelapa. Pokok rambutan, seluruhnya adalah pohon rambutan.

Lalu apa kaitannya dengan Tahun Masehi tadi? Ya, tahun masehi adalah tahun kelahiran Nabi Isa,tahun kebesaran Kristian. Kenapa pula kita meyambutnya? Kenapa Paklah dan isteri serta berpuluh ribu rakyat Malaysia sanggup berdiri tegak sampai tegah malam semata-mata untuk menyambut kedatangan tahun Kristian itu? Apakah agama kalian. Islamkah kristian kah? Kita tidak menolak Nabi Isa. Bahkan Nabi Isa adalah di antara 25 rasul yang kita wajib percaya dengannya. Tetapi pada kita, nabi Isa tidak mati, dia hanya diserupakan dengan seseorang yang lain, dan orang itu disalib. Nabi Isa yang sebenar diangkat ke langit. Suatu hari dia akan turun semula ke bumi dan memerintah bumi ini sebelum kiamat Besar berlaku. Imam Mahdi juga muncul waktu membantu nabi Isa memerintah secara Islam sebelum kiamat mutlak datang. Inilah kepercayaan Ahlu Sunnah Wal Jamaah.


Berbeda sekali dengan ucapan Presiden Iran,Ahmadi Nejad yang diberi peluang berucap oleh TV Brirain, yang menerangkan kedudukan Nabi Isa dalam Islam, tidak seperti kepercayaan orang Kristian. Tetapi kenapakah PM kita tidak begitu,sedangkan beliau cucu seorang ulama terkenal di Kedah? Bila kita menghitung dalam tahun masehi umur kita, berurusan rasmi menggunakan tahun masehi, cuti umum pada hari utama agama mereka saban minggu, bermakna kita telah mengikut ‘millah” mereka, atau cara hidup/jalan hidup mereka. “Kaum Yahudi dan Nasrani tidak akan redha sehingga kita mengikut cara mereka .”(AlBaqarah). Kalau kita mengira umur kita menurut tahun masehi, setiap empat pulu tahun, umur kita kurang setahun jika lita mengira semula dalam Tahun Hijrah.Ertinya setiap 40 tahun,umur kita sebenarnya 41 tahun menurut Tahun Hijrah.kalau kita berzakat, ertunya setiap 40 tahun sekali kita akan terlepas dari membayar zakat. Bayangkan berapa ramai umat Islam tidak membayar zakat sepanjang hidupnya sekali atau dua kali jika mengira menurut Tahun Masehi? Inilah antara implikasinya yang tidak begitu kita sedari.Banyaklah lagi hal-hal lain yang tidak dapat disebutkan di sini.

Seperti kata Asyahid Syed Qutb, jika kita ingin ambil Islam ini, ambillah seluruhnya, kalau tidak tinggalkan seluruhnya, supaya senang umat Islam yang lain membuat perkiraan.Kita tidak mahu Islam yang dimahukan oleh Amerika diamalkan di sini, yang menganggap cita-cita menegakkan negara dan hukum Islam sebagai fundamentalist Muslim, atau lebih popular sekarang ini dengan gelaran terrorist. Oleh itu fikirkanlah kembali patutkah kita menentang Hudud dan Qisas, tetapi di masa yang lain kita mengaku Islam,bernama Islam berketurunan Islam, bahkan mengamalkan ajaran-ajaran Islam!


AlKundangi,
1.1.2009,
2.30 am.

Friday, December 26, 2008

Perselisihan Uji Daya Tahan Pakatan Rakyat

Perselisihan Uji Daya Tahan Pakatan Rakyat

Oleh:A Kadir Jasin

DUA perkembangan terbaru yang membabitkan Parti Islam SeMalaysia (Pas) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) boleh memberi kesan terhadap daya tahan dan kelangsungan Pakatan Rakyat.Pertama tunjuk perasaan Pemuda Pas terhadap pertandingan tarian I-Dance anjuran kerajaan negeri Pulau Pinang dan kedua kenyataan Naib Presiden Pas, Husam Musa, bahawa parti itu tetap akan melaksanakan Hukum Hudud.

Dalam hal pertama, tindakan Pemuda Pas itu dikesali oleh Ketua Pemuda Sosialis (DAPsy), Loke Siew Foo yang menyifatkannya sebagai mengecewakan.Manakala dalam peristiwa kedua, supremo (orang kuat) DAP, Lim Kit Siang menyelar Husam dan meminta beliau memberi penjelasan.Katanya, kenyataan Husam itu boleh menyebabkan keraguan di kalangan pengundi bukan Islam di Kuala Terengganu yang bakal mengundi dalam pilihan raya kecil Parlimen bulan depan.

Dalam satu kenyataan akhbar, Lim berkata: “Hukum hudud bukan dasar Pakatan Rakyat dan adalah tanggungjawab Husam memperjelaskan apa yang beliau sebenarnya katakan.”Lim bukan sekadar menolak Hukum Hudud, malah mengingatkan Husam bahawa DAP menyertai Pakatan Rakyat dengan Pas dan PKR berlandaskan dasar bahawa “Malaysia kekal sebagai negara sekular berasaskan kontrak sosial yang digubal pada tahun 1957.”Tindakan Lim Kit Siang merujuk kepada Malaysia sebagai negara sekular tidak memeranjatkan. Itu sememangnya pendirian DAP sejak diasaskan pada tahun 1965.

Apa yang menarik adalah tindakannya mengaitkan hujah itu dengan kontrak sosial yang pada ketika ini semakin dipertikaikan kewujudannya oleh orang bukan Bumiputera.Apakah ini bermakna bahawa DAP bersedia mengakui kewujudan kontrak sosial dan menerima peruntukannya seperti yang dijelmakan oleh Perlembagaan Persekutuan?(Antara prinsip utama kontrak sosial adalah keistimewaan hak kepada orang Melayu dan agama Islam dan pemberian kewarganegaraan kepada kaum pendatang pada tahun 1957.)

Apakah perbalahan Pas-DAP ini sekadar tindak tanduk politik menjelang pilihan raya kecil Kuala Terengganu atau petanda kepada keretakan yang lebih serius?Umum maklum bahawa jurang ideologi dan dasar di antara Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah cukup luas.Kalau kita menggunakan acuan politik universal, kita boleh mengkategorikan PKR sebagai parti liberal demokrat, Pas sebagai parti agama dan DAP parti sosialis.Kesediaan dan kejayaan mereka bergabung pada pilihan raya umum 8 Mac lalu adalah kerana keberkesanan Anwar Ibrahim sebagai orang tengah dan kerana ketiga-tiga parti itu menyedari kelemahan Barisan Nasional.

Kemenangan yang tidak mereka duga dalam pilihan raya itu membuatkan mereka menjadi lebih yakin dan mengambil keputusan mengubah kerjasama pilihan raya mereka menjadi parti gabungan Pakatan Rakyat.Soalnya sampai bilakah ahli dan penyokong mereka perlu atau bersedia menunggu sebelum Pakatan Rakyat ditubuhkan sebagai parti gabungan yang sah?Sebelum Pakatan Rakyat boleh diperbadankan sebagai pakatan yang tetap, ia perlu diterima dan disahkan dulu oleh ahli ketiga-tiga buah parti terbabit. Kalau tidak silap saya, proses itu belum lagi dilaksanakan.

Soalnya, dengan kerenggangan yang jelas antara Pas dan DAP di peringkat ideologi dan dasar serta di dalam pentadbiran di negeri-negeri yang mereka kuasai, adakah mampu Anwar dan PKR terus menjadi pemangkin, penyatu dan pendamai?Apatah lagi Anwar dan PKR sendiri mempunyai masalah kewibawaan. Kegagalannya mengotakan janji menumbangkan Kerajaan BN pada 16 September lalu sedikit sebanyak menjejaskan imejnya sebagai Ketua Pembangkang Parlimen dan ketua de fakto Pakatan Rakyat.Kontroversi yang dicetuskan oleh ahli Parlimennya bagi kawasan Kulim Bandar Baru, Zulkifli Noordin pada forum mengenai “memeluk Islam” anjuran Majlis Peguam di Kuala Lumpur pada 9 Ogos lalu mencemarkan perhubungan dengan DAP dan di kalangan ahli PKR sendiri.

Pendirian Zulkifli itu dilihat sebagai berlawanan dengan dasar dan pendirian liberal PKR.Baru-baru ini pula, Pakatan Rakyat dilihat sebagai telah termasuk perangkap apabila “terpaksa” menyokong beberapa rang undang-undang reformasi Abdullah Ahmad Badawi.Antaranya rang undang-undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah walaupun mereka tidak puas hati dengan peruntukannya.Pakatan Rakyat terpaksa menyokong kerana rang undang-undang reformasi Abdullah itu menyamai tuntutan pembangkang selama ini.Sedikit sebanyak, kesan persengketaan di kalangan parti komponen Pakatan Rakyat mungkin akan dimanifestasikan dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu di mana Pas akan bertemu Umno.


http://kadirjasin.blogspot.com

(kepada MSO dan Datuk Kadir,harap maaf kerana tak sempat nak minta izin siarkan tulisan kalian dalam blog ini.).

Hudud: Pas Tidak Boleh Gadai Hukum Allah Dengan Kepentingan Politik Kawan

Hudud: Pas Tidak Boleh Gadai Hukum Allah Dengan Kepentingan Politik Kawan
Oleh:Mohd Sayuti Omar (MSO)

SEPERTI yang telah diduga dan sering berlaku hudud telah menjadi isu. Media kroni sudah palu canang, gong dan gendang menjual hudud menjelang pilihan kecil Kuala Terengganu 17 Januari depan. Jaminan Husam Musa di Wancana Tranformasi Politik Malaysia dieksploitasikan sepenuhnya.Melihat cara Umno memainkan isu itu menunjukkan parti itu kekeringan isu untuk ditaburkan di Kuala Terengganu.

Apakah ini menunjukkan tanda-tanda awal kerusi Kuala Terengganu akan melayang ke tangan Pas? Pas sendiri masih belum membuat persiapan untuk berhadapan dengan pilihan raya itu, sehinggakan nama calonnya pun belum diumumkan, tetapi Umno sudah mabuk memikirkannya. Isu hudud yang timbul untuk kali ke seribu ini, bukan salah Husam Musa sebenarnya, tetapi ia salah DAP. DAPlah yang perlu dipertanggungjawab dan dipersalahkan dengan bangkit semula isu hudud ini. Jika DAP tidak gatal mulut isu hudud tidak akan menjadi selantang hari ini.


Semuanya bermula apabila DAP memberi reaksi segera atas jaminan Husam kepada Khairy Jamaluddin pada malam itu. Tanpa merujuk kepada Husam sendiri dan kepada suasana dan semangat Husam bercakap mengenai hudud DAP terus pertikaikan Husam. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan pengerusinya, Karpal Singh terus bangkit mengecam hudud. Apa salah hudud?Guan Eng atau Karpal Singh tidak sepatut melenting bila Husam memberi jaminan itu. Mereka harus faham dalam konteks apa Husam berkata mengenai hukum hudud itu. Husam tidak berkata di luar Kelantan tetapi di dalam negerinya sendiri.

Karpal dan Guan Eng sepatutnya arif dan faham mengenai rencah dan sosio-politik Kelantan yang unik itu.Lainlah kalau Husam memberi jaminan kerana diasak Khairy itu di luar Kelantan, misalnya di Pulau Pinang, Kuala Lumpur atau Ipoh. DAP boleh pertikaikan kerana ia boleh menimbulkan masalah kepada parti itu. Tetapi ini di Kelantan.Seperkara yang DAP perlu tahu perjuangan Pas berbeza dengan perjuangan DAP. Pas berjuang untuk mendapat keredaan Allah yang memikul tanggungjawab kepada rakyat menceritakan soal dosa dan pahala. Menegak kebenaran dan menentang kemungkaran.

Pas tidak boleh mengikut rentak DAP bermainan dengan politik chauvenismenya yang menerima kaedah matlamat menghalalkan cara. Pas yakin bahawa selepas kematian segala perjuangannya akan dihitung dan dihisab oleh Allah. Ini jelas.Apalah salahnya kalau Husam memberi jaminan itu? Hudud bukan perkara baru tetapi ia menjadi agenda dan maksud perjuangan Pas itu sendiri. Bukan saja hudud tetapai apa saja yang diperintah Allah dan Rasulnya itulah yang akan diperjuangkan Pas. Pas tidak akan meninggalkan perintah Allah kerana ingin memenuhi harapan politik DAP.

Bagi peribadi Husam sendiri sebagai seorang 'khalifah' beliau akan berdosa kalau tidak mengatakan jaminan itu.Perlembagaan Pas menjelaskan maksud dan tujuan penubuhnanya. Hudud itu sebahagian daripada juzuk perjuangan Pas. Hudud akan terus diperkatakan selagi ianya tidak ditanggalkan dari perlembagaan Pas yang termaktub di bawah Fasal 5: (i) Mengenai penubuhan Pas yang berbunyi; memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintah terlaksana di dalamnya nilai-nilai Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

Pada saya ketakutan Karpal Singh dan Guang Eng atau sesiapa saja kepada hudud tidak berasas. Kalau orang Islam yang menolak hudud, betapa teruknya keimanan seseorang muslim itu. Maaf bukan muslim lagi kalau tolak hudud! Tahulah sendiri apa hukumnya kalau kita menolak hukum Allah.Bukan Islam juga tidak perlu takut kepada hudud? Kenapa kita harus jadi bodoh dan prejudis melulu dengan hudud. Perspektif penjenayah dihukum di bawah hukum hudud akan potong tangan, direjam dengan batu tidak betul sebenarnya. Gambaran yang pernah diberikan oleh pemimpin Umno mengenai hudud tidak benar dan berniat jahat. Gambaran itu terbit dari mereka yang jahil dan bencikan Islam.

Dalam sejarah perundangan Islam hudud tidak pernah bertindak sekejam itu. Dan bagi orang yang percaya kepada keadilan Allah, tidak akan mudah beranggapan demikian kerana hukuman Allah maha adil.Yang menghairankan saya kenapakah orang yang telah mengatakan dia mengambil model pemerintah khalifah Umur Ibnu Aziz tetapi masih tidak faham mengenai hudud dan tetap meragui hudud? Kalau begitu nampak sangat orang yang mengucap dan mengatakan itu hanya untuk tujuan politik semata-mata dan bukan dari bilik hati sebenar.Saya menyarankan kepada Guan Eng jangan membaca kisah Umur Ibnu Aziz dari konteks baginda membuat kebajikan saja, tetapi bagaimana Umu Ibnu Aziz (kerajaanya) menghukum penjenayah di zamannya. Kalau hendak membaca sirah Islam jangan diambil sebahagian tetapi bacalah keseluruhannya.

Apa yang menjadi masalah Pas dengan Umno ialah kerana Umno membaca dan mengamalkan sebahagian dari Kitabullah dan membuang dan tidak yakin kepada sebahagian yang lain.Orang Islam dan Melayu jangan mudah terkapur dengan mereka yang bijak bermadah demikian, yang menerima Umur Ibnu Aziz tetapi tidak menerima kewarakan Umur kepada Tuhannya. Jelas kata-kata itu tidak ikhlas dan ia hanya dijadikan tarikan politik sahaja.Suka saya mencadangkan berhubung hudud dan masalah dengan DAP ini, Pas hendaklah membuat ketetapan khusus mengenai hudud dalam Pakatan Rakyat. Jelaskan yang Pas hanya akan melaksanakan hudud di negeri-negeri yang dimenangi saja dan tidak akan melaksanakan di negeri yang tidak dikuasainya.


Kalau perlu Pas perlu menegaskan hanya Kelantan, Terengganu dan Kedah saja akan melaksanakan hukum hudud. Manakala negeri-negeri lain jangan dimasukkan dalam tujuannya. Walaupun langkah itu tidak bertepatan dengan kehendak Allah s.w.t. yang mengarahkan agar berdakwah dan melaksanakan hukumnya ke atas seluruh muka bumi ini, namun sebagai maslahat politik mungkin ia boleh dilaksanakan atas sifat sementara.Mungkin para ulama, Majlis Syura ulama dan Mursyidul Am Pas boleh memberi pandangan mengenai cadangan ini. [wm. kl

11:20 am 25/12/08]
http://msomelayu.blogspot.com

Thursday, December 11, 2008

IMUNITI RAJA-RAJA MELAYU: WAJARKAH DIKEMBALIKAN

Imuniti Raja-Raja Melayu: Wajarkah Dikembalikan?

Dalam surat khabar kelmarin, Utusan Malaysia & Berita Harian melaporkan Sultan Selangor sedia menyerahkan persoalan imuniti raja-raja Melayu, yang dihapuskan pada zaman Mahathir supaya dikembalikan,namun baginda menyerahkan kepada rakyat dan Parlimen untuk membuat keputusan.

Dalam akhbar yang sama hari ini pula beberapa badan NGO dan ahli akademik memberikan persetujuan yang sama, agar kekebalan raja-raja itu diputuskan oleh rakyat dan Parlimen. Presiden Perkasa,Datuk Ibrahim Ali (MP Pasir Mas) berkata perkara 66 Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda semula bagi mengembalikan semula kuasa raja-raja bagi memperkenankan sesuatu rang undang-undang di Parlimen. Ia adalah sebagai langkah untuk meyakinkan orang Melayu serta percaya institusi raja di negara ini masih relevan.

Pengerusi Gabem, Tan Sri Rahim pula menyifatkan mengembalikan kekebalan raja-raja kepada Parlimen dan rakyat adalah tepat. Walaubagaimana pun ia menyifatkan masanya belum begitu sesuai dan keperluan yang tidak mendesak, dengan itu boleh dibuat di waktu lain yang lebih sesuai. Menurut Prof. Zainal Kling, “jika tiada kuasa raja kerajaan mungkin akan menjad terlalu kuat seperti apa yang berlaku di Thailand. Jadi, mengembalikan kekebalan raja-raja Melayu adalah wajar.”

Isu kekebalan raja ini sebenarnya timbul pada tahun-tahun 1992,bilamana mantan PM, Mahathir Mohamed berusaha untuk menarik kekebalan raja-raja Melayu, sekaligus akan menjadikan dia orang yang paling berkuasa di Malaysia ketika itu. Sebenarnya kes ini timbul pada 1992, bila Douglas Gomez dicederakan di Istana Sultan Johor pada 30 Nov.1992. Berikutan dengan itu pada 10 Disember,92 Dewan Rakyat telah meluluskan dengan sebulat suara usul yang dicadangkan oleh En Ghafar Baba,TPM ketika itu, mengenai apa yang dikenali sebagai peristiwa Bukit Serene.

Ghafar Baba menegaskan di Parlimen “Dan bahawa Dewan ini memutuskan kejadian tersebut adalah satu penyalahgunaan kuasa yang bercanggah dengan semangat Perlembagaan Malaysia dan bertentangan dengan cita-cita serta hasrat undang-undang negara yang berteraskan kepada sistem Raja Berpelembagaan dan demokrasi berperlimen.Dan Dewan ini mengambil ketetapan bahawa segala tindakan yang perlu hendaklah diambil bagi menentukan insiden seumpama ini tidak berulang lagi pada masa hadapan.”

Sebenarnya sebelum Bukit Serene, berbagai perkara telah berlaku.Antaranya pada Julai 1992, Tengku Bendahara Johor telah dituduh memukul dan mencederakan seorang bernama Jaafar,penjaga gol hoki pasukan Perak selepas perlawanan hoki di antara Johor dan Perak. Peristiwa Prebet Adam yang mengamok di Chow Kit juga dikaitkan dengan kesultanan Johor yang sehingga kini tiada keputusan yang jelas mengenai perkara itu.

Bahagian Perlembagaan yang disebut-sebut akan dipinda adalah perkara 181(1) yang menyebutkan bahawa “Tiada apa-apa undang-undang yang menyentuh secara langsung keistimeweaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja boleh diluluskan dengan tiada persetujuan Majlis Raja-Raja.” Mengikut peruntukan iniadalah sukar bagi kerajaan Barisan Nasional untuk meminda perkara 66 (4) Perlembagaan Malaysia yang berbunyi “ Yang Di-Pertuan Agong hendaklah dalam masa 30 hari selepas sesuatu rang undang-undang dikemukakan kepada baginda diperkenankan dengan menyebabkan rang undang-undag itu dicop dengan Mohor Besar.” Kod Etika yang dikemukakan oleh Barisan Nasional ditolak oleh Majlis Raja-Raja,menjadikan ia sukar untuk dilaksanakan.

Selepas puas bermain tarik tali, akhirnya kerajaan berjaya memasukkan satu artikel tambahan di bawah perkara 66 (4) iaitu 66 (4A) yang berbunyi “jika suatu rang undang-undang tidak diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam masa yang ditentukan dalam fasal(4),rang undang-undang itu hendaklah menjadi undang-undang apabila habis masa yang ditentukan dalam Fasal itu mengikut cara yang sama seolah-olah baginda telah memperkenankannya.”

Implikasinya

Sebenarnya penulis bukanlah pakar Perlembagaan Malaysia.Namun penulis merasakan ada sesuatu yang perlu diperkatakan. Orang yang paling layak menulis soal ini adalah Prof. Dr. Abdul Aziz Bari dari UIA atau Dato Rais Yatim sendiri yang mempunyai Phd. dalam bidang undang-undang. Artikel 66(4) memberikan beberapa implikasi. Antaranya sesuatu rang undang-undang itu akan lulus secara automatik walaupun Yang di-Pertuan Agong tidak menandatanganinya. Ini memungkinkan kezaliman akan tertimpa ke atas rakyat marhaen.Umpamanya soal Akta Pengambilan Tanah yang telah dipinda, rakyat tidak mampu menolak jika tanahnya ingin diambil oleh kerajaan untuk tujuan pembangunan. Apa yang boleh dilakukan hanyalah tuntutan pampasannya boleh dipertikaikan di Mahkamah. Selebihnya seseorang itu akan kehilangan tanahnya jika kerajaan berhasrat untuk mengambilnya.

Sebaliknya orag-orang politik pula kebal dari tindakan mahkamah.Banyak kes-kes politik akhirnya beraakhir begitu sahaja, tanpa tindakan dapat diambil di mahkamah. Kes Razak Baginda dan Altantuya tidak berjaya sepenuhnya dibawa ke muka pengadilan. Begitu juga dengan kes Norita Shamsuddin yang dikatakan membabitkan orang politik. Selain itu, kes Rafidah Aziz senyap begitu sahaja walau berpeti-peti bukti menurut Ezam. Terlalu banyak kes membabitkan orang politik tidak dapat diselesaikan, menjadikan seolah-olah mereka lebih kebal dari raja-raja dan berada di atas undang-undang. Sebab itu reformasi Badan Kehakiman adalah amat perlu buat masa ini di negara ini demi untuk mengembalikan kepercayaan rakyat dan orang ramai terhadap institusi tersebut.

Kesimpulan

Memandangkan iklim politik negara tidak begitu tenang, UMNO yang menjadi tulang belakang BN seolah-olah hanya menunggu masa untuk tumbang, ketuanan Melayu sering dicabar akhir-akhir ini kerana kelemahan itu, begitu juga kerajaan PR belum sampai setahun jagung dan belum mampu menangani pelbagai permasalahan negara yang majmuk ini, adalah dirasakan wajar imuniti raja-raja itu dikembalikan semula ke tempat yang sewajarnya. Ini adalah untuk menjamin kelangsungan survival politik Melayu Islam pada abad-abad mendatang. Janganlah kita menunggu “menang sorak kampung tergadai” baru kita terpinga-pinga untuk mengambil tindakan. Ambillah tindakan sebelum terlewat, sebelum menang jadi arang, kalah jadi abu.


AlKundangi,
9.12.2008.

Friday, November 28, 2008

UNTUNG RUGI PERTEMBUNGAN DUA TOKOH

UNTUNG RUGI PERTEMBUNGAN DUA TOKOH


Pertembungan dua tokoh wanita UMNO pada pemilihan Mac ini memberikan satu kesan politik yang tidak sedikit kepada pergolakan parti itu yang memang pun sedang bergolak ketika ini. Rafidah, tokoh veteran Wanita UMNO tidak berhajat untuk melepaskan jawatannya, sebaliknya bertindak mempertahankannya dari pencabar utamanya, Shahrizat Abd. Jalil, yang nampaknya agak terdesak untuk keluar dari barisan Wanita parti berkenaan. Sekiranya Shahrizat tidak bertanding ia mungkin kehilangan jawatan dalam UMNO, di mana beliau tidak pun bertanding bagi jawatan Naib Ketua, yang kini dimonopoli oleh Datuk Kamalia. Mungkin dia menyangka Datuk Kamalia tidak akan merebut jawatan Naib Ketua, tetapi ternyata dugaan itu meleset, dan Datuk Kamalia pun dapat menduduki kerusi berkenaan tanpa sebarang pertandingan.


Shahrizat adalah orang kepercayaan Perdana Menteri. Itulah yang dapat diduga ketika ini. Meskipun beliau kalah dalam PRU12 kepada Nurul Izah di Lembah Pantai, Namun PM melantik beliau bagi satu jawatan bertaraf Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Manakala Rafidah, yang menang mempertahankan kerusinya di Kuala Kangsar, tidak dilantik ke mana-mana jawatan Menteri. Pada era Mahathir, Rafidah adalah orang kuat Mahathir, dan sanggup melutut bila Mahathir merancang untuk meletakkan jawatan PM.

Namun Rafidah dibelit oleh pelbagai isu. Isu menantunya hingga kini masih dalam persoalan. Sewaktu Ezam masih dalam Keadilan, berpeti-peti bukti dilaporkan oleh Ezam ada pada beliau, namun kini peti-peti itu hilang entah ke mana. Kes Permit Import (AP) juga menghantui Rafidah yang kini dilaporkan semula dalam akhbar-akhbar alternatif. Begitupun, rasanya Rafidah disokong oleh Mahathir dan Najib. Mungkin peralihan kuasa yang dirancang pada bulan Jun itu memberikannnya ruangan untuk menjawat apa-apa jawatan Menteri di bawah bakal PM Najib Tun Razak.

Siapa pun yang bakal menang dalam pertarungan ini, ia meninggalkan kesan kepada pertubuhan UMNO itu sendiri .Satu hal yang pasti,akan wujudnya kem Rafidah dan kem Shahrizat. Keadaan ini menjadikan UMNO terus berpecah kepada beberapa pecahan lagi. Ia menambahkan lagi sakitnya parti itu sendiri. Inilah kerugian yang bakal ditanggung oleh UMNO, perpecahan demi perpecahan.

Sebaliknya di pihak Pakatan Rakyat, siapa pun yang bakal menang, ia tidak rugi apa-apa dan tidak untung apa-apa. Mungkin ada sedikit keuntungan seperti peniaga kedai runcit, akibat perpecahan dalam wanita UMNO itu. Perpecahan itu memudahkan kerja-kerja Pakatan Rakyat yang tidak perlu menggempur begitu teruk pada PRU ke 13 akan datang. Namun kedua-dua tokoh itu ada kewibawaannya masing-masing yang perlu diberi perhatian serius oleh barisan wanita Pakatan Rakyat. Perancangan dan strategi yang betul adalah perlu untuk menghadapi perubahan pimpinan dalam wanita UMNO ini.


AlKundangi,
28.11.2008

Tuesday, November 11, 2008

ULASAN SEMASA: PEMILIHAN UMNO

ULASAN SEMASA: PEMILIHAN UMNO



Sehingga ini, Jawatan Presiden UMNO dimenangi oleh bakal PM, Najib Abd. Razak yang memperoleh 177 pencalonan UMNO.Dato’ Seri Najib dianggap menang tanpa bertanding walaupun saingannya Tengku Razaleigh mendapat satu undi. Ini bererti jawatan Presiden UMNO akan disandang oleh Najib, sebaik seselai pemilihan UMNO secara rasminya pada 8 Mac,2009. Sekaligus DS Najib hampir pasti akan menjadi PM Malaysia yang ke 6,kecuali terjadi sesuatu yang luar biasa yang mengubah keadaan yang ada.

Perubahan boleh berlaku sekiranya Pakatan Rakyat yang diterajui DS Anwar berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan melalui undi tidak percaya, atau melalui calon-calon yang disenaraikan akan melompat parti dari BN ke PR yakni ahli-ahli parlimen yang boleh merubah kedudukan majoriti dalam Parlimen.

Ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan oleh DS Najib. Pertama,masalah politik wang yang sedang membarah dalam UMNO, yang menurut Johan Jaafar dalam kolumnya di Luar Lingkaran, Berita Minggu 2 November, 08 di mana wang yang dibelanjakan untuk membeli undi dalam kempen pemilihan UMNO kali ini melibatkan RM250 juta hingga RM 300 juta! Satu jumlah yang terlalu besar untuk sebuah parti seperti UMNO. Di manakah orang-orang UMNO mendapatkan wang berkenaan? Kita serahkan sahaja kepada BPR menyiasat perkara ini.

Selain politik wang, kemelesetan ekonomi juga adalah satu perkara yang perlu diberi perhatian yang serius oleh DS Najib. Kemelesetan ini berpunca dari kes subprima di Amerika, di mana kerajaan US membailout USD 700 billion hutang-hutang oleh syarikat-syarikat gergasi seperti Lehman Brothers dan lain-lain. Amerika sendiri dijangka akan mengalami krisis ekonomi dan pengangguran dijangka melonjak ke 8 peratus pada 2009.

Banyak lagi skandal yang perlu diberi perhatian oleh DS Najib,seperti pembelian Eurocuptor yang ditangguhkan oleh DS Abdullah Ahmad Badawi. Najib dikatakan terlibat dalam pembelian itu, di mana komisyennya berlipat kali ganda dari harga asal. Pembelian BII (Bank International Indonesia) oleh Maybank dengan harga empat kali lipat juga merupakan skandal yang menjadi tandatanya hingga kini. Kes Pembunuhan Altantuya yang dikaitkan dengan Najib dan Rosmah perlu diselesaikan, dan ia perlu dijelaskan kepada rakyat yang ingin mengetahui segala puncanya dan orang-orang yang terlibat dengannya.


Manakala jawatan Timbalan Prsiden didahului oleh Tan Sri Muhyiddin dengan 90 pencalonan, diikuti oleh Dato Seri Muhd Ali Rustam, 46 Pencalonan dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib dengan 43 pencalonan. Dato’ Shahril Abd.Samad hanya mendapat satu pencalonan. Kerusi Naib Presiden diungguli oleh Dato’ Seri Hishammuddin Hussein dengan 142 pencalonan, diikuti oleh Dato’ Seri Zahid Hamidi dengan 103 pencalonan,Dato Seri Khalid Nordin 79 pencalonan, Datuk Shafie Apdal 78, Dato’ Seri Syed Hamid Albar 30, Tan Sri Mohd Isa 26, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis 25,Datuk Seri Rais Yatim 25, Tan Sri Rahim 16, datuk Seri Shahidan 6,Datuk Seri Muhammad Hassan 3, Datuk Musa Aman 2, manakala Annuar Musa, Ali Rustam, Affifuddin Omar, dan Datuk Halimah Sadique masing-masing mendapat satu pencalonan.

Namun dalam pemilihan UMNO sebenar pada 8 Mac, seperti yang dijadualkan, keputusan mungkin berubah, di mana ia akan ditentukan oleh undi dari para perwakilan yang hadir dalam persidangan itu nanti. Apapun keadaan, UMNO tetaplah UMNO, ia tidak lari dari politik wang dan berpuak-puak serta unsur-unsur rasisme yang terdapat dalam UMNO itu sendiri. Kebanyakan pertubuhan politik kini sudah mula membelakangkan kaum masing-masing, di mana persoalan kaum bukan lagi di tempat teratas. Kemenangan Obama dalam pemilihan calon Presiden US memperlihatkan gejala ini, di mana Obama adalah bangsa kulit hitam yang dulunya adalah hamba abdi bagi orang-orang kulit putih di Amerika. Kini Obama adalah calon Presiden US yang akan menggantikan Bush sedikit masa lagi. Namun UMNO masih dengan kemelayuannya, MCA dengan kecinaannya dan MIC dengan keindiannya yang bergabung di bawah BN, di mana corak pilitik sedemikian sudah mulai ketinggalan zaman.


AlKundangi,
10.11.2008
.

Tuesday, November 4, 2008

DEBAT MENJELANG PEMILIHAN UMNO

ISU SEMASA

DEBAT MENJELANG PEMILIHAN UMNO


Debat adalah satu aktiviti intelektual di mana para pendebat mengemukakan hujah masing-masing dalam sesuatu isu yang dipilih. Ia bukanlah berasal dari budaya Melayu. Debat atau Jidal sering dilakukan di awal perkembangan Islam, dan ia semacam menjadi budaya bagi kaum Quraisy. Selain debat, orang-orang Arab di zaman Jahiliah dan zaman Islam menjadikan syair sebagai medium untuk menyatakan pendapat.Sebab itu kalau kita mengkaji sejarah perkembangan sastera Arab, kita akan bertemu dengan syair-syair zaman Jahiliah dan syair-syair di zaman Islam.

Berbalik kepada isu asal, dalam proses pemilihan pemimpin-pemimpin UMNO Mac ini, di cadangkan debat terbuka antara calon-calon yang bertanding bagi jawatan-jawatan yang dipertandingkan. Banyak pihak bersetuju dengan cadangan debat ini. Namun ada juga yang menolak cadangan yang bersifat intelektual exercise ini. Mukhrij Tun Mahathir, calon Ketua Pemuda adalah antara yang tidak bersetuju dengan debat ini, walaupun beliau mendapat undi tertinggi dalam proses pencalonan jawatan itu. Manakala pencabar terdekatnya, Khairy Jamaluddin, bersetuju dengan debat tersebut.

Pandangan yang agak menyimpang datangnya dari Pengerusi Jawatankuasa Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda Pahang, Datuk Tun Mohd Aminuddin Ishak, di mana beliau berpendapat bahawa debat berkenaan masih belum relevan dan sesuai dianjurkan di negara ini. Bahkan ia berpendapat, debat itu boleh memecah-belahkan parti Umno sendiri. Pemimpin patut menumpukan usaha ke arah memulihkan parti kerana ia tugas utama berbanding perebutan jawatan dalam pemilihan Umno. Agak menhairankan, mengapakah beliau berpendapat demikian, sedangkan debat adalah satu perkara yang baik yang boleh memperlihatkan cara berfikir dan kredibiliti seseorang calon.

Isu debat mula diterima oleh masyarakat Malaysia, bilamana DS Anwar dicadangkan berdebat dengan Ahmad Shabery Chik, Menteri Penerangan berkaitan dengan kenaikan harga minyak yang mendadak pada pertengahan tahun ini. Debat itu mendapat perhatian umum, bahkan dinanti-nantikan oleh sebilangan masyarakat yang suka kepada ide-ide yang baik dan bernas. Debat berupaya mempercambahkan idea pendebat dan audiennya sekali, kerana ia adalah satu pembentangan terbuka pemikiran tentang sesuatu secara langsung, apalagi jika ia disiarkan secara langsung menerusi media elektronik seperti televisyen.

Apa pun pandangan, debat adalah sesuatu yang baik dalam membuat satu-satu kesimpulan, di samping menggalakkan percambahan ide, pertukaran pendapat, dan meningkatkan kematangan berfikir. Dengan demikian, debat adalah sesuatu yang wajar dilaksanakan dalam pemilihan Umno, dan ia dipercayai boleh meningkatkan keupayaan Umno dalam memulihkan prestasinya yang menjunam selepas PRU ke 12, di mana Umno dan Barisan Nasional kehilangan 5 negeri dan satu Wilayah Persekutuan ke tangan pembangkang, Pakatan Rakyat.

AlKundangi,
4.11.2008
.

Wednesday, October 29, 2008

ISU PKNS: DI MANA SILAPNYA TAN SRI KHALID?

ISU PKNS: DI MANA SILAP TAN SRI KHALID?


Pengurus Besar PKNS, Datuk Harun Salim dilaporkan akan bersara hujung bulan Oktober ini.Sehubungan dengan itu, Tan Sri Khalid selaku Menteri Besar Selangor melantik Timbalan Pengurus Korporat dan Akaun,Low Siew Moi sebagai Pemangku Pengurus Besar PKNS bagi menggantikan Datuk Harun yang akan bersara akhir bulan ini. Tempoh pemangkuan itu mengambil masa selama setahun sementara mencari calon yang sesuai.


Pelantikan Low Siew Moi itu menimbulkan bantahan dari banyak pihak,mungkin kerana beliau bukan Melayu dan bukan beragama Islam..Tetapi pengalaman Low Siew Moi atau lebih dikenali sebagai Madam Low selama 35 tahun di PKNS dengan 11 tahun di Bahagian Korporat meyakinkan TS Khalid untuk melantik beliau ke jawatan itu meskipun bersifat sementara.


Pelantikan Madam Low ini dikatakan memecahkan tradisi selama 44 tahun kerana selama itulah PKNS diterajui oleh kaum Bumiputera dan dibantah oleh lima persatuan pekerja PKNS iaitu Persatuan Pegawai Kanan, Persatuan Pegawai Eksekutif, Badan Islam, Kelab Sukan dan Rekreasi, Persatuan Kebajikan dan Kesatuan Sekerja PKNS.


Selama 44 tahun PKNS diterajui oleh Bumiputera, namun apa yang lebih mengecewakan kita seperti apa yang disebut oleh Tan Sri Khalid, setelah membuat pemeriksaan selama 44 tahun itu, beliau amat kesal apabila mendapati usaha PKNS dalam memartabatkan orang Melayu dalam bidang perniagaan dan hartanah tidak mencapai sasaran yang diharapkan. Bahkan lebih 75 peratus dari projek yang dilaksanakan oleh PKNS diberi kepada syarikat bukan Melayu samada secara langsung ataupun tidak (Sinar Harian,28 Oktober,08,hal.2).


Bahkan lebih teruk dari itu, beberapa aktiviti dan keputusan perniagaan yang dibuat oleh PKNS bukan berdasarkan keperluan PKNS sendiri, tetapi adalah lebih kepada parti politik yang memerintah. Akaun PKNS juga didapati tidak betul dari segi pengurusannya seperti pada tahun 2007 PKNS dilaporkan mengaut laba RM500 juta, namun setelah disemak ia adalah hasil luar biasa, bahkan RM100,000 darinya dihadiahkan kepada Pengerusi PKNS sebelum ini,iaitu bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khir Toyo.


Walaupun ada pihak yang menyatakannya ia adalah mainan politik TS Khalid sepertimana yang dituduh oleh Mohd Isa Abu Kasim.ADUN Batangkali, namun kekecewaan MB Selangor itu terhadap pencapaian PKNS selama 44 tahun dalam memartabatkan orang Melayu ternyata adalah alasan yang kuat mengapa MB Selangor itu melantik Madam Low menjadi Pemangku pengurus Besarnya. Bayangkan kalau selama itu 75% projek PKNS terlepas kepada kaum bukan Melayu, lalu apalah gunanya kalau PKNS berketuakan seorang Melayu? Rasionalnya pengalaman Madam Low adalah penting bagi MB Selangor itu, dan beliau mungkin boleh membantu orang Melayu melalui PKNS pada masa depan.Lagipun pelantikannya cuma setahun, dan jawatan tersebut bukan diperingkat membuat dasar.


Dalam Islam, jawatan-jawatan yang bukan bersifat pembuat dasar dibolehkan kepada orang-orang bukan Islam.Berlainan jika jawatan itu adalah CEO kepada satu-satu syarikat GLC kerajaan yang mana CEO boleh membuat keputusan yang bersifat mendasar, atau melibatkan asas syarikat. Bagi PKNS, ia masih boleh dipantau oleh MB sendiri, dan Pengurus Besar hanyalah menjalankan tugas membantu MB dalam pelaksanaan dasar, bukan pembuat dasar. Pembicaraan Hak-Hak Bukan Muslim dalam negara Islam banyak diperkatakan dalam buku-buku ulama tersohor, antaranya karya Yusoff AlQardhawi sendiri yang diterbitkan Bahagian Hal Ehwal Islam JPM. Inilah yang perlu kita terokai dan hayati,bukan hanya bercakap berdegar-degar tapi praktikalnya nasib bangsa sendiri tidak terbela. Yang terbela hanyalah anak, menantu dan kroni. Selebihnya engkau engkau, aku aku atau seperti Enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.


AlKundangi,
29.10.2008
.

DEKLARASI JANDA BAIK

Berikut adalah deklarasi yang dikeluarkan oleh para blogger dalam satu pertemuan di rumah Pak Habib, Syed Hussain AlAtas di kediaman beliau pada 26.10.2008. Tulisan ini diangkat dari laman Ketua Pengarang Siasah, di http://msomelayu.blogspot.com/ untuk tatapan pembaca sekelian. Terima kasih.

DEKLARASI JANDA BAIK

Memandangkan keadaan politik negara yang gawat, cabaran dan gugatan terhadap kepimpinan Melayu yang lemah oleh pihak-pihak tertentu, dari dalam dan luar negara serta keadaan ekonomi dunia yang kucar kacir dewasa ini, maka KAMI, para penulis, wartawan dan blogger yang prihatin terhadap nasib Bangsa, Agama dan Tanah Air, yang bersidang di Janda Baik, Pahang mengambil sikap dan pendirian seperti berikut:-

1. KAMI mendesak dan menuntut agar para pemimpin Melayu dari berbagai fahaman politik mengembelengkan tenaga, kerjasama dan buah fikiran demi mempertahankan keluhuran dan kekeramatan PERLEMBAGAAN MALAYSIA TANPA KOMPROMI.

2.KAMI memberi amaran kepada para pemimpin politik Melayu dari semua fahaman ideologi agar jangan menjadi pemimpin Pak Pandir yang hanya menang sorak tetapi kampung halaman dan negara terjual kepada pihak asing.

3. KAMI juga memberi amaran keras kepada pihak-pihak tertentu yang memainkan sentimen perkauman dan mempertikaikan HAK ISTIMEWA MELAYU sepertimana yang termaktub dalam PERLEMBAGAAN NEGARA agar jangan mencetuskan permusuhan antara kaum, antara agama dan antara budaya oleh kerana mereka menganggap kepimpinan Melayu lemah dan boleh diperdagangkan untuk memenuhi agenda perkauman mereka.

4. KAMI juga memberi amaran keras kepada para pemimpin Melayu, khasnya UMNO, agar mereka jangan menjadi pengkhianat BANGSA, AGAMA DAN TANAH AIR hanya kerana didorong oleh nafsu kekayaan kebendaan, kuasa yang dipinjamkan Allah, hingga melupai tanggungjawab mereka terhadap generasi Melayu akan datang.

5. KAMI menggesa seluruh umat Melayu yang menjadi para pejuang BANGSA, AGAMA DAN TANAHAIR tanpa mengira aliran politik agar memilih barisan pemimpin mereka yang terbaik dan bersih dari korupsi, berbagai skandal yang memalukan, yang berwibawa, berilmu dan berjiwa dinamik untuk menerajui kerajaan dan badan-badan amanah lainnya.

6. KAMI memberi peringatan dan teguran ikhlas bahawa UMNO mesti melakukan revolusi mental dan perombakan pemikiran yang dekaden, konservatif, materialistik yang melampau, anti ilmu, berpuak-puak, mementingkan diri, kaum keluarga dan para kroni hingga sanggup memperjudikan nasib BANGSA, AGAMA DAN TANAHAIR.

7. KAMI memberi amaran keras dan peringatan yang tulus ikhlas bahawa kepimpinan UMNO yang lemah, korup, rakus dan gila kuasa boleh menggerhanakan masa depan generasi muda Melayu dan rakyat yang telah memberikan sokongan mereka sejak 51 tahun UMNO memimpin kerajaan Malaysia.

8. KAMI juga ingin mengingatkan para pemimpin Melayu yang berkuasa agar jangan terlalu banyak berkompromi dengan golongan-golongan tertentu yang mempunyai agenda tertentu untuk melemahkan kepimpinan Melayu.

9. KAMI juga ingin mengingatkan para pemimpin Melayu yang berkuasa bahawa kelemahan kekuasaan politik Melayu akan membawa kehancuran dan penghapusan kuasa orang Melayu di bumi Malaysia yang bertuah ini.

10. KAMI menyeru dan menggesa rakyat Melayu bertindak proaktif dalam berbagai bidang kehidupan untuk menjamin kekuasaan politik Melayu tidak terhakis dan ketuanan Melayu dan Islam kekal subur selagi ada matahari dan bulan.

11. KAMI merafak sembah memohon agar Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu mempertahankan kedaulatan baginda seperti mana yang termaktub dalam PERLEMBAGAAN MALAYSIA dengan memberi sokongan moral kepada perjuangan umat Melayu dan Islam dalam berbagai lapangan hidup. Perlulah dihayati kedaulatan dan kedudukan Raja-Raja Melayu akan berterusan sekiranya rakyat Melayu dan umat Islam memperjuang dan mempertahankan institusi Raja tersebut.

12. KAMI dengan penuh takzimnya memohon Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan kaum kerabat baginda agar jangan mengkhianati dan melakukan sesuatu tindakan yang boleh menjejaskan institusi Raja dan melukai perasaan umat Melayu yang mempertahankan institusi Raja selama ini.

13. KAMI juga menyeru kepada kerajaan agar melaksanakan KEADILAN dan TANGGUNGJAWAB sebagai pemerintah kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum memandangkan Malaysia negara majmuk.

14. KAMI ingin memberi peringatan kepada bukan Melayu agar berpegang teguh pada kontrak sosial dan PERLEMBAGAAN NEGARA demi menjaga keharmonian hubungan antara kaum serta kesejahteraan dan keamanan yang kita sama-sama mempertahankannya.

15. KAMI yakin dan percaya bahawa Kebebasan suara Rakyat dan amalan Demokrasi mestilah dipertahankan oleh kerana rakyat yang memberi mandat dan amanah kepada parti-parti politik tertentu untuk berkuasa. Oleh hal demikian KAMI akan bekerjasama dengan siapa saja, dan dari golongan mana sekali pun, demi memperjuangkan hak dan kebebasan Rakyat serta amalan Demokrasi di bumi Malaysia yang bertuah ini.Inilah deklarasi yang tulus ikhlas yang KAMI abadikan sebagai cetusan rasa dari buah fikiran KAMI demi memperjuangkan hak dan kepentingan Rakyat, Keamanan dan Kesejahteraan Negara Malaysia.

KAMI rakamkan cetusan hati nurani Rakyat yang bernama DEKLARASI JANDA BAIK, bertempat di kediaman Sdr Syed Hussein Al-Attas, bertarikh 26 Oktober 2008.