ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Thursday, July 22, 2010

DINAMISME POLITIK, KEPENGGUNAAN DAN PILIHANRAYA

OLEH:
A Kadir Jasin



IDRIS Jala berkata, Perdana Menteri mengota. Tidak lama selepas menteri bukan politikus di Jabatan Perdana Menteri itu mengumumkan cadangan kerajaan melakukan rasionalisasi subsidi, Mohd Najib Abdul Razak, semalam mengumumkan pemotongan subsidi ke atas gula, petrol, diesel dan gas cecair petroliam (LPG).

Mulai hari ini harga gula pasir naik 25 sen kepada RM1.90 sekilogram. Petrol (RON 95) naik 5 sen kepada RM1.85 seliter. Diesel naik 5 sen juga kepada RM1.75 seliter manakala LPG naik 10 sen sekilogram kepada RM1.85.

Petrol gred tinggi (RON 97) tidak akan diberikan subsidi lagi. Harga akan ditentukan setiap bulan berdasarkan mekanisme penghargaan automatik (APC). Harga barunya adalah RM2.10 seliter.

Kita kena faham. Yang utama dalam tindakan ini bukanlah kebajikan pengguna, tetapi melaksanakan apa yang disebut oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan sebagai “tanggungjawab fiskal” (fiscal responsibility).

Katanya, perubahan “kecil” ini akan membantu Malaysia mencapai tahap kebertanggungjawaban fiskal (percukaian) dan meletakkan negara di atas landasan ke arah mengurangkan defisit belanjawan.

Rasionalisasi subsidi kali ini, kata Mohd Najib, akan menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM750 juta dan mengurangkan subsidi minyak dan gula kepada RM7.82 bilion tahun ini. Maksudnya, harga minyak dan gula akan naik lebih banyak lagi sebelum subsidi dihapuskan sepenuhnya.

Saya tidak menjangka rasionalisasi subsidi ini akan berakhir di sini dan dengan minyak dan gula sahaja. Kalau kita percaya cakap Idris Jala, banyak lagi subsidi sedang dikaji dan akan dilakukan rasionalisasi.

Itu di pihak kerajaan. Di pihak kita sebagai rakyat jelata, pengguna, pengundi dan pembayar cukai, harus ada tindak balas yang bijak dan rasional.

Oleh sebab kerajaan tidak boleh atau tidak berdaya lagi menolong kita melalui subsidi seperti dahulu kala, maka kita kenalah tolong diri sendiri.

Cuba-cubalah kurangkan gula. Banyak sangat makan gula pun tidak bagus. Mungkin ada yang kata, mudahlah saya berkata begitu sebab saya tidak makan gula.

Bukan macam itu. Saya dulu pun kuat makan gula. Maklumlah di kampung pada tahun 1950an dan 1960an dulu, gula adalah simbol status. Masa itu tak ramai yang mampu makan gula atau susu tin.

Maka, lagi senang sesebuah keluarga, lagi manis kopi, teh dan kuih muih yang dihidangkan kepada tetamu. Yang tak mampu, sanggup pinjam gula daripada jiran bila ada tetamu.

Apabila saya ke Kelantan pada tahun 1977 untuk membuat liputan krisis politik negeri itu, saya tak boleh makan fasal banyak masakan ada gula. Hatta gulai dan ayam percik pun ada gula.

Teh pula lebih tepat dipanggil sirap berperasa teh sebab lebih banyak rasa gula (sirap) daripada teh. Baru-baru ini saya ke Kota Baru. Nasi dagang sedap, tapi gulai ikan tongkolnya manis. Mati selera saya.

Dah berpuluh tahun saya minum teh tanpa gula. Saya minum teh si kosong nipis (teh tanpa gula dengan susu cair tak manis dan nipis). Sekali sekala minum Milo O kosong. Itu pun dah cukup manis.

Setiap kali balik kampung ada saja cerita kawan-kawan sesekolah, sekampung dan sepermainan – termasuk yang jauh lebih muda daripada saya – yang mati kencing manis atau dipotong kaki kerana penyakit gula itu.

Subsidi gula ni pun ada karutnya. Kalau tak salah saya, gula yang digunakan untuk industri dan pengilangan pun dapat subsidi juga. Kalau betul, elok dipotong terus dan dengan segera subsidi pukal ini.

Mengenai petroliam pula, saya tahu, apabila Kerajaan Abdullah Ahmad Badawi menaikkan harga minyak pada awal tahun 2006, ramai yang kurang mampu bertukar daripada memandu kereta kepada menunggang motosikal.

Jadi bukan semua yang tunggang motosikal kapcai adalah Mat Rempit. Ramai guru, kerani, pekerja pengeluaran, jururawat, polis, askar dan ahli bomba naik motorsikal sekarang.

Ada Baiknya Berdikari

Elok juga kita berdikari. Bila kita tak bergantung sangat kepada kerajaan dan kerajaan pun tak bagi banyak sangat bantuan, kita lebih bebas buat keputusan bila sampai masa mengundi.

Inilah antara sebab mengapa orang Cina lebih mirip sokong pembangkang daripada sokong kerajaan. Sebagai taiko, peniaga dan pekerja profesional, orang Cina lebih berdikari, jadi mereka tidak berasa terhutang budi kepada kerajaan. Justeru itu, mereka tidak berasa bersalah tidak mengundi parti kerajaan.

Saya rasa orang Melayu pun kena lebih berdikari. Susah memang susah. Tapi kalau tak mula dan tak cuba, kita tak tahu keupayaan kita.

Saya dah 10 tahun berniaga sendiri. Jadi dah tahulah pahit maungnya, terutama sekali lepas Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) ditutup oleh Mohd Najib. Inilah kementerian semangat dan talian hayat bagi ramai peniaga Melayu.

Namun saya gembira tengok semakin ramai orang Melayu mula cergas dan menyokong badan-badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak dan kebajikan orang Melayu.

Orang Cina mereka dari awal sokong dan disokong oleh NGO kaum mereka seperti dewan perniagaan, dewan perhimpunan dan persatuan keturunan (clan associations).

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semakin banyak NGO Melayu ditubuhkan manakala NGO yang dulunya tidak cergas sudah mula aktif semula.

Dinamisme Perkongsian Kuasa

Inilah contoh perkongsian dan perimbangan kuasa dalam sistem demokrasi. Apabila suatu kelompok kuasa menjadi lemah, kekosongan yang tercetus akan diisi oleh kelompok kuasa yang lain.

Maka dalam konteks inilah saya melihat kemunculan NGO Melayu seperti Perkasa dan Majlis Perundingan Melayu, dan kecergasan semula Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.

Hatta, kemunculan Raja-Raja Melayu membincangkan isu-isu urus tadbir (governance), hak Melayu dan pembangunan, adalah reaksi kepada perubahan struktur politik kepartian, khasnya yang menyentuh hak dan keistimewaan orang Melayu dan anak negeri Sarawak dan Sabah.

Dinamisme ini akan menjadi lebih penting dengan kemasukan generasi baru ke dalam arena politik dan gunatenaga.

Beberapa buah akhbar arus perdana beberapa hari lalu melaporkan bagaimana Parti Tindakan Demokratik (DAP) telah mengatasi parti-parti lain, termasuk Umno, dalam usaha mendaftarkan pengundi baru. Ini didedahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya sendiri.

Serentak itu, cadangan muzakarah Umno-Pas timbul semula walaupun matlamatnya berbeza atau bercanggah antara seorang pembesar dengan pembesar lain. Ada pembesar Umno yang bercakap atas dasar perpaduan Melayu dan ada pula yang bercakap mengatakan partinya tidak lemah sehingga memerlukan Pas.

Apa pun, marilah kita terus berbahas. Sekalipun para pembesar politik dan pemerintah tidak mempedulikan atau tidak mengambil endah “chatting” kita. Sebagai rakyat jelata, pengguna, pembayar cukai dan pengundi, kita sebenarnya mempunyai kuasa dan tanggungjawab yang sangat besar, mutlak dan mutakhir.

15.7.2010

No comments: