ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Tuesday, November 23, 2010

Lebih separuh tandas awam di seluruh negara kotor

KUALA LUMPUR -- Walaupun pelbagai langkah diambil bagi meningkatkan kebersihan tandas awam, satu audit menunjukkan 3,000 daripada 5,764 tandas di seluruh negara adalah kotor.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung berkata audit menerusi kaedah penarafan oleh Pihak Berkuasa Tempatan menunjukkan 51.6 peratus daripada tandas awam hanya mampu mencapai tahap satu atau dua bintang, dan hanya tujuh peratus atau kira-kira 400 tandas yang mencapai taraf lima bintang, iaitu kebersihan paling memuaskan.

"Daripada data tersebut, nampaknya masih jauh lagi perjalanan kita untuk mencapai tahap tandas awam yang baik," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sambutan Hari Tandas Sedunia dan Seminar Kesihatan Persekitaran Peringkat Kebangsaan 2010 di sini hari ini.

Bagi memastikan tandas di premis-premis awam tidak terus kotor, Chor berkata tindakan penguatkuasaan oleh PBT terhadap mana-mana premis awam yang tandasnya terlampau kotor akan diperketatkan lagi mulai tahun depan, antaranya membuat pemeriksaan mengejut dua kali setahun, di samping pemeriksaan biasa.

Menurut beliau, jika inisiatif sebegini tidak dijalankan, ia bukan sahaja akan menyebabkan masalah sanitasi dan kesihatan kepada masyarakat tetapi turut menjejaskan imej negara di mata pelancong asing.

"Saya pasti jika tandas-tandas di stesen minyak, restoran dan di tempat awam yang lain kotor, tiada pelancong dari negara maju yang mahu datang melancong ke negara ini," katanya.

sinarharian.com.my

No comments: