ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Tuesday, January 11, 2011

BLOG SEBAGAI PENYAMPAI BERITA ALTERNATIF

Pada tahun 1998, selepas DS Anwar ditangkap di bawah ISA, laman web-laman web pro reformasi berkembang dengan pesatnya.Antara yang terkenal adalah laman Mahazalimtwo dan AlIslah. Maka bermunculanlah penulis-penulis laman web berkenaan seperti cucumatkilau, marhaentua,marhaen muda, jabat dan sebagainya.Sebahagian dari penulis-penulis yang tidak berbayar ini kemudiannya membuat laman atau blog sendiri yang berkembang pada alaf 21 ini.Mereka bebas menulis,mengulas keadaan politik semasa dan sebagainya.Mereka berkorban tenaga,masa dan wang ringgit untuk menyedarkan rakyat tentang penyelewengan pemerintah, kezaliman mereka dan sebagainya.Berkat usaha mereka itu, rakyat kini sudah semakin sedar tentang yang mana salah yang mana betul. Hasilnya kini Pakatan Rakyat menguasai 5 negeri, di mana satu darinya,Perak dirampas secara tidak sah oleh pemerintah,Barisan Nasional.

2. Sejak PRU ke 12, sudah enam kali pilihanraya kecil diadakan, disebabkan oleh kematian wakil rakyat atau mereka meletakkan jawatan. Dari 6 pilihanraya kecil itu, 5 dimenangi oleh Pakatan Rakyat. Ini membuktikan betapa berkesannya laman-laman web pro Pakatan Rakyat dan blog-blog yang turut sama menyingkap kelemahan dan kebobrokan yang dilakukan oleh pemerintah yang hanya mementingkan kroni dan suku sakat mereka sahaja dalam agihan ekonomi negara. Rakyat yang tidak menyokong mereka dibiarkan hidup melarat. Hasilnya kerajaan semakin kehilangan sokongan dari masa ke masa, dan kemungkinan akan tewas pada pilihanraya akan datang. Pertukaran kerajaan adalah satu perkara biasa dalam sejarah. Jika UMNO-BN kalah pada pilihanraya akan datang dan kehilangan kuasa tampuk pemerintahan, mereka harus menerimanya sebagai satu putaran sejarah yang tidak dapat dielakkan. Sejarah adalah sesuatu yang sering berulang. Ia juga adalah pengajaran bagi mereka yang tahu menilainya.

3.Demikianlah kekuatan blog yang mampu membina fikiran dan mengubah pandangan masyarakat sehingga beralih arah kepada pembangkang yang kemungkinan akan menjadi kerajaan pada mada akan datang. Blog lebih bebas sifatnya, dan tidak begitu terikat dengan undang-undang yang sedia ada, kecuali undang-undang multimedia yang dikuasai oleh kementerian yang dipertanggungjawabkan. Namun ada juga para blogger diambil tindakan undang-undang, seperti apa yang dialami oleh Kickdefella dan Raja Petra Kamaruddin. Namun keseluruhannya laman blog lebih bebas dari media cetak dan media elektronik.

4. Oleh yang demikian, laman-laman blog lebih bebas menyuarakan pendapat dan pandangan, dan lebih dipercayai terutama oleh golongan muda dan berpendidikan. Sementara golongan tua dan konservatif lebih mempercayai media cetak dan media elektronik yang dikuasai oleh pihak kerajaan. Dengan begitu, peranan laman-laman blog dalam merubah pemikiran masyarakat adalah sesuatu yang tidak dapat diketepikan begitu sahaja, dan ada kemungkinan pengaruhnya lebih besar dari media cetak dan media elektronik. Oleh itu, para agen perubahan termasuk para pemikir masyarakat dan kaum intelektual haruslah memanfaatkan ruang siber ini untuk melakukan islah terhadap masyarakat umum, dan berusaha merubah kezaliman kepada keadilan.Kehidupan akan lebih bermakna jika negara kita lebih adail dan lebih telus dalam pembahagian kekayaan negara ini. Apa yang dilakukan oleh Kerajaan Selangor dengan memberikan kemudahan kepada rakyatnya termasuk 20 meter padu air percuma pada peringkat pertama, adalah satu usaha pengislahan yang dibuat melalui kuasa politik. Sebab itu kuasa politik penting untuk melaksanakan perubahan.

5. Blog adalah satu alat komunikasi. Dalam Ilmu Komunikasi, komunikasi itu sendiri terdiri dari lima unsur. Di antara unsur itu ialah saluran (channel), mesej, pengirim, penerima dan kesan yang terhasil dari komunikasi itu sendiri. Jika dikaitkan dengan laman blog ini, salurannya ialah blog itu sendiri yang dapat diakses melalui komputer yang ada talian dengan internet. Mesej ialah apa yang ingin disampaikan oleh penulis blog itu, samada soal politik, ekonomi, sosial, ugama dan sebagainya. Pengirim ialah penulis blog itu sendiri. Manakala penerima ialah pembaca dan pengunjung blog berkenaan. Kesan pula ialah apa yang terhasil selepas pembaca/pengunjung membaca dan meneliti blog berkaitan. Apakah ada perubahan minda atau tindakan dalam perlakuannya. Dengan segala ciri ini, dapatlah dikatakan laman blog adalah satu alat komunikasi yang lengkap yang dapat menyampaikan apa saja maklumat kepada audiennya. Dengan itu para pemikir,penganilisis politik, agen-agen perubah masyarakat,kaum intelektual dan budayawan seharusnya memanfaatkan laman blog sebagai satu saluran komunikasi yang amat berkesan pada dekad ini. Dengan ini laman-laman blog dijangka berupaya mengambil alih peranan media rasami seperti akhbar dan media elektronik, dan dapat memberikan berita-berita yang lebih benar dan memenuhi citarasa masyarakat kini, khasnya golongan muda.

6. Sebagai kesimpulannya, dapatlah dikatakan laman blog mempunyai ciri yang lengkap sebagai alat komunikasi dan berupaya menyaingi media rasmi yang sering diperalatkan oleh pihak berkuasa dengan agenda tertentu. Dengan begitu,blog berupaya merubah pandangan masyarakat terhadap sesuatu isu yang diketengahkan oleh pemerintah dan dapat menilai kesahihannya atau sebaliknya. Oleh itu blog sebagai alat penyampai berita alternatif adalah amat berkesan, dan para blogger hendaklah menggunakannya untuk mencapai kebaikan dan keadilan untuk semua golongan masyarakat.


AlKundangi,
http://alkundangi.blogspot.com

No comments: