Keputusan KJ jadi petanda awal PRU-13: Penganalisis politik
SHAH ALAM – Keputusan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen Rembau pada pilihan raya umum (PRU) akan datang seolah-olah memberi gambaran jelas akan berlakunya PRU lebih awal seperti yang digembar-gemburkan.
Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Ahmad Nizamuddin berkata, berdasarkan faktor sokongan kuat terhadap Barisan Nasional (BN) pada masa ini serta krisis dalaman Pakatan Rakyat (PR) boleh memberikan kelebihan kepada BN jika PRU diadakan.
“PRU-13 boleh dibayangkan dengan dua perkara, pertama, kemungkinan akan diadakan serentak dengan pilihan raya Sarawak dan keduanya, mungkin pada 2012. Saya lebih menggambarkan akan berlaku pada 2012.
“Khairy dan pemimpin lain adalah orang dalaman parti yang lebih mengetahui keadaan dan apa yang akan berlaku pada masa akan datang termasuk berhubung soal pilihan raya. Kita sebagai orang luar, sama ada ahli politik dan pemerhati politik hanya membaca ‘petanda’ yang mereka berikan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Ahmad juga tidak menolak kemungkinan keputusan Khairy sebagai pembayang kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak bahawa Khairy bersedia untuk tidak tersenarai sebagai calon pilihan raya akan datang.
Katanya, ini bermakna Khairy lebih meletakkan nasib politiknya kepada pucuk pimpinan dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku kepada karier politiknya.
“Khairy hanya membuat keputusan. Dalam keadaan biasa, orang berlumba-lumba mengejar jawatan dalam politik. Tetapi apabila seseorang yang ada kedudukan baik dalam politik menyatakan untuk berehat sekejap secara tiba-tiba, ia memberi gambaran sesuatu.
“Saya rasa Khairy dah berfikir panjang dan sedar bahawa kedudukan dia agak kurang menyerlah terutama selepas presiden (UMNO) berubah. Jadi, bila dia keluarkan kenyataan sebegini lebih awal, apa-apa yang berlaku tidak lagi menjadi satu kejutan baik kepada dia atau orang ramai,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Sains Politik UKM, Profesor Dr Muhammad Agus Yusof berkata, kenyataan Khairy berkemungkinan untuk memberikan masa kepada dirinya menyusun semula strategi politik.
“Mungkin dia dah pun fikirkan adakah dia dicalonkan lagi pada pilihan raya akan datang. Turun naik dalam politik itu perkara biasa.
“Dia nak berehat atau menyusun semula strategi merupakan pemikiran strategik yang terbaik untuk dia,” katanya.
sinarharian.com.my
No comments:
Post a Comment