ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Monday, January 24, 2011

Perdana Menteri Wanita: Kenapa Isteri PM Tak Boleh?

Oleh:A Kadir Jasin



KUALA LUMPUR,(Bernama) -- Pihak yang mengkiritik lawatan rasmi isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor ke luar negara tidak faham dengan peraturan yang telah diperuntukan oleh kerajaan.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata lawatan isteri Perdana Menteri itu ke Arab Saudi, Oman dan Bangladesh baru-baru ini dibenarkan mengikut Peraturan Etika Anggota Pentadbiran 1988/1999 yang diputuskan oleh Kabinet.

Mengikut Perkara 1180A di bawah peraturan itu, seseorang isteri anggota pentabiran dibenarkan untuk mewakili seseorang suami atau membuat lawatan ke luar negara atas urusan rasmi berkaitan sesuatu aspek atau perkara asalkan tidak bercanggah dengan kerja rasmi dan urusan kementerian atau menteri berkenaan.

Rais berkata demikian bagi membidas tindakan sesetengah pihak yang mempertikaikan lawatan anggota Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) yang diketuai oleh isteri Perdana Menteri ke tiga buah negara itu.

"Teguran ini bangkit dari rasa politik jahat yang pada akhir-akhir ini dengan apa yang dibuat oleh kerajaan dibangkang dan pembangkang gemar memperli, memperkecilkan dan memfitnah orang-orang yang berkenaan," katanya pada sidang media di sini.

Rais juga berkata terdapat pihak-pihak, terutama pembangkang, yang tidak mengetahui alur serta peraturan pentadbiran negara dengan menganggapnya sebagai sesuatu di luar keadaan yang dibenarkan.

Menyentuh mengenai lawatan ke Oman atas jemputan kerajaan negara itu, Rais berkata Rosmah hanya menjalankan tugas sebagai seorang wanita yang prihatin terhadap pendidikan anak-anak, orang kurang upaya, aspek pendidikan dan hubungan antara wanita yang sememangnya digalakkan.

"Beliau (Rosmah) harus memainkan peranan untuk membantu negara dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dalam kerja-kerja sampingan yang memberi kepentingan kepada negara," katanya.

Rais berkata adalah tanggungjawab pihaknya untuk menerangkan kepada rakyat mengenai status kepentingan lawatan Rosmah dalam membantu negara.

Beliau berkata secara tidak langsung lawatan sedemikian dapat merapatkan hubungan antara Malaysia dengan negara luar, serta membantu mengharumkan nama di persada antarabangsa yang akan membawa perkembangan yang baik kepada negara.

Rosmah dilaporkan berkata beliau tidak terganggu dengan komen negatif yang dilemparkan terhadapnya berhubung lawatan rasminya ke luar negara kerana semua lawatannya itu diatur selepas menerima jemputan daripada kerajaan atau menteri wanita sesebuah negara yang terlibat.

-- BERNAMA



[MUTAKHIR, 21 Jan.]

MUSCAT, 20 Jan (Bernama) -- Datin Seri Rosmah Mansor berkata beliau tidak terganggu dengan komen negatif yang dilemparkan terhadap beliau berhubung lawatannya ke seberang laut.

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu berkata semua lawatannya diatur selepas beliau menerima jemputan daripada kerajaan atau menteri wanita sesebuah negara yang terlibat.

Bercakap kepada media Malaysia pada akhir kunjungan empat hari ke Oman pada Rabu, Rosmah berkata beliau akan membuat lawatan itu apabila diperlukan bagi menyampaikan ucaptama di majlis-majlis tertentu.

"Jadi, biar mereka kata apa yang mereka nak kata, tapi saya rasa bahawa lawatan ini sangat berfaedah bukan sahaja kepada kita tetapi kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau malah parti apapun yang mereka wakili," katanya menyentuh mengenai lawatannya terutama ke Oman.

"Saya berada di sini bukan untuk mewakili seksyen tertentu masyarakat tetapi kami di sini mewakili rakyat Malaysia," kata Rosmah menjelaskan bahawa beliau dan anggota rombongannya diterima baik di sini dan pemerintah Oman, Sultan Qaboos Bin Said, sendiri mengambil berat lawatan itu.




[POSTING ASAL]

PEMBAHAS “Bawal” dalam perbincangan mengenai tajuk “”Hantu” PRU Ke-13 Bagi BN dan PR.” antara lain, berkata: “komen la sikit pasal lawatan bini PM ke Timur Tengah. Ini lawatan rasmi Dato', siap ada perjumpaan ngan Timbalan Menteri kat sana.

Dah takde ke menteri kat Malaysia ni atau Jawatan sebagai bini PM adalah jawatan kerajaan.”

Terima kasih Sdr Bawal. Sebenarnya beberapa orang pembahas lain juga turut membangkitnya hal ini dan isu-isu lain yang melibatkan kegiatan dan tindak-tanduk isteri Perdana Menteri.

Seperti yang telah tegaskan berulang kali, dalam sistem kita tidak ada satu jawatan yang dipanggil “First Lady” atau Wanita Pertama. Kalaupun ada seorang yang boleh diberikan jolokan “First Lady” atau Wanita Pertama, orang itu adalah Seri Paduka Raja Permaisuri Agung kerana “First Gentleman” atau Lelaki Pertama dalam sistem kita adalah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

Hak Guna Duit Negara

Mengenai bolehkah duit negara digunakan membiayai lawatan dan kegiatan isteri Perdana Menteri, saya ingin merujuk Sdr Bawal dan para pembaca sekalian kepada laporan New Straits Times pada 12.11.2010 yang berbunyi:

“NO permanent or contractual staff are provided for Datin Seri Rosmah Mansor, wife of Prime Minister Datuk Seri Najib Razak.


In a written reply to Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera), Najib said officers from his office sometimes helped his wife in carrying out her official duties.


However, the Members of Parliament (Remuneration) Act 1980 states that the prime minister's wife is entitled to claim food, lodging and winter apparel allowances when she accompanies her husband on his official duties overseas.”

(Tidak ada pegawai tetap atau kontrak diperuntukkan kepada Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dalam jawapan bertulis kepada Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera), Najib berkata pegawai dari pejabatnya kadang kala membantu isterinya menjalankan tugas rasminya.

Bagaimanapun, Akta Ahli Parlimen (Gajian) 1980 mengatakan isteri Perdana Menteri berhak membuat tuntutan elaun makan, penginapan dan pakaian musim sejuk apabila mengiringi suaminya dalam tugas rasmi di luar negara.”)

Terpulanglah kepada pembahas dan pembaca membuat interpretasi dan mencari kesimpulan mengenai lawatan Rosmah ke Asia Barat tanpa diiringi oleh Perdana Menteri.

Cadangan Rosmah Masuk Politik

Dalam bahas blog ini, ada beberapa pembahas mencadangkan agar Rosmah masuk politik dan bertanding pilihan raya umum akan datang. Bagi saya, cadangan sebegini bukan jenaka tetapi boleh dilihat sebagai sesuatu yang serius dan berkemungkinan berlaku.

Malah seorang bekas menteri kanan yang diketahui cucup akrab dengan Mohd Najib dan Rosmah berkata isteri Perdana Menteri itu berpengaruh dan berpotensi memanfaatkan kedudukan istimewanya untuk satu peranan yang lebih besar.

Kita boleh bincang dan bahas hal ini, tatapi saya minta tolong berhati-hati dan bersopan santun. Saya tidak akan menyiarkan ulasan yang berunsur fitnah dan hasutan yang boleh membawa padah.

Soalnya kenapa tidak Rosmah? Buat permulaan, beliau sudah pun mempunyai profil yang cukup tinggi dan mempunyai kedudukan de fakto dalam sistem pemerintahan negara memalui Projek Permata Negara untuk kanak-kanak pintar yang mendapat peruntukan langsung dari Perbendaharaan sebanyak RM111 juta dalam belanjawan 2011 dan RM100 juta pada 2010. Beliau juga memperoleh dan menikmati liputan berita yang cukup rapi dan meluas daripada media massa arus perdana.

Kenapa tidak? Bukankah sudah wujud gandingan suami-isteri dalam landskap politik Malaysia iaitu Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah Wan Ismail? Malahan, gandingan bapa-emak dan anak pun sudah ada – Anwar, Wan Azizah dan Nurul Izzah.

Selain itu wujud dinasti politik lain seperti gandingan Lim Kit Siang dengan Lim Guan Eng, Karpal Singh dengan Gobind Singh Deo dan Jagdeep Singh Deo. Malah Mohd Najib, Anwar, Hishammuddin Hussein, Mukhriz Mahathir dan ramai lagi adalah pewaris dinasti politik.

Jadi kenapa tidak Rosmah? Kalau Rosmah tidak ada peranan yang berkesan dan definitif, masakan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew, membuat pertemuan khas dengan beliau dalam rangka lawatannya ke Malaysia pada tahun 2009 dan secara terbuka mengiktiraf kesepakatan Rosmah-Mohd Najib?

Jadi apa salahnya atau memeranjatkan sangat jikalau Rosmah bertanding pilihan raya dan akhirnya menjadi pengganti suaminya?

Gandingan Ahli Keluarga Perkara Biasa


Hal ini berlaku bukan sahaja di Singapura di mana Lee Hsien Loong menjejaki bapanya menjadi Pardana Menteri, malah ia juga berlaku di banyak negara di dunia.

Contohnya di India di mana Indira Gandhi menjejaki bapanya Jawaharlal Nehru, menjadi Perdana Menteri. Indira digantikan pula oleh anaknya Rajiv Gandhi. Indira dan Rajiv kedua-duanya mati dibunuh. Kini isteri Gandi, Sonia seorang keturunan Itali menjadi Presiden parti pemerintah, Indian National Congress dan anak mereka, Rahul adalah Ahli Parlimen dan diuar-uarkan sebagai bakal Perdana Menteri.

Di Sri Lanka, Chandrika Bandaranaike Kumaratunga yang menjadi Presiden dari 1994 hingga 2005 adalah anak kepada dua Perdana Menteri -- bapanya S.W.R.D Bandaranaike dan ibunya Sirimavo Bandaranaike.

Di Filipina, apabila calon Presiden Benigno “Ninoy” Aquino dibubuh, isterinya, Corazon Aquino bertanding dan menang. Kini anak mereka, Benigno Aquino III, menyandang jawatan itu. Presiden Gloria Macapagal-Arroyo pula adalah anak Presiden Diosdado Macapagal.

Sheikh Hasina Wazed, Perdana Menteri Bangladesh sekarang adalah anak sulung Sheikh Mujibur Rahman, pengasas dan Presiden pertama negara itu manakala Begum Khaleda Zia, bekas Perdana Menteri, adalah janda Presiden Ziaur Rahman yang dibubuh.

Di Pakistan, Allahyarhamah Benazir Bhutto menduduki kerusi yang pernah diisi bapanya, Zulfikar Ali Bhutto sebagai Perdana. Zulfikar mati di tali gantung, Benazir mati dalam pengeboman bunuh diri.

Di Argentina, Presiden NĂ©stor Carlos Kirchner digantikan oleh isterinya Cristina Fernandez de Kirchner. Eva “Evita” Peron hampir menjadi Naib Presiden Argentina di samping suaminya kalau tidak kerana mati batuk kering.

Kini, isteri Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono, Ibu Kristiani Herawati diuar-uarkan akan bertanding jawatan Presiden apabila tempoh perkhidmatan suaminya tamat.

Tidak Mustahil Rosmah Jadi PM

Kesimpulannya, adalah tidak mustahil Rosmah Mansor atau mana-mana wanita selebriti bertanding pilihan raya dan, jika dikehendaki oleh majoriti pembesar parti mereka, dicalonkan sebagai Perdana Menteri.

Saya rasa pembangkang pun akan pening kepala kalau Rosmah bertanding. Hubungan beliau yang akrab dengan bintang-bintang Bollywood, boleh digunakan untuk menarik puluhan ribu hadirin ke ceramah-ceramah pilihan rayanya.

Yang perlu hanya membawa bintang-bintang filem Bollywood dalam kempen beliau. Selain itu, beliau juga seorang penyanyi yang bagus yang tentunya boleh memikat hati pengundi Melayu yang rata-rata gilakan Bollywood dan sukakan hiburan.

Kalau negara Islam yang lebih besar dan konservatif seperti Pakistan dan Bangladesh boleh menerima Perdana Menteri dan Presiden wanita, pastinya Malaysia yang lebih progresif tidak akan menolak kepemimpinan wanita.

Hatta Pas pun sedang hebat mempromosikan penyertaan wanita dalam hierarkinya manakala PKR sudah pun dipimpin oleh wanita. Wallahualam.

kadirjasin.blogspot.com

No comments: