ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Monday, March 21, 2011

Kad kredit: Prestij atau bencana

Ibnu Lazim

Langkah terbaru Bank Negara menguatkuasakan serta-merta peraturan baru kad kredit memperlihatkan gejala penggunaan kad kredit di kalangan rakyat Malaysia sudah mencapai tahap yang membimbangkan. Sejumlah besar anak-anak muda kita yang diisytiharkan muflis adalah akibat dari penggunaan kad kredit yang tidak terkawal. Walaupun ada kajian terbaru yang menunjukkan bahawa kemudahan pinjaman kereta tanpa deposit adalah penyumbang besar kepada kemuflisan itu. Namun dari kajian keseluruhan sebelum itu, kad kredit adalah penyumbang terbesar kepada gejala ini yang dialami oleh anak-anak muda kita khasnya bangsa Melayu.

Antara langkah terbaru yang diumumkan oleh Bank Negara ialah menaikkan had minimum pendapatan tahunan dari RM18,000 kepada RM24,000 setahun bagi kelayakan untuk pemohon baru untuk mendapatkan kemudahan kad plastik itu (Berita Harian, 19 Mac 2011). Peraturan lain ialah mereka yang berpendapatan sehingga RM36,000 samada pemohon baru atau pemegang kad yang sedia ada, hanya layak memegang kad itu dari dua bank sahaja. Sebelum ini ada yang memegang hingga lapan kad kredit dalam satu-satu masa. Timbalan Gabenor Bank Negara, Nor Shamsiah Mohd Yunus pada taklimat medianya kelmarin berkata, berikutan langkah itu, pemegang kad berpendapatan RM36,000 setahun atau kurang yang mempunyai kad kredit lebih dari dua bank diberi tempuh sehingga hujung tahun ini untuk mengurangkannya kepada dua bank sahaja.”Golongan ini diberi masa dua tahun untuk menyelesaikan baki tertunggak untuk kad yang dibatalkan itu,” katanya. Kira-kira 50% dari 3.2 juta pemegang kad kredit di Malaysia ketika ini mempunyai mempunyai pendapatan tahunan RM36,000 atau pun kurang dari itu.

Kad Kredit menurut Kamus Oxford adalah satu kad yang dikeluarkan oleh bank atau mana-mana pihak lain yang mana ia memberi kemudahan kepada pemegangnya untuk memperolehi barang-barang keperluannya secara tangguh bayaran (hutang) (2009, Adil Akhyar). Manakala hutang dari sudut syarak menurut takrifan AlQadhi Ibnu Arabi ialah urusan pemindahan hak milik (secara jual beli atau seumpama dengannya) yang mana salah satu pihak secara tunai manakala pihak yang kedua secara tangguh di atas tanggungannya (dengan masa yang ditetapkan atau pun tidak).

Takrif yang dikeluarkan oleh Ketetapan Majlis Kesatuan Fiqh Sedunia bagi kad kredit adalah satu bentuk penyata sandaran (penyata keterangan) yang diiktiraf, diberikan oleh pengeluar kepada mana-mana individu atau pihak yang diiktiraf melalui kontrak kepada kedua-dua belah pihak di mana ia membolehkan pemegangnya membuat pembelian barangan atau khidmat-khidmat dari semua pihak yang mengiktiraf pennyataan sandaran (kad kredit) tadi, tanpa perlu membuat pembayaran tunai kerana ia mengandungi jaminan pembayaran dari pihak pengeluar (2009,Aidil Akhyar).

Kad kredit dan hukum syariah

Secara am, kontrak yang dibuat di antara pemegang kad, pengeluar dan pihak ketiga adalah diiktiraf dalam pandangan Islam. Pandangan yang terkuat dalam hal ini adalah hubungan AlKafalah (jaminan), di mana Kafil adalah penjamin atau pengeluar kad, makful ialah yang dijamin iaitu pemegang kad, dan makful lahu adalah peniaga. Semua adalah diiktiraf dan sah di sisi Islam. Kesannya, semua pembelian yang dibuat dengan kad ini, pihak peniaga tiada lagi hak tuntutan ke atas pemegang kad, kerana hak itu telah berpindah kepada pengeluar kad. Maka peniaga tidak harus menuntutnya dari pemegang kad. Demikian pandangan yang diambil pengertiannya dari Hassan AlBasri, Ibnu Sirin, Ibnu Hazm dan majoriti fuqaha (2009, Aidil Akhyar).

Yuran penyertaan, pembaharuan dan penukaran kad

Yuran itu hukumnya harus, tidak ada masalah dari sudut syarak. Ia dianggap sebagai upah yang telah ditetapkan oleh pihak pengeluar terhadap khidmat yang disediakannya. Juga harus jika terdapat perbezaan jumlah yuran khidmat bergantung kepada perbezaan jenis khidmat, tetapi dengan syarat jumlah kos tersebut mestilah setara dengan khidmat yang diberikan, jika ia melebihi kos khidmat yang diberikan, jadilah ia riba yang diharamkan.

Ada pula pihak bank pengeluar kad meletakkan syarat dalam kontraknya dengan para peniaga sejumlah kos tertentu dalam bentuk peratusan yang dipotong dari bil peniaga, yang mana biasanya berlegar di sekitar 2 hingga 8 peratus. Hasilnya , apabila peniaga membuat tuntutan kepada bank pengeluar, maka bank akan segera menunaikan bil iaitu setelah dipotong jumlah kos yang dibicarakan tadi. Kemudian pihak bank akan menuntut kos asal (tanpa potongan) dari pemegang kad .Hukumnya harus berdasarkan pendapat mazhab Hanafi yang sah (Fatawa Hindiyyah), juga fatawa AlBazaziyah, AlMabsut dan lain-lain).

Budaya berhutang dalam masyarakat kini

Hari ini kehidupan manusia termasuk individu dan masyarakat amat jarang terlepas dari masalah hutang. Sekurang-kurangnya ketika membeli rumah dan kereta mereka berhutang. Antara lain ini disebabkan kedua-dua keperluan itu agak mahal harganya dan jarang ahli masyarakat kita dapat membelinya secara tunai. Islam pula tidaklah melarang umatnya berhutang, bahkan mengharuskannya ketika seseorang itu berhadapan dengan kesempitan hidup yang melinatkan masalah kewangan. Dan ayat AlQuran tentang hutang adalah paling detail dan panjang sekali sehingga memakan satu muka dihuraikan tentang hutang dan permasalahannya sahaja iaitu ayat 282 Surah Al Baqarah.

Namun begitu Islam mengharamkan riba, walaupun menghalalkan jual beli seperti dalam ayat yang bermaksud “ Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.” Namun dalam suasana ekonomi kini sukar sekali kita mengelak dari tempias riba itu, hatta bank Islam sendiripun tidaklah seratus peratus terlepas dari riba. Dalam keadaan dharurat seperti ini kita dibolehkan dengan kaedah bila sesuatu perkara itu sudah begitu meluas sehingga kita tidak dapat lari darinya maka dibolehkan kita mengambilnya, namun kita harus meminimakan riba itu sedapat mungkin. Ia juga berdasarkan kaedah syariah bahawa setisp dharurat itu ditentukan dengan kadarnya.

Kad kredit dan budaya berhutang

Seperti yang telah disinggung di atas, penggunaan kad kredit adalah diharuskan oleh Islam. Namun sesetengah ahli masyarakat kita berbangga dengan penggunaan kad ini yang seringnya akan menimbulkan masalah, khasnya apabila penggunaannya tidak dikawal. Mereka yang memiliki kad kredit tentulah mempunyai kemampuan kewangan yang tinggi, jika tidak pihak bank tidak akan membenarkan penggunaannya. Namun kad plastik ini boleh menyebabkan unsur riba berleluasa di kalangan masyarakat, khasnya apabila pengguna atau pemilik kad itu membuat pembayaran minimum sahaja pada setiap bil yang dihantar oleh pihak bank. Apabila ini terjadi, baki yang masih tinggal dalam akaun seseorang itu akan dikenakan caj dalam kadar tertentu, biasanya 1.5% sebulan atau 18% setahun. Apabila ini berlaku caj atau bunga yang dikenakan kepada pemilik kad adalah riba, kerana ianya adalah tambahan kepada baki yang tinggal dengan peratus tertentu. Lama kelamaan hutang pemilik kad akan semakin meningkat dan akhirnya akan menimbulkan masalah bila pemilik tidak lagi mampu membayar hutang yang kian bertompok itu. Di sinilah kemungkinan diisytiharkan muflis itu timbul.

Namun jika seseorang pemegang kad membayar semua jumlah yang tertera dalam bil bulanannya, pihak bank tidak akan mengenakan apa-apa caj kecuali pada proses pembelian pertama sahaja. Maka di sini seseorang itu tidak dapat dikenakan caj atau riba oleh pihak bank walaupun syubhat adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Sebab itulah agaknya dalam satu kenyataannya Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyarankan penggunaan kad debit . Kad debit boleh mengawal keseimbangan tunai dan mengelakkan dari berhutang (Kosmo, 19 Mac 2011). Selain kad debit, kad caj seperti Dinners Club adalah lebih baik dari kad kredit, kerana pemiliknya harus membayar kesemua jumlah transaksi pada setiap bil bulanan yang diterima. Hal ini dapat mengelakkan dari gejala hutang dan dikenakan kadar bunga yang tinggi.

Kesimpulan

Penggunaan kad kredit tidaklah dilarang oleh Islam seperti yang telah dijelaskan di atas, namun apa yang penting adalah cara penggunaannya dan kawalan berbelanja dalam penggunaan kad kredit. Penggunaan kad kredit sebenarnya memperlihatkan kita tidak bijak mengurus wang dalam kehidupan sehrian. Ini termasuklah pinjaman peribadi yang ditawarkan oleh pihak bank dan koperasi. Kita seharusnya mengelak dari kedua-duanya agar ia tidak menjerat diri kita sendiri pada masa hadapan. Penggunaan kad kredit dan pinjaman peribadi adalah merupakan kelemahan dalam pengurusan kewangan di mana kita mungkin suatu hari terjebak dalam gejala muflis, sesuatu yang harus dielakkan oleh semua orang (2009, Azizi Ali). Walaupun Islam membenarkan berhutang, tetapi berhutang akan merendahkan taraf seseorang itu dalam kehidupannya sebagai manusia yang terhormat, bebas dan merdeka dari sebarang ikatan, kecuali ikatan dengan Allah Subhanahu Wa Taala.

harakahdaily,net/v2/

No comments: