Kesinambungan Pemahaman Dasar Luar Amerika Syarikat Terhadap Malaysia
Oleh: Lino Miani
Dasar Luar Negara A.S. Dari Sudut Akademik
Ekoran peristiwa serangan terhadap Amerika Syarikat pada 11 September 2001 dan Perang Sedunia Bagi Menentang Keganasan yang menyusulinya, perhubungan Malaysia dengan negara-negara Barat, khususnya Amerika Syarikat, telah menghadapi beberapa cabaran yang tidak wujud sebelum itu. Adakalanya kedua-dua belah pihak seakan-akan kebuntuan dan gagal menyampaikan mesej yang ingin disampaikan. Sesetengah pihak beranggapan bahawa keadaan ini adalah akibat pertembungan antara dua tamadun yang tidak memungkinkan sebarang persefahaman bersama. Namun, pandangan ini tidak mengendahkan langsung tradisi saling interaksi aman yang sudah lama wujud dari segi ekonomi, politik, dan juga pertahanan. Dari segi hubungan Malaysia-A.S., tradisi kerjasama dalam bidang pertahanan dalam bentuk pertukaran para pegawai dan latihan bersama oleh pihak angkatan tentera dan polis dari kedua-dua buah negara masih berterusan sehingga ke hari ini. Memandangkan imbangan kuasa dunia kini semakin menjurus ke arah timur dan Malaysia semakin hampir mencapai matlamat pembangunan sebagaimana yang dirangkakan dalam Wawasan 2020, sudah tiba masanya hubungan budaya dan sosial antara kedua-dua buah negara ini diperkembangkan lagi supaya menjadi lebih bermakna. Dari segi inilah saya memainkan peranan.
Hubungan saya dengan Malaysia bermula sejak tahun 2004 apabila saya tiba ke sini buat kali pertama untuk menyertai beberapa latihan bersama dengan Tentera dan Polis Malaysia. Saya berpangkat Major dalam Tentera Amerika Syarikat dan veteran dalam misi-misi yang serupa di beberapa negara Asia Tenggara yang lain. Walaupun dengan pengalaman saya yang agak luas di rantau ini, saya masih berasa terpegun dengan keindahan Putrajaya yang tersergam (di mana saya menghadiri suatu mesyuarat) dan amat tertarik dengan kecekapan para pentadbir Malaysia serta mutu tinggi para pegawai polis dan askar-askar yang berlatih bersama-sama saya. Oleh itu, bila saya diberi peluang untuk kembali ke Malaysia, saya dengan berbesar hati menerima jawatan tetap di sini sebagai sarjana Yayasan George dan Carol Olmsted.
Biasiswa Yayasan Olmsted
Pengalaman beliau di China dan India semasa Perang Dunia Kedua telah memberikan ilham kepada Major Jeneral George Olmsted yang bertugas dalam Tentera A.S. untuk menubuhkan Yayasan George dan Carol Olmsted pada tahun 1957. Yayasan ini bertujuan menyediakan perkhidmatan bantuan kepada para pegawai Amerika yang tidak biasa dengan budaya-budaya asing. Beliau merupakan seorang usahawan sebelum dan selepas Perang Dunia Kedua dan berpegang pada prinsip bahawa seseorang pemimpin yang terbaik perlu mempunyai pelajaran yang luas. Justeru itu, beliau telah membentuk Program Sarjana Olmsted bagi memaksimumkan pemahaman para sarjana dari segi bahasa, budaya, dan politik wilayah yang dipelajari. Program ini memberi peluang kepada para pegawai tentera Amerika untuk mengikuti pengajian peringkat sarjana di luar negara. Peruntukan belanja yang disediakan termasuk latihan bahasa, tuisyen, dan kos perjalanan di rantau tersebut supaya para sarjana dapat menghayati sendiri dinamik negara tuan rumah.
Sebagai pegawai tentera yang terlibat dalam suatu program akademik yang amat mengkhusus, para sarjana Olmsted berpeluang untuk bergaul dengan keratan lintang masyarakat yang amat luas di negara tuan rumah. Mereka akan menjalinkan hubungan dengan masyarakat akademik dan keselamatan, para menteri kerajaan, para usahawan, kor diplomatik antarabangsa, malahan juga kerabat diraja. Para sarjana Olmsted membentuk hubungan peribadi sepanjang hayat dengan rakan-rakan sejawat di negara tuan rumah, iaitu pertalian peribadi yang amat penting bagi merapatkan jurang perbezaan antara budaya. Apabila rakan-rakan sejawat ini semakin meningkat pengaruh mereka dalam bidang akademik, politik, ketenteraan, dan perniagaan, mereka akan membentuk suatu potensi ke arah persefahaman yang lebih tinggi dan menjadi talian hubungan langsung antara negara-negara mereka dan Amerika Syarikat.
Yayasan Olmsted dan Malaysia
Pada tahun 1959, iaitu dua tahun selepas penubuhan yayasan Olmsted, enam orang sarjana telah memulakan pengajian mereka di luar negara. Pada waktu itu, Eropah Barat merupakan satu-satunya kawasan penting dari segi strategi yang mampu menawarkan keselamatan dan institusi-institusi akademik bagi penempatan para sarjana Olmsted. Rantau di Asia dan Amerika Latin pada ketika itu masih tidak tenteram dan Perang Dingin pula menghalang para sarjana ditempatkan di universiti di negara-negara Pakatan Warsaw. Lima puluh tahun kemudian, agihan para sarjana Olmsted telah mencerminkan keruntuhan Tabir Besi. Ini disusuli pula dengan kemunculan secara mendadak negara-negara membangun di seluruh dunia yang memperlihatkan peningkatan bilangan sarjana yang mengikuti pengajian di Afrika, bekas Kesatuan Soviet, Timur Tengah, Amerika Selatan, dan Asia khususnya. Sepanjang sejarah 50 tahun program ini, seramai 508 sarjana Olmsted telah melanjutkan pengajian mereka di 58 buah negara menggunakan 42 bahasa asing. Sepanjang lima tahun kebelakangan ini sahaja, peratusan sarjana yang mengikuti pengajian di Asia Timur dan Asia Selatan telah meningkat kepada 40 peratus, iaitu peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding dekad sebelumnya.
Saya amat berbangga untuk menyatakan bahawa saya merupakan Sarjana Olmsted yang pertama di Malaysia tetapi saya bukanlah yang terakhir. Pengalaman berharga yang saya peroleh di sini telah meyakinkan Yayasan Olmsted untuk menghantar Sarjana kedua yang akan memulakan pengajiannya di Universiti Malaya (UM) pada bulan Julai tahun ini. Seperti saya, beliau juga akan mengikuti pengajian peringkat sarjana dalam Kajian Strategi dan Pertahanan di Jabatan Kajian Antarabangsa dan Strategi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial. Saya beranggapan bahawa beliau telah membuat pilihan yang baik. Ini kerana Jabatan tersebut secara konsisten telah berjaya mengekalkan tarafnya dalam senarai 100 program kajian antarabangsa terbaik di dunia serta mempunyai khidmat pakar tentang keselamatan Asia di kalangan yang paling dihormati di rantau ini.
Ramai di kalangan kenalan saya di Malaysia (dan juga beberapa rakan senegara) telah bertanya kepada saya mengapa saya memilih untuk melanjutkan pelajaran di sini walhal ramai di antara rakan pegawai tentera telah menerima fellowship bagi program-program berprestij di Harvard, Georgetown, Johns Hopkins, dan lain-lain. Walaupun saya boleh menyertai Berkeley atau Columbia, di UM saya berpeluang berinteraksi dan menyertai perbincangan sebelah malam tentang isu-isu kontemporari yang rumit berkaitan keselamatan sedunia dengan rakan-rakan kelas dari dua belas buah negara seperti Timur Tengah, Afrika, Eropah, dan juga Asia Selatan, Asia Tengah dan Asia Timur. Saya percaya bahawa persekitaran yang sedemikian, di mana saya berada di kalangan rakan-rakan sejawat dari seluruh dunia, adalah lebih mencabar dari segi intelektual dan lebih mencerminkan pelbagai budaya dan politik sedunia berbanding apa yang saya akan alami di dalam kelas di Amerika Syarikat.
Renungan Pengalaman Selama Tiga Tahun di Malaysia
Salah satu matlamat Program Sarjana Olmsted adalah bagi “meningkatkan kepekaan [sarjana] terhadap sudut pandangan, budaya, dan kebimbangan masyarakat di seluruh dunia.” Secara peribadi, saya percaya bahawa program ini telah berjaya mencapai matlamat tersebut dan saya telah banyak meraih manfaat daripada pengalaman saya di negara yang menarik dan menakjubkan ini. Saya berharap dan berdoa agar pemahaman yang saya peroleh di sini akan dapat membantu saya dalam usaha mencari penyelesaian terhadap masalah-masalah keselamatan bersama yang dihadapi oleh kedua-dua buah negara, baik di masa kini mahupun di masa hadapan.
http://tunteddy.blogspot.com
No comments:
Post a Comment