ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Thursday, June 2, 2011

IKHWAN MUSLIMIN DAN POLITIK BARU MESIR
OLEH:DR.SYED AZMAN SYED AHMAD


MINGGU ini saya berada di Kaherah bagi memenuhi
jemputan menghadiri perasmian Markas
Al-Am Ikhwan Muslimin atau ibu pejabat Pusat
Ikhwan Muslimin. Bangunan tujuh tingkat yang
indah serta berdiri gah di tengah-tengah kota
Kaherah itu melambangkan kebangkitan semula
gerakan Islam yang tertua ini telah kembali ke
persada politik perdana Mesir selepas kejatuhan
rejim Hosni Mubarak.

Ya, memang sesuatu yang tidak pernah di
impikan walaupun 6 bulan lalu apabila saya
dapat hadir secara bebas serta tanpa sebarang
gangguan dari pihak keselamatan Mesir yang
terkenal ganas dan tidak berperikemanusiaan.
Apatah lagi menjadi tetamu kepada Ikhwan
Muslimin, pertubuhan yang 6 bulan lalu dianggap
sebagai ‘pertubuhan haram’ dan menjadi ancaman
bahaya kepada rejim Mubarak. Begitu juga
dengan ribuan ahli serta penyokong Ikhwan yang
berpusu-pusu hadir dengan membawa bendera
hijau berlambangkan dua pedang berserta slogan
‘bersiap segeralah’ yang menjadi ikrar perjuangan
Ikhwan Muslimin sejak sekian lama.

Selain dari Murshid Ikhwan Dr Mohamed
Al-Badae’, ramai lagi pimpinan Ikhwan yang turut
hadir di majlis tersebut. Ustaz Mehdi Akif, Saiful
Islam al-Banna, Dr Mohd Ezzat serta Dr Kamal
Helbawy turut juga merayakan suasana politik
baru Mesir ini.

Bayangkan! Kalau 6 bulan lalu tidak mungkin
rakyat berani menyebut nama Ikhwan Muslimin
secara terbuka. Apatah lagi hadir di majlis-majlis
yang dianjurkan oleh mereka. Kini selepas kejatuhan
rejim Mubarak suasana politik baru ini amat
terasa di seluruh Mesir.

Sesungguhnya nama Ikhwan Muslimin amat
sinonim dengan pemimpin-pemimpin agung
seperti Hassan Al Banna, Syed Qutb, Abdul Qadir
Audah serta pimpinan yang lain. Ia mempunyai
sejarah serta pengaruh yang amat besar di bumi
Mesir serta rantau Arab secara keseluruhannya.
Sejak ia ditubuhkan oleh Hassan Al Banna
pada tahun 1927 ikhwan telah berkembang di
seluruh pelusuk dunia dengan pemikiran tajdid
atau perubahan terutamanya selepas kejatuhan
kerajaan Islam Othmaniah. Pemikiran serta pengaruh
yang dibawa oleh Hassan Al Banna telah
menggerakkan satu cetusan kebangkitan baru di
kalangan masyarakat Arab di rantau tersebut.
Namun kisah kezaliman, penyeksaan dan
penderitaan yang amat perit bukan hanya ditanggung
Hassan Al-Banna tetapi seluruh generasi
Ikhwan. Ianya penuh dengan air mata, penjara,
darah, tali gantung, pengharaman dan pembunuhan
kejam. Ramai pimpinan mereka yang
dibunuh termasuk pengasasnya Hasan Al Banna
dan Syed Qutb ada yang sebahagian yang dikenakan
hukuman penjara serta dibuang negara
ke serata dunia.

Namun kini dengan suasana politik baru di
seluruh Mesir,ruang kebebasan bersuara semakin
terserlah.Seluruh rakyat kini telah hilang rasa ‘takut’
mereka dan dapat menyuarakan pandangan
mereka secara bebas dan kritis tanpa sebarang
ancaman atau ugutan serta ditangkap oleh pihak
keselamatan Mesir. Media massa perdana serta
para wartawan akhbar utama Mesir juga bertambah
bebas dan tidak lagi hanya bekerja dengan
menjadi alat propaganda rejim Mubarak.

Ikhwan Muslimin juga sedang memanfaatkan
ruang kebebasan ini dengan mengatur persiapan
bagi menghadapi pilihan raya Presiden dan
dijangka akan bertanding sekurang-kurangnya 50
peratus kerusi Parlimen pada September ini. Mereka
telah mendaftarkan sebuah parti baru, iaitu
‘Al-Hurriyat Wal Adalah’ (Parti Kebebasan dan
Keadilan) untuk turut terlibat secara demokratik
dalam pilihan raya Mesir.Perkembangan tersebut
sejajar dengan nafas dan udara kebebasan yang
dapat dirasakan dengan baik di seluruh Mesir
kini, setelah rakyat berjaya menumbangkan
rejim Mubarak dengan revolusi rakyat 25 Februari
lalu.

Kini Ikhwan Muslimin bawah pimpinanDr.
Mohamed Al-Badieítelah mengambil pendekatan
politik yang bersifat ‘engagement’ atau berdailog
dan bergerak aktif secara terbuka di serata Mesir.
Pendekatan ini telah membuahkan hasil yang
amat positif. Mereka terlibat secara langsung
dalam proses pembinaan semula politik Mesir
selepas kejatuhan rejim Mubarak. Mereka turut
sama terlibat dalam melakar semula perlembagaan
Mesir yang menjurus kepada sistem demokrasi
dan pilihan raya yang adil dan bersih. Pendekatan
baru ini telah meletakkan mereka menjadi parti
yang amat disegani di seluruh Mesir.

Saya meninggalkan koto Kaherah dengan
penuh kenangan yang pilu tetapi menggembirakan.
Apa tidaknya. Apabila saya berpeluang
bertemu kembali pimpinan Ikhwan yang dipenjara
selama 20 hingga 30 tahun, ada yang
di buang negeri dan tidak dibenarkan memijak
bumi Mesir lebih 30 tahun. Mereka kini mereka
kembali bertemu dengan penuh kegembiraan
walaupun dengan bertongkat dan berkerusi roda
merayakan sejarah politik baru Mesir selepas
kejatuhan rejim yang zalim dan kejam.Politik
baru yang akan merubah segala-galanya bukan
sahaja di Mesir tetapi seluruh Dunia Islam bagi
meleraikan penguasaan dan hegemoni Kuasa
Besar Barat khususnya Amerika Syarikat, Britain
dan sekutu mereka.

HARAKAH,BIL.1643,27-29 MEI,2011.

No comments: