Sistem ekonomi Negara Kebajikan
Oleh:Hishamuddin Rais
TIBA-TIBA Negara Kebajikan menjadi isu perbincangan. Ini adalah hasil dari keputusan Muktamar PAS tahun 2011 yang baru selesai dua minggu lalu. Hasil dari Muktamar ini umum telah diberitahu bahawa PAS akan membawa Negara Kebajikan sebagai akidah perjuangan.
Bila sahaja PAS mengajukan Negara Kebajikan kepada umum, dengan serta merta United Malays National Organisation bangun mengaku bahawa dasar ini telah mereka jalankan. Justeru mengikut United Malays National Organisation, PAS hanya menjadi Pak Turut.
Saya rasa memang ada warga kurang faham tentang apa sebenarnya Negara Kebajikan. Saya yakin – ramai yang kabur dan kurang faham dan mungkin menjadi sasau apabila United Malays National Organisation mengakui bahawa mereka telah menjalan dasar Negara Kebajikan.
Jika dasar yang sedang dilakukan oleh United Malays National Organisation ini sebagai agenda Negara Kebajikan, ini bermakna warga Palestin di Gaza juga hidup dalam Negara Kebajikan.
Hampeh. Pengakuan United Malays National Organisation ini betul-betul mengelirukan ramai warga. Pengakuan United Malays National Organisation ini sama seperti George Bush mengakui yang dia menyerang Iraq untuk membawa demokrasi dan keamanan. Justeru, ciri pertama Negara Kebajikan ialah apa sahaja dasar yang sedang dilakukan oleh United Malays National Organisation ianya bukan Negara Kebajikan.
Sesudah kita semua menyedari ‘cakap tipu’ United Malays National Organisation ini, biar saya sambung penerangan tentang Negara Kebajikan. Sesebuah Daulah wujud berasaskan ekonomi. Dalam dunia nyata kita pada hari ini, hanya ada dua bentuk sistem ekonomi. Ekonomi kapitalis dan ekonomi sosialis. Ini adalah dua sistem ekonomi induk. Yang lain lain hanyalah pecahan dari sistem ekonomi ini.
Ekonomi kapitalis berpaksikan keuntungan maksima. Keuntunganlah yang mengemudikan arah dan dasar negara yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis. Manakala sistem ekonomi sosialis berpaksikan kepada kebajikan ramai. Justeru negara atau daulah yang mengamalkan sistem ekonomi sosialis akan menjadikan kebajikan ramai sebagai pedoman.
Tanah Melayu pada satu ketika dahulu adalah negara bersistemkan ekonomi feudal – sistem ekonomi ini muncul sebelum ekonomi kapitalis. Raja menjadi kepala yang mewakili seluruh kehidupan hidup. Raja berkuasa memungut cukai. Raja berhak memiliki tanah. Maka lahirlah budaya Melayu yang melambang sistem ekonomi feudal ini. Justeru kita melihat orang Melayu tunduk kepada Raja walaupun Raja itu hampeh. Hingga ke hari ini, saki baki budaya yang dilahirkan oleh sistem ekonomi feudal itu masih wujud sebagai bukti.
Di negara-negara tandus berpadang pasir seperti Saudi Arabia telah muncul satu budaya dan tamadun yang berpaksikan ekonomi padang pasir. Di Khutub Utara yang sejuk bersalju telah melahirkan budaya dan tamadun negara bangsa warga Eskimo. Amat jelas bahawa sistem ekonomilah yang melahirkan tamadun negara bangsa.
Saya tidak perlu bersuluh untuk memahami bahawa dari sistem ekonomilah munculnya budaya, moral, nilai, tatasusila dan tamadun. Semua budaya bangsa dalam dunia ini wujud hasil dari sistem ekonomi. Tamadun negara bangsa adalah cermin dari sistem ekonomi yang di sedia pakai.
Mari saya bawa kembali untuk memahami dua sistem ekonomi – kapitalis dan sosialis. Untuk saya amat jelas dua bentuk sistem ekonomi ini memiliki perbezaan yang hakiki. Malah dua sistem ekonomi ini bertentangan antara satu sama lain. Keuntungan maksima tidak boleh wujud jika kebajikan ramai ingin diberi. Dalam masa yang sama kebajikan ramai tidak mungkin wujud jika keuntungan maksima ingin dicapai.
Ini adalah hakikat pertentangan dua sistem ekonomi ini. Memang betul kita sering cuba dikelentong dengan kata-kata ‘sama sama menang’ atau ‘win win situation’. Dalam sistem ekonomi tidak wujud sama sama menang. Jika loji Lynas di Gebeng dibuka yang untung membuat kekayaan ialah syarikat Australia. Yang akan rugi warga Gebeng dan Kuantan. Mustahil syarikat Loji untung dan warga di Gebeng juga untung. Tidak pernah lagi dalam sejarah ekonomi sosialis atau kapitalis akan wujud situasi sama sama untung.
Dalam bahasa orang kampung – tidak mungkin towkay untung dan kuli juga untung. Saya tahu ada juga yang berani berkata sedemikian. Untuk saya, ini adalah kata-kata dari orang yang tidak faham asas ekonomi. Kita selalu mendengar atau membaca kata-kata – win win situation – kata-kata ini datangnya dari mulut politikus United Malays National Organisation yang kerjanya hanya menipu orang ramai.
Dalam sisem ekonomi kapitalis, pelaburan dibuat untuk membawa untung. Justeru balak ditebang untuk menguntungkan tawkey balak. Mustahil penebangan balak ini akan menguntungkan kera dan siamang dalam hutan, jauh sekali Orang Penan. Tanah sawit dibuka dikatakan untuk membawa peluang pekerjaan. Ini kata-kata dari seorang munafiq yang menyorokkan niat asalnya untuk mencari keuntungan dari tenaga buruh pekerja ladang sawit ini.
Saya amat berharap yang para pembaca yang budiman telah faham bahawa politik itu ialah ekonomi. Perebuatan kuasa politik itu ialah perebutan kuasa ekonomi. Kerana itu kempen politik adalah kempen tentang dasar ekonomi. Jika para pembaca telah memahami sudut ini maka dengan senang sekali para pembaca akan memahami apa dia politik terkini didalam negara kita.
Biar saya jelaskan disini bahawa para penyokong sistem ekonomi kapitalis tidak henti-henti merancang untuk merebut kuasa politik agar mereka dapat membolot semua punca ekonomi. Rasa saya, ini fakta yang jelas dapat kita lihat dalam budaya politik United Malays National Organisation. Justeru kaum kapitalis ini akan menyokong United Malays National Organisation parti ini menyebelahi kepentingan mereka.
Bagitu juga pendukung yang mengajukan sistem ekonomi sosialis – mereka juga akan menyusun penyokong. Kalau dalam sistem ekonomi kapitalis yang menyokong ialah kaum pemodal dan pelabur. Dalam sistem ekonomi sosialis yang menyokong ialah kaum buruh, kaum tani dan warga miskin yang hidup tanpa harta kekayaan.
Justeru, sekali lagi saya tunjukkan wujudnya pertembungan antara dua sistem ekonomi. Lalu pertanyaan muncul di mana hendak kita letakkan Negara Kebajikan yang telah diajukan oleh parti PAS?
Biar saya terang dengan sejelas mungkin tentang Negara Kebajikan ini. Negara Kebajikan bukan satu sistem ekonomi. Jangan sesekali silap untuk mentakrifkan bahawa Negara Kebajikan ini adalah satu sistem ekonomi. Bukan.
Negara Kebajikan ini muncul dari satu sistem ekonomi. Negara Kebajikan dilahirkan dari sistem ekonomi sosialis. Hanya sistem sosialis sahaja yang memiliki kudrat dan iradat untuk membawa kemunculan Negara Kebajikan. Lalu timbul persoalan bahawa Pas ini bukan parti sosialis. PAS mengakui diri sebagai parti Islam. PAS sebuah parti Islam adalah kenyatan yang betul dan tepat.
Wajib kita sedari bahawa Islam itu adalah agama kepercayaan dan bukan sistem ekonomi. Dalam kitab suci al-Quran yang dimunculkan adalah ayat-ayat yang membawa naratif-naratif contoh yang menggambarkan Negara Kebajikan. Justeru terpulangkan kepada si penganut untuk menggunakan akal dan fikrah untuk melakar dan mencipta satu sistem ekonomi yang melahirkan Negara Kebajikan.
Ditahap tamadun manusia hari ini, Negara Kebajikan hanya dapat diwujudkan melalui struktur sistem ekonomi sosialis. Lalu timbul satu lagi persoalan – bukankah sosialis ini tidak beragama dan tidak bertuhan?
Saya rasa masa dan ketikanya telah sampai untuk kita semua berani membebaskan diri dari diperangkap oleh propaganda ‘perang dingin’ yang mengatakan bahawa penyokong sistem ekonomi sosialis ini tidak bertuhan. Ini sebenarnya lahir dari kejayaan propaganda licik ketika pertempuran hebat antara dua ideloji sistem ekonomi. Idealogi sistem kapitalis yang dikepalai oleh Amerika dengan sistem sosialis yang dipimpin oleh Rusia. Pertempuran ini berjalan hebat bermula sesudah Perang Dunia Kedua hingga runtuhnya Tembok Berlin pada tahun 1989.
Adalah betul dan tepat apabila kita mengatakan bahawa sistem ekonomi kapitalis atau sosialis tidak memiliki agama dan tidak memiliki tuhan. Sistem ekonomi ini samalah seperti enjin kereta yang wujud. Tugas enjin hanya untuk bergerak dari Kampung Ini ke Kampong Itu. Tidak mungkin enjin kereta ini beragama dan bertuhan.
Biar saya terangkan lagi sejelas mungkin tentang beza agama dengan sistem ekonomi. Ini agar kita semua memiliki padangan yang cerah dan terbuka. Biar saya tunjukkan bagaimana Syed Mukhatar seorang penganut agama Islam yang selalu bersedekah tetapi dia juga ialah seorang kapitalis yang besar.
Begitu juga dengan Bill Gates tuan empunya Microsoft – dia pula seorang atheis. Apa yang ingin saya paparkan ialah bukan agama dan kepercayaan yang penting, tetapi akidah. Bill Gates dan Syed Mokhtar memiliki akidah yang sama sebagai kaum kapitalis. Akidah mereka ialah keuntungan maksima.
keadilandaily.com
Bil:20.
No comments:
Post a Comment