ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Friday, September 30, 2011

Pas Kelantan tetap laksanakan hudud

KOTA BHARU – Pas Kelantan tetap dengan pendirian untuk melaksanakan hukum hudud walaupun tidak mendapat kerjasama komponen Pakatan Rakyat (PR).

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, hasrat itu selaras dengan matlamat Pas sejak 21 tahun lalu.

Katanya, Pas Kelantan bersedia bila-bila masa untuk melaksanakannya, malah Mahkamah Syariah negeri melalui Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Mohamad turut menyatakan persediaan untuk melaksanakan undang-undang tersebut.

Beliau berkata, peluang perlu diberikan kepada Pas Kelantan untuk mempraktikkan undang-undang Islam berkenaan dan dengan cara itu boleh dilihat sama ada berjaya atau sebaliknya.
“Hasrat Pas (Kelantan) melaksanakan hukum hudud tidak berubah, tetapi kami tidak memaksa masyarakat menerimanya. Sebab itu kami mengadakan ceramah dan kempen kepada masyarakat untuk memahami hudud.

“Kita tidak boleh lari… kita perjelaskan isu ini dan kenapa Pas Kelantan hendak sangat laksanakan hudud. Pertama kerana ia isu agama dan keduanya kebaikan pelaksanaan hukum itu sendiri yang kita mahukan,” katanya kepada media, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Majlis Pimpinan PR tidak akan melaksanakan hukum hudud seperti yang dicadangkan Pas kerana tidak menepati dasar bersama, Perlembagaan Persekutuan dan agenda Buku Jingga.

Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Kelantan berkata, undang-undang moden gagal mengatasi kes-kes jenayah yang berlaku selama ini.

“Kita bukan nak bergaduh, cuma laksana hudud adalah pendirian kita dan matlamat kewujudan Pas di Kelantan untuk melaksanakan Islam secara menyeluruh dan salah satunya hudud ini.

“Undang-undang hudud sudah diluluskan Dewan Undangan Negeri (Dun) dan tidak perlu ma suk dewan lagi, cuma ia akan dibentuk oleh mahkamah dan pihak berkuasa agama,” katanya.
Mohd Amar berkata, terdapat beberapa pandangan yang menyatakan Kelantan tidak memerlukan kebenaran Kerajaan Pusat kerana hal berkaitan agama adalah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, terdapat juga pandangan hukum hudud perlu dibawa ke Parlimen mengikut Perkara 9 bidang kuasa negeri.

Katanya, apa yang penting Kerajaan Negeri sudah melepasi tahap pertama iaitu mendapat kelulusan Dun dan seterusnya pemahaman berterusan akan diberikan kepada masyarakat contohnya melalui sambutan Hari Hududullah Kelantan.

sinarharian
30.9.2011

No comments: