ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Friday, January 6, 2012

AKHIR TAHUN DAN AWAL TAHUN

Alhamdulillah kita masih sempat diketemukan Allah pada akhir tahun 2011, dan kini 2012 sudah masuk hari ke enam. Banyak peristiwa yang tidak sempat dicatat dan diulas dalam blog ini kerana kesibukan mencari rezeki dan kesihatan yang kian menurun. Namun Allah masih memberikan kekuatan untuk kita menghadapi tahun 2012 yang dijangka akan berlangsungnya PRU ke 13.

Banyak ramalan yang dibuat bahawa PRU 13 adalah peluang yang sama peratus (percentage)nya antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Apapun, sebagai rakyat kita berhak menentukan kerajaan yang memerintah. Gunakanlah peluang ini untuk membuat perubahan ke arah hidup yang lebih terjamin dan lebih adil. Kita sudah berada lebih 50 tahun di bawah BN. Kini kita sudah tentu dapat menilai buruk baiknya BN memerintah. Di bawah PR kita dapat merasakan sedikit kelainan terutama empat negeri yang diperintah PR. Walaupun dengan kuasa yang terbatas, kita seharusnya dapat menilai siapakah yang lebih baik dan adil, telus dan seimbang dalam pemerintahannya.

Mengapa rakyat Malaysia tidak berani mencuba sesuatu yang baru dalam hidup ini? Adakah rakyat Malaysia penakut? Ataukah rakyat Malaysia ditakut-takutkan oleh BN dengan media yang mereka kuasai, baik elektronik mahupun media cetak. Media memang memainkan peranan membentuk pemikiran masyarakat sekaligus menentukan mereka membuat pilihan samada untuk membeli rumah, barangan, perkhidmatan sehinggalah kepada parti politik yang menentukan corak pemerintahan. Orang yang memahami agenda media tentu tidak akan termakan dengan permainan media ini. Tetapi berapa peratuskah rakyat Malaysia yang memahami agenda media, yang menjadi satu bidang kajian komunikasi. Siapa yang mengawal media, dia akan dapat mengawal arus pemikiran rakyat massa, demikian kata seorang sarjana. Sebab itu menguasai media adalah penting dalam menentukan masa depan negara.

Tetapi untuk menguasai media elektronik dan media cetak tentunya sukar kerana ada pelbagai sekatan dan akta yang menghadkan kebebasan kita. Namun kita masih ada pilihan, media baru, iaitu blog, facebook, laman web, akhbar dalam talian adalah tempat terbaik untuk kita mengemukakan gagasan kita terhadap rakyat, di samping menawarkan mereka pilihan yang lebih baik jika mereka menggunakan akal yang waras. Namun kadangkala kepentingan mengatasi kewarasan. Ini adalah masalah yang sukar kita atasi. Kebatilan yang tersusun sering mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun.

Namun rakyat Malaysia yang mempunyai pendidikan tinggi kian bertambah saban tahun. Mudah-mudahan mereka menggunakan akal waras mereka dalam membuat pertimbangan demi masa depan negara. Hanya itulah harapan kita, di samping usaha kita yang terhad dalam ceramah, pengajian, usrah, media baru dan sebagainya untuk menyampaikan fikrah kita terhadap perkembangan politik kini, dan perlunya memilih pilihan yang betul dalam menentukan hala tuju negara.

AlKundangi,
6.1.2012

No comments: