Wacana Sinar Harian siri ke-11 yang diadakan di Audotorium Kompleks Media Karangkraf membawa tajuk 'Mengapa Undi Melayu Pecah' dipengerusikan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik dan dihangatkan bekas dua bekas menteri, Datuk Seri Ong Tee Keat dan Naib Presiden PKR, Datuk Chu Jui Meng selain Ketua Penerangan Perkasa, Ruslan Rasim dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad. Ikuti bahagian kedua transkrip Wacana Sinar Harian yang berlansung kelmarin.
Soalan Datuk Zaid Ibrahim: Saya pasti penganjur, Sinar Harian dengan tajuk sebegini rupa, menjemput Umno. Apakah Umno sudah kehilangan sokongan Melayu atau terlalu yakin dengan undi Melayu hingga mereka tidak hadir? Mengapa Umno hantar Haji Ruslan (Kasim) dan tidak hadir sendiri?
Dzulkefly: Umno tetap ada, tapi dalam hati Haji Ruslan. Itu sudah nyata, jangan bersuluh lagi. Kenapa undi Melayu pecah. Ia sudah dinyatakan. Kalau sudah ada dua pilihan, kalau ada 100 orang, 50-50 ia sudah ditakrifkan pecah. Kalau siapa yang menafikan bahawa undi Melayu tidak pecah, itu hidup dalam penafian. Faktanya, Melayu 60 peratus kepada Umno, 40 peratus 60 peratus kepada Pas, tetapi tetap pecah.
Bukan semua, ada juga negeri di mana undinya 60 peratus Pas dan 40 peratus Umno. Persoalan paling besar apa dikehendaki Melayu? Hari ini, mengapa ada orang Melayu tidak lagi mengundi Umno? Kerana mereka menyaksikan Umno terlalu membawa kepada pembolotan dan kerakusan dalam membolot kekayaan hanya kepada elit tertentu, bukan semua orang Umno kaya, tetapi elit Umno Putra itu kaya. Ini sangat malang.
Kenapa hari ini Melayu menolak Umno? Kerana Melayu, dari sudut jurang perbezaan, Melayulah yang menyaksikan dan mengalami jurang kaya dan miskin paling ketara dan paling corot. Siapa yang disalahkan? Tak mungkin Pas kerana Pas bukan pemerintahnya lagi. Kedua, saya dapati anak muda sekarang, rata-ratanya Melayu, sangat mahu untuk hidup mereka kembali diberikan maruah.
Tidak boleh dengan hanya beri Klinik 1Malaysia. Tak boleh hanya dengan Menu 1Malaysia. Tidak boleh hanya diberikan Kedai 1Malaysia. Untuk apa? Untuk Melayu kekal dalam kepompong, kelas kedua atau kelas ketiga itu? Apakah itu cara kita mengangkat martabat orang Melayu? Kekal dengan segala sifatnya? 1Malaysia itu yang jelasnya kami sudah buktikan Kedai 1Malaysia mempunyai barang tidak standard. Jawab! Lalu dengan itu, hari ini Melayu mahu bukan hanya boleh dilindungi, tetapi diberi pemerkasaan yang dapat mengeluarkan mereka daripada disponsable income. 80 peratus Bumiputera yang isi rumahnya mempunyai pendapatan kurang RM1,000. Apa berlaku dalam urus tadbir Umno dan Barisan Nasional?
Ruslan: Kita memang berusaha untuk berpadu dan bersatu daripada awal lagi. Kita harus meraikan perbezaan yang ada. Awal lagi saya sudah katakan, rambut sama hitam hati lain-lain. Tak mungkin kita akan sama. Itu robot sahaja. Apa maknanya dalam sebuah rumah ada empat bilik, tapi semua tidur di tempat sama, berkongsi bantal dan tilam, tetapi mimpi tidak sama. Lebih baik dalam rumah ada empat bilik, dipenuhi setiap bilik dan terpulang kepada mereka untuk bermimpi apa pun, pokoknya, dalam rumah yang sama. Yang penting ada persefahaman, keluarga yang besar.
Cara mengurus pandu sebuah rumah itu mestilah bersama. Itu disebutkan Dr Zul mengenai perbincangan, bukan autokrasi atau kuku besi. Dr Dzul juga membincangkan Umno yang bersalah. Saya beri satu contoh, masalah di Kelantan. Sudah 22 tahun Kelantan memerintah, masalah air tak selesai, takkan Umno dipersalahkan dalam kes ini! Begitu juga projek perumahan rakyat. KB Mall runtuh, takkan Umno juga salah! Begitu juga masjid. Sepanjang tempoh pemerintahan, hanya ada sebuah masjid dibina, tak akan Umno salah. Ini dinamakan menuding telunjuk dan meletakkan kesalahan kepada orang lain; langsung tidak bertanggungjawab. Saya ke sini bukan dihantar Umno, sebaliknya Sinar Harian menjemput saya.
Menjawab persoalan orang muda, saya berikan fakta dan tidak mahu bercakap berdasarkan imaginasi atau kata-kata menyedapkan telinga mendengar sahaja. Pilihan raya kecil di Galas dan Manek Urai. Berdasarkan kenyataan bekas atau masih Setiausaha Pas Kelantan. Di Kelantan, saluran empat dan lima di mana generasi muda mengundi Barisan Nasional kerana mereka mahukan perubahan, pembangunan, pekerjaan dan selama ini taraf hidup mereka terabai. Ini realiti yang berlaku di mana generasi muda semakin memberikan undi mereka kepada Umno dan BN.
Sebelum Datuk Seri menjawab soalan penonton, minta Dr Dzulkefly menjawab mengenai isu di Kelantan.
Dzulkefly: Saya bukan mahu beretorika. Tapi istilah kita harus bersatu dan berpadu ini biar ia punya erti amal. Kita bersatu dan berpadu untuk melaksanakan tuntutan semak imbang dituntut ALLAH SWT meskipun kita berada dalam dua parti berbeza. Itu perkara saya sebutkan tadi. Kalau tidak kita disemak dan mengimbangi dua kelompok berbeza, seluruh muka alam ini musnah. Jadi Ruslan faham ayat itu, tapi mungkin buat-buat tak faham. Bersatu dan berpadu untuk memastikan kemakmuran negara dikecapi seluruh rakyat. Itu perkara yang menjadi matlamat besar Pas bersama kawan dalam PR. Isu air punya rentetan ceritanya.
Saya berkebetulan daripada AJK Pas Pusat, kerap menziarahi isu air itu. Kalau kita ingat semula, dalam (aspek) penswastaan dan pengkorporatan. Di sini letaknya dana. Kalaulah PR memerintah, kita memastikan Kerajaan Negeri dalam amalan federalisme diperkasa dengan peruntukan berkapita dan bukan seperti hari ini, mengambil daripada pendapatan Selangor dan lain-lain lagi, tetapi memberi sedikit. Ini pengkhianatan dari sudut amalan federalisme.
Bukan itu sahaja; paling besar, mengapa merampas royalti minyak Kelantan yang andainya diberikan, kami akan selesaikan semua permasalahan air dan apa-apa masalah di Kelantan. Itu perkara cukup jelas, tetapi mereka curang.
Sudah termeterai, (bekas Menteri Kewangan) Tengku Razaleigh (Hamzah) menyebut, kita mesti lunaskan kontrak itu. Kalau ia diberikan, sudah sampai RM3 bilion yang wajar dibayar; bukan hanya air, tanah dan apa-apa pun masalah di Kelantan, Insya-Allah akan dibereskan dan kami beri kemakmuran kepada rakyat seluruhnya.
Tee Keat: Apa saya nak jawab soalan bukan sekadar kawasan Pandan sahaja. Saya mahu jelaskan, tidak diberi tanggungjawab untuk jawab mana-mana parti. Itu tidak kena. Saya suka nak sentuh sedikit, soalan berbangkit menyentuh kekurangan pentadbiran sama ada BN atau PR. Tapi saya tidak nampak orang politik lebih fokus kepada masalah timbul. Kita hanya tahu tuding jari. Apa orang lain tak buat, kelemahan orang lain. Kononnya diri sendiri tidak terlibat.
Semua ini boleh dipersalahkan pada orang lain, tetapi pada masa sama kalaulah ada sesuatu yang dia rasa mungkin dapat untung khasnya perhitungan politik, maka mereka tidak teragak-agak clean credit dan membolot perjuangannya. Kalau macam ni masa depan politik tidak ke mana. Saya juga orang politik. Memang ada orang tidak setuju dengan cara saya. Tetapi saya lebih suka rakyat pun lebih mengharapkan orang politik kita baik dari parti pemerintah di persekutuan ataupun parti pembangkang.
Kalaulah betul kita mahu amalkan politik dua barisan seperti mana dilaungkan seperti sekarang ini, kena tepuk dada tanya selera sama ada kita sudah bersedia atau tidak untuk mencungkil bakat orang berpotensi. Bukan yang mahu jadi calon, tapi yang dapat mencari kelemahan sedia ada. Tak kisahlah kelemahan itu dari BN atau PR. Tapi, kita cari jalan keluar bagi negara kita. Kalau tidak, masalah akan kekal sebagai masalah. Saya harapkan, kalaulah boleh, kita cuba merubah kiblat perjuangan kepada satu arah lebih membina. Saya rasa tiada kesudahannya. Itulah saya rasa satu-satunya micro manage yang bukan begitu positif. Mungkin ia tidak begitu serasi perbincangan kawan saya tadi.
Komen Datuk Chua mengenai kenyataan Tee Keat?
Jui Meng: Bagi saya, kita mahu jelas apa itu jalan depan. Kita nak menghala ke mana sebagai satu bangsa Malaysia. Itu sudah disenaraikan. Kita lawan hari ini atas idea. Lawan pada PRU13 dengan BN yang lama atau PR yang baru dengan Buku Jingga. Saya tertarik soalan Datuk Zaid, siapa yang mewakili Umno? (Beliau) Adalah Perkasa. Ong Tee Keat kata tidak mewakili mana-mana parti. Tengok macam MCA, tapi bukan MCA. Dulu saya sebagai menteri kesihatan, saya meronda ke kampung Melayu saya nampak kemiskinan ketara. Saya pergi ke Sabah dan Sarawak, melihat kemiskinan yang teruk. Baru-baru ini saya tengok Orang Asli. Mereka sangat daif hingga ada mengisi perut dengan pasir, khasnya Bumiputera.
Apa Datuk lakukan waktu itu?
Jui Meng: Saya bina hospital dan melaksanakan satu budaya penyayang kepada golongan miskin. (Saya) cakap dengan doktor dan jururawat, jangan angkuh kerana mereka mahu kasih sayang daripada kita.
Bermakna, BN masih lakukan sesuatu untuk bantu rakyat?
Jui Meng: Ya, kerajaan mesti melakukannya. Tetapi sebagai Menteri Kesihatan, saya buat lebih daripada orang lain. Idealisme dan fikiran yang sama saya bawa masuk ke dalam PR. Saya mahu kita memusatkan kepentingan rakyat, bukan kroni.
Kita tidak mahu membina sebuah negara ramai orang kaya. Orang kampung kais pagi makan pagi masih ada lagi. Di Selangor, (Menteri Besar, Tan Sri Abdul) Khalid Ibrahim merubah garis kemiskinan pada Bajet 2009. Kerajaan Persekutuan kata bawah RM720 adalah golongan miskin. PR kata tidak ada. RM1,500 garis panduan realistik masa ini. Inflasi naik sangat ketara. Baru-baru ini dia umumkan, penjawat dalam syarikat milik kerajaan (GLC) di Selangor, gaji minimum mereka RM1,500. Kami mahu membasmi kemiskinan. Tetapi kalau ada negara yang ada rasuah, ia boleh memiskinkan rakyat.
Soalan penonton: Mengapa rakyat perlu beri majoriti dua pertiga di Parlimen menyebabkan mereka mewujudkan proksi kepada rakyat?
Dzulkefly: Persoalan majoriti dua per tiga, dalam amalan politik baru, sebenarnya ia tidak perlu kekuatan dua pertiga ini. Dengan kuasa dua pertiga ini menjadikan negara kita musnah dengan concentration power membawa subversion kepada judiciary dan Parlimen itu sendiri. Pada masa akan datang, saya cadang rakyat jangan memberi dua per tiga kepada mana-mana parti kerana ia memberi kemakmuran kepada semua.
Soalan penonton: Lebih kurang empat tahun daripada PRU12, kita masih tidak nampak kabinet bayangan daripada PR. Adakah tanpa Kabinet Bayangan, misi untuk tawan Putrajaya? Beranikah PR untuk menyebut Kabinet Bayangan ini?
Dzulkefly: Saya teruja soalan Kabinet Bayangan ini. Walaupun kami tidak ada Kabinet Bayangan, sesungguhnya kami menubuhkan apa dikatakan sebagai jawatan kuasa bayangan. Jawatan kuasa ini hanya bayangan selagi belum jadi pemerintah. Oleh kerana itu, kami ada peribadinya. Kalau kami duduk di sini, bersebelahan kawan pembangkang dan melihat begitulah menteri dan timbalan menterinya, kami tidak cukup bagus, tapi mereka itu sudah teruk.
Bayangan itu kelam sangat, hingga tak ada yang nampak.
Dzulkefly: Mungkin sebelum PRU13 ini akan diuar-uarkan. Saya pun tidak tahu. Terpulang kepada Majlis Presiden PR
.
Soalan penonton: Siapakah yang memulakan perpecahan di kalangan orang Melayu. Apakah satu jalan yang dapat didukung orang Melayu?
Dzulkefly: Siapa mulanya pecah undi Melayu. Ketika ada Umno dan ulama dari Pas yang keluar dari Umno yang mereka tentang isu loteri serta isu lain atas nama Islam dan mereka menubuhkan Pas. Itulah mulanya perpecahan Melayu kerana Melayu sudah terpecah dua kelompok, iaitu Umno dan Pas. Kalau nak dipersalahkan, saya kira ia bukan kesalahan syariah kerana ia dituntut dalam semak imbang. Bukan perkara dosa, tapi perkara wajar dilakukan untuk menyelamatkan Melayu dan Islam. Kalau tidak, semua Melayu duduk dalam kebobrokan Umno. Maaflah di atas bahasa saya gunakan.
Soalan penonton: Keputusan yang dibuat PR adalah secara konsensus. Jika ini cara pentadbiran, adakah bermakna hukum hudud dan negara Islam tak akan dapat jadi realiti?
Dzulkefly: Mudah sahaja. Kalau kita memahami, Pas parti Islam, tetapi Pas juga parti politik berdaftar. Saya menyebut diri saya Islam demokrasi. Kita punya prinsip dan cita-cita, wawasan dan matlamat. Namun kita perlu ingat, dalam pertarungan dan persaingan politik hari ini, meskipun kita membawa bersifat wahyu, tetapi kita mesti memenangkan, tampilkan dasar perjuangan kita, manifesto atau apa juga yang lain sehinggalah rakyat punya 60 peratus dan 40 peratus bukan Melayu. Selagi Melayu dan bukan Melayu tidak menyokong kita, apa pun cita-cita kita sama ada hudud atau yang lain. Ia hanya akan duduk dalam parti Pas. Inilah cabaran bagi parti Islam, bahkan di seluruh dunia memenangi hati budi rakyat untuk pandangan, wawasan, prinsip dan syariat mereka disokong bukan sahaja orang Islam malah bukan Islam. Itu membuatkan Pas sebagai parti demokrasi sebenar. Kita sanggup menang dan sanggup kalah atas nama demokrasi. Itu kelebihan dan keunikan Pas dalam perkara ini.
Jui Meng: Secara serius, kita nampak Malaysia, khasnya Malaysia Timur. Tengok beberapa negara zon rantau ini telah buat reformasi mereka, termasuk jiran, Indonesia; sudah jalankan reformasi tumbangkan Sueharto, satu rejim yang korup. Saya pernah dengar ada seorang jutawan China melabur di Indonesia. Di Taiwan sudah ada dua parti. Korea, Filipina dan banyak negara sudah buat reformasi kerana ia memberi (peluang supaya) kekayaan negara dapat dikongsi bersama rakyat. Satu kajian dibuat tahun lalu (mengenai) kedaulatan undang-undang. Dalam 66 negara, kita di tempat ke-59. Jangan hanya berbincang Melayu. Itulah politik asabiyah. Sekarang kita cari pemimpin mirip al-Quran dan hadis.
Ruslan: Kalau betul apa disebut Datuk Chua. kenapa masih wujud sekolah aliran jenis Cina dan Tamil dan sekolah agama masih wujud? Dalam erti kata lain, kita kena meraikan kepelbagaian dan perbezaan yang ada. Kita boleh bersatu walaupun berbeza perkara ranting. Ada perkara pokok boleh disatukan. Kedua, berbeza daripada wadah, tapi sama akidah.
Perkasa ada ahli Cina?
Ruslan: Ia bergantung matlamat penubuhan organisasi. Perkasa pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Kami mahu pertahan hak orang Melayu. Kita cuma berbeza dari segi usluk, berbeza ada jalan penyelesaiannya. Rasuah, salah guna kuasa, kita tentang. Asabiyah mempertahankan puak kita melakukan kezaliman. Amalkan sikap bertoleransi. Kalau dengan DAP boleh bertoleransi, tak akan dengan Melayu tak boleh!
Tee Keat: Bukan sekarang sekolah Cina sahaja. Apabila menyentuh kepelbagaian mesti ada perbezaan. Itulah kekayaan negara kita, bukan kecacatan. Berbalik apa dibangkitkan, renungi kembali apa itu ghairah menyentuh soal sama. Setahu saya, SKJC satu-satunya sama sukatannya dengan sekolah kebangsaan. Tak ada beza. Kalau kita nak menyentuh ajaran agama, kena mengakui bahasa alat dicipta Tuhan untuk satu padukan makhluk. Seolah-olah mempertikaikan kuasa Tuhan. Sistem pendidikan, sama ada wujud atau tidak. Memang bahasa pengantar sama.
Sukatan pelajaran memecahbelahkan? Jawapannya tidak. Kedua bahasa, alat memecahbelahkan kita. Integrasi berbeza dengan asimilasi. Ia makin mantap. Sekali-sekali ada terdapat dugaan. Takkan tak boleh nak satukan mereka dalam rancangan menyatukan semua bangsa. Ini kerana tiada iltizam buat sesuatu. Kita, termasuk orang politik dan pendidik dan pegawai pendidikan. Bercerita mengenai rasuah. Perangi habis-habisan. Tapi jangan hanya menuding jari kepada pihak lawan tapi paling mencabar, adakah sedia untuk membersihkan pentadbiran sendiri?
Penggulungan untuk hari ini? Siapakah Melayu yang patut undi pada PRU13?
Jui Meng: Undi parti idealisme sama dengan al-Quran dan hadis.
Ruslan: Sudah tentulah mengundi parti boleh menjamin masa depan.
Dzulkefly: Wajar mengundi mereka yang boleh membawa mereka keluar daripada kemelut rasuah dan kebobrokan urus tadbir.
Tee Keat: Undilah pembela rakyat yang membela rakyat sepanjang masa bukan bermusim.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
sinarharian.com.my
No comments:
Post a Comment