Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim
SHAH ALAM – Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan pemilihan bekas pensyarah  Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Abdul Aziz Bari sebagai calon untuk bertanding kerusi Parlimen Sabak Bernam pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ada kaitan dengan penyandang jawatan itu yang disabitkan kesalahan tuntutan palsu.

 “Semua itu tidak ada kaitan, calon yang dipilih sebenarnya mempunyai kelebihannya sendiri.

“Aziz merupakan seorang yang pakar dalam bidang undang-undang, menpertahankan hak asasi dan mempunyai kefahaman Islam yang baik, maka sebab itulah beliau dipilih,”  katanya kepada Sinar Harian Online selepas hadir pada pelancaran Buku  `Anwar’s Third Trial’ di sini, hari ini.

Ketua Umum PKR ini berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Aziz yang mengesahkan beliau akan bertanding di Sabak Bernam pada PRU13.

Penyandang jawatan Datuk Abdul Rahman Bakri disabitkan bersalah atas tuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM80,000 empat tahun lalu.
Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berharap bukuAnwar’s Third Trial hasil nukilan Pawancheek Marican akan dijadikan sumber rujukan mahasiswa undang-undang dalam pengajian mereka.
“Pawancheek telah mencipta sejarah dengan terhasilnya buku ini yang boleh dijadikan sebagai rujukan mahasiswa malahan untuk mereka yang minat dalam politik di negara ini khasnya membabitkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 “Buku ini boleh dijadikan kajian kes,” katanya dalam ucapan perasmian sebelum melancaran buku  Anwar’s Third Trial.
Hadir sama, Anwar bersama isterinya, Datuk  Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Tambah Abdul Khalid, pengalaman Anwar mendorong ramai orang untuk laksana reformasi di negara ini dan menghentikan ketidakadilan.
 Sehubungan itu beliau menambah, semua orang wajar bersiap sedia untuk memenangi pilihan raya akan datang.
Sementara itu, penulis buku, Pawancheek pula berkata, beliau terpanggil untul menghasilkan buku kedua berkaitan perbicaraan Anwar berikutan banyak isu demokrasi dan hak asasi yang timbul supaya pada masa hadapan orang awam akan tahu apa yang telah berlaku.
“Setiap peristiwa mesti ada rekod, kerana ada kala dalam internet, ada perkara yang boleh dicapai dan ada kalanya tidak boleh. Kadang kala, ada juga orang yang tidak tahu hendak mencari bahan.
“Kadang-kadang terdapat juga fakta yang dicampur-adukkan dengan dengan komen orang lain, jadi dengan dibukukan, lebih mudah untuk mengurus rekod sejarah,” jelasnya mengenai buku setebal 201 muka surat itu.
Pawancheek yang merupakan salah seorang daripada sembilan penal peguam membela Anwar berkata, buku itu ditulis dalam bahasa Inggeris disebabkan beliau lebih mahir menulis dalam bahasa tersebut.
 “Saya generasi zaman dahulu. Saya memulakan pengajian awal saya menggunakan bahasa Inggeris.
“Kalau hendak menerbitkannya dalam bahasa Melayu, ia akan mengambil masa yang lebih lama dan saya perlu menyemak dengan lebih berhati-hati kerana keseluruhan fakta dalam buku adalah berkaitan dengan undang-undang,” katanya lagi.

sinarharian.com.my