Nik Aziz: 'Saya hanya pemegang amanah'
1 Mei 2013
KOTA BHARU-Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat menyatakan secara sinis mahu memberikan satu lot tanah kepada calon Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali jika tanah yang didakwa adalah haknya.
Nik Aziz mengakui tanah tersebut menggunakan namanya, tetapi ia adalah syarat sebagai pemegang amanah Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
“Saya kata, tanah itu seratus peratus itu hak saya. Saya nak beri saja (percuma) kepada dia (Ibrahim), tetapi tanah itu atas nama saya sebagai pemegang amanah.
“Saja (sengaja) dia (Ibrahim) buat begitu, walhal dia pun tahu, tetapi dia guna macam-macam (cara) untuk menabur (fitnah) ke atas pemikiran rakyat,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.
Terdahulu, beliau merasmikan pelaksanaan pemasangan kabel optik di Kota Bharu dan kawasan-kawasan lain di Kelantan di pekarangan Loji Air, Kampung Puteh, di sini bagi tujuan mempercepatkan kelajuan internet di negeri ini.
Dalam ucapan perasmian majlis itu, Nik Aziz berkata, selain menjadi pemegang amanah PMBK, beliau turut memegang jawatan itu dalam beberapa pertubuhan lain.
“Saya pegang amanah. Pejabat Pas itu pun nama saya, tetapi sebagai pemegang amanah. Tiap-tiap tanah parti, ada tiga orang pemegang amanah; Ketua, Bendahari dan Setiausaha.
“Pihak Pas kalau jual dapat berapa juta, tetapi perkara itu tidak boleh dilakukan sebab pegang amanah. Tanah Tunjung itu, nama saya, tapi pegang amanah, ada cop, ada kertas,” katanya.
sinarharian,
1.5.2013.
No comments:
Post a Comment