ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Monday, September 20, 2010

SEKOLAH BUDAK MENGANDUNG @ SEKOLAH HARAPAN TERIMA 5 PELAJAR ESOK

SAHABAT SAYA bergurau. Katanya, esok bukan 5 pelajar akan masuk dan menjadi kumpulan pertama diterima memasuki Sekolah Harapan di Melaka. Tapi jumlah sebenarnya lebih 10 orang kalau dicampur dengan bayi di dalam perut pelajar berkenaan.

Itupun kata sahabat saya, kalau semuanya disahkan hanya hamil seorang anak. Kalau kembar, lagi banyaklah jumlahnya.

Sahabat itu mengulas kenyataan Ketua Menteri Melaka, Tok Ali yang mengesahkan lima pelajar hamil akan memulakan pengajian mereka di Sekolah Harapan yang ditubuhkan oleh kerajaan Melaka bagi membantu mereka yang hamil di luar perkahwinan.

Tahniah kepada 5 pelajar berkenaan tetapi pada masa yang sama pengurusan sekolah itu mesti mengeluarkan kenyataan keras bahawa mereka tidak berharap ada lagi pelajar mengikut jejak yang sama - terlanjur, hamil dan memohon untuk mendapatkan keistimewaan di sekolah itu.

Kita tidak mahu, kewujudan sekolah itu menjadi katalis yang mempercepatkan kadar pembiakan bayi di luar nikah dan sekaligus menggalakkan remaja mencuba melakukan seks pada usia belum matang.

singalautmetro.blogspot.com
20.9.2010

Sunday, September 19, 2010






TIMB PRESIDEN PKR - AZMIN 13 , MUSTAFA KAMIL 6, ZAID 5 PENCALONAN

Timbalan presiden: Azmin pecut tinggalkan Zaid


Daripada 18 cabang yang telah mengadakan mesyuarat agung tahunan masing-masing, Naib Presiden PKR Azmin Ali kini terus memecut laju meninggalkan pencabar utamanya Datuk Zaid Ibrahim.

Menurut pemimpin-pemimpin cabang yang dihubungi Malaysiakini, Azmin yang juga ahli parlimen Gombak setakat ini mendapat 13 pencalonan - sembilan hari ini dan empat semalam.

Manakala pesaing terdekatnya Zaid Ibrahim yang juga penyelaras Pakatan Rakyat setakat ini mendapat lima pencalonan - dua cabang hari ini manakala tiga semalam.

Di samping kedua-dua tokoh heavyweight ini, seorang lagi naib presiden PKR Mustafa Kamil Ayub pula hari ini mula memasuki gelanggang apabila mendapat enam pencalonan.

Lima daripadanya diperoleh daripada Perak di mana beliau merupakan pengerusi perhubungannya. Ini bermakna, Mustafa Kamil kini memintas Zaid yang semalam mengekor rapat Azmin

Selain mereka, Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh dan Pengarah Strategik Tian Chua pula masih belum layak kerana hanya mendapat satu pencalonan, masing-masing di Genting Highland dan Pokok Sena.

Malaysiakini juga difahamkam Azmin turut mendapat pencalonan daripada Lipis, Sandakan, Kulim dan Bandar Baharu.

Sumber-sumber yang rapat dengan Azmin pula memaklumkan bahawa bekas setiausaha Anwar itu sudah mendapat sebanyak 18 pencalonan. Bagaimanapun setakat ini, kedua-dua maklumat itu belum dapat disahkan.

Berikut senarai cabang yang membuat pencalonan untuk jawatan berkenaan:

Azmin
Indera Mahkota, Raub, Tanah Merah Arau, Libaran, Silam, Kudat, Larut, Parit Buntar, Pasir Mas, Rantau Panjang, Langkawi dan Kubang Pasu.

Mustafa Kamil
Grik, Lenggong, Bagan Serai, Taiping, Sungai Siput dan Kuala Kedah.

Zaid
Jerantut, Padang Rengas, Kota Bharu, Tumpat dan Alor Setar.

Sumber: Malaysiakini.

19.9.2010
Pertahan Bangsa Bukan Perkauman Atau Ekstrem

A Kadir Jasin


APAKAH benar ada pelampau kaum di negara kita Malaysia ini yang menolak kepelbagaian bangsa?

Saya rasa tidak ada pelampau seperti itu. Tetapi jika saya faham amaran Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, baru-baru ini, beliau seolah-olah berkata ada ekstremis seperti itu.

Boleh jadi betul kerana sebagai Perdana Menteri, tentu beliau mempunyai maklumat perisikan yang kita, sebagai rakyat biasa, tidak tahu.

Saya katakan begitu kerana laporan media memetik Mohd Najib sebagai menyatakan bangkangan keras terhadap “tindakan kumpulan dan individu ekstremis” yang didakwanya “masih tidak toleransi, apatah lagi mengakui faedah masyarakat majmuk.”

Sejak saya tahu membezakan antara Melayu, Cina, India dan Siam di kampung pinggiran sungai bernama Tanah Merah dalam mukim Guar Kepayang dalam daerah Pendang di negeri Kedah, sampailah sekarang, saya belum berjumpa seorang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan atau mana-mana bangsa, kaum dan suku kaum yang menolak kepelbagaian.

Baru-baru ini saya melawat anak saudara sakit di Pontian. Dia dan keluarganya tinggal dalam kebun kelapa sawit. Di sebelah pagarnya sebuah bengkel kereta milik seorang Cina.

Di tengah-tengah kampung Melayu ada sebuah dua rumah orang Cina. Di merata tempat, termasuk dalam perkampungan Melayu, ada tokong Cina.

Kalau dibuat bancian, saya rasa paling banyak tokong Cina per kapita mungkin di negeri Johor.

Kalau bangsa-bangsa dan kaum-kaum di Malaysia tidak mengamalkan toleransi, apatah lagi bersikap ekstrem, saya rasa kita bukan sahaja ada satu 13 Mei (1969), tetapi banyak 13 Mei sebelum dan selepas itu.

Hatta kempen Pas pada pilihan raya umum 1969 yang mahu “menghambat” orang Cina dan India ke dalam laut itu pun bukan berpunca daripada perasaan perkauman yang mendalam, tetapi sekadar sedap cakap dan political posturing.

Bukan apa, pada masa yang sama orang Pas berniaga dan berhutang dengan orang Cina. Orang Cina jadi Along dan Ceti melalui sistem padi kunca.

Sebaliknya, di kampung saya yang terletak dalam kawasan parlimen Kota Setar Selatan (sekarang Pendang), orang Cina undi Pas dan tolak Perikatan sehingga menyebabkan kekalahan (Tun) Dr Mahathir Mohamad pada pilihan raya umum itu.

Mungkin saya kurang cerdik dan kefahaman bahasa saya lemah. Bagi saya, orang Melayu tuntut hak dan pertahan hak bukan perkauman atau ekstrem.

Kalau orang Melayu tuntut hak dan pertahan hak dituduh perkauman dan ekstrem, maka orang Iban, Kadazan, Orang Asli, Cina dan India yang tuntut hak dan pertahan hak juga perkauman dan ekstrem.

Tetapi itulah ciri kita di Malaysia. Semua bangsa tuntut hak, semua bangsa ada hak dan semua bangsa tidak puas hati dengan hak yang mereka ada.

Kalau orang Melayu tidak bersikap toleransi, kenapa pula mereka tidak memberontak dan membuat kacau apabila kuota mereka dalam pemilikan kekayaan korporat hanya 30 peratus sedangkan bilangan mereka lebih 50 peratus? Sebetulnya bukan hanya 30 peratus, tetapi sekurang-kurangnya 30 peratus.

Zaman saya kanak-kanak dulu, jiran-jiran Cina kami memelihara, menyembelih dan menjual daging babi dalam kampung Melayu. Nenek saya membenarkan jiran Cinanya mengambil keladi dan batang pisang untuk makanan babi. Sebagai ganti, mereka memberikannya gula, kopi, kuih bulan, cerut cap ikan emas dan kepada tok wan saya rokok Rough Rider.

Atau apakah seseorang itu dianggap perkauman dan ekstrem kerana tidak memeluk erat segala bentuk mantera dan slogan pemerintah seperti 1Malaysia?

Dalam blognya (http://www.1malaysia.com.my/) pada 15 September, Perdana Menteri, antara lain mengulas: “Saya menentang perlakuan seperti ini sekeras-kerasnya. Saya berasa sungguh sedih apabila di sebalik tinggal dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan merdeka lebih dari 50 tahun, masih ada di kalangan kita ini yang tidak boleh bertoleransi, apatah lagi menerima kebaikan masyarakat yang berbeza-beza ini. Kesedihan yang saya rasakan ini adalah disebabkan dengan menolak cara hidup kita yang berbeza-beza ini, mereka juga menolak 1Malaysia.”

(I am strongly opposed to these types of behaviour. It saddens me that despite living in an independent multi-cultural nation for over 50 years, there are still those among us who cannot tolerate, much less accept the benefits of a perse (?) society. It saddens me because by rejecting our perse (?) way of life, they reject 1Malaysia.)

Kalau penolakan terhadap mantera dan slogan pemerintah boleh ditakrifkan sebagai “puak-puak dan individu-individu pelampau”, maka ramailah yang tergolong dalam kategori ini.

Mohd Najib berkata lagi: “Puak-puak pelampau ini terdiri daripada kumpulan atau inpidu-inpidu (sic) yang mempercayai pada pandangan dan tindakan radikal terhadap pihak lain. Mereka menganggap pihak yang bertentangan fahaman dengan mereka sebagai musuh dan berusaha menakut-nakutkan pihak yang tidak menerima pemikiran atau ideologi mereka dan dalam keadaan tertentu pada orang-orang yang hanya kelihatan berbeza daripada mereka.”

Apa pun diagnosis dan prognosis Perdana Menteri, saya berpendapat bahawa kita yang berbeza pendapat dengan pemerintah dan tidak memeluk erat mantera dan slogannya, bukanlah pertubuhan atau individu ekstrem, apatah lagi perkauman.

Kalau kita keras, tegas, ekstrem dan perkauman, kita tentu mengutuk dan mahu tindakan dikenakan ke atas ratusan ribu rakyat negara ini yang tidak pun boleh berbahasa Melayu dengan secukupnya, termasuklah yang memegang jawatan penting dalam politik dan pentadbiran.

Kita tentulah menuduh pertubuhan dan individu yang menolak sekolah wawasan sebagai tidak bertoleransi dan ekstrem.

Tetapi bukan sahaja konsep sekolah wawasan gagal dimartabatkan, sebaliknya ramai orang Melayu menghantar anak-anak mereka ke sekolah Jenis Kebangsaan Cina.

Apa yang sebenarnya berlaku pada akhir-akhir ini adalah bangsa-bangsa di Malaysia cuba menelah, memahami dan mencari tempat bagi anggota bangsa mereka dalam landskap politik yang cair dan dalam kerangka pemikiran serta tindakan baru yang berkisar di sekitar perisytiharan dan bahasa berkod (coded language) seperti meritokrasi, persamaan, Model Baru Ekonomi, 1Malaysia, keterangkuman, globalisasi dan keterbukaan.

Samalah dengan sebahagian umat Islam berbahas dan berpolemik mengenai Islam Hadhari dan akhirnya ramai menolak konsep itu kerana mereka tidak setuju Islam dilabelkan.

Bahas dan polemik yang mengutarakan isu-isu dan ciri-ciri kaum yang sedang berlangsung sekarang tidak bermakna masyarakat berbilang kaum kita semakin ekstrem dan perkauman.

Jika ada kenyataan dan pernyataan yang berbau perkauman atau ekstrem, ia mungkin tercetus akibat kebimbangan atau tanggapan bahawa struktur agung politik (political superstructure) negara tidak lagi mampu atau mirip kepada mempertahankan status quo dan kontrak sosial yang selama ini menjadi teras kestabilan dan keyakinan.

Justeru itu, kemunculan badan-badan bukan kerajaan dan individu yang berani bersuara serta bercanggah pendapat dengan pemerintah, khasnya dalam masyarakat Melayu, bukanlah satu tindakan perkauman atau ekstrem.

Malah menerima dan menghormati kepelbagaian suara serta pendapat, khasnya di kalangan kaum majoriti, adalah sesuatu yang sihat dan selaras dengan sikap toleransi dan kesederhanaan yang hendak ditegakkan itu.

19.9.3010
Tahyul: Siaran tv hari raya tidak bina minda

Mohd Ali Hashim

JERAI, 18 Sept: Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar membidas kerajaan yang membenarkan siaran berunsur tahyul dan tidak berfaedah di televisyen sepanjang sambutan hari raya Aidilftri.

Beliau berkata, sepatutnya Kementerian Penerangan mengkaji semula semua siaran televisyen yang tidak menjurus kepada membina minda masyarakat.

"Mereka menghidangkan hiburan yang merosakkan minda rakyat yang menonton, khususnya remaja dan anak muda. Banyak siaran yang memaparkan kisah hantu dan tahyul seperti Susuk, Congkak, Jangan Pandang Belakang dan sebagainya tidak memberi manfaat.

"Apa sebenarnya yang ingin mereka paparkan ialah merendahkan martabat rakyat tanpa disedari. Rakyat juga diajar dengan kerja-kerja tahyul.

"Sepatutnya kementerian berasa malu kerana tahap program kita banyak menekankan perkara syirik dan palsu. Oleh kerana itu bagi mengubah sistem penyiaran ini, maka Pakatan Rakyat (PR) harus diberi peluang untuk menerajui Kerajaan Pusat," katanya lagi.

Beliau yang juga merupakan Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Pusat turut menyatakan seandainya PR mampu menerajui Putrajaya, maka banyak program membina iman dan takwa akan dilaksanakan.

"Ini membuktikan Barisan Nasional (BN) sudah tidak mampu lagi untuk membina minda dan membentuk masyarakat melalui program-program yang membina.

"Kemungkinan besar mereka takut sekiranya minda rakyat dapat dibina melalui program kesedaran dan keimanan, maka sokongan kepada mereka akan semakin terhakis apabila kepalsuan dan retorik yang selama ini mereka amalkan terbongkar," ujarnya lagi.

harakahdaily,
19.9.2010
M Rajoli meninggal dunia

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 17 Sept: Pelakon dan pelawak, M Rajoli, 64, atau nama sebenar Haji Mohd Rajoli Mohamed Zain meninggal dunia di Hospital Ampang, Kuala Lumpur, jam 10.45 malam ini akibat sesak nafas selepas terlantar sakit lebih setahun lalu.

Allahyarham sebelum ini menerima rawatan sejak 2008 selepas disahkan menghidap penyakit lymphoma ataupun barah kelenjar otak.

Akibat penyakit dan rawatan yang dijalani, beliau lumpuh hampir seluruh anggota.

M Rajoli merupakan seorang pelakon veteran dari era lewat 70-an dan cukup dikenali dengan lakonannya yang begitu versatil dan bersahaja.

Selain berlakon, beliau juga merupakan seorang pelukis.

Selain membawa watak komedi dalam lakonannya, beliau juga pernah membawakan watak seorang yang warak dan kuat pegangan agama dalam banyak filem dan drama.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Keramat, sebelum Zohor esok.

Beliau meninggalkan dua orang balu Hajah Wan Chik Daud dan Hashimah Mohd. Din dan lapan orang anak.

harakahdaily,
19.9.2010
Ladang Gadong masih jadi tumpuan orang awam

KUALA LANGAT 18 Sept. - Meskipun polis memaklumkan siasatan di lokasi pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya telah selesai, namun kawasan berhampiran Ladang Gadong masih mendapat perhatian para petugas media untuk membuat liputan.

Malah, sehingga hari ini, ia masih menjadi tumpuan orang awam yang melalui kawasan berkenaan apabila dilihat banyak yang memberhentikan kenderaan di situ.

Selain orang awam yang cuba menghampiri kawasan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Sepat, Datuk Dr. Karim Mansor bersama beberapa ahli keluarganya juga dilihat cuba memasuki ladang berkenaan pada pukul 10 pagi ini.

Difahamkan, ADUN itu dan keluarganya ingin pergi ke pusat perniagaan buah longan yang terletak di dalam ladang itu, namun hampa apabila mereka diarah supaya berpatah balik oleh anggota polis peronda bertugas berikutan ladang longan itu ditutup.

Tinjauan Mingguan Malaysia di kawasan itu mendapati, petugas media yang 'menumpang' di sebuah kuil di sebelah kiri jalan utama juga diawasi ketat oleh anggota polis bagi mengelak mereka menghampiri lokasi kejadian.

Selain itu, tinjauan di lokasi turut mendapati beberapa kenderaan unit forensik Polis Diraja Malaysia dan beberapa anggota polis berpakaian preman masih keluar masuk dari lokasi kejadian pembunuhan tersebut.

Bagaimanapun, tiada bukti-bukti baru dilihat dibawa keluar oleh mana-mana kenderaan tersebut.

utusanonline,
19.9.2010
Kes Sosilawati: PM ucap takziah

KUALA LUMPUR 18 Sept. – Perdana Menteri meminta semua pihak terutamanya ahli keluarga Sosilawati dan lain-lain mangsa pembunuhan kejam baru-baru ini menerima hakikat kejadian tersebut dan pada masa yang sama berharap agar keadilan dapat ditegakkan.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata demikian ketika menyampaikan ucapan takziah kepada empat keluarga mangsa yang disampaikan melalui Setiausaha Politiknya, Datuk Jailani Ngah.

“Perdana Menteri juga memohon supaya kes ini tidak lagi dikaitkan dengan isu politik,’’ kata Jailani ketika menghadiri majlis tahlil dan bacaan Yasin di kediaman jutawan kosmetik, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya di Taman Harmonis, Gombak, malam ini.

Majlis yang dihadiri oleh lebih 300 tetamu termasuk ahli keluarga, kenalan serta jiran tetangga itu dianjurkan untuk keempat-empat mangsa pembunuhan kejam tersebut.

Selain Sosilawati, turut dibunuh ialah pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin; pegawai bank, Noorhisham Mohammad dan peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim.

Majlis tersebut diketuai oleh Imam Surau Al-Khairiah Taman Harmonis, Mohd. Noor Syarun.

Pada majlis itu, anak sulung Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Bukhairi, 25, turut kelihatan tenang dan menyampaikan sedikit ucapan dan berterima kasih dengan keprihatinan semua pihak.

Sementara itu, beliau turut memberitahu bahawa semua pejabat Nouvelle Visages (NV) termasuk ibu pejabatnya di Jalan Raja Bot, Kuala Lumpur akan beroperasi seperti biasa mulai Isnin ini.

utusanonline,
19.9.2010
"Salurkan maklumat ke akaun Facebook saya"

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan penyelewengan anggota polis di negeri itu tetapi tidak berani membuat laporan supaya menyalurkan maklumat berkenaan ke laman Facebook beliau.

Khalid berkata, orang ramai mungkin takut diancam atau diugut jika laporan yang dibuat diketahui oleh anggota yang menyeleweng, tetapi ini tidak akan berlaku jika ianya disalurkan terus kepada beliau. :

“Orang ramai tidak perlu takut melaporkan sebarang penyelewengan anggota polis kepada pihak berkuasa...kalau tak berani, terus berhubung dengan saya.

“Bagaimana sesuatu penyelewengan itu hendak disiasat jika tiada sebarang laporan yang dibuat dan jika benar ada penyelewengan berlaku kenapa takut untuk membuat laporan?,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi semalam. :

Khalid diminta mengulas dakwaan terdapat anggota polis telah 'dibeli' (dirasuah) oleh suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain bagi menutup kegiatan jahatnya.

Kelmarin, Khalid meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat tentang kegiatan itu supaya melaporkan terus kepada beliau, Bukit Aman, atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). - Bernama

19.9.2010
Khalid Samad perlu ikut pengarang Utusan Malaysia

Bukankah MAI dan JAI kerja ikut titah.

Khalid Samad tak faham-fahamkah ?

Ikutlah editorial Utusan Malaysia. Saya 'percaya' mereka semua faham agama. Didikan ibubapa mereka cukup sempurna. 'Ustazah Teo' tak boleh, 'Ustaz Kamal' boleh !

Mentaliti UMNO dan Utusan tak berkembang-kembang sejak 53 tahun yang lalu. Istihar saja merdeka, semuanya masih dijajah.

Itu yang mereka mahu terapkan pada orang lain yang berada di luar kerangka UMNO dan Utusan.

kedahlanie,
19.9.2010
Siapa yang paling layak Timbalan Presiden

Menjelang pemilihan PKR November ini, antara jawatan yang hangat diperkatakan ialah Timbalan Presiden, bukan Naib Presiden mahupun Presiden. Untuk jawatan Presiden tidak ada sesiapa yang dijangka bersedia mencabar Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Bagaimanapun Naib Presiden, dijangka menjadi gelanggang besar dengan awal-awal lagi Wanita PKR telah menamakan calon mereka.

Fokus calon jawatan Timbalan Presiden ini tertumpu kepada empat nama, iaitu dua Naib Presiden sedia ada YB Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub, dengan dua lagi nama masih bermain tarik tali. Tan Sri Khalid Ibrahim dari awal memukul canang beliau tidak berminat dengan jawatan tersebut, begitu juga Datuk Zaid Ibrahim. Cuma akhir-akhir ini Zaid memberikan mesej sedia bertanding jika Khalid menolak. Ini seolah-olah bermakna, antara Khalid dan Zaid, salah seorang mungkin akan bertanding jawatan Timbalan Presiden. Sebenarnya jika bukan dengan kemunculan Zaid yang memberikan pilihan antara beliau dan Khalid, mungkin timbul nama kelima, iaitu Tien Chua.

Berdasarkan kekananan dalam hierarki parti, Azmin dan Mustaffa dikira paling kanan. Azmin telah bersama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak dalam kerajaan dan tidak pernah sama sekali meninggalkan Anwar. Malah boleh dikatakan segala rahsia Anwar di dalam kocek Azmin. Apatah lagi sebagai Naib Presiden, kekosongan jawatan Timbalan Presiden memang wajar diisi salah seorang Naib Presiden. Cuma Azmin lebih bernasib baik berbanding dengan Mustaffa walaupun Mustaffa lebih dahulu mengenali dan rapat dengan Anwar.

Sewaktu Anwar memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia, Mustaffa ialah Presiden Pertubuhan Kebajikan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). PKPIM pada waktu itu antara pertubuhan pelajar paling kuat menyokong Anwar, baik semasa beliau dalam ABIM atau kerajaan. Cuma Mustaffa tidak begitu bernasib baik berbanding Azmin. Bagaimanapun, jika mahu mencari seorang lagi yang se acuan Anwar, dia ialah Mustaffa. Itulah kekuatan dan kelemahan beliau.

Kekuatan Mustaffa kerana beliau mempunyai sahsiah politik yang amat similar dengan Anwar dek kerana dilatih oleh Anwar. Sebab itu beliau berbicara seumpama Anwar, kadangkala juga berpakaian semacam Anwar pada zaman perjuangannya, dan bervisi sesuatu yang tulus dan amat jujur. Cuma dalam politik, tidak cukup hanya menyerupai dan berfikiran seperti bosnya. Dari segi pengalaman dan sepak terajang politik, Anwar jauh meninggalkan Mustaffa.

Mustaffa tidak bernasib baik kerana kalah dalam Pilihan Raya Umum 2008. Andai beliau menang, kerusi Menteri Besar Perak adalah haknya yang tidak dipersoalkan. Ketika Pakatan Rakyat terlibat dalam sesi panjang mencari calon Menteri Besar, nama beliau turut diusulkan walaupun beliau tidak memenangi kerusi DUN. Dikatakan bahawa dalam Perlembagaan Tubuh Negeri Perak, tidak tercatat seseorang itu perlulah ahli DUN. Bagaimanapun kerana situasi melantik bukan Ahli DUN sebagai Menteri Besar belum pernah berlaku, malah mendapat pelbagai bantahan, maka Mustaffa terkeluar daripada senarai calon akhirnya. Tanpa sebarang kerusi kuasa Mustaffa menjadi pemimpin sekunder dalam hierarki PKR. Apatah lagi beliau seorang loyalist Anwar yang tidak akan membantah apa sahaja disuruh Anwar. Kesetiaan yang mutlak kadangkala tidak dapat menonjolkan kewibawaan seseorang pemimpin.

Berbanding Mustaffa, Azmin dikatakan lebih pintar dan licik permainan politiknya, dalam bahasa Inggerisnya disebut ‘true political animal’. Beliau juga dididik Anwar, malah lebih mendapat didikan politik kerana bekerja rapat dengan Anwar. Maka beliau berupaya membina jaringan lebih hebat sejak dalam UMNO dahulu sehinggalah PKR ditubuhkan. Kelebihan Azmin bukan sahaja kerana kehebatannya berpolitik, malah lebih mempunyai sumber berbanding pemimpin PKR lain. Beliau mampu bergerak tanpa mendapatkan penajaan daripada sesiapa, malah dikatakan pandai menjaga pengikutnya. Ini membolehkan beliau mempunyai rangkaian lebih jauh, luas dan berkesan.

Mustaffa dan Azmin, dua manusia yang sama sekali berbeza. Mereka masih bersahabat baik, tetapi seteru politik di dalam parti. Masing-masing sentiasa cuba untuk menggembirakan ‘bos’ tetapi kelihatannya Azmin, walaupun Mustaffa lebih jujur dalam politiknya. ‘Bos’ PKR tahu bahawa Mustaffa boleh menjadi pemimpin yang baik seumpama Nik Aziz, tetapi tentu beliau juga tahu PKR memerlukan pemimpin lebih robust, tekal dan berani. Pada masa sama, PKR juga tidak mahu pemimpin yang dilihat terlalu ghairah untuk memegang jawatan sehingga dikhuatiri rakan komponen dalam Pakatan Rakyat. Malah jika Mustaffa tidak mencabar Azmin, awal-awal Tien Chua sudah memberikan amaran tidak akan mengizinkan Azmin menang percuma.

Dalam keterperangkapan PKR antara Mustaffa dan Azmin, timbul awalnya nama Khalid dan seterusnya Zaid. Sejak Khalid menjadi Menteri Besar Selangor sudah beberapa kali namanya ditimbulkan sebagai pilihan ketiga. Mengapa ada pilihan ketiga? Mungkin kerana PKR memerlukan seseorang yang lebih lengkap pakejnya berbanding dua nama tersebut. Cuma, adakah Khalid nama alternatif paling baik?

Khalid awal-awal sudah beberapa kali menolaknya. Dalam politik, jika seseorang mahu bertahan, dia harus memegang jawatan yang kanan dalam hierarki kepimpinan parti. Seawal Khalid menyertai PKR, beliau dilantik menjadi Setiausaha Agung, lalu kemudiannya Bendahari Agung pada waktu PKR dalam kesulitan dananya. Khalid dikatakan dapat membantu pendanaan PKR menjelang pilihan raya umum.

Khalid bernasib baik apabila menang kerusi Parlimen Bandar Tun Razak dan DUN Ijuk. Andainya PKR mampu mengambil alih Kerajaan Pusat, Khalid adalah calon untuk Menteri Kewangan. Beliau masih bernasib amat baik kerana dengan kedudukan sebagai Bendahari PKR yang rapat dengan Anwar dan dianggap sebagai nama korporat besar, beliau memintas Azmin untuk menjadi Menteri Besar Selangor. Ini kelihatan sesuatu yang kurang adil kepada Azmin, tetapi sebagai ahli politik yang bijaksana, Azmin mengambil jalan tengah untuk berdamai.

Khalid dinilai prestasinya sebagai Menteri Besar dan Ahli Politik. Ramai beranggapan sebagai ahli politik, beliau gagal kerana tidak ‘pandai’ menggembirakan penyokong. Kepimpinan politik yang berjaya, apabila berupaya membina kumpulan penyokong tegar di sekeliling yang akan menjadi pagar kepada beliau. Khalid adalah lone ranger dalam PKR walaupun beliau lebih disenangi rakan-rakan dalam Pakatan. Walaupun dilihat sebagai calon berwibawa dalam pengurusan kerajaan, ramai dalam PKR tidak menjangka beliau boleh menandingi Azmin dalam pemilihan Timbalan Presiden, malah kalau dilihat hubungan mesra akar umbi, Mustaffa jauh lebih baik.

Apabila Zaid menyertai PKR, beliau dilihat sebagai calon paling ideal untuk mengambil alih kepimpinan dalam Pakatan Rakyat andainya apa-apa terjadi kepada Anwar. Dalam saf kepimpinan Pakatan Rakyat, Zaid lebih mudah diterima walaupun awalnya akar umbi dalam Pas sukar menerimanya. Cuma Pas adalah parti yang patuh kepada kepimpinan mereka, lalu apabila kepimpinan Pas menerima Zaid, maka pengikut mereka menerimanya. Apatah lagi Zaid dikatakan bukan lagi Zaid pada zaman UMNOnya walaupun tag liberalnya masih kuat terlekat.

Dari segi kecerdikan berpolitik dan kemampuan sumber, Zaid setanding Azmin, hatta sumbernya jauh lebih besar daripada Azmin. Zaid berupaya memberikan saingan kuat kepada Azmin. Kekurangan Zaid ialah kerana beliau masih baru dalam PKR dan belum mengenal sepak terajang dalam PKR sepenuhnya. Persaingan dalam PKR berbeza dengan persaingan dalam UMNO, apatah lagi dengan pengenalan kaedah baru dalam PKR yang memberikan suara dan undi kepada umbi dengan pengundian melibatkan semua cabang dalam PKR.

Akhirnya antara Mustaffa, Azmin, Khalid dan Zaid; siapakah akan menjadi pilihan ahli-ahli PKR? Bagaimana dengan peranan Anwar, sama ada akan memberikan isyarat atau tidak siapa calon pilihannya? Sukar terjadi persaingan empat penjuru, paling-paling tiga atau dua. Akan ada berlaku kompromi dengan calon-calon consolidate di bawah seorang calon, cuma nama yang pasti tidak menarik diri dan tidak bersekutu dengan mana-mana calon lain ialah Azmin. Mustaffa mungkin nanti akan melihat bagaimana Khalid dan Zaid membuat keputusan, sama ada beliau ‘join the wagon’ atau membuat keputusan ‘if you cant beat them, join them’. - Ishak Hamzah

kedahlanie,
19.9.2010