ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Saturday, June 4, 2011

Tuan Ibrahim: Tidak timbul soal ulama, bukan ulama

Oleh:Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 4 Jun: Tidak timbul soal ulama bukan ulama yang sedang dimainkan media pro Umno terhadap saf kepimpinan baru PAS, kata bekas calon Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bercakap kepada Harakahdaily beliau berkata, keputusan pemilihan PAS yang diumum hari ini membuktikan perwakilan faham struktur dalam PAS yang sememangnya diterajui Majlis Syura Ulama.

"Kita ada panduan dari Majlis Syura, ini akan memandu parti kita.

"Saya fikir ia tidak mencerminkan penolakan terhadap ulamak, tetapi mereka faham ulama tetap tertinggi dalam PAS melalui Majlis Syura dan Dewan Ulama PAS Pusat," katanya yang juga dilihat dari kelompok ulama, dalam pertandingan tiga penjuru jawatan Timbalan Presiden PAS.

Dalam keputusan hari ini, beliau dan penyandang sebelum ini Nasharudin Mat Isa, bagaimanapun tewas kepada Mohamad Sabu yang dilihat bukan dari kelompok ulama.

Mohamad mendapat 420 undi berbanding Tuan Ibrahim 399 dan Nasha 224.

Bagi tiga jawatan Naib Presiden pula, perwakilan telah memilih Salahudin Ayub, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar.

Ketiga-tiga mereka mendapat undi paling tinggi menewaskan tiga lagi calon iaitu Ust Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin.

Salahudin mendapat 753 undi, Husam (660), Mahfuz (616), Idris (491), Nik Amar (321) dan Nizar (217).

Media Umno bagaimanapun menganggap 'line up' baru kepimpinan parti itu sebagai wujud penolakan kepada kelompok ulama di kalangan perwakilan.

Mengulas perkara sama, Timbalan Presiden PAS yang baru, Mohamad Sabu turut merasa hairan dengan sikap Utusan.

"Hanya media Umno main isu ulama-profesional ini. Kenapa tiba-tiba Utusan menjadi sayang kepada ulama menjelang muktamar.

"Sedangkan kita yang menang ini semuanya mendokong kepimpinan ulama,"katanya.

Naib Presiden PAS yang baru, Datuk Husam Musa pula berkata, ia hanya propaganda media Umno untuk memecahbelahkan parpaduan dalam PAS.

"Struktur ulama sememangnya kukuh dalam PAS. Paling tinggi Mursyidul Am, Timbalan Mursyidul Am dan Majlis Syura.

"Saya, Mahfuz, Mat Sabu dan Salahudin daripada kecil dalam PAS, membesar dan dididik oleh Ulama PAS, jadi tidak ada apa-apa perubahan pun" tegasnya.

Mengulas peranan yang mahu dimainkannya sebagai salah seorang naib presiden PAS yang baru, beliau berkata mahu menumpukan kepada kemenangan PAS pada PRU-13 akan datang.

"Kemenangan ini untuk kita merangka pelan kejayaan PAS dalam PRU-13 dan meletakkan PAS pada posisi yang betul agar diterima rakyat pelbagai kaum," katanya.

Tuan Ibrahim ketika diminta mengulas kekalahannya pula, redha dengan keputusan pengundian oleh perwakilan tersebut.

"Alhamdulillah, Allah mengurangkan beban saya di akhirat. Saya tak rasa kecewa kerana kita tahu ruang berjuang dalam parti sangat luas," katanya.

harakahdaily.net
Tiada masalah bukan ulamak jadi pimpinan PAS - Presiden

Oleh:Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 4 Jun: Tiada masalah timbalan dan naib-naib presiden bukan dari golongan ulamak, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau sebaliknya gembira dengan keputusan yang dibuat perwakilan dalam pemilihan kali ini bagi sesi 2011-2013.

"Saya bersyukur dengan perpaduan yang wujud. Walaupun berbeza pandangan dari segi menentukan calon, tapi kita mendapat keputusan yang penuh kemesraan.

"Semua pihak menghormati keputusan perwakilan dan menerima siapa sahaja yang dipilih menjadi pemimpin khususnya untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13," kata beliau pada sidang media di muktamar PAS kali ke-57 di Dewan Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad hari ini.

Beliau menambah, PAS memang pernah memilih bekas Yang Dipertua parti yang kedua bukan dari golongan ulamak.

"Ini bukan perkara baru. PAS pernah pilih Haji Abas Alias yang bukan daripada ulamak sebagai yang dipertua PAS yang kedua.

"Tengok kepada AJK PAS Pusat, lapan di kalangan ulamak, dua doktor, dan selebihnya jurutera dan pemimpin masyarakat," katanya yang ditemani timbalan presiden yang baru, Mohammad Sabu dan tiga Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar, Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub.

Sementara itu, Mohammad Sabu menyatakan komitmennya untuk membantu Ustaz Hadi melebarkan pengaruh PAS di kalangan NGO dan parti-parti lain.

Tegasnya juga, beliau tetap mementingkan kepimpinan ulamak dalam PAS.

"Saya akan cuba bantu Presiden untuk bidang melebar luaskan pengaruh PAS kepada bukan Melayu, bukan PAS dan NGO.

"Kepimpinan ulamak tetap dipertegaskan, bukan macam Umno yang letak Ulamak dalam bentuk biro.Dalam PAS ulamak adalah satu majlis syura dan ada dewan yang akan mengawal dasar parti," katanya.

Dalam pada itu, Ustaz Hadi turut menyifatkan kepimpinan yang baru ini sebagai kabinet pilihan raya.

Mengulas lanjut, beliau yakin kepimpinan baru ini mampu membawa PAS lebih diterima masyarakat sekaligus relevan menggantikan Umno.

"Ahli-ahli memilih saf hadapan untuk pilihan raya. Sebab itu kabinet saya kali ini kabinet pilihan raya," katanya.

harakahdaily.net

Thursday, June 2, 2011

Pemilihan PAS: Ribut dalam cawan, tapi jangan air tertumpah!

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN


Pemilihan kepemimpinan PAS kali ini, terutama di peringkat timbalan dan naib-naib presiden, mendapat perhatian agak luar biasa apabila ramai tokoh-tokoh besar bertanding. Bukan sahaja ahli parti dan penyokong Pakatan Rakyat memberi tumpuan dengan penuh minat, malah pihak luar juga lebih tertarik untuk mendekati parti Islam itu. Profil kepemimpinan PAS diteropong, manakala pelbagai analisis dan ramalan dilontarkan.

Perkembangan ini sudah dijangka memandangkan peranan dan kedudukan PAS dalam lanskap politik negara semakin penting, tambahan pula pilihan raya paling kritikal dalam sejarah, bakal diadakan bila-bila masa sahaja.

Apa juga "perubahan" dalam mana-mana komponen Pakatan sudah tentu memberi kesan dan impak kepada barisan oposisi keseluruhannya dalam persiapan berdepan PRU13. Lebih-lebih lagi sokongan pengundi Melayu menjadi rebutan sengit Pakatan dan BN, yang mana PAS dilihat paling banyak bertanding di kerusi majoriti Melayu. Trend pengundian orang Melayu akan diperhatikan secara cermat kerana ia bakal menentukan siapa yang menguasai Putrajaya nanti.

Suasana tambah dramatik apabila di saat-saat akhir menjelang muktamar, semakin ramai tokoh yang bersedia menerima pencalonan. Beberapa calon popular yang sebelum ini mengumumkan tidak akan bertanding, namun berdasarkan situasi mutakhir, termasuk faktor jumlah pencalonan dan pergolakan semasa politik tanahair, telah menimbangkan semula pendirian mereka.

Dalam tempoh singkat, iaitu lebih kurang seminggu sebelum hari pengundian, mungkin ramai yang tertanya-tanya bagaimana bentuk "kempen" yang dijalankan di kalangan perwakilan. Sebenarnya, tanpa perlu menguatkuasakan "pantang-larang" atau etika "berkempen", proses pertandingan dalam PAS dianggap tidak lebih daripada "ribut dalam cawan". "Kempen" dan "lobi" merupakan satu istilah yang kerap dipandang secara negatif dalam PAS.

"Cuma, jangan sampai air dalam cawan tertumpah keluar," kata seorang rakan.

"Apakah perwakilan dari seluruh negara dapat mengenali sepenuhnya misi dan visi calon-calon yang menawarkan khidmat?" tanya seorang pemerhati kepada saya. "Sepatutnya Harakah perlu memberi ruang seadanya buat semua calon timbalan dan naib-naib presiden, agar dapat membantu perwakilan membuat pilihan," cadang seorang pembaca. "Jangan terlalu takut atau memandang hanya sudut negatif pada kempen," tambahnya.

Mungkin terdapat ulasan yang tersasar atau agak keras nadanya terhadap kepemimpinan parti, khususnya dalam media baru. Pastinya bermacam-macam cerita (yang sebahagiannya sukar dipastikan kebenarannya) akan didendangkan sekarang. Namun bagi saya, ia tidak sepatutnya merunsingkan ahli-ahli dan juga pemimpin PAS.

Dari sudut positif, selain perlu bersikap terbuka dan berlapang dada, segala kritikan itu terselit harapan besar dan ini juga secocok dengan kempen seluruh negara, "PAS Ganti Umno". Sebagai parti yang kian berkembang, dan didokong aspirasi pelbagai lapisan rakyat, maka pandangan dan teguran itu harus diolah dengan bijaksana. PAS dan juga Pakatan Rakyat sudah menjadi pentakrif penting fenomena politik Malaysia.

Saya akui kita ketandusan penganalisis politik yang dapat memberikan komentar secara adil terhadap realiti PAS masa kini, baik daripada para wartawan mahupun pensyarah di universiti. Malah, selepas era kepemimpinan ulamak 1982, saya sendiri sukar untuk menamakan seorang tokoh akademik yang benar-benar berupaya mendalami perkembangan PAS.

Hinggakan rakan-rakan wartawan agak buntu untuk mencari "pakar tentang PAS", bagi mengulas dengan baik dan seimbang "pergolakan" yang berlaku menjelang muktamar awal Jun nanti.

Muktamar ini juga tidak seharusnya memesongkan fokus utama aktivis parti daripada mengangkat agenda besar dalam sidang perbahasan. Dalam keadaan ramai yang beranggapan ia muktamar terakhir sebelum PRU13, peluang harus dimanfaatkan sebaik-baiknya terutama ketika masyarakat memberikan tumpuan istimewa terhadap potensi dan kekuatan PAS.


"Elok jika ucapan dasar Presiden PAS dapat memandu perwakilan membincangkan, antara lain, isu-isu mengenai keupayaan PAS untuk menggantikan Umno sebagai teras kerajaan alternatif nanti. Orang Melayu sudah muak dan jelak dengan Umno, tetapi dalam masa sama sebahagian mereka masih ragu-ragu dengan kemampuan PAS untuk mempertahankan kepentingan Melayu," kata seorang pensyarah politik.

"Jangan pandang remeh pengaruh alat propaganda Umno, termasuk Utusan Malaysia dan Biro Tata Negara, yang menabur fitnah dan tohmah terhadap PAS. PAS mesti berani dan lantang membicarakan isu-isu Melayu tetapi bukan dengan wajah perkauman. Memang ia nampak sulit untuk diaplikasi tetapi harus diusahakan dengan cermat atas dasar keadilan Islam. Psikologi Melayu yang mudah merasa terancam mesti ditangani dengan bijaksana. Terus-terang saya katakan, sehingga kini, walaupun selepas pemimpinnya lebih kerap bercakap soal keperluan menarik undi orang Melayu, tetapi imej PAS tidak banyak berubah," tambahnya.

"Bagi saya, masyarakat Melayu mungkin lebih sensitif memerhatikan kedudukan dan pengaruh PAS dalam kerajaan Pakatan Selangor dan Pulau Pinang, berbanding penguasaan PAS di Kedah dan Kelantan sendiri," ujar beliau sambil bersetuju dengan pandangan awal saya bahawa PAS merupakan parti paling kritikal tetapi cukup penting untuk diberi perhatian dalam PRU13.

mindalutfi.blogspot.com
IKHWAN MUSLIMIN DAN POLITIK BARU MESIR
OLEH:DR.SYED AZMAN SYED AHMAD


MINGGU ini saya berada di Kaherah bagi memenuhi
jemputan menghadiri perasmian Markas
Al-Am Ikhwan Muslimin atau ibu pejabat Pusat
Ikhwan Muslimin. Bangunan tujuh tingkat yang
indah serta berdiri gah di tengah-tengah kota
Kaherah itu melambangkan kebangkitan semula
gerakan Islam yang tertua ini telah kembali ke
persada politik perdana Mesir selepas kejatuhan
rejim Hosni Mubarak.

Ya, memang sesuatu yang tidak pernah di
impikan walaupun 6 bulan lalu apabila saya
dapat hadir secara bebas serta tanpa sebarang
gangguan dari pihak keselamatan Mesir yang
terkenal ganas dan tidak berperikemanusiaan.
Apatah lagi menjadi tetamu kepada Ikhwan
Muslimin, pertubuhan yang 6 bulan lalu dianggap
sebagai ‘pertubuhan haram’ dan menjadi ancaman
bahaya kepada rejim Mubarak. Begitu juga
dengan ribuan ahli serta penyokong Ikhwan yang
berpusu-pusu hadir dengan membawa bendera
hijau berlambangkan dua pedang berserta slogan
‘bersiap segeralah’ yang menjadi ikrar perjuangan
Ikhwan Muslimin sejak sekian lama.

Selain dari Murshid Ikhwan Dr Mohamed
Al-Badae’, ramai lagi pimpinan Ikhwan yang turut
hadir di majlis tersebut. Ustaz Mehdi Akif, Saiful
Islam al-Banna, Dr Mohd Ezzat serta Dr Kamal
Helbawy turut juga merayakan suasana politik
baru Mesir ini.

Bayangkan! Kalau 6 bulan lalu tidak mungkin
rakyat berani menyebut nama Ikhwan Muslimin
secara terbuka. Apatah lagi hadir di majlis-majlis
yang dianjurkan oleh mereka. Kini selepas kejatuhan
rejim Mubarak suasana politik baru ini amat
terasa di seluruh Mesir.

Sesungguhnya nama Ikhwan Muslimin amat
sinonim dengan pemimpin-pemimpin agung
seperti Hassan Al Banna, Syed Qutb, Abdul Qadir
Audah serta pimpinan yang lain. Ia mempunyai
sejarah serta pengaruh yang amat besar di bumi
Mesir serta rantau Arab secara keseluruhannya.
Sejak ia ditubuhkan oleh Hassan Al Banna
pada tahun 1927 ikhwan telah berkembang di
seluruh pelusuk dunia dengan pemikiran tajdid
atau perubahan terutamanya selepas kejatuhan
kerajaan Islam Othmaniah. Pemikiran serta pengaruh
yang dibawa oleh Hassan Al Banna telah
menggerakkan satu cetusan kebangkitan baru di
kalangan masyarakat Arab di rantau tersebut.
Namun kisah kezaliman, penyeksaan dan
penderitaan yang amat perit bukan hanya ditanggung
Hassan Al-Banna tetapi seluruh generasi
Ikhwan. Ianya penuh dengan air mata, penjara,
darah, tali gantung, pengharaman dan pembunuhan
kejam. Ramai pimpinan mereka yang
dibunuh termasuk pengasasnya Hasan Al Banna
dan Syed Qutb ada yang sebahagian yang dikenakan
hukuman penjara serta dibuang negara
ke serata dunia.

Namun kini dengan suasana politik baru di
seluruh Mesir,ruang kebebasan bersuara semakin
terserlah.Seluruh rakyat kini telah hilang rasa ‘takut’
mereka dan dapat menyuarakan pandangan
mereka secara bebas dan kritis tanpa sebarang
ancaman atau ugutan serta ditangkap oleh pihak
keselamatan Mesir. Media massa perdana serta
para wartawan akhbar utama Mesir juga bertambah
bebas dan tidak lagi hanya bekerja dengan
menjadi alat propaganda rejim Mubarak.

Ikhwan Muslimin juga sedang memanfaatkan
ruang kebebasan ini dengan mengatur persiapan
bagi menghadapi pilihan raya Presiden dan
dijangka akan bertanding sekurang-kurangnya 50
peratus kerusi Parlimen pada September ini. Mereka
telah mendaftarkan sebuah parti baru, iaitu
‘Al-Hurriyat Wal Adalah’ (Parti Kebebasan dan
Keadilan) untuk turut terlibat secara demokratik
dalam pilihan raya Mesir.Perkembangan tersebut
sejajar dengan nafas dan udara kebebasan yang
dapat dirasakan dengan baik di seluruh Mesir
kini, setelah rakyat berjaya menumbangkan
rejim Mubarak dengan revolusi rakyat 25 Februari
lalu.

Kini Ikhwan Muslimin bawah pimpinanDr.
Mohamed Al-Badieítelah mengambil pendekatan
politik yang bersifat ‘engagement’ atau berdailog
dan bergerak aktif secara terbuka di serata Mesir.
Pendekatan ini telah membuahkan hasil yang
amat positif. Mereka terlibat secara langsung
dalam proses pembinaan semula politik Mesir
selepas kejatuhan rejim Mubarak. Mereka turut
sama terlibat dalam melakar semula perlembagaan
Mesir yang menjurus kepada sistem demokrasi
dan pilihan raya yang adil dan bersih. Pendekatan
baru ini telah meletakkan mereka menjadi parti
yang amat disegani di seluruh Mesir.

Saya meninggalkan koto Kaherah dengan
penuh kenangan yang pilu tetapi menggembirakan.
Apa tidaknya. Apabila saya berpeluang
bertemu kembali pimpinan Ikhwan yang dipenjara
selama 20 hingga 30 tahun, ada yang
di buang negeri dan tidak dibenarkan memijak
bumi Mesir lebih 30 tahun. Mereka kini mereka
kembali bertemu dengan penuh kegembiraan
walaupun dengan bertongkat dan berkerusi roda
merayakan sejarah politik baru Mesir selepas
kejatuhan rejim yang zalim dan kejam.Politik
baru yang akan merubah segala-galanya bukan
sahaja di Mesir tetapi seluruh Dunia Islam bagi
meleraikan penguasaan dan hegemoni Kuasa
Besar Barat khususnya Amerika Syarikat, Britain
dan sekutu mereka.

HARAKAH,BIL.1643,27-29 MEI,2011.

Wednesday, May 25, 2011

Dato' Tuan Ibrahim Calon Timbalan Presiden PAS?


Kesediaan Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man untuk bertanding dalam jawatan Timbalan Presiden Pas tepat pada masanya. Saya masih ingat semasa beliau menjadi panel Forum Perdana Ehwal Islam di TV bersama Dato'Dr Harun Din,Ismail Kamus, Hassan Ali dan lain-lain lagi menyerlahkan sikap beliau terhadap isu-isu Islam semasa yang dibincangkan.

Beliau juga memberikan jawapan yang jitu kepada berbagai soalan yang ditujukan kepadanya dan memperlihatkan kedalaman ilmunya, serta kefahaman yang meluas terhadap Islam. Seorang calon Timbalan Presiden bagi sesebuah Parti Islam haruslah mempunyai ilmu yang mendalam tentang syariah Islam serta dapat mengaitkannya dengan hal ehwal semasa.Ciri ini ada pada Dato' Tuan Ibrahim.

Mmemang sukar untuk mencari ulama yang boleh berijtihad seperti Dr Yusoff AlQardhawi sekarang ini di Malaysia, dengan sistem pendidikannya yang sering berubah yang menyukarkan kelahiran seorang ulama yang menjadi bintang bagi kaumnya,seperti kata AlGhazali. Namun kemantapan yang ada pada Dato' Tun Ibrahim menjadikan beliau orang yang paling layak dirasakan ke jawatan itu. Jawatan Timbalan Presiden seharusnya tidak dipegang oleh orang yang kurang arif tentang selok-belok perundangan Islam, tujuan syariat Islam dan dapat mengistinbat hukum dari dalil alQuran,Hadis,Ijma Ulama dan Qiyas. Dato' Tuan Ibrahim nampaknya memenuhi kriteria ini.

Memang parti Islam boleh dipimpin oleh orang yang bukan dari pendidikan Islam, namun tentu agak sukar apabila berhadapan dengan satu-satu masalah yang memerlukan jurus pandangan Islam atau Islamic worldwiew. Mahu atau tidak dia akan terpaksa merujuk kepada ulama yang pakar dalam syariah Islam dan keadaan semasa. Di sinilah betapa kurang relevannya lulusan bukan pendidikan Islam untuk memimpin sesebuah parti Islam.

Seperti juga perlantikan ahli syura, ia memerlukan kriteria tertentu untuk membolehkan seseorang itu duduk di dalam majlis berkenaan. Seorang Timbalan presiden Parti Islam seharusnya layak menduduki kerusi ahli majlis syura itu. Dengan begitu, tidak perlu dia merujuk kepada ulama lain untuk membuat sebarang keputusan, apalagi kalau keputusan itu memerlukan masa yang pendek atau singkat dan mendesak agar ianya segera diputuskan. Dalam keadaan ini, ulama adalah penting untuk menjawat jawatan itu.


25.5.2011

Tuesday, May 24, 2011

Mohon Maaf

Kebelakangan ini perhqtian agak kurang kepada permasalahan politik, jadi barangkali sebab itu tidak ada ulasan politik dalam blog ini sejak kebelakangan ini. Saya cuba memerhatikan masalah sosial, sastera, budaya dan bahasa.Jadi untuk beberqpa waktu saya berehat sementara dari permasalahan politik,lagipun banyak sudah bblog membincangkan masalah politik. Maaflah ,bukan selamanya, hanya sementara sahaja. Kesihatan saya agak terganggu,dan dimasukkan ke HSBG beberapa hari lalu,dan discharge kelmarin.

2.Terima kasih kepada jururawat dan doktor yang sentiasa prihatin kepada masalah pesakitnya.

Saturday, May 14, 2011

Tindakan Gobala sudah dijangka – Anwar

SHAH ALAM: Tindakan Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan keluar KEADILAN serta melepaskan semua jawatan dalam parti sudah dijangka.

“(Kita) dah lama jangka (dia akan keluar),” kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas memnghadiri majlis Wacana Memperkasa Fikrah Rakyat: Maqasid Syariah dan Masyarakat Majmuk yang berlangsung di Auditorium Dewan Jubli Perak, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Shah Alam, Selangor.

Apabila ditanya pemberita sama ada Gobala sudah menyerahkan surat peletakan jawatan secara rasmi, Anwar berkata: “Tidak bagi surat lagi. Dia belum (lagi) jawap surat (tunjuk sebab).”

Semalam, Gobala yang juga bekas Naib Presiden KEADILAN mengumum keluar parti dan melepaskan semua jawatannya dalam parti. Sebelum ini, beliau juga sembarangan mengkritik pimpinan parti melalui twitter tanpa mengikut prosedur sewajar.

Tindakan itu dipercayai diambil selepas Gobala dipercayai tidak berpuashati tidak dilantik sebagai Naib Presiden bagi mewakili masyarakat India dalam KEADILAN.

Beliau sebelum ini mempertikaikan pelantikan N Surendran, seorang peguam hak asasi manusia sebagai Naib Presiden KEADILAN yang baru.

www.keadilandaily.com


Pelihara hak moral, akhlak sesama manusia – ulama Syria


MELAKA: Definisi hak asasi manusia konvensional yang diguna pakai di seluruh dunia hari ini masih tidak lengkap kerana ia tidak melindungi hak manusia untuk mempertahankan moral dan akhlak mereka, kata ulama terkenal dari Syria, Professor Dr Wahbah Zuhaili.

Beliau membuat kenyataan itu sewaktu berucap pada Seminar Maqasid Syariah dalam Masyarakat Majmuk di Hotel Straits Meridian Bukit Baru Melaka.

Seminar itu dipengerusikan Naib Presiden Wadah, Datuk Mohd Idris Jauzi dan ahli panel lain adalah Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Penerangan KEADILAN merangkap Timbalan Presiden Wadah, Dr Muhammad Nur Manuty, dan Pesuruhjaya Pas Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman.

Berucap lebih lanjut, Dr Wahbah berkata maqasid syariah (matlamat peringkat tinggi syariah) yang salah satu tujuannya memelihara kehormatan manusia dilihat mampu untuk melengkapi definisi hak asasi manusia.

“Maqasid syariah adalah pilihan terbaik untuk membentangkan isu hak asasi manusia. Hak asasi telah ada dalam Islam sejak Islam diutuskan dari dahulu lagi,” kata Dr Wahbah.

Dalam ucapannya, beliau sempat menyeru hadirin, Islam dan bukan Islam, untuk bersama menyokong kebangkitan Islam.

Ini kerana, menurut Dr Wahbah, Islam tetap menegakkan kebenaran dan mengangkat keadilan tanpa mengira agama dan bangsa.

“Saya menyeru rakan-rakan semanusia, yakinlah Islam tetap menegakkan kebenaran dan mengangkat keadilan.

“Kebangkitan Islam tidak langsung akan membawa kehinaan kepada agama lain,” kata Dr Wahbah.

Malahan, pertumpahan darah adalah haram di sisi Islam kerana semua manusia adalah hamba di sisi Allah, kata Dr Wahbah.

Anwar sewaktu gilirannya berucap pula menyatakan kebimbangannya terhadap tahap kefahaman Islam di kalangan masyarakat di Malaysia hari ini.

” Malaysia hari ini lebih takut kepada isu negara Kristian yang sebenarnya tidak wujud dan sengaja digembar-gemburkan pihak tidak bertanggungjawab,” kata Anwar.

Sedangkan pada masa yang sama, perkara yang lebih penting dan bersifat asas pula diabaikan, tambah Anwar.

“Syarak, qazaf dan sumpah yang tidak mengikut hukum pula diabaikan,” kata Anwar.

http://www.keadilandaily.com/


Matinya Seorang Osama
Oleh:Hishamuddin Rais

Ketika bangunan World Trade Center di New York dilanggar kapal terbang aku duduk dalam satu sel dengan Tian Chua di kem tahanan Kamunting. Kami dikawal dari mengetahui apa yang berlaku di luar penjara. Akhbar yang dimiliki United Malays National Organisation hanya diberi enam bulan selepas kami ditahan. Akhbar ini pun dipotong-potong untuk memastikan kami tidak tahu apa yang sedang berlaku diluar penjara. Hasilnya aku ketinggalan dengan semua bentuk berita.

Aku tidak mengetahui berlakunya serangan ke atas WTC di New York pada Selasa itu. Hanya esoknya, hari Rabu Elizebeth Wong datang melawat Tian Chua dan dia membawa berita ini. Aku dengan serta merta merasa agak was-was tentang perkara sebenarnya yang berlaku. Percambahan fikrah aku tidak membenarkan aku menerima dan menelan bulat-bulat apa sahaja fakta dari kuasa daulah tanpa ditapis.

Dalam masa yang sama – tidak jauh dari blok aku ialah blok Al-Maunah. Warga Al-Maunah ini sampai ke Kamunting beberapa bulan lebih awal dari aku. Bila aku menyelidik dan bertanya dengan anggota Al-Maunah ini sendiri maka aku lihat mereka diperangkap dengan satu mondus operandi operasi hitam untuk menghalalkan penggunaan ISA – penjara tanpa bicara.

Bila aku kaji kes Al-Maunah maka aku merasakan ledakan WTC ini juga adalah satu operasi hitam. Tetapi pada ketika itu pembacaan dan maklumat yang mungkin dapat aku cungkil tidak wujud. Dari Kamunting tidak mungkin aku dapat menganalisa dan mengkaji latar belakang serangan pada 9/11 ini.

Satu minggu sesudah 9/11, aku telah di bawa ke Kuala Lumpur untuk bicara kes tunjuk perasaan Reformasi. Dari Kamunting kami di bawa ke Rumah Pasong Sentul sebelum kami dipindahkan ke satu tempat sulit di pinggir kota Kuala Lumpur. Di rumah pasong inilah kali pertamanya aku melihat klip dua buah kapal terbang yang menuju ke arah ke WTC kemudian meletup. Aku ternampak klip ini dari kaca TV di rumah pasong Sentul.

Aku tidak ambil pot tentang siapa Osama bin Laden. Untuk aku nama Bin Laden ini adalah nama busuk dari satu keluarga yang jahat. Sebelum 9/11 berlaku, pada tahun 1993 dahulu satu ledakan di Kerpan Kedah terjadi apabila seorang yang bernama Bin Laden telah merampas tanah sawah orang kampung untuk dijadikan kolam undang.

Aku masih ingat lagi benterokan berlaku awal tahun 90an di mana orang kampong telah bangun melawan apabila tanah sawah mereka dirampas. Manusia yang bernama Bin Laden ini telah berjaya merampas tanah sawah orang kampong dengan kerja sama United Malays National Organisation.

Mara ke hadapan dua tahun kemudian : Apabila aku dibebaskan dari Kamunting aku terus mencari sebanyak mungkin maklumat tentang WTC dan 9/11. Melalui internet aku mula mendapat pemahaman jelas tentang apa yang sebenarnya berlaku di New York pada 9/11 itu. Aku juga dapat melihat kembali detik-detik akhir sebelum ledakan itu berlaku. Aku juga dapat melihat George Bush bermuka poyo lagi tojo dalam bilik darjah ketika diberitahu pegawai sulitnya tentang serangan ini.

Gambar fail

Semakin banyak bahan yang aku baca – semakin meyakinkan aku bahawa 9/11 adalah kerja orang dalam. Ini samalah seperti apa yang terjadi kepada kumpulan Al-Maunah. Pada hemat aku penangkapan Al-Maunah ialah agenda Mahathir pada tahun 2000. Ketika ini imej Mahathir dilihat sebagai bangkai oleh orang Melayu.

Justeru satu sandiwara rompakan bersenjata dipentaskan di Sauk untuk menimbulkan simpati orang Melayu kepada Mahathir Muhamad. Juga dengan sandiwara bersenjata Al-Sauk Al Maunah ini Mahathir sedang menyediakan persetujuan orang ramai untuk menangkap pemimpin Gerakan Reformasi.

Justeru – apabila 10 orang aktivis Reformasi dan kepimpinan KEADILAN ditangkap – kami dituduh secara gelap merancang menggunakan senjata untuk menggulingkan Mahathir Muhamad. Jelas, Al Maunah hanyalah pembuka jalan untuk tangkapan beramai-ramai.

Sayangnya, agenda Mahathir dengan Operasi Al-Sauk Al-Maunah ini dijadikan bahan lawak orang ramai. Orang ramai diberi tahu bahawa tiga buah Pajero telah berjaya membawa lari 4 tan senjata dalam masa 15 minit. Apabila berita ini muncul satu negara ketawa besar. Lawak Pajero ini menjadikan rancangan Mahathir Muhamad terbarai.

Untuk menolak gurindam dan seloka Al-Sauk Al Maunah ini, babak rompakan ini dipentaskan semula untuk membuktikan kepada orang ramai bahawa memang rompakan ini boleh berlaku dalam masa 15 minit dan 4 tan senjata boleh dimuatkan dalam tiga buah kereta Pajero.

Nasib tidak menyebelahi Mahafiraun - nama manja Mahathir ketika itu. Tidak ada sesiapa ambil pot tentang lakonan semula rompakan senjata ini. Imej Mahathir terus merundum hingga ke hari ini. Ini samalah dengan apa yang terjadi kepada George Bush sesudah 9/11.

Kajian demi kajian dibuat tentang apa sebenarnya berlaku sebelum dan sesudah pada 9/11. Maklumat baru muncul, maklumat tersorok dicungkil, gambar baru muncul, kenyataan yang cuba ditenggelamkan dibuka kembali – akhirnya lebih dari 50% warga Amerika tidak percaya dengan maklumat yang diberikan oleh Rumah Putih, tentera atau FBI.

Dalam masa yang sama semakin ramai sosok-sosok berwibawa dan berjawatan tinggi dalam kerajaan mula mempersoalkan ‘kerja orang dalam ini’. Mereka yang mempertikaikan naratif rasmi ini bukan ‘kecik anak’. Morgan Reynolds bekas penasihat ekonomi di bawah Bush Senior, Paul Roberts Ketua Nasa dari Jabatan Pertahanan, Michel Meacher bekas Menteri Alam Sekitar United Kingdom ( 1997-2003) adalah diantara sosok yang bangun dan bersuara kerana kesangsian mereka terhadap apa yang berlaku pada 9/11.

Manakala Andreas Von Buelow bekas Menteri Pertahanan German secara terang terang mengeluarkan kenyataan dan menulis buku tentang konspirasi CIA yang mewujudkan 9/11.

Kemudian pada tahun 2005 aku dapat menonton dari YouTube filem dokumentri bernama ‘Loose Change’. Dokumentri ini dengan berjaya telah membuktikan bahawa ledakan WTC pada 9/11 adalah kerja orang dalam. Malah aku sendiri terperanjat kerana ada beberapa fakta baru yang tidak aku sedari telah ditimbulkan oleh ‘Loose Change’.

Mungkin hingga ke hari ini aku rasa masih ramai warga dunia tidak menyedari bahawa pada 9/11 itu bukan dua (not two) tetapi tiga bangunan runtuh. Bangunan ketiga ini dipanggil Building 7. Yang menjadi lawak besar (macam lawak Pajero AL-Maunah) Building 7 ini tidak ada kena mengena dan tidak diusik pun oleh kapal terbang yang dikatakan telah dibajak oleh Al-Qaida. Building 7 ini terbakar dengan sendiri dan akhirnya runtuh.

Sehari sesudah 9/11, George Bush dengan tangkas telah menuduh ledakan WTC adalah kerja Al-Qaeda yang dipimpin oleh Osama Bin Laden. Justeru, semenjak 9/11 berlaku nama Osama telah menjadi nama yang digunakan untuk mengolah persetujuan warga dunia agar menyokong kuasa imperilis Amerika dalam tindakan untuk menyerang Iraq, Iran, Afghanistan dan Pakistan.

Di era Perang Dingin dahulu – sebelum runtuhnya Tembok Berlin – yang dijadikan hantu untuk menakut-nakutkan rakyat dunia ialah Russsia dan Komunis. Selesai Perang Dingin ini Osama dan Al-Qaeda telah dijadikan hantu baru untuk menakutkan warga dunia dan menghalalkan perang dengan strateji yang dipanggil – perang menentang keganasan.

Dengan jelas aku melihat bahawa seperti Al-Sauk Al-Maunah di mana Mahathir Muhamad ingin meneruskan agenda politik untuk memperkayakan kroninya - George Bush juga menggunakan Osama untuk menyerang Iraq dan Afghanistan. Di Iraq ‘military industrial complex’ - kuasa industri senjata Amerika ingin menawan telaga minyak. Di Afghanistan pula yang ingin ditawan ialah punca-punca gas.

Apabila berita Osama ditembak mati di Abbotabad Pakistan aku juga tidak ambil pot. Ini bukan kerana aku masih lagi dalam Kamunting. Aku tidak ambil pot kerana dari apa yang aku kaji dan aku baca – amat jelas bahawa Osama ini adalah perkakas yang digunakan CIA. Macam selipar jepun, macam skrew, macam beg palstik – semua ini boleh kita gunakan untuk satu ketika.

Skrew mungkin berkarat. Selipar jepun mungkin talinya terputus. Beg plastik mungkin telah terkoyak – maka semuanya boleh dibuangkan bila tidak boleh digunakan lagi. Bagitulah juga dengan sosok yang bernama Osama Bin Ladin. Jangan silap faham – bukan aku tidak menghormati orang yang telah meninggal dunia.

Tetapi untuk sesiapa yang rajin membaca dan mengkaji tentang sejarah 9/11 dan sejarah Osama akan mengakui bahawa Osama ini hanya perkakas CIA. Puluhan buku telah ditulis. Ratusan dokumentari telah dibuat. Semuanya menunjukkan bahawa Osama ini adalah apa yang dipanggil ‘asset’ dalam pengistilahan CIA. Asset ialah manusia yang bekerjasama dengan CIA dan memiliki hubungan dengan badan perisik Amerika ini.

Dari segi fakta sejarah – hubungan antara Osama dengan CIA ini terjalin pada awal tahun 80’an dahulu di Afghanistan. Ketika ini tentera Soviet Union/Russia telah menduduki Afghanistan. Amerika yang memusuhi Russia secara bijak dan terancang telah melaungkan trompet ‘jihad melawan komunis’. Berbondong bondong anak muda Islam datang untuk menyahut laungan CIA ini. Ketika ini sesiapa sahaja yang bangun melawan Russia di Afghanistan akan dipanggil Mujahidin.

Tetapi CIA memiliki satu masalah – tidak mungkin seorang Mat Saleh dari Boston atau New York yang minum arak dan bertogel siang malam dapat memimpin gerakan ‘jihad’ ini. Imej Islamik amat amat diperlukan. Maka disinilah munculnya peranan Osama Bin Laden. Seorang Arab, warak beragama, berjanggut mengikut sunnah nabi dan dikatakan kaya dan memiliki dana melimpah ruah. Sudah tepat – Osama adalah ‘asset’ terbaik untuk CIA.

Duit mula meloroh masuk membantu Mujahidin yang sedang berjihad melawan komunis. Duit dan senjata dari CIA ini dikatakan datang dari sedekah dan zakat warga Arab yang kaya raya. Bayangkan betapa gembiranya para Mujahidin apabila mendengar Muslim dan Muslimat bersedekah membantu mereka. Tetapi ada orang yang lebih bergumbira; kuasa imperial Amerika amay amat gumbira kerana ada orang lain yang mati melawan musuh Amerika. Inilah peranan Osama Bin Laden.

Aku tidak menafikan dan memperlekehkan niat suci Osama dan niat baik anak anak muda yang datang ‘berjihad’ di Afghanistan pada ketika itu. Sama seperti apa yang berlaku kepada tim silat Al-Maunah. Ada agenda tersorok yang lebih besar. Mereka hanya menjadi pekakas. Dibelakang niat suci dan niat baik para Mujahidin ini adalah agenda kuasa imperial dan kuasa industri tentera Amerika untuk mendirikan satu kerajaan dunia di bawah telunjuk Amerika Syarikat.

www.keadilandaily.com
LEBIH BAIK?


Adalah lebih baik Malaysia mengamalkan sistem dua parti seperti di US atau Britain. Ini memberikan parti yang memerintah satu jangka masa yang pendek sahaja, dan tidak sempat untuk mengaut kekayaan negara untuk kepentingan pribadi dan suku-sakat. Oleh itu, dalam PRU ke 13 nanti marilah kita fikirkan logik atau tidak kita menukar parti pemerintah yang ada, yang telah lebih 50 tahun memerintah,mengumpul kekayaan untuk diri dan keluarga.

2. Rakyat marhaen hanyalah dapat mendengar dan menonton projek bernilai berbillion ringgit, tetapi duitnya entah ke mana?

3.Mengapa anak orang politik boleh jadi jutawan segera, seperti anak-anak Mahathir, anak-anak Paklah, anak Lee Liong Sik, Adik DS Najib -Nazir Razak dan sebagainya. Kenapa baru jadi Ketua Pemuda, Ketua Bahagian sudah boleh pakai mercedes?

4.Cubalah taun-tuan fikir di mana datangnya wang itu.

5.Jika seorang kerani bekerja 30 tahun pun dalam kerajaan, gaji keseluruhannya tidak akan mencapai satu juta ringgit. Marilah kita fikirkan bersama masalah rakyat marhaen ini. Kenapa di Amerika penganggur pun ada elaun? Di sesetengah negara air, api, perubatan dan pendidikan adalah percuma. Ia adalah tanggungjawab kerajaan yang memerintah, bukan meminta cukai dari kita yang gaji tidak seberapa ini.

6.Fikirkanlah juga apa akan jadi kepada Malaysia 10 tahun lagi jika tampuk kuasa dipegang oleh golongan yang sama? Tuan-tuan yang belajar tinggi, ada ijazah berjela, ada otak yang kritis, fikirkanlah masa depan negara dan rakyat Malaysia ini.

Terima kasih.