ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Thursday, March 19, 2009

Menjelang Perhimpunan Agung UMNO

Semua calon sepatutnya disiasat


KUALA LUMPUR - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata semua calon yang bertanding pada pemilihan UMNO, termasuk dirinya sepatutnya disiasat. Calon Naib Presiden UMNO itu berkata, sekiranya ada bukti kukuh maka tindakan daripada Lembaga Disiplin UMNO dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlulah adil kerana kredibiliti mereka sentiasa diuji. “Saya harap semua termasuk diri saya sendiri perlu disiasat.

Dengan syarat bahawa siasatan itu adil dan tidak ada syak wasangka bahawa calon tertentu sahaja disiasat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan yang dipengerusikan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak di bangunan Menara Parlimen di sini, semalam.

Keputusan yang dibuat mestilah bersandarkan bukti, hujah dan saksi kukuh, kata Hishammuddin sebagai mengulas dua calon Ketua Pemuda, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan Khairy Jamaluddin, yang disiasat Lembaga Disiplin UMNO. Mengenai Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang dikenakan tindakan tidak boleh bertanding jawatan Timbalan Presiden kerana politik wang, Hishammuddin berkata persoalan tentang jawatan Mohd Ali sebagai Ketua Menteri Melaka tidak timbul. “(ini) kerana apa (tindakan) diambil adalah di bawah (kuasa) parti...

Apa yang didesak (supaya Mohd Ali meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka) bagi saya tak perlu dipertimbangkan dalam konteks Lembaga Disiplin,” katanya. Beliau berkata, Mohd Ali pada mesyuarat Jawatankusa Pengurusan semalam dilihat tenang, tabah dan beliau menyatakan kepentingan parti lebih daripada kepentingan individu. Hishammuddin berkata perkara itu sentiasa menjadi pegangan Ahli UMNO dan perkara sebegini telah berlaku sebelumnya. “Sejarah telah buktikan dalam kes sebegini akhirnya parti jadi keutamaan dan akhirnya bila rapatkan barisan pejuang parti yang tulen, ikhlas akan terus bersama parti,” katanya.

(Sinar Harian,19.3.2009)

No comments: