ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Saturday, July 25, 2009

H1N1 SERANG IPT

HIN1 serang IPT

Sana sini orang heboh memperkatakan mengenai misteri kematian Teoh Beng Hock yang ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam Shah Alam, minggu lalu. Nama Beng Hock terus jadi popular dan sebutan. Kematiannya yang tragis selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan Selangor kepada SPRM terus menjadi tanda tanya. Kenapa, mengapa dan siapa? Semua orang sibuk cadang itu ini bagi menyelesaikan masalah Beng Hock.

Terbaru adalah penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi mencari punca kejadian. Tidak kisahlah nak tubuhkan apa lagi selepas ini kerana yang penting misteri terungkai. Bagaimanapun, dalam sibuk-sibuk orang bercerita mengenai Beng Hock, jangan pula kita terlepas pandang mengenai penularan wabak Influenza A (H1N1) yang semakin menjadi-jadi pula sejak akhir-akhir ini. Semacam satu trend pula kerana H1N1 ini mencari sasaran dalam kalangan budak sekolah, pelajar dan penuntut institut pengajian tinggi (IPT).

Setakat semalam, 36 kes membabitkan institusi pendidikan negara. Banyak juga IPT ditutup, antaranya adalah UiTM Dungun di Terengganu apabila 100 penuntutnya menghidap selesema disyaki H1N1. Akibatnya 6,000 penuntut terpaksa balik kampung. Bukan jumlah yang sedikit diarah pulang untuk ‘bercuti tanpa kerelaan’. Tidak tahulah jika ada penuntut suka pula bercuti panjang kerana tidak payah pening kepala hadir kuliah, buat ‘assigment’ dan macam-macam lagi. Wabak H1N1 turut dikesan di UiTM Seri Iskandar di Perak.

Sementara di Melaka pula, institut pengajian diarah tutup adalah Institut Perguruan Perempuan Durian Daun, Kolej Yayasan Melaka, Kolej Profesional Mara, Nilam Nursing School Bachang, Institut Kemahiran Mara, Jasin, dan Kolej Profesional Mara. Sebelum itu, UiTM cawangan Melaka di Lendu juga pernah diarah tutup. Di Sabah turut tidak terkecuali apabila Sekolah Menengah Sains Lahad Datu yang juga sekolah berasrama penuh diarah tutup seminggu selepas ada pelajar disyaki dijangkiti H1N1. Sebelum ini (sekadar menyebut beberapa nama) turut terkena ‘serangan’ H1N1 adalah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi, Kuala Lumpur dan UiTM Pulau Pinang. Terkini, UiTM Shah Alam turut terkena tempias. Lihatlah betapa cepatnya wabak ini merebak.

Dari luar negara masuk dalam negara, dari Selatan menuju Utara, dari Timur pergi ke Barat, melangkau pula ke Sabah dan Sarawak. Seronoknya H1N1 ini ‘jalan-jalan’ satu Malaysia. Justeru langkah berjaga-jaga harus diambil. Jika kena kuarantin, patuhilah arahan itu. Duduk sahaja dalam rumah diam-diam. Jangan pula keluar bersiar-siar, pergi ‘shoping’, pergi jumpa ‘ahli mesyuarat tingkap’ atau apa-apa sajalah.

Kuarantin bukan bermaksud mahu menyusahkan cuma mengelakkan daripada penularan wabak menjadi semakin serius dan tidak terkawal pula. Jangan pula yang dah terkena wabak ini dengan sengaja bermurah hati ‘mendermakan’ H1N1 kepada orang lain, kononnya mahu ‘susah senang ditanggung bersama’. Memang susah jika seorang terkena, semua orang dikuarantinkan. Semua kerja tertangguh. Kuliah ataupun pembelajaran terhenti seketika. Perancangan tergendala. Namun semua ini untuk kebaikan bersama kerana jika silap perhitungan H1N1 boleh membawa maut.

Kita semua sudah tentu mahu sihat walafiat tanpa sebarang penyakit. Jika demam, sakit kepala berdenyut-denyut, migrain, batuk dan sebagainya, sudah pasti kehidupan seharian terganggu. Selera makan hilang. Ketika itu suakan apa sahaja sama ada piza, ayam goreng, burger ataupun kari kepala ikan, pasti tekak tidak lalu. Justeru, jagalah kesihatan kerana jika kita sihat, hidup gembira, hati pun senang. Bersyukurlah dengan nikmat dikurniakan Tuhan.

www.sinarharian.com.my
25.7.2009

No comments: