ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Saturday, August 22, 2009

SURAT-SURAT MARYAM JAMEELAH DAN SYED ABUL 'ALA ALMAUDUDI

SURAT-SURAT MARYAM JAMEELAH DAN ABUL 'ALA ALMAUDUDI


Untuk mempelbagaikan blog ini, penulis bercadang untuk menyiarkan himpunan surat-surat di antara Al Alimah Puan Maryam Jameelah dan Al-Allamah Syed Abul 'Ala AlMaududi, dua orang tokoh pemikir Islam yang tidak asing lagi di dunia Islam. Surat-surat itu dikumpul oleh Puan Maryam sendiri sebagai kenangan abadinya. Himpunan surat-surat ini mencakup berbagai persoalan dalam dunia Islam termasuk masalah-masalah pokok dan masalah-masalah cabang. Dari surat-surat yang cemerlang itu terpancar garis-garis besar dunia Islam yang realistik dan dinamik. Buku ini diterjemahkan oleh Almahrum Dr. Yusoff Zaki Yaakob, pemilik dan penerbit Pustaka Dian,Kota Bharu, Kelantan yang popular suatu masa dahulu.


Mungkin sebahagian generasi kita sudah membaca tulisan-tulisan ini, dan saya kira generasi muda agak ketinggalan menikmatinya kerana zamannya sudah berlalu, namun isinya masih relevan sehingga kini. Untuk mereka ditujukan tulisan ini.

PRAKATA


Tidak lama selepas saya melakukan pengkajian yang tekun dan panjang masanya terhadap penulisan-penulisan Islamiah yang wujud dalam terjemahan Inggeris dengan tujuan untuk mendapatkan lebih banyak maklumat-maklumat first-hand tentang apakah ertinya secara pribadi, menjadi seorang Muslim, juga untuk mendapat pandangan-pandangan yang terperinci mengenai peristiwa-peristiwa semasa yang berlaku di negeri-negeri Islam, iaitu penerangan-penerangan yang lebih jauh dari akhbar dan majalah..tidak lama selepas itu saya pun mengadakan hubungan surat dengan belasan anak muda di dunia Arab dan Pakistan. Kebanyakan sahabat pena itu tidak kekal lama, kerana dalam masa yang sebentar sahaja saya merasa amat kecewa dengan cara hidup mereka yang kebarat-baratan, dengan sikap bodoh mereka terhadap Islam dan kadang-kadang dengan sikap perseteruan terhadap kepercayaan dan kebudayaan Islam, juga fikiran mereka yang keanak-anakan.


Pada akhirnya saya memutuskan untuk mengadakan hubungan surat dengan pemimpin-pemimpin Islam yang matang dan berpengaruh terutama di kalangan ulama. Di akhir tahun 1960 saya telah bertukar-tukar surat dengan Dr Fadhil Jamil, bekas Ketua Perwakilan Iraq di PBB, Dr.Mahmud F.Habollah yang kemudian menjadi Pengarah Pusat Islam di Washington, Almahrum Sheikh Mohd Basir Ibrahim, Ketua Ulama Algeria, Dr. Muhammad Al Bahi dari Universiti Al Azhar, Dr. Hamidullah dari Paris, Dr.Maruf Dawalibi, Profesor di Universiti Damsyik, Dr.Said Ramadhan, Ketua Pusat Islam Geneva, dan saya berusaha sekeras-kerasnya untuk menghubungi Sayyid Abul 'Ala AlMaududi yang sedang menjalani hukuman penjara yang lama di Mesir.


Walaupun kegiatan Almahrum Assyahid Syeikh Hassan Albanna dai Ikhwanul-Muslimin telah mendapat publisiti yang meluas di akhbar-akhbar New York (walaupun publisiti negatif), namun kegiatan Maulana Al Maududi dan Jameeat Islam tidak begitu mendapat perhatian para sarjana dan wartawan Amerika. Begitu juga hampir satu dekad saya membaca buku-buku dan terbitan berkala dalam bahasa Inggeris mengenai persoalan-persoalan Islam namun saya tidak pernah mendengar nama Maulana Al Maududi dan tidak tahu suatu apa pun tentang pertubuhan Jamaat Islam sehingga saya membaca sebuah rencana Mazharuddin Siddiqui dalam buku Islam The Straith Path. Apabila saya bersua dengan sebuah artikel cemerlang Al Maududi dalam majalah Muslim Digest keluaran Durban, dengan segera timbullah keinginan untuk mengadakan hubungan surat dengan seorang tokoh yang luar biasa kebolehannya itu. Lantaran itu saya menulis surat kepada pengarang majalah berkenaan untuk mendapatkan alamat penulisnya.
Surat saya yang pertama kepada beliau tidak mengharapkan lebih dari satu jawaban ringkas yang melahirkan perasaan saling simpati terhadap cita-cita perjuangan yang sama. Saya tidak meramal sedikit pun bahawa hubungan surat ini akan menandakan proses penentu dalam seluruh sejarah hidup saya.


Maulana Maududi tidak perlu meyakinkan saya supaya memeluk Islam, kerana di waktu itu saya telah pun berada di ambang Islam, hanya menunggu langkah akhir walaupun tanpa pengetahuan beliau. AlMaududi juga tidak menerapkan kesan penentu terhadap arah kemajuan penulisan kesusasteraan saya, kerana saya telah pun menulis rencana-rencana mempertahankan Islam lebih dari setahun sebelum kami berkenalan. Garis-garis pokok dari gagasan pemikiran saya telah pun terhunjam kukuh sebelum kami berkenalan. Namun demikian sebagai hasil dari hubungan surat itu, juga bertambahnya pengetahuan dan pandangan saya menjadi lebih hemat dan penulisan saya lebih mendalam dan matang.


Surat-surat ini harus dibaca dengan mengenangkan sejarah-sejarah latar belakangnya. John F.Kennedy yang menjadi Presiden Amerika telah pun mencapai kuasa kemuncaknya dan kemakmuran ekonomi yang tiada tandingnya. Apa yang dikatakan perang dingin di antara Russia di bawah Kruschev dengan negara-negara demokrasi Barat telah mula mencair. Sementara itu di Pakistan pula Presiden Ayub Khan telah memerintah tanpa tercabar, dan supaya pemerintahan kediktatorannya aman dan selamat, beliau telah mengenakan undang-undang tentera dan mengharam semua parti politik termasuk Jemaat Islam. Ulama-ulama yang takutkan Allah telah digugat dan diancam, kerana keberanian mereka mengkritik undang-undang keluarga yang sewenang-wenang dan bertentangan dengan Islam dan berlawanan dengan kehendak rakyat terbanyak.


Setelah tiga tahun setengah menjalani pengubatan psychoanalisis dan dua tahun dirawat di hospital, baru-baru ini saya dapat muncul keluar dari zaman remaja yang sekian lama merana dan penuh kesepian dan kekecewaan, barulah saya menemui diri saya dan tempat saya yang sebenar dalam hidup ini. Hanya dengan limpah kurnia Allah sahaja bahawa di tahap ini Maulana Maududi telah memberi peluang kepada saya untuk menjalani suatu kehidupan yang berguna dan kaya dengan kejayaan dengan menyediakan tanah subur, di mana daya dan usaha saya dapat berkembang dan mencapai ekspresi sepenuhnya.


Maryam Jameelah,
28 Ogos, 1969
14 Jamadul Thani, 1389.
http://alkundangi.blogspot.com
22.8.2009.

No comments: