ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Thursday, September 24, 2009

ISLAM BUKAN TERORRISME

ISLAM BUKAN TERORRISME


Sejak peristiwa 9/11 yang menimpa WTC di Amerika, sudah acapkali benar Islam dilemparkan dengan tuduhan agama pengganas atau penaja keganasan. Inilah yang ditaja dan dijaja ke sana ke mari oleh Amerika dan sekutunya yang sememangnya memusuhi Islam sejak azali lagi. Membaca tulisan Siti Suriani Othman, penulis tidak terkejut tentang apa yang dipaparkannya dalam Berita Harian, 22.9.2009. Sebagai seorang kolumnis beliau berhak menulis apa sahaja pengalaman yang dilaluinya.

2.Sewaktu beliau menghadiri persidangan kewartawanan di Cardiff, United Kingdom beliau merasa dianaktirikan kerana beliau seorang Islam. Perbuatan BBC yang memburuk-burukkan Islam ketika persidangan berlangsung mempengaruhi minda peserta persidangan. Tetapi untuk mengatakan orang Britain dan lain-lain peserta tidak faham Islam sehingga begitu rupa tentunya agak menghairankan. Apakah orang Islam berpuasa sebulan tanpa makan dan minum? Ini kelihatan satu tanggapan yang amat keterlaluan. Apakah seseorang itu masih hidup jika dia tidak makan dan minum selama sebulan? Tentunya persoalan seperti ini bercanggah dengan logika hidup itu sendiri. Dalam zaman globalisasi ini, segala maklumat berada di hujung jari, maka hampir mustahil pemahaman yang begitu dangkal terhadap Islam berlaku sedemikian rupa.

3. Katanya lagi, hujah seorang ahli panel mengapa tidak ada sarjana Islam bangkit menerangkan ajaran Islam sebenar ketika dunia sedang menyalahkan Islam dan mengaitkannya dengan keganasan. Namun seorang kawannya memuji sahabatnya yang beragama Islam jauh lebih baik dari kawan baiknya yang bukan Islam. Kenyataan ini membuktikan Islam adalah agama yang baik dan adil, yang sesuai untuk semua orang, kerana ia diturunkan untuk seluruh alam ini.

4. Namun mengapa Islam dikaitkan dengan keganasan? Adakah orang-orang Islam sengaja mengganas? Tentunya hal ini bukanlah sesuatu yang luar biasa bila kita melihat di seluruh dunia nasib yang menimpa umat ini. Mengapa Afghanistan dileburkan sedemikian rupa sehingga tiada lagi keamanan dan jaminan untuk hidup? Mengapakah Iraq dihancurkan dan Saddam Hussein dibunuh dan digantikan dengan boneka Amerika? Apakah yang sedang dihadapi oleh MILF di Selatan Filipina? Apa yang sedang berlaku di Somalia dan Selatan Thailand? Dan yang lebih penting, menurut pendapat sebahagian ulama Islam, apa yang berlaku di Pelastin menimbulkan kemarahan yang tidak sedikit di kalangan umat Islam, di mana di situlah kewajiban sembahyang lima waktu diterima, berlakunya Isra' Mikraj, tempat letaknya kiblat umat Islam yang pertama, Masjidil Aqsa yang diberkati dan sebagainya. Selagi isu Pelastin tidak ditangani dengan saksama oleh masyarakat dunia, selagi itulah sebahagian umat Islam yang tidak dapat menahan perasaannya melepaskan geramnya kepada dunia Barat dengan berbagai cara. Pihak Barat tidak harus menyalahkan Islam itu sendiri, sedangkan merekalah yang mencetuskan sebabnya mengapa sebahagian umat melakukan sesuatu yang berada di luar jangkauan rasional.

5. Dengan begitu tidak wajar Islam diletakkan dalam kandang orang salah, sedangkan orang yang bersalah sebenarnya terlepas bebas melakukan keganasan lalu dituduh Islam yang diikat tangan dan kakinya melakukan keganasan? Di manakah logiknya perkara seperti itu. Bahkan oarang yang melihatnya sendiri mengeleng-ngelengkan kepala sambil menepuk dahi dan bertanya siapakah sebenarnya yang bersalah dalam soal ini? Satu kajian mendalam harus dilakukan mengapa berlakunya keganasan khasnya di pihak Barat agar perkara yang sebenarnya terlihat dengan jelas dan tidak hanya menuduh Islam adalah agama pengganas, atau terorrisme. Sejarah telah membuktikan bahawa tiada sistem dan kepercayaan yang lebih adil selain dari Islam sejak zaman Madinah hinggalah ke zaman Khilafah Othmaniah. Siapakah yang bertanggungjawab meruntuhkan Khilafah Othmaniah jika tidak talibarut Barat sendiri? Oleh itu janganlah menuduh melulu sambil menjerit mengatakan bahawa Islam adalah agama terorrisme!


AlKundangi,
22.9.2009.

No comments: