ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Monday, September 14, 2009

KEGANASAN ANTI ISLAM DI BRITAIN CETUS KEBIMBANGAN

Keganasan anti-Islam cetus kebimbangan

LONDON - Pertempuran antara penunjuk perasaan anti-Islam dengan kumpulan belia Islam di beberapa bandar utama di England kini mencetuskan kebimbangan kerajaan Britain.

Keganasan kelmarin berlaku selepas penunjuk perasaan anti-Islam membantah pembinaan sebuah masjid lima tingkat dekat masjid utama Harrow, pinggir London.

Menteri Komuniti, John Denham menggambarkan kekacauan itu seperti pergolakan yang berlaku ketika era fasis pada 1930-an.

"Keganasan yang tercetus akibat demonstrasi anti-Islam di pinggir London kelmarin membahayakan Britain," katanya.

Keganasan yang berlaku di Luton, Birmingham dan London sejak beberapa minggu lalu membabitkan kumpulan berfahaman keras seperti Liga Pertahanan Inggeris (EDL) dengan pertubuhan anti-fasis dan golongan muda Islam.

Dalam wawancara disiarkan kelmarin, Denham menuduh penunjuk perasaan anti-Islam sebagai sengaja mencetuskan kekacauan.

"Taktik mengapi-apikan dengan niat mencetuskan keganasan dan kekacauan sudah lama dilakukan kumpulan berfahaman keras dan ekstrem. Ia mampu mengulangi tragedi Cable Street pada 1930-an," katanya.

Denham merujuk kepada rusuhan kaum yang berlaku pada 1936 yang dicetuskan oleh ketua fasis Britain, Oswald Mosley yang disertai penunjuk perasaan Yahudi, komunis dan anarki.

EDL menolak gelaran fasis yang dilabelkan kepada kumpulan itu dan menegaskan ia hanya menentang militan Islam.

Jurucakap Majlis Islam Britain (BMC), Inayat Bunglawala berkata, alasan yang digunakan EDL bertujuan untuk menyembunyikan sikap anti-Islam oleh kumpulan itu.

Menurutnya, BMC menyaksikan peningkatan insiden anti-Islam termasuk serangan ke atas masjid-masjid sejak beberapa bulan lalu.

"Ini adalah perkembangan yang sangat membimbangkan," katanya.


http://sinarharian.com.my
14.9.2009

No comments: