ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Monday, September 14, 2009

SURAT-SURAT MARYAM JAMEELAH- S.A.ALMAUDUDI (III)

SURAT-SURAT MARYAM JAMEELAH- S.A.ALMAUDUDI (III)


Lahore,
21 Januari 1961.


Yang Mulia Puan Margaret Marcus,
Assalamu 'alaikum.


Surat puan bertarikh 5 Disember, 1960 telah tiba di sini ketika saya bertolah ke Saudi Arabia kerana memenuhi undangan Raja Ibnu Sa'ud. Baginda berhasrat untuk menubuhkan sebuah universiti di Madinah dan baginda telah menjemput saya supaya menyediakan kertas kerja untuk maksud itu. Kerana itu saya berjauhan dari rumah kira-kira sebulan lamanya. Sekembalinya saya dari Madinah barulah saya menerima surat anda bersama-sama tiga potongan rencana-rencana anda. Saya tidak keterlaluan menyatakan betapa gembiranya saya membaca surat dan rencana-rencana anda.

Saya sengaja menyebut ucapan assalamu'alaikum kepada anda di permulaan surat ini, satu ucapan yang biasanya diucapkan kepada orang Islam sahaja. Sebabnya walau pun anda masih dalam peringkat berfikir untuk memeluk agama Islam, namun saya yakin bahawa anda telah pun menjadi seorang Muslimah. Seorang yang beriman dengan keesaan Allah, dengan kerasulan Muhammad SAW sebagai Nabi yang penghabisan dengan kitan suci AlQuran selaku kalamnyadan dengan hari akhirat, maka ia adalah seorang Muslim yang benar samada ia dilahirkan dalam keluarga Yahudi, atau dalam keluarga Kristian atau dalam keluarga penyembah berhala. Fikiran-fikiran anda menunjukkan bahawa anda benar-benar percaya kepada rukun iman tersebut. Kerana itu saya menganggap anda seorang Muslimah dan saudara seiman dengan saya. Untuk memeluk Islam seseorang tidak perlu melalui upacara mandi Baptis dan upacara menukar agama di hadapan seorang paderi. Seandainya anda yakin kepada kebenaran Islam, maka yang perlu kepada anda ialah mengucap dua kalimah syahadah, "Tiada Tuhan yang benar melainkan Allah, dan Muhammad itu pesuruh Allah."

Setelah itu anda sebaiknya memilih nama-nama Islam (seperti Aisyah atau Fatimah) kemudian mengumumkan nama dan agama anda itu kepada umum agar dunia Islam seluruhnya mengetahui bahawa anda adalah seorang anggota dalam persaudaraan besar Islam. Setelah itu anda harus mendirikan sembahyang lima waktu sehari semalam serta mengikut perintah-perintah Islam yang lain dengan patuh. Saya melihat bahawa anda telah benar-benar berada di ambang pintu Islam, hanya dengan satu langkah sahaja anda akan berada dalam pangkuan mukmin. Saya fikir langkah penghabisan ini merupakan satu langkah yang natural dan satu langkah penamat yang logik kepada kepercayaan-kepercayaan anda.

Penolong pribadi saya telah pun mengirimkan kepada anda beberapa risalah karangan saya termasuk risalah yang disebut oleh anda. Selain itu sekarang saya kirimi pula beberapa buah buku karangan saya yang lain. Ketika membaca rencana-rencana anda saya seakan merasa membaca fikiran-fikiran saya sendiri. Saya harap anda juga mengalami perasaan yang sama apabila membaca buku-buku karangan saya, walaupun di antara anda dan saya tidak pernah ada perkenalan sebelumnya. Perasaan saling simpati dan persamaan fikiran yang wujud sekarang ini secara langsung adalah hasil dari hakikat bahawa kita berdua sama-sama mendapat ilham dari sumber yang satu dan sama.

Tokoh-tokoh Islam yang berjiwa Barat yang disesali oleh anda sebagai mereka yang tidak mempunyai semangat Islam itu sebenarnya adalah hasil yang paling buruk dari penjajahan Barat ke atas negeri-negeri Islam. Pukulan penjajahan yang paling teruk ke atas diri kita bukanlah di bidang politik dan ekonomi, tetapi di bidang akal dan semangat. Penjajahan telah melahirkan ramai manusia-manusia abdi di kalangan umat Islam dan walaupun selepas kita mencapai kemerdekaan politik, namun jiwa mereka tetap terkongkong kepada Barat, dan mereka tetap setia menurut jejak langkah tuan-tuan emas mereka. Bertolak dari hakikat ini, saya beranggapan perjuangan pembebasan kita belum lagi tamat, malah kita terpaksa menghadapi satu perjuangan yang panjang untuk menentang bumiputera yang berjiwa asing itu.

Kini saya terpaksa menyatakan rasa terperanjat saya yang mengembirakan terhadap satu persoalan; saya ingin mengetahui bagaimana dan bila seorang wanita Muda Amerika seperti anda dapat mencapai makna pengertian Islam yang sedemikian jelas dan tulin? Bolehkah anda melapangkan waktu untuk menulis sedikit ringkasan cerita tentang perkembangan fikiran keislaman anda dan hantarkan kepada saya? Saya cukup menyedari tentang perasaan kesaorangan yang sekarang dialami anda akibat tidak wujudnya masyarakat Islam di tempat anda. Tidak syak lagi bahawa itulah satu pengalaman yang paling pahit oleh seorang Islam yang hidup dalam negeri yang bukan Islam. Tetapi anda mungkin terhibur bila anda mengetahui bahawa di dalam dunia sekarang setiap Muslim sejati adalah sama-sama mengalami perasaan kesaorangan seperti yang dialami anda, sekalipun perasaan itu terkurang atau berbeza daripada apa yang anda alami.

Seandainya anda kebetulan berkunjung ke Pakistan, saya amat gembira sekali untuk menemui dan menyambut anda sebagai tamu saya. Alangkah gembiranya bagi saya dan keluarga saya, jika anda dapat berkunjung ke sini dan tinggal bersama kami menunaikan fardu puasa yang akan jatuh pada tahun ini mulai 17 Februari dan 18 Mac nanti. Saya akan berada di Lahore sehingga penghujung bulan Mac, selepas itu saya berazam untuk melawat Afrika di mana saya akan mengatur kerja-kerja dakwah Islamiyyah, Insyaallah. Saya akan pulang semula ke Lahore di akhir bulan Mei nanti dan selepas itu bercadang untuk tinggal di Lahore di sepanjang tahun yang masih berbaki itu. Oleh itu jika kebetulan anda berkunjung ke sini, anda akan menemui saya di rumah kediaman saya.

Saudara seIslam,
Abul "Ala Almaududi.

Disunting oleh AlKundangi,
dari Surat-Surat Maududi-Maryam Jameelah,
terjemahan Dr.Yusoff Zaki Yaacob.

http://alkundangi.blogspot.com
13.9.2009

No comments: