ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Tuesday, November 24, 2009

PERIHAL DATUK MENTERI,MENANTU DAN CARLA BRUNI

Perihal Datuk Menteri, Menantu Dan Carla Bruni
A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

TOK GURU Nik Abdul Aziz Nik Mat akhirnya tunduk kepada persepsi dan pendapat umum bahawa pelantikan menantunya, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan adalah langkah tidak popular dan meragukan.

Apa pun alasan dan motivasi Menteri Besar Kelantan itu melantik menantunya ke jawatan penting yang sangat hampir dengan Pejabat Menteri Besar itu tidak berguna dan bermakna apabila berdepan dengan pendapat umum yang negatif.

Dipendekkan cerita, pengalaman Nik Abdul Aziz ini wajib serentak dijadikan teladan dan sempadan oleh semua Wakil Rakyat dan penjawat awam.

Teladan: Langkah Nik Abdul Aziz mengakui kesilapan dan memecat menantunya adalah tepat dan berani.

Sempadan: Sayangkan anak, menantu dan bini ada had dan batasan. Sayang di rumah bawa bahagia. Bawa anak, menantu dan bini campur tangan dalam urusan negara mengundang bencana.

Mungkin Nik Abdul Aziz termakan mantera meritokrasi. Mungkin pada perkiraannya si menantu layak dilantik ke jawatan itu atas dasar meritokrasi. Atau boleh jadi juga dia berasa bahawa sebagai Tok Guru, apa sahaja keputusannya akan dipersetujui dan dihormati.

Saya tidak akan kering air liur atau berhenti mengingatkan Wakil Rakyat bahawa pengundi memilih mereka dan memberi mandat kepada mereka. Pengundi tidak memilih apatah lagi memberi mandat kepada anak, menantu, isteri, abang, adik dan kroni mereka.

Teringat saya berita yang disiarkan oleh akhbar arus perdana tempatan pada 19 November lalu bertajuk “Carla Nafi Suami Jadi Pak Turut”. Carla adalah Carla Bruni-Sarkozy, seorang bintang filem Perancis yang kini isteri Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy.

Dalam sistem kepresidenan (presidency) Perancis seperti juga dalam sistem Amerika, Presiden adalah Ketua Negara dan Ketua Kerajaan. Jadi isteri Presiden Perancis dan Presiden Amerika memainkan peranan sebagai Wanita Pertama atau First Lady.

Kita tidak ada sistem itu. Kita ada dua ketua. Ketua Negara adalah Yang di-Pertuan Agong dan Ketua Kerajaan adalah Perdana Menteri. Macam Ratu Inggeris Ketua Negara dan Perdana Menteri Inggeris Ketua Kerajaan.

Jadi janganlah silap atau sengaja bagi gelaran atau jolokan Wanita Pertama (First Lady) kepada sesiapa. Kita tidak mahu berlaku salah protokol kerana negara kita adalah negara Raja Berperlembagaan dan kita ada adat resam sendiri.

http://kadirjasin.blospot.com
24.11.2009.

No comments: