ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Tuesday, August 17, 2010

Penyelewengan Dalam Felcra Didakwa Lebih Dahsyat Daripada Felda

Oleh Fazli Othman

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan Mazlan Aliman mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menjalankan siasatan terhadap dakwaan terdapat sekurang-kurangnya 22 kes penyelewengan dan salahguna kuasa di dalam Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) yang telah diadukan sejak 31 Januari 2009.

Mazlan juga mendesak rombakan besar-besaran harus dibuat melibatkan pegawai kanan Felcra yang didakwa terbabit secara langsung dan mengkhianati kepercayaan yang telah diamanahkan untuk mengurus agensi itu.

Justeru itu beliau mahu satu Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan kepincangan Felcra yang dianggap lebih buruk daripada apa yang dihadapi oleh peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Bercakap kepada media di ibu pejabat PAS, Jalan Raja Laut pagi tadi, Mazlan yang juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat berkata antara dakwaan penyelewengan yang berlaku termasuk yang membabitkan wang koperasi peserta Felcra Berhad,kepincangan di Special Business Unit Felcra Berhad dan penyelewengan dalam pelaburan pembelian bon bernilai RM17 juta yang tidak mendapat kelulusan serta elemen rasuah dalam pembekalan baja Keiserite yang tidak mematuhi spesifikasi.

Bagaimanapun menurutnya, pendedahan akan dibuat secara bersiri dan mendesak pihak Felcra menjawab semua dakwaan yang dikemukakan beliau yang diperolhei hasil aduan peneroka agensi itu.

"Kita akan dedahkan perkara ini secara bersiri seperti yang dijanjikan pada himpunan warga Felcra Kebangsaan di Felcra Bandar Seberang Perak pada 31 Julai dan 1 Ogos lalu," kata Mazlan.

Program tersebut hanya berjaya diadakan selama satu hari apabila pihak polis dan anggota unit simpanan persekutuan (FRU) menggempur perhimpunan sebelum acara perasmian kemuncak pada malam 1 Ogos.

Himpunan tersebut juga mendapat tekanan hebat daripada pihak pengurusan Felcra sehingga lebih 20 ahli jawatankuasa penganjur ditangkap.

"Saya meminta masa selama seminggu untuk menyiapkan semua dokumen berkaitan peneyelewengan itu untuk diedarkan kepada media," katanya pada sidang media itu.

Katanya, Anak juga telah menubuhkan satu NGO bagi membantu peserta Felcra menyalurkan aduan mereka serta menubuhkan badan bertindak untuk menyerahkan dokumen aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.

Hadir sama pada sidang media itu, Pengerusi Jawatankuasa Badan Bertindak Felcra, Akmaluddin Mohd Noor serta Yang DiPertua PAS Lenggong, Razman Zakaria.

Sumber:Suara Keadilan,
17.8.2010.

No comments: