Jangan terikut-ikut bakar al-Quran
SHAH ALAM – Pas memberi amaran kepada seluruh rakyat Malaysia agar tidak terikut-ikut dengan saranan kumpulan Dove World Outreach Center berpusat di Amerika Syarikat yang mahu menjadikan tarikh 11 September setiap tahun sebagai hari membakar al-Quran sedunia.
Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas, Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, semua pihak di negara ini harus bertanggungjawab menjaga sensitiviti kaum dan jangan menggunakan isu ini sebagai kepentingan sendiri.
Menurutnya, pihak-pihak keselamatan seharusnya sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan kerana jika perkara ini berlaku, dibimbangi ia akan memburukkan lagi keadaan yang sudah dimulakan dengan isu pengetua sekolah di Johor dan video Namewee.
“Jika perkara ini berlaku di Malaysia, pihak yang melakukannya kena menanggung risiko dan bertanggungjawab terhadap reaksi balas yang akan berlaku.
“Tidak boleh dibayangkan suasana teruk akan berlaku jika benar ada pihak cukup berani melakukannya, sekali gus ia akan membantutkan usaha kita selama ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar mengecam tindakan kumpulan tersebut kerana langsung tidak memikirkan sensitiviti dan perasaan umat Islam seluruh dunia kerana mengaitkan serangan pengganas dengan Al-Quran.
Katanya lagi, kumpulan tersebut juga menunjukkan sikap tidak bertamadun dengan terus mengaitkan Islam dengan keganasan dunia walaupun umat Islam jelas menentang keganasan dan serangan terhadap Word Trade Center (WTC).
“Mereka jelas menunjukkan sikap anti Islam dan menggunakan alasan memerangi keganasan untuk menekan umat Islam seluruh dunia contohnya seperti serangan terhadap Afghanistan dan Iraq.
“Perbuatan membakar kitab suci adalah tindakan yang amat menjijikkan, biadab, dan tidak menghormati kesucian agama,” katanya.
sinatharian.com.my
6.9.2010
No comments:
Post a Comment