ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Saturday, September 11, 2010

Kedutaan AS diarah berwaspada

WASHINGTON 9 Sept. - Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) mengarahkan Kedutaan AS di seluruh dunia mengkaji semula langkah keselamatan mereka berikutan kebimbangan meletusnya serangan ke atas rakyat dan kepentingan Amerika jika sebuah gereja kecil di Florida meneruskan rancangan untuk membakar al-Quran pada Sabtu ini.

Pegawai Jabatan Negara semalam berkata, perwakilan diplomatik AS diarah mengadakan mesyuarat 'jawatankuasa tindakan kecemasan' untuk menentukan potensi berlakunya protes terhadap rancangan gereja berkenaan untuk membakar al-Quran pada hari ulang tahun kesembilan serangan 11 September 2001.

Pihak kedutaan dikehendaki memberi amaran kepada rakyat Amerika di negara-negara di mana protes boleh berlaku.

Langkah itu memperlihatkan kebimbangan mendalam pentadbiran Presiden Barack Obama bahawa pembakaran al-Quran itu akan memarakkan sentimen anti-Amerika, terutamanya di kalangan penduduk Arab dan umat Islam lain, di samping meletakkan askar, diplomat dan pelancong AS dalam bahaya.

Paderi Dove World Outreach Center, Terry Jones di Gainesville, Florida menolak rayuan daripada Setiausaha Negara, Hillary Rodham Clinton dan para komander kanan tentera supaya membatalkan rancangannya untuk membakar 200 naskhah al-Quran.

Bilangan Kedutaan AS yang sudah mengkaji semula langkah keselamatan masing-masing belum dapat dipastikan, tetapi Kedutaan AS di Algiers mengeluarkan amaran kepada warga AS di Algeria semalam.

"Laporan media mengenai rancangan sebuah kumpulan kecil di Gainesville, Florida untuk membakar al-Quran boleh menjejaskan keselamatan rakyat AS di luar negara.

"Jika rancangan itu dilaksanakan, ia boleh mencetuskan reaksi keras dan protes di negara Islam di seluruh dunia, termasuk juga Algeria," menurut amaran tersebut.

Jabatan Negara turut berkata, rancangan untuk membakar al-Quran itu adalah inisiatif sebuah kumpulan pinggiran yang tersisih jauh dari masyarakat arus perdana.

"Kami berharap dunia akan faham tindakan ini adalah oleh sebuah kumpulan pinggiran yang sangat kecil dan tidak mewakili pandangan AS atau rakyat Amerika keseluruhannya," kata jurucakap Jabatan Negara, Philip Crowley. - AP/AFP

utusanonline,
10.9.2010

No comments: