ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Monday, November 15, 2010

Pergerakan Islam vs AS dan sekutunya
Oleh - Suhaimi Mokhtar


Amerika Syarikat (AS), sekutu Baratnya dan negara-negara Islam yang menjadi proksi negara-negara kuasa ini membahagikan dan menyenaraikan pergerakan, pertubuhan, jemaah, organisasi atau parti yang wujud di bumi Islam, walau apa pun nama yang dipakai, kepada dua senarai atau bahagian, iaitu yang halal dan yang haram mengikut pandangan mereka.

Lebih tepat lagi pembahagian atau penyenaraian ini mengikut kaca mata orde dunia yang dikepalai AS sebagai pertubuhan atau apa sahaja panggilan, sama ada pergerakan, jemaah, organisasi atau parti tergolong kepada sama ada dalam kategori 'pertubuhan pengganas' atau pertubuhan tidak pengganas, prodemokrasi atau menepati parti politik Islam.

Terdapat pula dalam kepelbagaian panggilan terhadap jemaah Islam ini, pergerakan atau apa sahaja panggilan yang diberikan, mengesampingkan perjuangan politik seluruhnya dan bergerak di bidang dakwah dan penyebaran Islam melalui kaedah mengajak umat Islam mengutamakan kepada mengerjakan sesuatu untuk mendapat fadilat semata-mata.

Hakikatnya Islam adalah sesuatu yang sempurna dan menyangkuti kesyumulan dan keuniversalannya tanpa meninggalkan sesuatu apa pun. Ia sebagai suatu cara hidup atau 'way of life', suatu manhaj, nizam atau sistem yang menyangkuti perundangan, hukum-hakam, aqidah, dakwah dan lain-lain.

Dalam dunia orde baru mengikut agenda atau acuan AS, Barat dan sekutu negara-negara umat Islam yang menjadi proksi negara kuasa ini, tanpa wujudnya negara Islam sebenar, umat Islam diajak berada dalam jemaah Islam atau apa sahaja panggilan, sama ada pergerakan, pertubuhan atau lainnya dan tidak berada di luar jemaah.

Tiada sebuah negara Islam yang sebenarnya wujud dewasa ini. Apa yang dimiliki oleh Islam ialah negara umat Islam yang bumi wilayahnya menjadi hak milik umat Islam. Sesetengah dari negara umat Islam ini telah dicerobohi, ditakluki dan dijajah seperti Iraq dan Afghanistan. Ada pula negara umat Islam yang buminya dirampas melalui kuasa penjajahan seperti Palestin, Kashmir dan bumi umat Islam yang pernah dijajah oleh kuasa penjajahan dari barat atau timur seperti wilayah umat Islam bekas Kesatuan Soviet.

Terdapat bumi umat Islam yang terjebak dalam perang proksi kerana terdapat negara umat Islam yang bersekongkol dengan AS dan Barat untuk mempertahankan survival golongan elit pemerintahan negara-negara umat Islam ini. Negara-negara bersekongkol ini turut sama menentang kebangkitan Islam yang dicetuskan oleh pergerakan Islam dan sebagainya.

Dalam suasana inilah wujudnya pergerakan Islam atau apa sahaja nama mengikut kesesuaian negara atau wilayah setempat, yang bangkit berjuang mengikut saluran amalan demokrasi yang dibenarkan melalui pilihan raya.

Kebanyakan atau kadang-kadang pilihan raya dicemari dengan penyelewengan dan korupsi yang melampau yang mewarnai pilihan raya, bagi menjamin kemenangan gulungan yang bersekongkol atau pro-AS dan Barat. Selalunya pergerakan atau parti Islam akan kecundang dalam pemilihan yang dikatakan demokratik tetapi sebenarnya tidak demokratik.

Dalam kes pilihan raya di wilayah Pihak Berkuasa Palestin (PA) beberapa tahun lalu, kemenangan Hamas, sebuah pergerakan Islam tidak diiktiraf oleh AS, Barat dan konco-konconya, bahkan negara kuasa ini yang menggerakkan agenda orde dunia mengikut acuannya menyenaraikan Hamas sebagai organisasi atau pertubuhan pengganas.

Kemenangan pergerakan Islam FIS di Algeria digagalkan dengan rampasan kuasa tentera bagi menggagalkan kewujudan kerajaan yang dikuasai pergerakan Islam dan keadaan yang sama berlaku di Turki, apabila pergerakan Islam Refah yang dipimpin Profesor Nickmuddin Erbakan hanya mampu memerintah beberapa tahun apabila tentera turut merampasnya kerana polisi-polisi pro Islam sehinggalah akhirnya parti AK pimpinan Tayyeb Erdogon dan Abdullah Gul memenangi pilihan raya dan terpaksa mengisytiharkan bahawa Turki tetap mengamalkan fahaman sekular. Parti FIS dan Refah masing-masing di Aljeria dan di Turki akhirnya diharamkan seperti juga Ikhwanul Muslimoon diharamkan di Mesir.

Perjuangan kebangkitan untuk pembebasan dari segala belenggu dan kuasa penjajah dianggap dan disenaraikan perjuangan keganasan sementara pencerobohan, penjajahan dan penaklukan melalui kekuatan persenjataan dan ketenteraan dianggap sebagai perjuangan pembebasan.

Dalam ruang-ruang yang sangat ketat inilah pergerakan Islam dan sebagainya mencari kesesuaian dalam perjuangan mereka dan kerana ketatnya ruang maka sangat mudah bagi pihak pelaksana agenda orde dunia baru untuk menyenaraikan pergerakan, pertubuhan atau jemaah Islam itu tergolong sebagai pertubuhan pengganas atau tidak.

Pergerakan Islam yang mempunyai ciri-ciri perjuangan menegakkan Islam dengan segala kesyumulannya menghadapi delima perjuangan bagi mengelakkan diri dari disenaraikan oleh AS, Barat dan negara konco mereka dalam senarai pertubuhan pengganas.

Ikhwanul Muslimoon yang bermula di Mesir sejak kejatuhan sistem khalifah yang terakhir di Turki telah diharamkan oleh rejim Mesir sejak zaman Gamal Abdul Nasir lagi. Penyertaan anggota ikhwan dalam pilihan raya menggunakan tiket bebas dan atas nama individu.

Sedangkan hakikatnya dari kemunculan Ikhwanul Muslimoon inilah munculnya pergerakan Islam dan sebagainya di negara-negara umat Islam yang menjadi wadah perjuangan untuk melindungi, pemelihara dan penerusan kepada perjuangan Islam yang diwarisi dari para nabi dan rasul.

Dalam negara Islam yang tidak wujud sistem Islam, umat Islam hendaklah berada dalam jemaah, pergerakan, pertubuhan, parti politik Islam atau apa sahaja nama yang dipilih mengikut kesesuaian setempat bumi negara umat Islam.

Satu-satunya pra syarat perjuangan pergerakan Islam yang syumul ialah perjuangan itu mestilah bersumberkan al-Quran, hadis dan mengikut acuan yang telah ditetapkan Allah sebagai perjuangan pewaris nabi dan rasul. Ia tidak boleh mengikut acuan lain, apa lagi acuan AS, Barat dan negara konco mereka.

Mana-mana pergerakan Islam yang kerana tidak mahu disenaraikan sebagai pertubuhan pengganas lalu mengikut acuan AS, Barat dan negara Islam sendiri yang menjadi konco kuasa ini. Dengan demikian maka terkeluarkan pergerakan ini dari senarai perjuangan menegak dan membela Islam. Adalah lebih baik dan wajar di senaraikan sebagai pertubuhan pengganas dari terkeluar dari senarai pergerakan Islam yang berjuang menegakkan Islam yang syumul.

Pedulikan penyenaraian AS, Barat dan konco-konco mereka, Apa yang lebih penting ialah penyenaraian Allah sebagai pergerakan Islam yang berjuang mewarisi perjuangan para rasul dan nabi. Pergerakan Islam mesti mengikut acuan Allah dalam perjuangan dan bukan mengikut acuan AS, Barat dan konco-konco mereka menampilkan diri mereka sebagai penegak dan pembela Islam.

Mereka jauh dari hakikat sebenar apabila mengekang perjuangan Islam, ulama dibunuh dan disenaraikan sebagai pengganas kerana mengajak umat Islam berjihad. Pergerakan Islam mesti mengikis ciri-ciri kesyirikan dalam perjuangan ini yang menyebabkan Allah tidak mewajarkan kemenangan kepada perjuangan Islam,

Tiada sebuah negara umat Islam yang sebenarnya wujud dewasa ini. Iran satu-satunya yang menghampirinya. Setakat menjadi khadam dua tanah suci, ia tidak membawa erti memiliki ciri-ciri negara Islam, sedangkan ia bersekongkol dengan AS dan Barat yang memusuhi Islam.



* Penulis ialah Perunding Media di Kuala Lumpur.

www.sinarharian.com.my

No comments: