ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Monday, December 20, 2010

Pakatan Pembangkang: Muafakat atau berbalah?



KUALA LUMPUR - Konvensyen kebangsaan pakatan pembangkang di Pulau Pinang Ahad ini akan diamati dengan penuh minat untuk mencari petunjuk mengenai cara gabungan PKR-Pas-DAP itu membuat persiapan menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Kira-kira 2,000 perwakilan daripada PKR, Pas dan DAP akan berhimpun di Dewan Millennium di Kepala Batas untuk menunjukkan bahawa pakatan itu masih bermuafakat.

Mereka juga akan mendengar pemimpin mereka menetapkan rentak
bagi menghadapi pilihan raya di tengah-tengah laporan mengenai kemerosotan sokongan terhadap pakatan itu.

Pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan berikutan kematian Anggota Dewan Undangan Negeri Johor kawasan Tenang daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Sulaiman Taha semalam semestinya akan turut dibincangkan.

Pada zahirnya, pakatan itu dilihat sukar mengekalkan tahap sokongan yang diraih pada PRU tahun 2008, terutamanya masalah yang melanda “pemimpin paling utamanya”, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berdepan pertuduhan liwat dan sedang bergelut untuk membendung kerosakan akibat Wikileaks, dan kini digantung daripada menghadiri persidangan Parlimen selama enam bulan.

Hakikatnya, pakatan pembangkang kini berada dalam kedudukan berundur, apabila kalah kepada BN dalam tiga daripada empat PRK yang diadakan tahun ini.

Anggota jawatankuasa eksekutif pusat DAP dan Anggota Parlimen Jelutong Jeff Ooi mengakui bahawa kekalahan dalam PRK itu adalah “halangan kepada momentum dalam menawan keyakinan rakyat.”

“Ini diburukkan lagi oleh situasi negatif yang mendepani Anwar,” katanya.

Beliau berkata, pakatan pembangkang perlu memandang serius terhadap beberapa tinjauan pendapat yang menunjukkan bahawa persepsi terhadap BN semakin bertambah baik, manakala pembangkang pula mula kehilangan sokongan.

Tinjauan pendapat terbaru oleh Universiti Malaya mendapati 43 peratus daripada penduduk di beberapa kawasan yang dikatakan sebagai kubu kuat PKR di Lembah Klang tidak akan mengundi parti itu dalam PRU akan datang.

Keputusan tinjauan itu turut menunjukkan bahawa krisis PKR telah menjejaskan keyakinan penduduk kepada parti itu dan Anwar.

Malah pemimpin pakatan pembangkang sendiri percaya bahawa mereka perlu bekerja lebih keras untuk mengekalkan empat negeri yang dikuasai oleh pembangkang, iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, dalam PRU akan datang.

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang memberi amaran pada konvensyen DAP Selangor bulan lalu bahawa pakatan akan kehilangan negeri itu sekiranya mereka tidak bersatu padu.

Berdasarkan satu ramalan, pakatan PKR-Pas-DAP akan hanya memenangi 18 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri di Selangor sekiranya pilihan raya negeri diadakan tahun depan.

DAP diramal mengekalkan 14 kerusi yang dimenanginya pada 2008, PKR kehilangan 14 dan menang empat dan Pas ditewaskan dalam semua enam kawasan pilihan raya.

Ooi berkata konvensyen sehari itu berkemungkinan membincangkan kesan penggantungan Anwar daripada Parlimen berhubung isu Apco, dan R.Sivarasa (Subang), Azmin Ali (Gombak) serta Karpal Singh (Bukit Gelugor) kerana menghina dewan.

Beliau berkata sesetengah pihak berpendapat penggantungan itu akan meningkatkan sokongan kepada pembangkang.

Anggota jawatankuasa pusat Pas Khalid Samad berkata pakatan rakyat mesti meyakinkan rakyat bahawa gabungan itu boleh berfungsi, dan “sungguhpun kami mempunyai perbezaan, namun ia tidak membingungkan kami”.

Beliau mengakui tidak bimbang berhubung sebarang pendedahan oleh Wilkileaks yang mempunyai kaitan dengan Anwar.

“Saya rasa rakyat faham mengenai apa itu :Wikileaks:, hanya kebocoran beberapa maklumat komunikasi yang tidak boleh dipercayai, yang nampaknya lebih sekadar gosip berbanding fakta,” katanya.

Sebahagian besar pemimpin bersetuju bahawa pertelagahan dalam kalangan rakan-rakan gabungan itu telah menjejaskan populariti pembangkang, namun mereka percaya penggantungan Anwar itu akan membantu dalam kedudukan mereka di mata rakyat.

Penggantungan itu juga, kata mereka, tidak akan menjejaskan perjalanan PKR atau pakatan pembangkang.

“Sejak setahun lalu, kami telah meletakkan beberapa mekanisme untuk memperkukuhkan pakatan memandangkan pakatan bukanlah mengenai individu.

Penggantungan Anwar tidak akan menjejaskan proses kami membuat keputusan,” kata pengarah strategi PKR Tian Chua.

Sungguhpun beberapa negeri nampaknya agak perlahan dalam melaksanakan dasar bersama yang diterima pakai pada konvensyen pertama pakatan pembangkang di Shah Alam pada Disember 2009, namun sebahagian besar daripadanya telah pun dilaksanakan, kata Tian Chua.

Setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution berkata, butiran mengenai kerangka dasar bersama itu akan diumumkan pada konvensyen berkenaan, terutamanya mengenai perancangan pakatan pembangkang dalam tempoh 100 hari sekiranya mereka memenangi PRU akan datang.

“Anthony Loke (DAP), Nasaruddin Mat Isa (Pas) dan saya sendiri akan membentangkan butirannya sungguhpun kerangka dasar bersama itu sangatlah luas,” katanya.

Pakatan pembangkang juga berdepan cabaran daripada bekas anggotanya seperti Datuk Zaid Ibrahim, yang meninggalkan PKR dan kini menjadi Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita).

Terdapat juga Pergerakan Kebebasan Sivil Malaysia yang ditubuhkan pada Oktober lalu oleh sekumpulan warga Malaysia yang bermastautin di London.

Kumpulan itu dikatakan merancang untuk meletakkan “lebih banyak calon yang profesional dan beretika” dalam PRU akan datang dan berkemungkinan memberi tumpuan kepada Lembah Klang. - Bernama

sinarharian.com.my

No comments: