ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Tuesday, March 1, 2011

Dilema Pas: Islam Vs Bangsa

A Kadir Jasin


SETELAH gagal memanfaatkan pertemuan yang “dituan-rumahkan” oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong di Istana Terengganu di ibu negara Disember lalu untuk mencari jalan sepakat ke arah perpaduan Melayu, Umno dan Pas terus ditekan oleh keperluan meyakinkan orang Melayu bahawa mereka adalah pilihan terbaik bagi orang Melayu.

Serentak itu, kedua-dua buah parti beteraskan Melayu itu terpaksa bertungkus-lumus meyakinkan rakan kongsi masing-masing bahawa kepentingan bangsa, kaum dan agama lain tidak diabaikan.

Pendirian Umno mengenai orang Melayu walaupun sudah terang dan terbukti, tetapi terus dihantui oleh kekangan antara dasar dan pelaksanaan. Pada akhir-akhir ini, kebimbangan dan keraguan orang Melayu memuncak semula akibat pengenalan gagasan serta dasar baru oleh Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak seperti 1Malaysia dan Model Baru Ekonomi.

Bagi menjawab keraguan terhadap pendiriannya mengenai orang Melayu, Pas pada 19 Feb mengadakan “Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa” di Shah Alam, Selangor.

Menurut laporan media Internet dan media bebas, konvensyen itu bertujuan melenyapkan kritikan bahawa Pas anti-Melayu kerana kerjasamanya dengan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Antara kenyataan penting yang boleh dikesan daripada laporan-laporan itu adalah:

1. Hak orang Melayu akan hanya terjamin melalui pematuhan rapi terhadap prinsip-prinsip Islam dan penolakan supremasi Melayu (Malay supremacy).

“Jika orang Malayu mahu selamat, mereka perlu menjunjung Islam. Jika mereka mahu menjunjung konsep keagungan kuasa Melayu, mereka tidak akan selamat,” kata Presiden Pas, Abdul Hadi Awang.

2. Mursyidul Am Pas merangkap Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat pula mengesahkan komitmen parti itu untuk “mengutamakan” orang Melayu.

Katanya, PR tidak pernah mengabaikan hak orang Melayu.

Tegasnya, walaupun Islam tidak berasaskan bangsa, tetapi “orang Melayu perlu diutamakan dalam agenda kita kerana mereka adalah bangsa dominan di kalangan pemeluk Islam di Malaysia.” dan

3. Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution (yang hadir konvensyen itu) menyeru rakan-rakan kongsi PR membuat keputusan sama ada menjawab atau mengelak isu supremasi Melayu.

Ahli Parlimen Machang itu mengaku bahawa sejak pilihan raya umum 2008, terdapat peningkatan politik berasaskan kaum.

Percubaan Pikat Semula Pengundi Melayu


Malaysian Insider mengulas bahawa konvensyen itu adalah percubaan Pas menarik balik sokongan pengundi Melayu yang lari daripadanya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ia memetik contoh pilihan raya kecil Manik Urai, Kelantan pada tahun 2009 di mana majoriti Pas merosot daripada 1,352 pada pilihan raya umum 2008 kepada hanya 65.

Katanya lagi, undi Melayu terus berpatah balik kepada Barisan Nasional (BN) dalam beberapa PRK selepas itu sehingga berjaya merampas Hulu Selangor (daripada PKR) dan Galas, Kelantan (daripada Pas).

Seperti telah saya sebutkan dalam posting mengenai PRK Tenang, PR yang diwakili Pas mengalami kekalahan teruk. BN menang dengan kelebihan undi 3,707 atau 38.37 peratus undi popular.

Calon BN (Umno) Mohd Azahar Ibrahim memperoleh 6,669 undi (69.03 peratus) manakala calon Pakatan Rakyat (Pas) Normala Sudirman mendapat 2,992 undi (30.96 peratus). Undi popular BN naik 6.87% berbanding PRU 2008.

Dalam perkembangan berasingan tetapi pada hari yang sama, pengkaji politik, Dr Wong Chin Huat, dilaporkan oleh Malaysian Insider sebagai berkata, BN akan mendapat semula majoriti dua-pertiga di Dewan Rakyat jika trend pengundian oleh pemilih Melayu, seperti yang berlaku dalam PRK, berterusan.

Dr Wong, pensyarah Universiti Monash, berkata PR boleh hilang sehingga 34 kerusi jika Pas gagal menambah sokongan orang Melayu.

Dr Wong meramalkan DAP akan mengekalkan kedudukannya kerana kesemua kerusinya adalah kerusi majoriti bukan Melayu dan Bukan Melayu akan terus menyokong PR.

Tetapi, kata Dr Wong, antara tujuh hingga 10 peratus undi Melayu telah kembali memihak kepada BN dalam beberapa PRK lalu. Katanya peralihan lima peratus undi Melayu sudah cukup untuk menggugat kedudukan PR di Parlimen.

Pas Perlu Nyatakan Agenda Melayu

Kesimpulannya, walaupun Pas mengisytiharkan dirinya parti Islam dan menolak bangsa, namun ia terpaksa mengaku bahawa tanpa majoriti undi Melayu ia tidak akan berkuasa.

Pas berkuasa di Kelantan dan Kedah kerana ini adalah negeri majoriti Melayu. Ini adalah realiti politik Malaysia.

Tetapi pengiktirafan bahawa undi Melayu penting kepada kesinambungannya belum memadai.

Pas perlu mengemukakan barisan kepemimpinan serta agenda sosial dan ekonomi yang meyakinkan dan mengurangkan pergantungan kepada pemikiran sosioekonomi DAP dan PKR semata-mata.

Inilah yang ditekankan oleh Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (Teras) Mohd Azmi Abdul Hamid di konvensyen Pas itu apabila dia berkata Pas tidak akan mendapat kepercayaan dan sokongan orang Melayu sekiranya gagal memahami ekonomi masyarakat Melayu dan mencari jalan penyelesaian.

Katanya Pas masih belum mencapai tahap maksimum untuk mendapatkan sokongan orang Melayu keseluruhannya sambil memberi amaran agar parti itu tidak mengabaikan masalah ekonomi orang Melayu di peringkat akar umbi.

kadirjasin.blogspot.comi

No comments: