ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Thursday, May 6, 2021

 


Ulasan Puisi-Puisi FB, April, 2021-Bhgn 1.
Saya sebenanya sudah menulis bahagian pertama ini
Saya pun dah pos ke FB. Namun ia hilang entah ke mana. Waktu itu saya mengalami kerosakan hp. Akhirnya saya cari gantinya. Cap ayam juga. Senang, rosak buang, beli lain.
Saya memilih puisi Bukan Aku Yang
Terbaik
, Karya Zarir Ali. Saya tidak berapa mengenali penyair ini. Namun saya rasa ingin memperkatakannya. Berikut adalah puisi beliau itu:
BUKAN AKU YANG
TERBAIK
Bila kusedar dari lamunan
kukenal diri bukan siapa
kerana aku insan biasa
yang mempunyai harga diri sejati.
Kucuba persembahkan seadanya
bukan mengejar segala impian
dan yang nyata bukan igauan
kerana kutahu hidup sementara.
Kutoleh ke kanan
kupandang pertemanan
Ku toleh kekiri
memikirkan kita selari
dan pastinya
kita akan kembali kepada-Nya.
Ternyata kita serupa
ternyata kita bukan sesiapa
cuma sering diberikan
susunan baris kata pinjaman.
Berikan aku kesempatan
lahirkan segunung kebaikan.
ZARIR ALI
KUALA TERENGGANU
23.4.2021
2031pm
Hakcipta Terpelihara2021
Zarir Ali menulis puisi ini dengan perasaan rendah diri, atau rendah hati, atau dalam disiplin ilmu tasawwuf Islam dipanggil Tawaduk.lni dapat dilihat pada rangkap pertama lagi. Antara lain beliau menulis;
kukenal diri bukan siapa,
kerana aku insan biasa
Pada bait ini dari rangkap pertama Zarir Ali menekankan dia hanyalah manusia biasa, bukan selebriti, bukan artis, juga bukan tokoh politik atau sebagainya. Tetapi dia memiliki harga diri yang sejati. Inilah kekuatannya.
Pada rangkap berikutnya Zarir Ali menyebut dia tidak mengejar sebarang impian, juga igauan, kerana dia menyedari hidup ini hanya sementara, satu hari akan dipanggil pulang ke negeri abadi, jadi tidak perlu memasang impian yang bukan-bukan.
Selanjutnya pada rangkap ke tiga, dia menoleh ke kiri kanan, dan yang ditemui hanyalah teman-teman yang semuanya berdepan dengan kesementaraan ini (meminjam istilah Muhammad Hj.Salleh). Suatu hari akan kembali ke negeri abadi. Lalu apa tujuan kita hadir di sini? Apakah Zarir Ali juga terpengaruh dengan Aliran absurdisme. Namun bila beliau menyebut kita semua akan kembali kepada-Nya, itu menafikan ia menganut fahaman absurdisme, di mana absurdisme hanya mepersoalkan kewujudan ini semata-mata.Namun Zarir mempercayai kewujudan Tuhan dengan menyebut 'kita akan kembali kepada-Nya.' Dan kita semua adalah serupa', cuma kita diberikan kata-kata sebagai makhluk sosial menurut lbnu Khaldun, dan dengan kata-kata itu memungkinkan kita berkomunikasi dan menyatakan perasaan antara satu sama lain.
Saya teringat sebuah puisi Chairil yang menyatakan 'Tuhanku pintumu kuketuk, Aku tak biasa berpaling,'(Doa, Chairil Anwar). Chairil juga seorang anarkis, mengikut rentak absurdisme dan eksistensialisme, namun akhirnya dalam 'Doa' dia menemui hakikat kewujudannya kembali kepada hidup ber-Tuhan.
Pada rangkap akhir Zarir menulis 'berikanlan Aku kesempatan lahirkan segunung kebaikan.' Barangkali sekiranya diberi kesempatan, dia akan melakukan sebanyak mungkin kebaikan kerana kewujudan di sini tidak kekal, manakala kebaikan adalah bekalannya untuk kembali ke negeri abadi.
Melihat puisi beliau, tiga rangkap darinya terdiri dari empat baris serangkap dan menghampiri pantun syair. Namun ia bukan pantun atau syair, cuma rima akhirnya hampir sama ke tiga-tiga rangkap.Beliau juga memanfaatkan teknik aliterasi dan asonansi, dengan tujuan untuk menimbulkan rentak muzikal dalam puisinya ini. Ini selari dengan pendapat Muhammad Hi Salleh yang menyebutkan puisi adalah kental, berentak dan banyak berusur muzik bahasa. Di lain pihak. bahasanya tidak sukar untuk difahami. Tidak ada istilah yang muluk-muluk. Cuma dalam ayat terakhir ia menyebut 'segunung kebaikan' di mana di sini teknik hyperbola digunakan. Puisinya biasa saja, namun ada unsur falsafah jika direnug-renugkan.Pada rangkap akhir Zarir menulis 'berikanlan Aku kesempatan lahirkan segunung kebaikan.' Barangkali sekiranya diberi kesempatan, dia akan melakukan sebanyak mungkin kebaikan kerana kewujudan di sini tidak kekal, manakala kebaikan adalah bekalannya untuk kembali ke negeri abadi.
Melihat puisi beliau, tiga rangkap darinya terdiri dari empat baris serangkap dan menghampiri pantun syair. Namun ia bukan pantun atau syair, cuma rima akhirnya hampir sama ke tiga-tiga rangkap.Beliau juga memanfaatkan teknik aliterasi dan asonansi, dengan tujuan untuk menimbulkan rentak muzikal dalam puisinya ini. Ini selari dengan pendapat Muhammad Hi Salleh yang menyebutkan puisi adalah kental, berentak dan banyak berusur muzik bahasa. Di lain pihak. bahasanya tidak sukar untuk difahami. Tidak ada istilah yang muluk-muluk. Cuma dalam ayat terakhir ia menyebut 'segunung kebaikan' di mana di sini teknik hyperbola digunakan. Puisinya biasa saja, namun ada unsur falsafah jika direnung-renungkan.
zainal lasim.
@ibnu lazim
30.4.2021,
00.03am.

No comments: