ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Tuesday, May 21, 2024

Puisi Dan Masyarakat

 Puisi Dan Masyarakat


Bila disebut puisi, apa yang tergambar di fikiran kita.? Barangkali kita fikirkan sajak; dua atau tiga rangkap kata yang berbunga-bunga kadangkala sukar Kita fahami dengan jelas maksud tujuannya. Itulah gambaran awal bagi masyarakat kita bila mendengar perkataan itu.  Namun bagi mereka yang lebih sedikit maklumatnya, mungkin menyatakan ia adalah susunan kata-kata indah Yang membawa maksud tertentu yang selalu dikaitkan dengan emosi. Ia adalah tulisan orang yang suka berkhayal yang tidak jejak di bumi nyata. Begitulah tanggapan masyarakat umum tentang puisi.


Puisi sebenarnya lebih dari itu. Ia adalah susunan kata berangkap  dan indah yang mempunyai aturannya sendiri dan mempunyai nilainya yang tersendiri. Muhammad Hj Salleh menyatakan ia seharusnya memandaikan bangsa . Bagi Baha Zain pula, puisi tidaklah berbicara segalanya dan tidak kepada semua.


Namun dalam ruang Yang terbatas ini, sukar untuk kita memberi definasi yang lengkap tentang bagaimanakan puisi itu harus ditafsir. Kita ambil satu pendapat lagi. Kata Arief Budiman, membaca sebuah sajak, kita sebenarnya sedang melihat tanggapan seorang penyair terhadap sesuatu dan kita melihat berbagai hal tentang tanggapan penyair dari waktu ke waktu (Chairil Anwar: Sebuah Pertemuan).


Apa sebenarnya yang hendak dilihat dalam tulisan ini, adakah puisi itu beperanan dalam sesebuah masyarakat, dengan tidak mengenepikan definasi puisi itu sendiri. Puisi sebenarnya dapat mendidik jiwa masyarakat seperti tafsiran Muhammad Hj Salleh, iaitu memandaikan bangsa. Namun skop  puisi itu tidak begitu luas, dan ia hanya berkisar di kalangan penulis dan peminat puisi sahaja. Dan kita perlu terima kenyataan ini sebelum Kita pergi lebih jauh dalam perbincangan ini. Memang diakui dalam sejarah perpuisian kita,ia turut beperanan Dalam membangkitkan jiwa penentangan terhadap penjajah, yang terlihat jelas pada puisi-puisi peringkat awal, khasnya sewaktu penjajahan Jepun dan Inggeris. Sekurang-kurangnya puisi beperanan pada peringkat ini.


Pada dekad-dekad 70an dan 80an, puisi moden Kita melahirkan berbagai Tema Dan didukungi oleh ramai ahli masyarakat dari pelbagai lapisan. Maka lahirlah ramai penyair dari pelbagai lapisan termasuk dari kampus-kampus universiti. Dan tema-temanya pula datang dari puisi-puisi cinta hinggalah ke politik. Hal ini berlaku kerana penulisan puisi turut membabitkan orang-orang politik seperti Kassim Ahmad dari parti beraliran sosialisme.


Namun, seperti Yang Kita sebutkan di atas apakah puisi itu turut membentuk pemikiran masyarakat. Sedikit sebanyak puisi-puisi kita telah meneroka ke alam yang lebih bersifat pemikiran dan menyelitkan unsur-unsur inteklektualisme seperti pada puisi- puisi Muhammad, Baha Zain dan lain-lain lagi. Dengan demikian dapatlah Kita katakan puisi itu amat diminati oleh segolongan manusia Dan amat akrab hubungannya dengan masyarakat.


Kini, dengan ledakan teknologi, puisi-puisi kita turut beralih arah.Media-media-media sosial turut menjadi medan penyair-penyair kita melontarkan idea-ideanya ke -tengah masyarakat dan turut merobah bentuk luaran dan dalaman puisi itu sendiri.Lalu lahirlah kumpulan-kumpulan penulis/pemuisi siber seperti Esastera dan Pemuisi National. Mereka berkarya sambil mengemukakan persoalan zamannya. Dapatlah dikatakan hasil sastera/ puisi itu adalah pancaran bagi zamannya .


Terakhir, Kita ingin melihat apakah puisi itu sesuai untuk dijadikan sebagai satu medium mendidik masyarakat terutama di peringkat kanak-kanak dan remaja. Puisi seperti yang difahami menggunakan kata-kata yang indah, muzikal dan pelbagai unsur lain yang membentuk ciri-cirinya. Dengan demikian, pada pandangan kita, ia amat sesuai bagi membantu kanak-kanak dan remaja dalam memperhalus dan memperkaya jiwa mereka. Hal ini amat diperlukan memandangkan gaya hidup kini terdedah dengan pelbagai unsur kerakusan Dan kekerasan akibat perkembangan teknologi dan dunia tanpa sempadan. Puisi mampu menggalas tugas ini, kerana penyampaian tema dan persoalannya menggunakan bahasa yang lembut dan ada kalanya berirama. Ini mungkin dapat memperhalus jiwa mereka yang telah dikasarkan oleh dunia globalisasi. 


Dari tulisan di atas dapatlah disimpulkanbahawa puisi mempunyai pengaruh yang besar terhadap masyarakat dan mampu memanusiakan semula masyarakat kita yang sedang dirasuk oleh perkembangan teknologi yang sangat pesat.


Zainal Lasim   @ibnulazim.

21 Mei, 2024.

No comments: