Ulasan Puisi Tidak Berjadual.
Persaraan bukanlah bermakna tugas kita sebagai anggota masyarakat, sebagai hamba Allah sudah tamat. Selagi nyawa masih ada, kudrat dan fikiran masih berupaya , kita masih perlu menjalankan tugas terhadap masyarakat dan negara, sesuai dengan tuntutan amal makruf dan nahi mungkar yang diamanahkan kepada kita. Demikian intipati sajak di bawah ini.
Tekad Sang Pesara
Persaraan hanya pada jawatan
bukan perjuangan
dengan hayat yang berbaki
dan keafiatan kurniaan ilahi
insya-Allah masyarakat terus kusantuni
meskipun sebagai gerakan peribadi
tanpa tunjangan institusi
berkongsi sekelumit ilmu yang terbatas
berkongsi rasa, semangat dan daya juang
untuk bahasa, sastera, budaya
dan tamadun warisan wangsa
semoga disertai inayah
dan diterima sebagai ibadah
Awang Sariyan Kembara Bahasa
14 Oktober 2023/29 Jamadilawal 1445.
Begitulah tekad sahabat kita, yang juga guru, pembimbing, cedekiawan dan wakil kaum penulis di Dewan Rakyat, YB Tan Sri Prof. Dr Awang Sariyan. Ia masih tetap berjuang untuk kita semua. Kita harus memberikan jutaan terima kasih dan tabik hormat kepada beliau yang mengambil sikap seperti ini.
"insyaallah masyarakat akan terus kusantuni" tegas beliau dalam satu frasa sajak di atas. Beliau akan terus berjuang, berkongsi rasa untuk bahasa, sastera, budaya dan tamadun warisan bangsa, di samping berharap ianya diterima sebagai ibadah. Inilah jiwa kental seorang individu Muslim. Tahniah Dan syabas diucapkan kepada beliau.
Saya amat berterima kasih kepada beliau kerana mencurahkan ilmunya sewaktu di kampus, melalui penulisan, mengirimkan banyak buku, juga mengkreditkan wang sewaktu saya sedang kesempitan. Sekali lagi, jutaan terima kasih kepada YB Tan Sri Prof. Dr Awang Sariyan atau nama penanya Kembara Bahasa.
Ibnulazim,
16 Oktober، 2023.
No comments:
Post a Comment