Selebriti Sasterawan Medsos -9.
Tulisan ini yang meliputi karya dan dikaitkan juga dengan personaliti penulisnya telah pun mencapai sembilan siri setakat ini. Saya tidak pasti adakah tulisan ini bermanfaat untuk khalayak sastera atau pun tidak. Setakat ini hanya Datuk SN Zurinah Hassan yang menyokong usaha ini.
Namun saya teruskan juga demi kaum sasterawan serta sastera Malaysia itu sendiri. Sastera tidak bermakna tanpa khalayak, begitu juga sastera tidak bermakna tanpa pembaca.
Prof Dr Noriah juga sesekali ada like tulisan saya. Ini satu tanda sokongan. Makasih prof.
PEMUISI.
Semakin terancam
puisinya semakin tajam
semakin tepu masalah
puisinya semakin menyerlah.
Kalah tidak pernah menyerah
menang tidak pernah bermegah
itulah ciri-ciri pemuisi
yang gagah bermaruah.
Baharuddin MDG
23.6.2023
Sungai Lui Hulu Langat.
Kali ini saya cuba melihat sajak di atas, yang ditulis oleh Baharuddin MDG. Beliau kerap muncul di sini kebelakangan ini. Bila saya membaca profile dia, saya menduga beliau seorang pesara, jika bekerja dengan kerajaan atau swasta. Walau sudah mencapai taraf warga emas, namun Baharuddin tetap aktif menulis sajak.
Sajak Pemuisi ini adalah sajak yang ringan sahaja dan tidak dibaluti oleh mana-mana aliran falsafah.
Pemuisi adalah sebuah sajak tentang penulis sajak itu sendiri. "Semakin terancam, puisinya semakin tajam". Demikian penyair, bila dihimpit masalah, puisinya semakin memukau, semakin menusuk kepada temanya. Puisinya akan semakin menyerlah. Sang penyajak tidak pernah mengalah, jika menang tidak bermegah. Menurut penyair itulah pemuisi yang bermaruah.
Maksudnya di sini seorang pemuisi tidak pernah menyerah kepada sebarang tekanan.
Secara teknikalnya, walau hanya dua rangkap, temanya cukup bagus. Bersemangat. Sajak ini banyak menggunakan persamaan bunyi vokal dan konsonan di awal dan akhir baris. Atau dengan kata lain banyak menggunakan aspek aliterasi dan asonansi. Tidak ada unsur perbandingan, similie atau personafikasi. Cuma mungkin terasa agak kurang puitis dengan gaya bahasa yang terus terang. Begitupun, Baharuddin berjaya menunjukkan semangat yang harus ada sebagai seorang pemuisi untuk menegakkan kebenaran dan menentang kepalsuan.
Ibnulazim,
25.6.2023.
#ibnulazim
No comments:
Post a Comment