ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Sunday, November 29, 2009

MB SELANGOR DAN BTN

Apabila MB Selangor tidak memberikan kebenaran kepada para pegawainya untu mengikuti kusrus-kursus di Biro Tatanegara tentulah beliau mempunyai sebab yang tertentu untuk berbuat demikian. BTN memang tempat terkenal untuk para pegawai kerajaan di brainstorming dan menerima dasar-dasar kerajaan serta menghayatinya dengan hujah-hujah yang nampak rasional. Namun di sebalik kerasionalan itu tentu ada kepentingan tertentu dan mesej yang ingin ditanamkan di dalam jiwa para peserta kursus.

2. Apa yang diterima di BTN tentunya akan sama dengan apa yang dikehendakki oleh pucuk pimpinan negara yang diketuai BN. Ia samalah dengan kursus PLKN, yang bermatlamat untuk menyemaikan perasaan menyokong kerajaan yang ada dan mempertahankannya. Tentunya apa yang ingin disemaikan itu tidak sama dengan apa yang dikehendaki oleh parti-parti pembangkang seperti Keadilan dan PAS. Dengan demikian hujah dan alasan MB Selangor untuk tidak membenarkan para eksekutifnya mengikuti kursus yang pro kerajaan tentulah mempunyai alasan yang kukuh dan agar kerajaan negeri tidak terpengaruh dengan dakyah yang disebarkan oleh BN melalui BTN.

3. Hal ini samalah seperti Amerika tidak membenarkan rakyatnya mengikuti kursus yang diberikan oleh intstitusi komunisme atau pun institusi Islam. Ini kerana untuk mengelakkan dari percanggahan pendapat agar tidak berlaku dalam suatu sistem pemerintahan. Namun Amerika lebih agresif, iaitu menyerang dan memusnahkan komunisme dan Islam sekadar yang dia mampu.

4. Inilah logika mengapa MB Selangor tidak membenarkan para eksekutifnya mengikuti kursus di BTN. Adapun mereka yang telah mengikutinya suatu masa dulu, itu adalah soal lain, dan waktu itu keadaan politik berbeza seperti sekarang. Pendirian politik pun tentu berbeza dengan apa yang ada kini. Misalnya Datuk Hassan Ali di BTN dahulu dengan Datuk Hassan Ali dalam PAS sekarang tentulah dua peribadi yang amat berbeza sama sekali.

5. Dengan begitu, kursus BTN ini tidak perlu dipolitikkan di samping melemparkan tuduhan yang bukan-bukan terhadap MB Selangor dan kerajaan PR khasnya. Demokrasi membenarkan kita berbeza pendapat. Terimalah perbezaan itu dengan dada lapang dan terbuka. Bahkan dalam Islam sendiri terdapat perbezaan pendapat sehingga melahirkan pelbagai mazhab, namun pegangannya tetaplah kepada sumbernya, Alquran, Hadis, Ijma' Ulama dan Qias sepertimana yang banyak dibicarakan dalam Usul Fiqh. Menerima perbezaan menampakkan kita lebih matang dan dewasa terutama dalam konteks demokrasi.


AlKundangi,
29.11.2009.

Wednesday, November 25, 2009

NST: TOLONG TAKUTKAN TUHAN - HUSAM MUSA

Laporan NST semalam, Husam: They go or I'll quit, begitu mengada-ada.

Wartawan NST, Shuhada Elis and Nik Imran Abdullah, sudah menjadi 'saya' dan 'hadhir' bersama ketika kononnya saya berjumpa Tok Guru untuk memberi kata dua pada Selasa lalu. Saya tertanya-tanya, ada tak aku jumpa Tok Guru Selasa?? Singat saya Isnin dan Selasa lalu saya di Parlimen mengikuti perbahasan peringkat Jawatankuasa JPM - melihat Datuk Nazri beraksi da..

Mereka berdua 'tahu' semua butir percakapan dalam 'pertemuan' itu. Tok Guru kata tak ada, NST kata ada. Saya?

Saya menanya diri saya semula. Adakah kami pernah berbincang seperti dilaporkan? Memberi syarat itu dan ini dan mengungut itu dan ini? Husam kah itu atau siapa?

Atau apa yang ada di keyboard wartawan itu dimasukkan ke dalam mulut kami kononnya saya atau Tok Guru berkata seperti itu? Ahh.., jangan-jangan ada orang tertelan salah pil lalu khayalannya turun atas lembaran?

Bila dongeng dimasukkan sebagai laporan berita, NST menjual sampah sebagai permata.

Tidak hairan ada orang berkata, zaman ini adalah zaman maklumat, tetapi sedikit sekali kebenarannya. 'Info' telah digaul bagi menampal ruang-ruang imiginasi penulis kononnya membentuk sebuah persembahan 'berita' mengikut apa yang mereka selerakan. Kebenaran bukan ukuran dalam abad ini.

Islam sejak dulu menekankan 'kesahihan'. Pembawa berita juga mesti 'muttaqin'.

Berita memang penting, kerana itu 'Nabi' membawa makna 'orang yang mempunyai berita'.

Penulis berita bukan sahaja akan mendapat upah dan gaji, promotion dan bonus, malah catatan Rakib dan Atid dalam sebuah 'hard disc catitan diri' untuk sebuah perbicaraan agung. Mahsyar.

Bukankah kalau berita itu tidak ada nilai kebenaran, ia menurun kepada 'berita palsu'. Lazimnya ia dikaitkan dengan motif seperti: adu domba, fitnah atau membawa agenda perpecahan, permusuhan, pergolakan, character assassination, political isolation, dan menumpaskan lawan.

Menjelang pilihanraya umum lalu, NST telah pun melakukan perkara yang sama ke atas saya. Kes saman saya ke atas NST itu akan dijalankan awal tahun 2010.

NST secara bersendiri telah menerbitkan permohonan maaf tanpa persetujuan saya dalam kes itu. Dan sedikit 'saguhati' yang saya minta peguam saya menolaknya secara baik kerana rasanya harga diri mana-mana insan tidaklah semurah itu....

Hari ini, NST mahu saya menyamannya sekali lagi dengan sekali lagi 'menggoreng berita'. Banyak 'It was understood that....' dijadikan sandaran apa yang hendak 'digoreng' oleh NST.

Bukan kerana ruang bicara tertutup sama sekali dan saman sahaja bahasa saya dengan media. Bukan begitu.

Sesuatu yang salah yang berulang-ulang memerlukan didikan berterusan dan pertahanan diri bagi mangsa yang lemah seperti saya hanyalah mahkamah. Apa lagi, kalau NST ada motif dan agendanya dan sanggup menanggung risiko dengan cuba mengeruhkan air untuk menangkuk debu dan pasir kalau pun tidak ikan yang enak dagingnya.
Posted by faqir putih at 2:28 PM 0 comments
Sunday, November 22, 2009
Oh..., Mingguan Malaysia!
Mingguan Malaysia sekali lagi 'memandang tinggi' pada saya dengan berita provokatif muka depan.

Dulu saya diserang bertubi-tubi menjelang Muktamar PAS.

Agenda 'mematikan' saya nampaknya belum berakhir.

Hari ini, Utusan cuba berbagai cara menghubungi saya untuk 'pohon penjelasan'. Semasa Utusan bersiap 'meletupkan' berita itu semalam sepatah penjelasan saya tidak diminta.

Beratus sms, kegelisahan begitu ramai orang dan deringan talipon sejak awal pagi adalah bukti 'berita' yang sengaja dimasak sebegitu rupa telah mencetuskan kesan negatif yang bukan sedikit.

Saya amat terharu dengan penjelasan segera bos, guru, rakan dan bapa saya - Tok Guru Nik Aziz.

Saya sakit belakang. Jumpa doktor dan doktor minta saya dapatkan rawatan, rehatkan tulang belakang saya dan kurangkan aktiviti. Bila saya nak masuk wad untuk rawatan itu saya boleh tentukan sendiri ikut kelapangan saya, tetapi jangan kurang dari lima hari penuh. Jangan lambat, kata doktor.

Saya maklumkan pada bos saya. Lima hari sebelum raya haji amat sesuai. Tetapi program saya kena tangguh dan mana mesyuarat yang saya ditugaskan wakili Tok Guru kena tukar kepada rakan yang lain.

Apa kata Tok Guru bila saya terus jumpa beliau Khamis lalu?

Jumpa doktor Di Pakar Perdana habis jam 12.30 tengah hari. Jumpa Tok Guru lebih kurang jam 1 sebelum zohor.

"Tak boleh lok (tangguh). Buat (rawat) selalu (segera). Jangan jadi macam ana..."

Saya bercadang masuk hospital hari Isnin. Keluar petang Khamis.

Apa kena mengena sakit belakang saya dengan letak jawatan?

Letak semua pulak tu?

Mana perjuangan saya? Mana parti dan kerajaan yang saya membantu menjayakannya sekian lama? Di hujung jalan kami akan berpisah? Membuka ruang pada lawan menerobos masuk dalam detik yang kritikal ini?

Tok Guru telah cuba dimalukan. Cuba dipinggirkan kerana pendiriannya yang tegas dan hasratnya yang jelas untuk membawa negara kita menuju perubahan.

Saya sebagai murid dan 'budak' Tok Guru, mengangkat bendera putih semata-mata kerana Utusan cuba meng-agendakan kami?

Sakit adalah lumrah insan. Letak jawatan tidak boleh diikat dengan satu dua hari di hospital - maka ia bukti Husam letak jawatan.

Kepada teman dan rakan, sahabat dekat dan jauh, saya ucapkan terima kasih atas ingatan anda semua. Ustaz Aziz menalipon pagi hari dari Mekah kerana terbangun dari mimpi, saya hargai erti persahabatan.

http://www.cetusan-hati.blogspot.com
24.11.2009

PERMOHONAN SPR DITOLAK

Permohonan SPR ditolak

Oleh Azrina Ahzan dan Mohamed Farid Noh


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi semalam, menolak permohonan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan mahkamah itu pada 16 November lalu, yang mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh di Kedah, sebagai kosong.

Berikutan itu, mahkamah mengekalkan keputusannya sebelum ini supaya pilihan raya kecil DUN Kota Siputeh diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh writ pilihan raya difailkan selewat-lewatnya Rabu ini.

SPR dalam reaksi serta merta mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Mahkamah Rayuan Putrajaya, petang semalam, memohon penangguhan pelaksanaan keputusan mahkamah itu.




Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dalam menolak permohonan SPR dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Siputeh, Datuk Abu Hassan Sharif, berkata tiada alasan istimewa dan konklusif dikemukakan kedua-dua responden dalam permohonan penangguhan mereka.

Alizatul berkata, tindakan SPR mengumumkan Abu Hassan masih kekal sebagai wakil rakyat Kota Siputeh walaupun tidak hadir dua kali berturut-turut pada persidangan DUN Kedah, adalah tidak wajar.

"Walaupun saya bersetuju dengan hujah Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Md Said bahawa SPR mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan yang berlaku secara kebetulan, namun SPR tidak boleh mengatasi kuasa Speaker dalam Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah.

"Perkara 51 menggariskan dengan jelas syarat yang menyebabkan kerusi responden pertama (Abu Hassan) menjadi kosong, iaitu mana-mana Adun yang tidak hadir persidangan dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker DUN, hendaklah mengosongkan kerusinya, oleh itu mahkamah mendapati ia menepati syarat.

"Mahkamah juga tidak bersetuju dengan hujah responden yang menyatakan jika permohonan penangguhan mereka ditolak, ia akan membawa kepada satu lagi pilihan raya kecil yang membabitkan perbelanjaan yang banyak... kerana adalah menjadi tanggungjawab dan tugas SPR untuk mengadakan pilihan raya jika kekosongan berlaku.

"Kedua-dua responden juga mendakwa jika permohonan penangguhan ditolak akan wujud keadaan khas di mana DUN Kota Seputeh berkemungkinan mempunyai dua wakil rakyat, seolah-olah prejudis terhadap Abu Hassan," katanya.

Alizatul berkata, perkara itu tidak menjadi persoalan kerana mahkamah yang akhirnya mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan sama ada sesuatu pilihan raya itu sah atau tidak.

Pada prosiding itu, Kamaluddin mewakili SPR, Datuk Mohd Hafarizam Harun mewakili Abu Hassan manakala Sulaiman Abdullah mewakili Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail.

Pada 16 November lalu, Alizatul mengisytiharkan kerusi DUN Seputeh kosong dan Abu Hassan bukan lagi wakil rakyatnya.

Berikutan itu, SPR dan Abu Hassan memfailkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusannya.

http://wwww.bharian.com.my
24.11.2009.

Di PUTRAJAYA, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata pihaknya sudah memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan, petang semalam.

"Sama ada writ pilihan raya bagi DUN Kota Siputeh perlu dikeluarkan oleh SPR bergantung kepada keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan, esok (hari ini).

"Jika Mahkamah Rayuan menolak rayuan kita, writ pilihan raya akan dikeluarkan selewat-lewatnya Rabu ini (esok)," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dalam pada itu, Umno juga mengumumkan akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan, hari ini.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan, berkata Hafarizam akan mengemukakan rayuan itu.

"Saya baru menghubungi beliau tadi dan sama ada Mahkamah Rayuan boleh membuat keputusan itu esok (hari ini) atau tidak, itu adalah sesuatu yang menarik kerana apa-apa pun SPR perlu membuat keputusan (tarikh pilihan raya, tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian) Rabu ini (esok)," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

http://wwww.bharian.com.my
24.11.2009

NIK AZIZ ARAH MENANTU LETAK JAWATAN

Nik Aziz arah menantu letak jawatan

KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengarahkan menantunya, Ir Abdul Ariffahmi Abdul Rahman meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) setelah menerima pandangan Pas Pusat.

Keputusan yang diambil Nik Abdul Aziz itu, yang juga Mursyidul Am Pas dilihat sebagai usaha meleraikan salah satu kemelut yang melanda Pas Kelantan sebelum ini.

Nik Abdul Aziz berkata, arahan peletakan jawatan itu dibuat demi menjaga nama baik Islam dan kepimpinan Pas.

Katanya, arahan itu dikeluarkan setelah mengadakan perbincangan selama lebih kurang satu jam bersama pimpinan Pas Pusat di kediaman rasminya, semalam.

Antara kepimpinan Pas yang hadir ialah Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din, Naib Presiden, Sallahuddin Ayub dan Bendahari, Dr Hatta Ramli.

“Semuanya nasihat saya untuk menjaga nama baik kepimpinan Islam khususnya Pas. Nasihat kepada saya supaya menantu saya mengundur diri. Dulu masa saya lantik beliau, ada Penasihat Undang-undang. Beliau tidak komen apa.

“Jadi saya lantik. Nanti untuk elak fitnah melalui bermacam saluran seperti surat layang jadi tidak mahu fitnah ini berkembang,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu, semalam.

Bagaimanapun beliau berkata, tarikh sebenar peletakan jawatan itu terserah kepada Abdul Ariffahmi untuk menetapkannya.

“Dia (Ariffahmi) akan meletak jawatan, tarikh terserah kepada dia,” katanya.

Mengulas mengenai kemungkinan struktur di PMBK akan dirombak, Nik Aziz berkata, itu adalah soal kedua kerana masalah utama ialah Ariffahmi menjadi sasaran kecaman dan fitnah daripada individu yang tidak bertanggungjawab.

“Terlalu banyak (fitnah dan surat layang). Surat layang tak ada nama. Tapi benda (fitnah) ini manusia sekarang ini baca dalam Internet seluruh dunia,” katanya.


sinarharian.com.my
24.11.2009

Tuesday, November 24, 2009

KEMELUT POLITIK NASIONAL: DARI KOTA MEKAH KE KOTA SIPUTEH

Tuesday, November 17, 2009
Kemelut Politik Nasional: Dari Kota Mekah Ke Kota Siputeh
A Kadir Jasin




PERINTAH Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 16 November mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh di Kedah kosong menggambarkan betapa parti-parti politik nasional masih belum sembuh daripada masalah kronik.

Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan bahawa kerusi itu kosong selepas penyandangnya Abu Hassan Sarif tidak hadir dua persidangan DUN tahun ini.

Apa sudah jadi dengan politik nasional kita? Kalau Barisan Nasional lemah, Pakatan Rakyat nampaknya tidak lebih kuat. Umno ada masalah. MCA ada masalah. Pas ada masalah. PKR apa kurangnya. Yang nampak “steady” sikit adalah DAP. Itu pun belum tahu.

Dalam Pas, kelompok Nik Abdul Aziz Nik Mat bertegang leher dengan penyokong Abdul Hadi Awang sampai kena adakan seminar khas. Serentak itu muncul kontroversi mengenai cerai talak tiga dalam sumpah setia laknat parti itu.

Duduk tak duduk, Nik Abdul Aziz didedah menerima “sponsorship” kelas platinum bernilai RM65,000 ke Mekah dan menantunya, Ariff Fahmi Abdul Rahman, dilantik CEO Perbadanan Menteri Besar Kelantan yang Nik Abdul Aziz pengerusinya.

Kerana orang ramai sudah tahu, terpaksalah Nik Abdul Aziz membatalkan perjalanan hajinya kali ini. Tajaan RM65,000 itu boleh menghantar ramai fakir miskin ke Tanah Suci atau memberi makan anak-anak yatim dan ibu tunggal kalau si penderma yang baik hati itu mahu!

Nik Abdul Aziz Ketua PR?

PKR pula dikejutkan apabila pemimpin loncatan terbarunya Zaid bin Ibrahim mengatakan Nik Abdul Aziz adalah orang yang paling sesuai memimpin Pakatan Rakyat apabila ia didaftarkan secara rasmi.

Ini memaksa Ketua Umum PKR merangkap “Shadow Prime Minister” (PM bayang-bayangan), Anwar Ibrahim menyangkal dengan mengatakan bahawa itu adalah pendapat peribadi Zaid.

Tetapi kenyataan Zaid itu membawa erti yang besar kerana dia adalah Pengerusi Penaja Pakatan Rakyat. Jelas Zaid memikirkan kelangsungan (survival) PR daripada aspirasi politik Anwar apabila dia membayangkan Nik Abdul Aziz sebagai calon unggul pengerusi PR.

Tetapi itu sebelum Nik Abdul Aziz didedah menerima tajaan platinum ke Mekah dan sebelum menantunya dilantik CEO Perbadanan Menteri Besar Kelantan. Zaid seperti kita maklum adalah anak Kelantan.

Sama ada secara kebetulan atau bagi menyanggah cadangan Zaid melantik Nik Abdul Aziz sebagai ketua PR, Abdul Khalid Ibrahim (Menteri Besar Selangor) melantiknya Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Negeri dengan gaji RM1.

Semua penyakit politik ini, tidak kira yang menjangkiti BN atau PR, bukan sahaja mengelirukan rakyat jelata yang sangat-sangat dahagakan pembelaan, malah lebih teruk daripada itu ia menakutkan pelabur dalam dan luar negara.

Silap-silap hari, arus politik nasional sekarang boleh menterjemahkan peribahasa menang bersorak kampung tergadai menjadi kenyataan, khasnya bagi orang Melayu dan Bumiputera yang serba daif.

Ayam sabung kita mungkin menang tetapi tanah bendang kita jadi milik orang. Apatah lagi kalau ayam sabung kita itu ayam “sponsor.”


http://kadirjasin.blogspot.com
24.11.2009.

PERIHAL DATUK MENTERI,MENANTU DAN CARLA BRUNI

Perihal Datuk Menteri, Menantu Dan Carla Bruni
A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

TOK GURU Nik Abdul Aziz Nik Mat akhirnya tunduk kepada persepsi dan pendapat umum bahawa pelantikan menantunya, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan adalah langkah tidak popular dan meragukan.

Apa pun alasan dan motivasi Menteri Besar Kelantan itu melantik menantunya ke jawatan penting yang sangat hampir dengan Pejabat Menteri Besar itu tidak berguna dan bermakna apabila berdepan dengan pendapat umum yang negatif.

Dipendekkan cerita, pengalaman Nik Abdul Aziz ini wajib serentak dijadikan teladan dan sempadan oleh semua Wakil Rakyat dan penjawat awam.

Teladan: Langkah Nik Abdul Aziz mengakui kesilapan dan memecat menantunya adalah tepat dan berani.

Sempadan: Sayangkan anak, menantu dan bini ada had dan batasan. Sayang di rumah bawa bahagia. Bawa anak, menantu dan bini campur tangan dalam urusan negara mengundang bencana.

Mungkin Nik Abdul Aziz termakan mantera meritokrasi. Mungkin pada perkiraannya si menantu layak dilantik ke jawatan itu atas dasar meritokrasi. Atau boleh jadi juga dia berasa bahawa sebagai Tok Guru, apa sahaja keputusannya akan dipersetujui dan dihormati.

Saya tidak akan kering air liur atau berhenti mengingatkan Wakil Rakyat bahawa pengundi memilih mereka dan memberi mandat kepada mereka. Pengundi tidak memilih apatah lagi memberi mandat kepada anak, menantu, isteri, abang, adik dan kroni mereka.

Teringat saya berita yang disiarkan oleh akhbar arus perdana tempatan pada 19 November lalu bertajuk “Carla Nafi Suami Jadi Pak Turut”. Carla adalah Carla Bruni-Sarkozy, seorang bintang filem Perancis yang kini isteri Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy.

Dalam sistem kepresidenan (presidency) Perancis seperti juga dalam sistem Amerika, Presiden adalah Ketua Negara dan Ketua Kerajaan. Jadi isteri Presiden Perancis dan Presiden Amerika memainkan peranan sebagai Wanita Pertama atau First Lady.

Kita tidak ada sistem itu. Kita ada dua ketua. Ketua Negara adalah Yang di-Pertuan Agong dan Ketua Kerajaan adalah Perdana Menteri. Macam Ratu Inggeris Ketua Negara dan Perdana Menteri Inggeris Ketua Kerajaan.

Jadi janganlah silap atau sengaja bagi gelaran atau jolokan Wanita Pertama (First Lady) kepada sesiapa. Kita tidak mahu berlaku salah protokol kerana negara kita adalah negara Raja Berperlembagaan dan kita ada adat resam sendiri.

http://kadirjasin.blospot.com
24.11.2009.

Sunday, November 22, 2009

NIK ABD.AZIZ DIT TANGGA KE 42 TOKOH ISLAM PALING BERPENGARUH DI DUNIA

Nik Aziz tangga 42 tokoh Islam berpengaruh dunia





SHAH ALAM - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berada di tangga ke 42 daripada 500 tokoh Muslim berpengaruh di dunia berdasarkan daftar yang dibuat oleh The Royal Islamic Strategic Studies Center (RISSC) melalui buku 'The 500 Most Influential Muslims In The World' tahun 2009.

Mendahului senarai tersebut ialah Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz, Pemimpin tertinggi Iran, Syed Ali Khamenei, Raja Morocco, Raja Mohammed IV, Raja Jordan, Raja Abdullah II Al Hussein, Perdana Menteri Turki, Recep Tayyib Erdogan.

Turut tersenarai dalam tokoh 50 teratas ialah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah yang berada di tangga ke-24.

Nama tokoh lain dari negara ini yang turut disenaraikan dalam buku sulung RISSC itu ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad.

Nama Anwar disenaraikan dalam 12 tokoh kategori 'honorable mention' kerana Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mempunyai pengaruh yang hampir setanding dengan tokoh-tokoh yang berada dalam senarai 50 tokoh teratas.

KedahLaNie.blogspot.com
22.11.2009

LALUAN SUKAR DI KOTA SIPUTEH

Laluan sukar di Kota Siputeh

SHAH ALAM – Pas berhadapan laluan sukar untuk memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh, Kedah disebabkan Kota Siputeh itu adalah kubu kuat UMNO/Barisan Nasional (BN).

Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail berkata, selain kubu kuat, pemilihan calon sebutan ramai, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir juga menyebabkan Pas berhadapan masalah meraih kemenangan di kawasan tersebut.

Menurutnya, Pas dan parti gabungan Pakatan Rakyat (PR) yang lain iaitu PKR dan DAP tidak harus memandang remeh akan kelebihan UMNO/BN itu.

“Jika Mukhriz calonnya, kita (Pas, PKR, DAP) perlu pandang :serius sebab (Mukhriz) ada banyak kelebihan. Selain mempunyai jawatan dalam kerajaan iaitu Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, (Mukhriz) dilihat sebagai tokoh yang tidak pernah menimbulkan sebarang kontroversi.

“(Mukhriz) juga Ahli Parlimen Jerlun dan disegani semua penduduk di situ. Malah, kelebihannya sebagai anak mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagaikan satu bonus kerana sebahagian anak-anak muda di situ melihat Tun Mahathir sebagai pemimpin di hormati,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Menurut Saifuddin, kelebihan parti kerajaan tidak bermakna Pas juga tidak miliki sebarang keistimewaan tersendiri.

Katanya, kelebihan tunggal parti pembangkang adalah kejayaan menubuhkan kerajaan PR di Kedah.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, walaupun DUN Kota Siputeh kubu kuat UMNO/BN, tidak bermakna Pas telah gagal sebelum berjuang.

“Kita (PR) akan pastikan menggempur habis-habisan DUN itu sekiranya Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) memutuskan pilihan raya kecil DUN Kota Siputeh perlu diadakan.

“Kita begitu optimis mampu membuat kejutan besar sekiranya jentera PR di semua peringkat melipat gandakan gerak kerja dan bekerjasama dalam semua aspek untuk pastikan DUN Kota Siputeh milik kita,” katanya.

Mengulas berkaitan PR yang berhadapan pelbagai krisis sejak kebelakangan ini, Saifuddin berkata, itu bukan penghalang pakatan pembangkang menawan Kota Siputeh.

“Apa-apa yang berlaku merupakan proses mematangkan semua ahli. Saya melihat, itu bukan masalah utama dan harapan saya agar semua ahli pakatan mengetepikan sebarang hal remeh temeh ketika kita bergabung tenaga pada pilihan raya kecil di Kedah nanti,” katanya.


Sinar Harian,
22.11.2009.

IBADAT HAJI LAMBANG PERPADUAN ISLAM

Ibadat haji lambang perpaduan Islam

MAKKAH - Berjuta-juta penganut Islam, yang datang dari pelbagai negara seluruh dunia untuk menunaikan ibadat haji, memenuhi Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah untuk menunaikan solat Jumaat kelmarin.

Imam Makkah, Sheikh Saud Al-Shuraim dalam khutbahnya mengingatkan jemaah mengenai peranan haji dalam menguatkan perpaduan umat Islam seluruh dunia.

"Kita dapat saksikan manusia berdoa kepada Allah dalam bahasa yang berbeza dan mereka datang dari pelbagai sudut dunia. Mereka cuba mengenali satu sama lain dan memahami erti perpaduan dan persaudaraan," katanya.

Beliau juga menggesa umat Islam bersatu di bawah panji Islam berdasarkan ajaran Al-Quran dan Sunah.

Imam Masjid Nabawi, Sheikh Abdul Al-Qassim dalam khutbahnya pula berkata, haji mampu menyucikan dosa-dosa yang dilakukan jemaah ketika dulu.

"Balasan syurga kepada haji yang mabrur," katanya memetik sepotong hadis Nabi Muhammad.

Beratus-ratus ribu jemaah yang tiba di Madinah sejak permulaan musim haji kini sudah berada di Makkah.

Sebuah bas akan bertolak ke Makkah pada setiap lima minit," kata Pengarah Kementerian Haji Cawangan Madinah, Muhammad Abdul Rahman Al-Bijawi.

Kira-kira 800,000 jemaah mengunjungi menziarahi pusara Nabi Muhammad dan menunaikan solat di masjid baginda selain melawat tempat bersejarah seperti Masjid Quba, Masjid Qiblatain dan tanah perkuburan Al-Baqeea.

Hampir tiga juta jemaah dijangka menunaikan haji tahun ini yang bermula 25 November ini.


Sinar Harian,
22.11.2009.

Monday, November 16, 2009

KEMANA HALATUJU PKR?

Hari ini (15/11/09) satu rencana dalam Berita Minggu mempersoalkan Halatuju Parti Keadilan Rakyat. Kesimpulan mudah dari tulisan itu adalah PKR memperjuangkan kepentingan individu tertentu yang berhasrat menerajui negara suatu hari nanti. Kita pun dapat membaca apa yang tersirat di sebalik tuduhan itu. Samada betul atau tidak, ia sudah menjadi pandangan sebahagian orang yang terpengaruh dengannya.

2. Apa yang kita tahu PKR memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan untuk rakyat jelata seperti apa yang dilakukan oleh MB Selangor. Tuduhan bahawa PKR dikuasai oleh 3A itu mungkin berasas, mungkin tidak. Namun tawaran atau cadangan Tuan guru Nik Abdul Aziz dijadikan ketua bagi PRM memberikan reaksi yang pelbagai, termasuk dari DS Anwar sendiri.

3.Apa pun, PKR harus lebih jelas tentang arah masa hadapan parti itu. Ketidakjelasan tentang hala tuju memberikan reaksi yang berbeza di kalangan penyokong dan penganalisis politik tanahair. Mungkin ada benarnya dakwaan bahawa PKR memperjuangkan individu tertentu yang kadangkala terlihat pada riak di air, namun hala tuju yang lebih jelas harus dibentangkan di hadapan rakyat marhaen sebelum satu demi satu tokoh-tokohnya berjaya dipujuk oleh UMNO/BN agar keluar meninggalkan parti. Kehilangan kepercayaan terhadap pucuk pimpinan PKR memungkinkan Parti itu semakin terhakis dari persada politik tanah air.

4. Dalam hal ini DS Anwar harus lebih tegas menyatakan ke manakah arah sebenar PKR hendak dibawa. Jika perjuangan PKR hampir sama sahaja dengan perjuangan UMNO, besar kemungkinan PKR akan terhakis sedikit demi sedikit dari pentas sejarah. Dengan demikian garis-garis besar haluan perjuangan mesti dinyatakan dengan jelas agar ia nampak berbeza dari UMNO. Sebagaimana yang kita tahu ramai pemimpin PKR adalah bekas ahli UMNO. Tentunya sikap lama mungkin terbawa-bawa dalam PKR menyebabkan PKR hilang kredibiliti dan mempunyai perbezaan yang jelas dari perjuangan UMNO. Kita takut suatu hari nanti semakin ramai akan meninggalkan PKR jika ia tidak banyak berbeza dari UMNO yang mementingkan kroni, suku sakat dan sahabat handai.

5. Sementara itu PAS kelihatan lebih jelas arah perjuangannya, kerana ia bergantung kepada Majlis Syura yang dianggotai oleh para ulama yang meletakkan Islam sebagai asas perjuangan mereka. PKR harus menjadi seperti PAS, ada halatuju sendiri dan berjuang ke arah tujuan itu, tidak hanya untuk beberapa kerat pemimpin tertentu sahaja. PRU ke 13 semakin mendekat. PKR harus lebih bersedia bersama Pakatan Rakyat untuk menghadapinya. Janganlah PKR menjadi senasib dengan Semangat 46 yang kini tinggal nama sahaja.

AlKundangi,
16.11.2009.
http://alkundangi.blogspot.com