ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Monday, August 24, 2009

ADUN LUNAS KELUAR PKR

ADUN Lunas keluar PKR

KULIM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Kedah, Mohd Radzhi Salleh bertindak keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan melepaskan semua jawatan dalam parti itu serta mengisytiharkan dirinya wakil rakyat Bebas selepas hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti itu. Ketika membuat perisytiharan itu di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam, beliau berkata, keputusan keluar parti itu dibuat berikutan pembubaran PKR Bahagian Padang Serai yang diumumkan Pemangku Ketua Bahagian itu, Jamaludin Abu Hassan yang turut mengisytiharkan keluar parti.

Beliau berkata, walaupun keluar PKR, beliau akan terus kekal berkhidmat menjadi wakil rakyat di kawasan itu sebagai ADUN Bebas di samping terus memberi sokongan kepada Kerajaan Pusat dan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. “Sebagai Ahli Jawatankuasa PKR Cabang Padang Serai, saya patuh pada pembubaran cabang yang telah diumumkan bubar oleh Pemangku Ketua Cabang (Jamaludin). Saya tidak mempunyai pilihan lain kerana saya sendiri tidak bersetuju cara pimpinan negeri dan pusat mengendalikan parti. “Sebagai wakil rakyat, saya bersimpati dengan keputusan itu (pembubaran) kerana mereka (ahli PKR Cabang Padang Serai) adalah orang yang bertanggungjawab memastikan kemenangan saya dalam pilihan raya lepas,” katanya.: Menurutnya, beliau melihat

PKR kini semakin ketara mengamalkan ‘politik kabilah’ apabila ahli-ahli kehilangan hak bersuara dan tindakan diambil terhadap mereka yang cuba bertindak sebaliknya malah dianggap pengkhianat. “Dalam PKR, kita hanya boleh mendengar orang lain buat keputusan untuk diri kita dan jika kita membuat sebarang kenyataan, tunggulah tindakan apabila kita dianggap pengkhianat. Inikah yang dikatakan demokrasi yang diperjuangkan oleh parti itu?” katanya. Beliau yang juga Exco Pelancongan Pembangunan Masyarakat serta Sumber Tenaga Manusia Kedah berkata, akan terus kekal dengan jawatan itu kerana soal pelantikan Exco negeri adalah kuasa Sultan Kedah. "Saya akan menganggap diri masih Exco dan tidak menghantar surat peletakan jawatan kerana saya dilantik oleh Sultan Kedah.

Terserah kepada Tuanku Sultan sama ada masih mahu mengekalkan saya atau tidak. Saya akan terima keputusan baginda dengan hati terbuka,” katanya. Mengenai desas-desus kononnya beliau ‘dibeli’ parti tertentu hingga membuat keputusan itu, Mohd Radzhi berkata: “Kalau saya ‘dibeli’, sudah tentu saya bersama dengan pihak yang ‘membeli’, tidaklah saya isytihar diri sebagai ADUN Bebas.” Pada Pilihan Raya Umum ke-12 tahun lalu, Mohd Radzhi mengalahkan calon BN, S Ananthan dengan majoriti 10,323 undi.

http://www.sinarharian.com.my
24.08.2009

No comments: