ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Monday, October 18, 2010

REALITI DAN MITOS DALAM PERPADUAN MELAYU

REALITI DAN MITOS DALAM PERPADUAN MELAYU


Saya tertarik dengan apa yang dikatakan oleh Zaini Hassan, orang kuat Utusan dalam akhbarnya pada 13.10.2010 mengenai mitos dan realiti dalam Perpaduan Melayu. Namun saya agak kesuntukan untuk memberikan reaksi yang panjang seperti tulisan Zaini kerana kesuntukan masa. Walau bagaimana pun saya cuba melihat beberapa perkara yang disentuh oleh Zaini.

2. Pertamanya ia menyebutkan bahawa Nik Aziz adalah orang yang paling berdendam dengan UMNO. Saya percaya sebenarnya Zaini mewakili pandangan para pimpinan BN/UMNO yang kecewa dengan sikap PAS yang tidak mahu bekerjasama dengan UMNO dalam usaha menyatupadukan orang Melayu. Benarkah Nik Aziz berdendam dengan UMNO?. Bukankah Islam itu sendiri tidak menggalakkan dendam antara sesama manusia, tidak kira ia muslim atau pun tidak. Bukankah Nik Aziz adalah orang yang kuat berpegang dengan Islam dari semua segi, dalam kehidupannya, dalam pergaulannya, dalam caranya berpolitik dan sebagainya semuanya berlandaskan Islam. Lalu bagaimana Nik Aziz dikatakan berdendam dengan UMNO, sedangkan itu bukanlah sifat dan amalan hidup Nik Abd Aziz itu?

3. Yang sebenarnya UMNO/BNlah yang berdendam dengan PAS kerana keengganan PAS untuk menyahut seruan kerajaan perpaduan (Unity Government) seperti yang dicadangkan oleh UMNO/BN. Kita semua tahu UMNO kini semakin kehilangan sokongan istimewa sejak PRU ke 12 ,2008 di mana Kedah, Kelantan, Selangor,Perak dan Pulau Pinang jatuh kepada barisan pembangkang, Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh PAS,PKR dan DAP. Sejak PRU 12 hingga kini, 9 PRK telah di adakan namun kerajaan BN/UMNO hanya memenangi dua kerusi, sementara 7 lagi dimenangi oleh Pakatan Rakyat. Kini ada dua lagi PRK sedang menanti kita, iaitu Galas dan Batu Api. Apakah UMNO/BN mampu menawan kedua-dua kerusi berkenaan atau ianya akan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. Keputusan PRK itu nanti menggambarkan sikap rakyat terhadap BN kini.

4. Selanjutnya Zaini Hassan menyinggung fasa perpecahan Melayu di zaman Semangat 46 dan Angkatan Perpaduan Ummah. Fasa krisis Anwar -Mahathir juga disentuh, namun semua fakta yang diberi Zaini adalah meragukan dan kurang tepat dengan apa yang sebenarnya berlaku. Selanjutnya beliau mempertikaikan apakah Melayu akan terus berkuasa jika Pakatan Rakyat memerintah? Mungkinkah terjadi di Selangor di mana Menteri Besarnya hanyalah boneka kepada bangsa lain. Apakah benar kenyataan Zaini itu, atau itu hanya satu tuduhan melulu akibat kegagalan UMNO/BN dalam cubaan merampas kembali Selangor dari Pakatan Rakyat, negeri yang dikatakan terkaya di negara ini. Berbagai helah dan tipudaya yang tidak perlu disebutkan di sini telah dilaksanakan oleh BN/UMNO untuk mendapatkan kembali Selangor, namun kesemuanya gagal sehingga kini.

5. Sebenarnya apa yang diluahkan oleh penulis berkenaan, adalah apa yang ingin diluahkan oleh para pemimpin UMNO/BN, dan penulis berkenaan hanyalah menjadi jurucakap kepada ketua-ketua yang di dukung dan disanjungnya, namun fakta yang diketengahkan seolah-olah dicipta untuk memaniskan persembahan tulisan beliau. Kita sendiri tahu, perpaduan Melayu adalah perkara yang sensitif untuk dibincangkan. Namun kita juga faham bahawa UMNO dan PAS tidak mungkin bersatu kerana perbedaan ideologi dan dasar perjuangan. UMNO lah yang harus berubah jika ia inginkan perpaduan dengan PAS. PAS, seperti yang disebut dalam perlembagaannya adalah sebuah parti yang berjuang atas asas Islam, di mana hal ini tidak memungkinkannya untuk bersatu dengan UMNO yang berasaskan kebangsaan dan sekularisme.

6.Sekiranya Pakatan Rakyat menang pada PRU akan datang, kita tidak perlu risau akan kehilangan kuasa Melayu sepertimana yang ditakuti oleh Sdr.Zaini. Biarlah dia takut kepada bayang-bayang sendiri. Kita masih ada institusi Raja dan Perlembgaaan yang menjamin kuasa Melayu terus berkuasa di bumi bertuah ini. Lebih dari itu, kita yakin jika Islam menjadi asas perpaduan, tidak ada yang perlu dirisaukan dengan masalah perbedaan bangsa dan bahasa serta warna kulit. Inilah sebenarnya inti dalam perpaduan manusia ini, teramasuklah orang Melayu. Inilah realitinya yang harus diterima oleh Sdr Zaini dan orang-orang yang sealiran dengannya. Kita percaya perpaduan Melayu bukanlah suatu mitos, tetapinya ianya boleh dicapai melalui akidah dan perpaduan yang berasaskan Islam sebagai agamanya.

AlKundangi,
18.10.2010.

No comments: