ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Tuesday, November 9, 2010

Kejayaan BN, kesedaran pembangkang dan media

Oleh - Rahman Shaari


Keputusan pilihan raya kecil di Galas dan Batu Sapi diumumkan ketika beberapa negeri menghadapi banjir besar. Rakyat secara umumnya – baik yang menyukai kerajaan, atau yang menyokong pembangkang – suka mendengar keputusan itu. Seperti biasa yang menang memaparkan rasa riang, yang kalah akan mencari helah. Namun, yang menghadapi masalah banjir, keputusan menang atau kalah, rasa-rasanya sama saja. Mereka mencari jalan keselamatan.

Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang yang mahu mencontohi Khalifah Umar Abdul Aziz, mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (The Star, 6 November, 2010). Katanya, kemenangan Barisan ialah kemenangan Tengku Razaleigh Hamzah. Tengku Razaleigh, tambahnya, ialah legenda setempat (local legend) di Gua Musang.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak menyamai Lim Guan Eng. Walaupun menurut The Star 6 November 2010 Nik Aziz meminta penyokongnya agar jangan berputus asa, menurut akhbar Sinar Harian (tarikh yang sama), Menteri Besar Kelantan itu ragu-ragu entah-entah ada ugutan atau sogokan dan sebagainya, maka rakyat di kawasan itu menolak Pas. Perhatikan, bahawa keraguan ini tidak selari dengan pandangan Guan Eng. Dan seperti biasa, Nik Aziz menyebutkan, jika perjalanan pilihan raya kecil itu tidak dijalankan dengan betul, Barisan Nasional (BN) akan tanggung sampai akhirat.

Saya fikir, pembicara politik akan lebih tertarik pada pandangan Lim Guan Eng. Pertandingan yang berlaku di Galas ialah pertandingan antara Tengku Razaleigh dengan Pas. Kita tahu di Kelantan, pengaruh Ku Li adalah luar biasa, demikian juga pengaruh Nik Aziz. Kedua-dua mereka mempunyai kewibawaan tersendiri. Mereka memilih jalan politik tersendiri dengan penuh keyakinan. Khusus untuk Ku Li, dalam UMNO kini, kita dapat melihat beliau sebagai tokoh amat matang.

Kemenangan BN di Galas hendaklah dilihat sebagai satu petanda baik, kerana wakil rakyat UMNO dan Pas berganti-ganti menggalas tanggungjawab. Kita tidak wajar melihat keputusan rakyat sebagai satu hal yang tidak baik. Ertinya, ketika Pas menggalas pun, kita kira baik juga.

Yang utama ialah rakyat memperoleh faedah, kerana masalah mereka digalas berganti-ganti oleh wakil rakyat daripada parti-parti yang berlainan. Itu kita namakan “kematangan Kelantan”.

Kita melihat perjalanan kempen yang baik dan telus. Kita melihat sumbangan bakti Nik Aziz sendiri untuk rakyat di kawasan itu, terutama dalam masa kempen. Pihak BN menjanjikan aneka kebaikan kepada rakyat di situ. Jadi, seperti dalam pilihan raya yang lain, rakyat memperoleh faedah.

Pilihan raya kecil di Batu Sapi juga membawa kemenangan kepada Barisan Nasional. Pada peringkat awal, sejumlah pemerhati politik memikirkan Datuk Yong Teck Lee berolok-olok untuk berlawan, kerana secara umumnya orang sudah merasakan pilihan raya dekad ini adalah antara satu lawan satu. Sesekali terfikir, mungkin PKR melalui Ansari Abdullah berolok-olok. Namun, akhirnya kita dapati mereka berlawan betul-betul. Kesungguhan Ansari sendiri terbukti apabila beliau terjatuh sebanyak dua kali.

Dengan perlawanan tiga penjuru di Batu Sapi, kita tahu bahawa politik adalah politik. Tidaklah benar bahawa wujud pakatan di kalangan pembangkang. Yang kita lihat seolah-olah ‘pakatan’ itu hanyalah kaedah untuk mencapai kemenangan sahaja. Saya kira, adalah mustahil parti-parti yang berlainan ideologi dan arah tuju dapat bersatu seperti yang dipertontonkan kepada kita.

Teck Lee tentulah terlalu jujur dalam hal menyatakan sikapnya. ‘Sabah untuk orang Sabah’ ialah slogan lapuk, tetapi beliau berani menggalinya semula untuk menjadikan beliau berlainan daripada yang lain. Perhatikan Datuk Nik Aziz tokoh Kelantan. Bukankah beliau juga sering kelihatan berlainan? Apabila Nik Aziz menyebutkan dosa BN akan dibawa sampai ke akhirat, beliau bercakap seorang-olah orang MCA dan MIC sama-sama termasuk dalam bungkusan dosa, kerana mereka itu Barisan Nasional. Manakala orang DAP tidak terbungkus, kerana DAP bukan dalam Barisan Nasional. Ternyata, dalam politik cara dan gaya bercakap, dan cara dan gaya memaparkan idea adalah penting. Permainan kata dan lenggok tubuh lebih penting berbanding hakikat yang ada pada parti dan tokoh. Gaya mesti ada, bung!

Teck Lee tidak menekankan agama, manakala Nik Aziz selalu menekankan segi tersebut. Namun, daripada kaca mata politik moden, kedua-dua mereka memilih jalan terpencil, iaitu Nik Aziz memaparkan keseluruhan politik Malaysia hendaklah menuju ke arah pembinaan negara Islam, manakala Teck Lee memulakan kembali semangat membalikkan Sabah kepada rakyat Sabah. Menurut Joniston Bangkuai, The opposition’s heavy defeat was also a clear demonstration of the people rejection of the “Sabah for Sabahan” and “autonomy for Sabah” slogan. (New Straits Times, 6 November 2010).

Perlu disebutkan, Sabah untuk rakyat Sabah adalah sempit di Sabah, tetapi Islam untuk orang Islam tidak sempit di Kelantan. Kekalahan Pas di Kelantan bukanlah penolakan agama, kerana wakil UMNO juga akan berbuat bakti yang sama berkaitan agama. Beliau juga kuat beragama. Oleh itu, kedua-dua prinsip, iaitu prinsip Teck Lee dan prinsip Nik Aziz, hendaklah difahami betul-betul oleh penghuni Malaysia yang akan mengundi pada masa-masa hadapan.

Walaupun rakyat di Galas dan di Batu Sapi telah membuat pilihan, belum kita ketahui adakah rakyat atau pengundi secara keseluruhannya memahami hakikat politik Malaysia. Oleh itu, pendidikan politik hendaklah berterusan. Media konvensional dan media baru hendaklah digunakan dengan baik bagi menimbulkan kesedaran agar pengundi tahu membuat pilihan yang tepat. Media – ertinya segala media – janganlah meneruskan anjuran tuduhan kasar yang tidak membawa faedah. Janganlah media meneruskan hasrat memberontak membabi buta, yang menyebabkan rakyat berpecah-belah. Media hendaklah memilih jalan untuk menjadikan rakyat terdidik dalam hal memilih pemimpin.

sinarharian.com.my
9.11.2010

No comments: