Saya hanya beri teguran secara peribadi: Dr Asri
SHAH ALAM - "Saya hanya memberi teguran dan pandangan secara peribadi, bukan berhasrat mencampuri urusan dalaman PKR atau cuba menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim."
Demikian jelas bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengenai dakwaan beliau mendesak Ketua Umum PKR itu bersara daripada dunia politik.
Dr Asri berkata, beliau tidak pernah memusuhi Anwar secara peribadi bahkan bersimpati dengan keadaannya sekarang, namun tulisannya dalam blognya itu berdasarkan kepada pemerhatian, kajian umum dan gerak hati.
“Kenyataan saya tidak menyentuh isu peribadi sebaliknya soal keberkesanan pembangkang dan memastikan keseimbangan politik antara pembangkang dan kerajaan," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurut Dr Asri, PKR seharusnya menjadi lebih baik terurus, meyakinkan dan berkualiti sekiranya ingin menjadi kerajaan alternatif kerana sokongan rakyat terhadap parti itu dilihat semakin merosot dan akan runtuh jika tidak dipertahankan.
Katanya, perkara ini telah dijangka banyak pihak terutama pemerhati politik berhubung pergolakan yang berlaku dalam PKR yang semakin meruncing sekarang.
Menurutnya, apa yang dilakukan bukan untuk mencampuri urusan dalaman PKR tetapi bertujuan untuk memberikan pandangan peribadi kepada Anwar.
"Kemampuan mengendalikan rakyat bawahan serta mempengaruhi mereka mengenai idea yang dibawa dan sekiranya ia mula merosot, bermakna tahap politik seseorang itu mula menurun.
“Semua pandangan yang disuarakan itu dirujuk pemikir politik terlebih dahulu dan mereka ini neutral, tetapi berhubung pengunduran Anwar, saya tidak merujuk kepada mana-mana pihak kerana ia berdasarkan pemerhatian dan kajian umum yang dilakukan,” katanya.
sinarharian.com.my
11.11.2010
No comments:
Post a Comment