ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Tuesday, November 9, 2010

Penipuan berleluasa: Zaid

SHAH ALAM - Selepas menimbulkan kontroversi mahu bertanding jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), calon timbalan presiden, Datuk Zaid Ibrahim sekali lagi membuat kejutan apabila membuat keputusan menarik diri daripada bertanding jawatan berkenaan.

Selain itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu turut melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Perhubungan PKR Wilayah Persekutuan dan semua jawatannya dalam parti itu.

Zaid berkata, ketika menawarkan diri menyertai PKR, beliau berharap boleh membawa politik progresif, memupuk dan memperkembangkan demokrasi dan ketelusan di negara.

"Bagaimanapun, sebenarnya saya tersilap,” katanya dalam satu kenyataan di blognya, semalam.

Menurutnya, beliau mengambil keputusan ini kerana melihat tidak ada usaha kepimpinan parti untuk menangani manipulasi dan amalan tidak adil dalam pemilihan parti.

"Perkara berkenaan telah berulang-kali ditimbulkan. Sepanjang pemilihan PKR, tiada usaha kepimpinan secara aktif menangani perkara ini dan membiarkan salah laku serta penipuan berleluasa dengan tujuan mencapai objektif tertentu," katanya.

Zaid berkata, beliau yakin mana-mana parti politik dengan sikap hipokrit dan nilai-nilai palsu tidak akan mampu menawarkan sebarang pembaharuan yang bermakna kepada rakyat di negara ini.

Penarikan diri bekas Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu itu memperlihatkan beliau begitu kecewa dan tidak boleh meneruskan proses pemilihan yang didakwanya 'cacat'.

Katanya, beliau akan tetap komited terhadap perjuangan pembangkang dan akan terus bercakap berhubung isu yang membabitkan rakyat jelata serta terus berjuang bagi memastikan rakyta mendapat kerajaan yang lebih baik.

“Saya berharap peminat (Datuk Seri) Anwar Ibrahim tidak lagi menganggap saya sebagai ‘spoiler’ yang akan menghalang perarakan mereka ke Putrajaya. Saya ucapkan maju jaya kepada mereka,” katanya.

Zaid kini berada di tempat kedua dalam pertandingan tiga penjuru bagi jawatan berkenaan antara dua naib presiden, Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub.

Difahamkan Zaid akan mengadakan sidang media hari ini bagi mengumumkan secara rasmi dan menjawab pelbagai persoalan sehingga beliau mengambil tindakan tarik diri.

sinarharian.com.my
9.11.2010

No comments: