Cerpen Belum Bernama (10)
Aku masih memandu perlahan meninggalkan kampung halaman yang sudah lama kutinggalkan. Ayah ibuku sudah lama pulang ke pangkuan Illahi. Begitu juga dengan kakak sulung dan kakak ke tiga jua telah meninggal. Rumah kakak sulungku itu dihuni oleh anak sulungnya, Azlan dan telah mempunyai beberapa orang anak. Ada rasa pilu di dada sewaktu ingin ke luar ke jalan besar. Mungkin terlampau banyak kenangan pahit manis yang ditinggalkan.
Wajah En bermain lagi di mataku. Senyumnya, tutur katanya masih menjadi igauanku. Sementelahan pula aku sedang berada di kampung, tempat di mana kejadian bermula.
Aku teringat satu hari aku pulang bersama seorang kawan, Nasir namanya. la rakanku di tingkatan 6, dan seterusnya menghuni kampus yang sama. Waktu itu kami sudah selesai menjalani peperiksaan akhir.
Sejak kunjungan En ke hospital, hubungan kami agak renggang. Suatu waktu En memberitahuku dia ternampak aku berjalan-jalan di pasaraya dengan seorang perempuan sambil berpimpin tangan. Aku agak terkejut dengan makluman itu. Aku berfikir keras untuk mencari jawaban siapakah perempuan itu. Hamidah mungkin. Aku memberi jawapan sendiri kepada diri sendiri.
Memang aku ada seorang kawan bernama Hamidah. Hamidah gadis biasa saja, namun dia tinggal di PJ bersama abangnya yang mengajar di universiti Malaya dan memiliki keluarga. Kukira minatku terhadapnya tidaklah begitu mendalam seperti En.
Lagipun aku dan Hamidah baru beberapa tahun berkenalan. Itu pun dikenalkan oleh seorang kawan satu sekolah denganku. Kukira hati En terguris dengan peristiwa itu. Lama dia tidak menghubungiku. Masa itu telefon bimbit belum ada. Jadi agak sukar untuk berhubung.
Ingatanku kembali kepada Nasir. "Aku ingin ke kampung kau," beritahu Nasir."Kampungku jauh di pedalaman," jelasku. "Aku pun orang kampung." tingkahnya."Kau akan merasa sunyi di sana." Aku sudah biasa dengan kesunyian." Tidak lama. Dalam satu minggu." Kita kena naik bas dan teksi sapu." Ah, itu masalah kecil." Jelas Nasir.
"Oklah," jawabku mengalah.
Dari pekan Kota, kami naik teksi haram ke kampungku. Kami turun di simpang jalan sempit, lorong menuju rumahku. Saat menghampiri laluan ke rumah En, kedengaran suara manusia riuh rendah. Seperti ada satu jamuan kahwin. Ya, memang sungguh ada jamuan itu. Kelihatan sebuah khemah besar tempat para tetamu menikmati hidangan.
Aku dan Nasir menyusup di celah-celah lorong sempit itu dan berselindung di balik pokok- pokok kecil yang tumbuh meliar di tepi jalan. Sebaik sampai di rumah, adikku menyambut dengan ramah. Aku tidak pun bertanyakan adikku tentang majlis di rumah En. Adikku pula tidak berkata apa- apa mengenainya. Aku bertanya dalam hatiku sendiri, "siapakah yang kahwin?" En kah yang kahwin setelah selesai pengajian peringkat diploma? Tidak ada jawapan. Aku hanya diam membungkam. Setahuku kakak-kakaknya semua sudah menamatkan zaman bujang.
"Nasir, kita kena balik esok." Aku memberitahu sahabatku itu. "Kenapa?" soalnya meminta kepastian."Aku tidak boleh berlama di sini. Nanti aku beritahu " Nasir hanya diam membungkam.
"Ok."Nasir kemudian bersuara. Malam itu adalah paling sukar bagiku. Fikiranku kacau bilau. Jam empat pagi baru dapat aku tidur. Hatiku berbisik,"engkaukah yang kahwin En? Kenapa tidak memberitahuku?" Malam terus menyepi.
21.10.2020.
No comments:
Post a Comment