Cerpen Belum Bernama (11).
Aku meneruskan perjalanan untuk meninggalkan daerah sepi yang penuh kenangan. Bermacam-macam perasaan bermain di benakku. Ada pilu, ada gembira, ada sedih dan segala macam perasaan bermain di jiwaku. Betapa beratnya aku ingin meninggalkan kampungku ini tidak dapat kutuliskan dengan kata-kata. Mungkin puisi- puisi peribadiku ada mencatat hal-hal seperti ini yang tersimpan dalam fail di rumahku di KL. Namun aku kurang pasti dan fail itu pun entah di mana letaknya.
Lamunanku dikejutkan oleh suara azan yang berkumandang di masjid berdekatan kedai Ateh Usop tempat aku selalu berkumpul dan menonton tv hitam putih. "Oh, sudah Asar," aku berbisik dengan diriku sendiri. Aku membelokkan kereta memasuki kawasan masjid. Ayahkulah yang menjadi imam setiap kali jumaat. Pejabat agama memilihnya kerana dialah satu-satunya yang memahami Bahasa Arab dan asas ilmu lslam setelah memondok lebih sepuluh tahun lamanya di Langgar ll, Alor Setar.
"Aku harus solat dahulu di sini, kerana takut nanti tidak sempat di pertengahan jalan. Tidak kiralah siapa imamnya," bisik hatiku. Selesai solat aku ke belakang masjid, dan tidak jauh dari situ ialah kawasan perkuburan. Aku ingin menziarahi pusara ibuku dan kakakku yang sulung. Ayahku tidak dikebumikan di sini.
Namun dalam saat- saat seperti ini pun En masih menggangguku lagi. Ada sedikit rasa hiba menyelinap di jiwaku. Suatu waktu ia datang ke rumahku. Dia mendukung seorang anak dan bersamanya seorang laki-laki menemaninya. Aku rasa seperti pernah melihat laki-laki itu. Aku menduga En masih ingat padaku walau pun keadaan sudah jauh berubah.
"Perkenalkan ini ldrus, suamiku," terangnya. Kami bersalaman. 'Rasa-rasa macam pernah jumpa, "aku melontarkan sepatah dua kata kepadanya. "Ya," jawab ldrus. "Kat hospital," sambungnya. Aku mengingat-ngingat wajahnya. " Ya, kat hospital, " aku berkata dalam hatiku. Namun kelihatan ldrus kurang selesa ketika itu. Kelihatan wajahnya membayangkan rasa cemburu terhadapku. Dia agak gelisah.
"Maafkan aku,"kata En pula seolah memecahkan kebuntuan dan kegelisahan ldrus. "Maafkan aku kerana tidak menjemputmu ke majlis perkahwinanku kerana kau ketika itu dalam tahun akhir pengajianmu. Aku tidak mahu mengganggumu di tahun-tahun akhir pengajianmu," sambungnya. Aku hanya mengangguk-nganggukkan kepala.
Aku tersentap dari lamunan bila terpandang satu batu nisan bertulis nama En, meninggal tarikh sekian-sekian. Aku baru tersedar yang aku kini berada di tanah perkuburan kampungku. Setelah membaca AL Fatihah untuk seluruh warga kubur khususnya untuk ibu dan keluargaku yang telah menjadi penghuni alam barzakh itu, aku kembali ke kawasan masjid menuju ke kereta yang aku pandu.
Aku ingin segera pulang. Waktu sudah agak lewat. Dalam perjalanan , aku teringat satu berita yang dikirim oleh adiknya menyatakan En terlibat dalam satu kemalangan jalan raya sewaktu ingin pulang ke kampung meraikan Aidilfitri. Tahun berapa aku kurang pasti. Suami dan anaknya turut meninggal.
Aku mulai memecut kereta menuju highway Plus. Aku ingin meninggalkan kenangan itu di sini. Di kampungku. Tetapi mampukah aku melakukannya ?
Selamat tinggal kampungku yang menghadiahkan kenangan yang bercampur baur ini. Terjawablah sudah mengapa aku tidak suka pulang ke kampung.
Nota; ini hanya cerita rekaan dan tiada kena mengena dengan yang hidup atau yang mati.
Zainal lazim,
Ibnu Lazim,
Al Rembauwi.
(Nama2 yang pernah digunakan waktu menulis dalam akhbar dan majalah).
25.10,2020.
02.48 am.
No comments:
Post a Comment