Selebriti Sasterawan Di Medsos- Siri 14.
Sasterawan adalah perakam zamannya. Bagitulah pendapat yang sering dikemukakan oleh para penelaah sastera. Saya pun bersetuju dengan pendapat ini. Sejarah hanya merakam peristiwa, kesan, pengalaman Dan pengajaran dari suatu zaman. Namun Sasterawan, khasnya penulis novel Dan puisi, merakam bukan sahaja peristiwa, tetapi juga denyut nadi, resah gelisah, Dan pergolakan jiwa masyarakat pada zamannya. Demikianlah antara peranan kesusasteraan dan sasterawan pada sesuatu zaman. Dengan begitu secanggih mana pun teknologi, ke dua-dua perkara ini tetap diperlukan.
Atas sebab demikian, saya Masih terus meperkatakan perkara ini. Kali ini saya memilih Emilia Munira, atau nama penuhnya Emilia Munira bte Akil, penulis kelahiran Kelulut, Marang, Terengganu. Beliau juga merupakan adik kepada Zahari Akil, juga seorang Pemuisi Yang aktif di media sosial ini.
Kita cuba lihat sebuah sajaknya untuk melihat kepenyairannya:
Bismillah.
RINDU YANG TERBAKAR
Kenangan semakin jauh seperti senja kelmarin
gerimis melewati ingatan di rantau hati
rindu tengkujuh dibadai luluh dan sendu
Dan di sini aku mengeja sebuah nama
saban waktu lembar masa kubelek
susunan abjad kehidupan dan kematian
tak pernah lusuh walau kau pergi tak kembali
menjadi reja-reja kenangan
Mengenangmu sahabat
adalah setulus persahabatan
doaku pun tak pernah putus
antara musim beredar
aku masih berdiri di sini
genggam kenangan hingga
perasaanku rentung
EMILLIA MUNIRA
Marang, Terengganu
5 Oktober 2023.
Dalam Rindu Yang Terbakar sebenarnya, Emillia menengang seorang sahabat karibnya Yang telah pergi terlebih dahulu ke alam abadi. Kenangan itu seperti rindunya pada musim tengkujuh، diikuti perasaan rindu dan sendu Yang membadai di jiwanya. Tentulah sahabat itu amat akrab dengan kehidupannya.
Kerinduan itu seolah ia mengeja sebuah sambil membelek lembar waktu dan susunan huruf-huruf abjad. Ia merupakan satu perbandingan perasaan yang hanya dapat dilukiskan sedemikian.
Ia mengenang sebuah persahabatan yang tulus di samping doanya Yang tidak pernah putus. Emillia Masih mengenang sahabat seolah kenangan itu digenggam hingga rentung.
Tentunya sahabatnya itu seseorang Yang istimewa dalam hidupnya.
Bahasanya tidak polos dalam puisi ini, cuma temanya agak ringan tanpa sebarang buah fikiran. Ianya lebih merupakan satu curahan perasaan akibat sebuah kehilangan.
Emillia mendapat dorongan kakaknya Puan Zahari Akil Yang juga seorang penulis sajak Yang sedang menempa nama. Selain sajak, Emillia juga menulis cerpen. Sajak- sajak dan cerpennya pernah tersiar dalam akhbar Harian Ekpress, Utusan Borneo dan Berita Harian. Bila ditanya tentang rancangannya pada masa depan, beliau Yang turut meminati muzik, berhasrat untuk menerbitkan antologi bersama dengan Puan Zahari Akil, di samping merancang untuk menerbitkan novel remaja. Emillia juga pernah memenangi beberapa peraduan penulisan puisi yang dianjurkan persatuan Pemuisi , Kembara Sastera Dan lain-lain. Sajak-sajaknya juga telah pun diterbitkan dalam beberapa buah antologi bersama yang disertainya. Kita berharap kehadirannya dalam dunia puisi Akan berterusan, mencapai apa yang diharapkan, dan turut mewarnai dunia perpuisian negara.
Ibnulazim,
20.10.2023.