SAMAN PETRONAS. SATU LAGI SENARAI BEBAN MASUK KE DALAM KANTUNG MASALAH UMNO
SEMPURNALAH janji kerajaan negeri Kelantan untuk menyaman Petronas berhubung pertikaian mengenai royalti minyak yang berpanjangan sejak sekian lama, apabila satu saman difailkan di Kuala Lumpur hari ini terhadap agensi kerajaan yang diberi tanggungjawab dan kuasa dalam kerja pengeluaran petroleum di negara ini.
Maka bertambahlah lagi secara rasmi satu senarai baru dalam karung beban yang mesti dipikul oleh Umno menjelang pilihanraya akan datang.
Jika sebelum ini di mahkamah terbuka, di mana rakyat mengadili pertikaian itu menganggap ia sebagai satu pertembungan menegakkan kebenaran di satu pihak dan mempertahankan ego di satu pihak yang lain, kini mahkamah sebenar akan memperincikan bicara berdasarkan fakta dan realiti. Maknanya, konsep yang betul tetap betul, akan dilaksanakan demi menegakkan sebuah kebenaran.
Pada masa yang sama, satu sejarah baru akan tercatat, di mana sebuah kerajaan negeri yang ditadbir oleh kerajaan pembangkang membawa kes pertikaian dengan kerajaan pusat mengenai royalti minyak, ke mahkamah sebagai jalan akhir untuk diadili. Dan mahu bersetuju atau tidak Umno kini terpaksa menerima kenyataan bahawa parti memerintah itu berada dalam keadaan yang amat-amat tidak selesa. Sementelah pula isu kekalahan Felda dalam kes saman yang dibawa oleh sekumpulan peneroka yang mengakibatkan agensi kerajaan itu diarah membayar jutaan ringgit sebagai harga menegakkan kebenaran mengikut undang-undang oleh mahkamah yang mulia. Tempias daripada kekalahan di mahkamah menjadikan persepsi rakyat khususnya semakin memburuk terhadap imej parti itu.
Di sisi lain di sebalik pemfailan kes ini di mahkamah ialah persoalan sejauh mana Perdana Menteri, Najib Tun Razak akan memikul karung masalah parti itu yang semakin banyak dan memberat menjelang pilihanraya akan datang. Apakah Najib boleh bertahan? Atau memaksa diri bertahan demi menjaga maruah sebuah parti yang dikatakan banyak pihak kelihatan semakin goyah. Dan tentunya ketika berdepan ujian berat sebegini, tindakan Tengku Razaleigh Hamzah yang secara jelas bersetuju dengan tindakan saman yang diambil kerajaan Kelantan ini menambahkan lagi rusuh hati Perdana Menteri.
Ketika Umno sendiri ketika ini dibelenggu pelbagai krisis dan konflik yang tidak berkesudahan, Najib tidak mempunyai pilihan kecuali menyerahkan segala nasib dan masa depan partinya kepada Tuhan. Dengankonsep 1Malaysia yang masih dipertikaikan, konflik dalaman Umno di beberapa negeri, pertikaian dan desakan MCA, Gerakan dan NGO dalam isu hak keistimewaan Melayu, konflik tentangan terhadap pimpinan Taib Mahmud di Sarawak, isu menjatuhkan Ketua Menteri Sabah oleh pemimpin parti komponen BN sendiri, ledakan isu sensitif berkait agama dan perkauman dan seribu satu masalah yang saling berkait, bolehkah Najib dan Umno bertahan? Itu belum ditambah dengan masalah hubungan dingin yang tercetus dengan negara jiran dan masalah untuk membetulkan semula kedudukan landasan ekonomi di dalam negara.
Nyata dan jelas, tindakan saman kerajaan negeri terhadap Petronas hari ini, adalah satu sejarah yang akan membuka lebih banyak sub-sejarah terutama yang ada kaitan dengan lanskap atau senario politik Umno pada masa depan. Kita tunggu biar mahkamah menentukan.
singalautmetro.blogspot.com
30.8.2010.
No comments:
Post a Comment