ads

emel kepada (pendapat,komen, artikel)

zainal55@yahoo.com

Thursday, June 13, 2024

Ulasan Puisi

 Selebriti Sasterawan Medsos -9.


Tulisan ini yang meliputi karya dan dikaitkan juga dengan personaliti penulisnya telah pun mencapai sembilan siri setakat ini. Saya tidak pasti adakah tulisan ini bermanfaat untuk khalayak sastera atau pun tidak. Setakat ini hanya Datuk SN Zurinah Hassan yang menyokong usaha ini.


Namun saya teruskan juga demi kaum sasterawan serta sastera Malaysia itu sendiri. Sastera tidak bermakna tanpa khalayak, begitu juga sastera tidak bermakna tanpa pembaca.


Prof Dr Noriah juga sesekali ada like tulisan saya. Ini satu tanda sokongan. Makasih prof.


PEMUISI.


Semakin terancam

puisinya semakin tajam

semakin tepu masalah

puisinya semakin menyerlah.


Kalah tidak pernah menyerah

menang tidak pernah bermegah

itulah ciri-ciri pemuisi

yang gagah bermaruah.


Baharuddin MDG

23.6.2023

Sungai Lui Hulu Langat.


Kali ini saya cuba melihat sajak di atas, yang ditulis oleh Baharuddin MDG. Beliau kerap muncul di sini kebelakangan ini. Bila saya membaca profile dia, saya menduga beliau seorang pesara, jika bekerja dengan kerajaan atau swasta. Walau sudah mencapai taraf warga emas, namun Baharuddin tetap aktif menulis sajak.


Sajak Pemuisi ini adalah sajak yang ringan sahaja dan tidak dibaluti oleh mana-mana aliran falsafah.


Pemuisi adalah sebuah sajak tentang penulis sajak itu sendiri. "Semakin terancam, puisinya semakin tajam". Demikian penyair, bila dihimpit masalah, puisinya semakin memukau, semakin menusuk kepada temanya. Puisinya akan semakin menyerlah. Sang penyajak tidak pernah mengalah, jika menang tidak bermegah. Menurut penyair itulah pemuisi yang bermaruah.


Maksudnya di sini seorang pemuisi tidak pernah menyerah kepada sebarang tekanan.


Secara teknikalnya, walau hanya dua rangkap,  temanya cukup bagus. Bersemangat. Sajak ini banyak menggunakan persamaan bunyi vokal dan konsonan di awal dan akhir baris.  Atau dengan kata lain banyak menggunakan aspek aliterasi dan asonansi. Tidak ada unsur perbandingan, similie atau personafikasi. Cuma mungkin terasa agak kurang puitis dengan gaya bahasa yang  terus terang. Begitupun, Baharuddin berjaya menunjukkan semangat yang harus ada sebagai seorang pemuisi untuk menegakkan kebenaran dan menentang kepalsuan.


Ibnulazim,

25.6.2023.

#ibnulazim

Sunday, June 9, 2024

Aku Dan Waktu

Aku Dan Waktu
(prosaic)

Aku adalah engkau yang berkejaran bersama waktu, saling mendahului tanpa pasti siapakah pemenangnya.

Sehinggalah pada suatu ketika kita merancang untuk menamatkan perlumbaan ini.

Dan suatu ketika sambil Aku berbincang- bincang dengannya; kata waktu akulah pemenang bila meninggalkan kau kaku tak bernyawa sedang Aku jalan terus tanpa henti menggerakan orbit ini.

Aku bangkit dan hentakkan kaki ke tanah, sambil memberi tabik hormat dan berkata padanya: kaulah pemenang sebenar dan aku tewas 
dengan kematian.

Ibnulazim,
8.6.2023.

Thursday, May 23, 2024

Jemputan Dari Presiden Pemuisi

 Assalamualaikum Tn Hj. Zainal. 

Untuk makluman, buku kumpulan puisi hamba yang ke-10, Kumpulan Puisi Bunga Kata, terbitan DBP akan dilancarkan oleh Yang Arif Datuk Vazeer Alam bin Mydin Meera, Hakim Mahkamah Persekutuan, Istana kehakiman Putrajaya di Dewan Tun Hussein Onn, PWTC K.Lumpur pada 1 Jun 2024, jam 4.00 petang. Harap sangat dapat hadir bersama ke majlis tersebut. Atas sokongan semua, hamba ucapkan terima kasih. 

-Dato' Dr. Radzuan Ibrahim @Wanrazuhar.

Tuesday, May 21, 2024

Puisi Dan Masyarakat

 Puisi Dan Masyarakat


Bila disebut puisi, apa yang tergambar di fikiran kita.? Barangkali kita fikirkan sajak; dua atau tiga rangkap kata yang berbunga-bunga kadangkala sukar Kita fahami dengan jelas maksud tujuannya. Itulah gambaran awal bagi masyarakat kita bila mendengar perkataan itu.  Namun bagi mereka yang lebih sedikit maklumatnya, mungkin menyatakan ia adalah susunan kata-kata indah Yang membawa maksud tertentu yang selalu dikaitkan dengan emosi. Ia adalah tulisan orang yang suka berkhayal yang tidak jejak di bumi nyata. Begitulah tanggapan masyarakat umum tentang puisi.


Puisi sebenarnya lebih dari itu. Ia adalah susunan kata berangkap  dan indah yang mempunyai aturannya sendiri dan mempunyai nilainya yang tersendiri. Muhammad Hj Salleh menyatakan ia seharusnya memandaikan bangsa . Bagi Baha Zain pula, puisi tidaklah berbicara segalanya dan tidak kepada semua.


Namun dalam ruang Yang terbatas ini, sukar untuk kita memberi definasi yang lengkap tentang bagaimanakan puisi itu harus ditafsir. Kita ambil satu pendapat lagi. Kata Arief Budiman, membaca sebuah sajak, kita sebenarnya sedang melihat tanggapan seorang penyair terhadap sesuatu dan kita melihat berbagai hal tentang tanggapan penyair dari waktu ke waktu (Chairil Anwar: Sebuah Pertemuan).


Apa sebenarnya yang hendak dilihat dalam tulisan ini, adakah puisi itu beperanan dalam sesebuah masyarakat, dengan tidak mengenepikan definasi puisi itu sendiri. Puisi sebenarnya dapat mendidik jiwa masyarakat seperti tafsiran Muhammad Hj Salleh, iaitu memandaikan bangsa. Namun skop  puisi itu tidak begitu luas, dan ia hanya berkisar di kalangan penulis dan peminat puisi sahaja. Dan kita perlu terima kenyataan ini sebelum Kita pergi lebih jauh dalam perbincangan ini. Memang diakui dalam sejarah perpuisian kita,ia turut beperanan Dalam membangkitkan jiwa penentangan terhadap penjajah, yang terlihat jelas pada puisi-puisi peringkat awal, khasnya sewaktu penjajahan Jepun dan Inggeris. Sekurang-kurangnya puisi beperanan pada peringkat ini.


Pada dekad-dekad 70an dan 80an, puisi moden Kita melahirkan berbagai Tema Dan didukungi oleh ramai ahli masyarakat dari pelbagai lapisan. Maka lahirlah ramai penyair dari pelbagai lapisan termasuk dari kampus-kampus universiti. Dan tema-temanya pula datang dari puisi-puisi cinta hinggalah ke politik. Hal ini berlaku kerana penulisan puisi turut membabitkan orang-orang politik seperti Kassim Ahmad dari parti beraliran sosialisme.


Namun, seperti Yang Kita sebutkan di atas apakah puisi itu turut membentuk pemikiran masyarakat. Sedikit sebanyak puisi-puisi kita telah meneroka ke alam yang lebih bersifat pemikiran dan menyelitkan unsur-unsur inteklektualisme seperti pada puisi- puisi Muhammad, Baha Zain dan lain-lain lagi. Dengan demikian dapatlah Kita katakan puisi itu amat diminati oleh segolongan manusia Dan amat akrab hubungannya dengan masyarakat.


Kini, dengan ledakan teknologi, puisi-puisi kita turut beralih arah.Media-media-media sosial turut menjadi medan penyair-penyair kita melontarkan idea-ideanya ke -tengah masyarakat dan turut merobah bentuk luaran dan dalaman puisi itu sendiri.Lalu lahirlah kumpulan-kumpulan penulis/pemuisi siber seperti Esastera dan Pemuisi National. Mereka berkarya sambil mengemukakan persoalan zamannya. Dapatlah dikatakan hasil sastera/ puisi itu adalah pancaran bagi zamannya .


Terakhir, Kita ingin melihat apakah puisi itu sesuai untuk dijadikan sebagai satu medium mendidik masyarakat terutama di peringkat kanak-kanak dan remaja. Puisi seperti yang difahami menggunakan kata-kata yang indah, muzikal dan pelbagai unsur lain yang membentuk ciri-cirinya. Dengan demikian, pada pandangan kita, ia amat sesuai bagi membantu kanak-kanak dan remaja dalam memperhalus dan memperkaya jiwa mereka. Hal ini amat diperlukan memandangkan gaya hidup kini terdedah dengan pelbagai unsur kerakusan Dan kekerasan akibat perkembangan teknologi dan dunia tanpa sempadan. Puisi mampu menggalas tugas ini, kerana penyampaian tema dan persoalannya menggunakan bahasa yang lembut dan ada kalanya berirama. Ini mungkin dapat memperhalus jiwa mereka yang telah dikasarkan oleh dunia globalisasi. 


Dari tulisan di atas dapatlah disimpulkanbahawa puisi mempunyai pengaruh yang besar terhadap masyarakat dan mampu memanusiakan semula masyarakat kita yang sedang dirasuk oleh perkembangan teknologi yang sangat pesat.


Zainal Lasim   @ibnulazim.

21 Mei, 2024.

Sunday, May 19, 2024

Ulasan Puisi Persaraan

 Ulasan Puisi Tidak Berjadual.


Persaraan bukanlah bermakna tugas kita sebagai anggota masyarakat, sebagai hamba Allah sudah tamat. Selagi nyawa masih ada, kudrat dan fikiran masih berupaya , kita masih perlu menjalankan tugas terhadap masyarakat dan negara, sesuai dengan tuntutan amal makruf dan nahi mungkar yang diamanahkan kepada kita. Demikian intipati sajak di bawah ini.


Tekad Sang Pesara


Persaraan hanya pada jawatan

bukan perjuangan 

dengan hayat yang berbaki

dan keafiatan kurniaan ilahi

insya-Allah masyarakat terus kusantuni

meskipun sebagai gerakan peribadi

tanpa tunjangan institusi 

berkongsi sekelumit ilmu yang terbatas

berkongsi rasa, semangat dan daya juang

untuk bahasa, sastera, budaya

dan tamadun warisan wangsa

semoga disertai inayah

dan diterima sebagai ibadah 


Awang Sariyan Kembara Bahasa 

14 Oktober 2023/29 Jamadilawal 1445.


Begitulah tekad sahabat kita, yang juga guru, pembimbing, cedekiawan dan wakil kaum penulis di Dewan Rakyat, YB Tan Sri Prof. Dr Awang Sariyan. Ia masih tetap berjuang untuk kita semua. Kita harus memberikan jutaan terima kasih dan tabik hormat kepada beliau yang mengambil sikap seperti ini.


"insyaallah masyarakat akan terus kusantuni" tegas beliau dalam satu frasa sajak di atas. Beliau akan terus berjuang, berkongsi rasa untuk bahasa, sastera, budaya dan tamadun warisan bangsa, di samping berharap ianya diterima sebagai ibadah. Inilah jiwa kental seorang individu Muslim. Tahniah Dan syabas diucapkan kepada beliau.


Saya amat berterima kasih kepada beliau kerana mencurahkan ilmunya sewaktu di kampus, melalui penulisan, mengirimkan banyak buku, juga mengkreditkan wang sewaktu saya sedang kesempitan. Sekali lagi, jutaan terima kasih kepada YB Tan Sri Prof. Dr Awang Sariyan atau nama penanya Kembara Bahasa.


Ibnulazim,

16 Oktober، 2023.

Sunday, May 12, 2024

Memaknakan Rindu

 Memaknakan Rindu


Bila teringat

wajahmu terbayang

dalam tidur

dalam jaga

kau selalu datang hatta dalam sembahyang atau tengah makan, wajahmu berlarian di bibir mata.


Apakah ini symptom rindu, atau bagaimana rindu harus ditafsirkan

agar ia dapat dimaknakan?


Ibnulazim,

13.5.2023.

Thursday, May 9, 2024

Melihat Azma Melalui Puisi

 Melihat Azma Melalui Puisi


Saya telah meneliti 

beberapa buah puisi Azma Murni Aziz dan melihat puisinya sedikit berbeza dari penyair-penyair yang sering menulis di Facebook.


Walaupun tema-tema yang dibawanya tidak sarat dengan falsafah dan pemikiran namun ia menggunakan bahasa yang sesuai dan secocok dengan apa yang ingin disampaikan nya. Pemilihan kata-kata yang puitis dan berbeza dari penulis lain menjadikan puisinya agak istimewa untuk disorot. Dan kata-kata itu bersesuaian dengan mesejnya. Tidak ramai yang menyamainya. Cuba Kita lihat sebuah puisi beliau;


Menjemput Pagi

____________


masuklah ke rumah hari

rumah ini tidak berpintu


jemputlah

secawan dua kopi

hangatnya moga-moga  

meredakan gigil yang ditinggalkan malam.


__________________


AzmaMurni Aziz 

Pantai Sentral, KL 

26042024


#puisiazmamurni


Dalam puisi di atas beliau berpuisi tentang hari.


Katanya:


Masuklah kerumah hari

rumah ini tidak berpintu.


Hari bukanlah objek. Tetapi ia menjemputnya masuk ke rumah, selain unsur persenofikasi, ia menjemput Hari masuk ke rumah, seolah ianya satu objek. Ini adalah kehalusan bahasa Azma yang tiada pada penyair  lain.Tidak Pula Ada pembaziran kata. Ia sesuai dengan tujuannya. Oleh kerana Hari itu bersifat halus, ia tidak perlukan pintu, dhdan Azma memang menyebutnya 'rumah ini tidak berpintu.'


Pada para ke dua ada ayat 'moga-moga meredakan gigil, yang ditinggalkan malam.'Malam tentulah sedikit sejuk dan memberi kesan gigil bagi setengah orang. Ini amat sesuai dengan sifat Hari itu. Pemilihan diksi ini bertepatan dengan fungsi Hari. Demikianlah halusnya kata-kata Azma. Satu pemilihan yang tepat.


Demikianlah bakat yang ada pada Azma Murni Aziz, seorang graduan kesusasteraan Dan Kesenian Melayu dari Universiti Malaya. Bakat yang ada pada beliau memungkinkan ia pergi lebih jauh ke hadapan.


Ibnulazim,

8.5.2024

#ibnulazim

Monday, April 29, 2024

Adakalanya hidup ini

Kadangkala Hidup ini

kadangkala di sini, perjalanan terhenti, lewat pemikiran tak pasti
teknologi berkembang
tak dapat diikuti, kita tinggalkan di belakang, mungkin kerana bosan, atau jemu sudah, belajar benda baru.

adakalanya
perjalanan tertahan-tahan, idea tak berkembang, lantaran sibuk, bunyi hingar-bingar, hidup semakin pantas, seperti air terjun, memuat sampah sarap, tak terhitung jumlahnya.

di sini
hidup ini
adakalanya
perlu diberi makna
dan erti.

Ibnulazim,
2024.

Tuesday, April 2, 2024

Selebriti Sastetawan 4

 Selebriti Sasterawan Medsos -4.


Lama saya berfikir hendak menulis tentang siapa kali ini. Saya tidak menetapkan sebarang kriteria. Cuma mereka yang selalu muncul dengan karya di medsos, yang saya kira punya bakat dan kesungguhan. Tidak pula bermakna yang lain tidak berbakat. Kalau tiada bakat, mereka tidak menulis.


Saya teringat seorang kawan yang selalu bersilang pendapat dengan saya, ya, Hamizun namanya. Saya tidak begitu mengenali beliau, kecuali selepas saya kembali ke esastera, kendalian mantan Prof. Dr lrwan Abu Bakar, Yang kini laman itu dikenali sebagai esasteravaganza. Macam bunyi rancangan TV pula. Ia sebenarnya salah satu media sastera yang keahliannya terbuka kepada penulis Malaysia, lndonesia, Singapura dan Brunei. Itu setakat yang saya tahu.


Hamizun Syah berusia lima puluhan, tergolong dalam kelompok penulis selepas era merdeka yang visinya mungkin sedikit berbeza dengan yang sebelumnya, termasuk saya sendiri.


Saya sebenarnya tidak begitu meneliti sajak-sajak beliau kecuali sesekali saya temui di esasteravaganza atau di FB. Dengan begitu saya sedikit sukar untuk menilainya melalui karya yang dihasilkan. Namun satu kesimpulan yang dapat saya buat, beliau sedikit berbeza dari angkatan sebelum 70an, dan turut terpengaruh dengan puisi-puisi Jepun dan Indonesia sebagaimana lazimnya ahli-ahli esasteravaganza. Puisi-puisinya juga menekankan ekonomi kata-kata. Cuma temanya barangkali tidak begitu berat seperti penyair-penyair penting negara. Dalam hal ini Hamizun perlu meneroka tema yang lebih alamiah atau seperti kata Rahman Shaari, puisi berimpak tinggi.


Bagaimana pun beliau telah memenangi banyak hadiah sastera Dan menerbitkan banyak buku puisi, selain novel, dan merupakan seorang aktivis Asasi. Pada saya beliau mempunyai masa depan yang cerah,  asalkan sedia berusaha mengekalkan dan memajukan diri dalam bidang ini.


Ibnulazim,

31.3.2023.

Wednesday, March 20, 2024

Ketika Kau Datang

 Kau Datang


Ketika kau mampir

laman rumahku

aku terkedu

rasanya telah setahun

tak bertemu,

tentu kau rindu teramat

pada diriku,

bukankah begitu?


kauhampiri

tangga rumahku

aku jadi bisu

lama teramat

tak bertemu

kata kata terkunci

antara lidah

dan bibir,

sejak kautiada

aku terlalu rindu sehingga terlupa

raut wajah

rupa paras

seolah bertahun

kita berpisah

tanpa sebarang temu.


Aku tersentak

bila kau tiba

di tangga rumah, dan telah kuduga

datangmu

menghilangkan resah

rindu membara

namun kaujuga tiba

membawa bahagia kerana bersamamu

ada berkat yang tak terduga

bersama lapar dan  dahaga serta bau syurga takterduga.


Ibnulazim

@zainallasim,

4.3.2024

22 Syakban 1445.

#ibnulazim