Jenayah bunuh yang tidak boleh dimaafkan
PEMBUNUHAN jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain berlaku dalam bulan Ramadan, bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan. Ia merupakan kejadian jenayah yang cukup kejam, tragis dan menyayat hati serta satu penghinaan yang seharusnya tidak boleh dimaafkan ketika umat Islam masih lagi merasai keberkatan bulan tersebut dan meraikan kemeriahan Hari Raya Aidilfitri.
Sayugia diingatkan bahawa jenayah seperti ini tidak boleh dimaafkan dan diterima oleh seluruh masyarakat Malaysia. Individu yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung seharusnya menerima hukuman setimpal dengan perbuatan mereka dan dilucutkan taraf kewarganegaraan kerana tidak menyumbang kepada pembangunan dan produktiviti negara. Mereka juga tidak menjadi warganegara contoh seperti mana saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berusaha meniupkan serta menerapkan roh 1Malaysia sebagai acuan dan landasan hidup dalam masyarakat berbilang bangsa.
Ketika pemimpin-pemimpin terdahulu dan pahlawan-pahlawan tanah air berjuang dan berkorban nyawa untuk mempertahankan dan memperjuangkan kemerdekaan negara, masih terdapat individu yang tidak menghargai peluang dan keharmonian yang ada di negara ini, mengambil jalan mudah untuk menjadi kaya raya dengan menjadi samseng dan penjenayah. Mereka ini sememangnya layak digelar pengganas selepas tamatnya era komunis di negara kita.
Dewasa ini, trend pembunuhan dan kejadian jenayah yang berlaku di negara ini bukan sahaja semakin meningkat setiap hari, malah seakan telah mengalami pola perubahan yang begitu ketara dari segi aplikasi dan tindakan di mana penjenayah semakin bijak dan lebih berani melaksanakan tindakan tanpa memikirkan hukuman yang bakal diterima.
Modus operandi bunuh dan bakar dilihat menjadi satu kaedah baru yang digunakan untuk menghapuskan bukti bagi menghalang pihak polis mencari dan mendapatkan maklumat bagi membantu penyiasatan. Jika anda selalu menonton saluran Astro Awani 202 yang banyak menyiarkan cerita-cerita Tamil yang berunsurkan jenayah, anda pasti akan dapat melihat bagaimana teknik dan penceritaan yang diolah adalah sama seperti apa yang berlaku ke atas Datuk Sosilawati Lawiya.
Saya percaya pengarah filem terbabit menggarap penceritaan berdasarkan situasi dan kejadian jenayah sebenar yang sering berlaku di negara India yang menjadi latar penceritaan. Memandangkan pertambahan kejadian jenayah khususnya kes bunuh semakin berleluasa, maka masyarakat seharusnya lebih peka dan prihatin serta menjadi mata dan telinga bagi membantu pihak polis mencegah dan menghalang perkara tersebut daripada terus berlaku.
Kecekapan pihak polis sememangnya tidak boleh dinafikan dalam menyelesaikan kes-kes berkaitan dengan pembunuhan, namun demikian mereka harus lebih cekap dan bersedia dengan peralatan yang lebih canggih setanding dengan negara-negara luar agar dalam kes jenayah yang rumit, mereka mampu bertindak sebelum kejadian buruk berlaku. Malah sehingga kini masih ada kes-kes jenayah yang tidak mampu diselesaikan walaupun sudah melepasi tempoh yang sepatutnya.
Persoalannya, walaupun pelbagai bentuk hukuman dikenakan kepada penjenayah sama ada kecil atau besar perbuatan mereka, masyarakat masih dihidangkan dengan berita-berita kejadian jenayah oleh media massa dari semasa ke semasa. Adakah bentuk hukuman yang sedia ada sekarang tidak memberi sebarang impak dan pengajaran kepada generasi yang ada sehingga mereka semakin berani melakukan perbuatan yang melampaui naluri kemanusiaan.
Mungkinkah kita harus kembali kepada hukuman berasaskan syariah Islam dengan menghukum pancung mereka yang melakukan jenayah bunuh tanpa mengira kaum di hadapan khalayak ramai seperti mana yang dilaksanakan di negara-negara Arab sebagai satu bentuk pengajaran yang harus diingati oleh mereka yang melihatnya. Jika ini mampu mencegah jenayah yang semakin berleluasa berlaku, maka kita tidak perlu takut untuk melaksanakannya.
Apa yang jelas, perbuatan jenayah yang berlaku ke atas Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan. Kes ini pasti menjadi satu sejarah hitam dalam masyarakat dan negara khususnya. Kepada anak-anak mangsa dan ahli keluarga, seluruh warga Malaysia mendoakan mereka agar tabah dan cekal menghadapi cabaran dan dugaan Ilahi.
MOHD. BAKRI CHE AMIN
Taman Desa Duyong, Melaka.
Utusanonline,
14.9.2010.
No comments:
Post a Comment